Tuesday, February 25, 2014

ORANG TIMUR PENCETUS DUNIA BARU ISLAM


Amerika dan dunia barat seperti singa tua yang sudah kehilangan taringnya.
Barat sudah menjadi kiblat masyarakat dunia termasuk dunia Islam sekian lama. Kini Barat cuba mengaburi mata dunia untuk menjadi superpower mutlak.  Sedangkan realitinya, Barat sudah tidak punya masa depan, apalagi untuk menerajui dunia.


Ulama di Malaysia ada buat kajian tentang perkara tersebut yang mengupas segala gejala yang memusnahkan Barat dan umat manusia seluruhnya. Buah fikiran orang Timur yang menulis bukan dari emosi tapi  berdasarkan pengalaman, pengamatan dan pandangan mata hati  yang tajam. Disenaraikannya satu persatu kepincangan  Barat yang selama ini terselindung di sebalik  kecanggihan teknologi dan kekuatan ketenteraan.

Diberitahu sebab musabab serta punca-puncanya dan diberinya jalan keluar yang terbaik untuk menyelamatkan Barat daripada kemusnahan  mutlak.

Memang ubat itu biasanya pahit untuk ditelan. Begitulah dengan buah fikiran orang Timur itu, mungkin terlalu pahit bagi orang Barat untuk menerima realitinya.Begitu juga dengan umat Islam yang telah sekian lama berkiblatkan Barat.

Namun Barat dan konco-konconya, kalau mahu selamat di era sekarang harus akur pada buah fikiran orang Timur. Kerana telah terbukti bahawa Timur sebelah sini kini sedang menerajui  kebangkitan Islam menuju kemuncaknya.

Sebagai buah fikiran orang Timur yang praktikal, mereka telah menggariskan strategi-strategi yang berkesan untuk memandu Barat ke jalan keselamatan. Inilah mesej penting dengan mengetengahkan Islam sebagai satu-satunya penyelamat. Barat yang sedang mengalami kekosongan ideologi, mahu tak mahu terpaksa akur pada seruan ini: Aslim taslam : Islamlah, nescaya kamu akan selamat!

Inilah perang fikiran dan perang sikap (lisanul hal) yang sangat seni kerana sasarannya adalah hati dan fikiran. Tidak ada kerosakan fizikal yang berlaku, namun ini yang lebih ditakuti oleh Barat. Bukan rahsia lagi bahawa Barat kini sedang dihantui oleh bayang-bayang ‘Kebangkitan Islam kali kedua' yang mereka telah kenal pasti akan muncul di Timur.

Segala pergolakan di Barat bahkan di seluruh dunia, samada positif mahupun  negatif, semuanya membawa petanda bahawa kebatilan kian musnah, kebenaran kian terserlah. Ini juga menandakan dunia sedang diproses menuju ke satu arah; kegemilangan Islam kali kedua yang dijanjikan Rasulullah melalui hadis-hadisnya. Manusia sejagat menunggu satu Dunia Baru yang akan menandakan kemenangan mutlak bagi kebenaraan dan tumpasnya kebatilan.

Friday, February 21, 2014

PENDIDIKAN INSANIAH SANGAT PENTING DALAM MELAHIRKAN MANUSIA


Setelah menyedari betapa pentingnya tamadun insan yang begerak di atas aqidah yang kukuh, maka sepatutnya seluruh negara umat Islam berusaha bersungguh-sungguh menjaganya daripada dirosakkan disamping berusaha melahirkan pakar dalam ilmu sains dan teknologi moden melalui sistem pendidikan Islam yang bersepadu antara ilmu fardhu ‘ain dengan ilmu fardhu kifayah.

Jangan terus biarkan umat Islam hanyut dengan ilmu moden yang dibuang ruh Islam dimana akibat pemisahan ini akan menyebabkan lahirnya manusia yang hanya mementingkan kekayaan diri dengan mengenepikan kepentingan masyarakat umum disamping melahirkan manusia yang mengenepikan peranan agama dalam menangani permasalahan umat.

Pemimpin negara umat Islam sewajibnya menyediakan sistem pendidikan sepadu yang akan melahirkan ulama’ profesional dan profesional yang faham Islam serta sentiasa berfikir bagaimana mahu memajukan umat Islam disamping sentiasa berkerjasama dengan ulama’ dalam menangani masalah masyarakat. Umat Islam semakin berpecah apabila pemimpin negara umat Islam tunduk kepada sistem dua aliran yang berpisah antara ilmu agama dan ilmu moden yang menyebabkan lahirnya dua masyarakat yang berlawanan iaitu yang memahami agama secara lengkap dengan mereka yang mengenali Islam untuk adat dan ibadat khusus sahaja.

Apabila wujudnya masyarakat yang memisahkan ilmu fardhu ain dengan ilmu fardhu kifayah akan menyebabkan negara menjadi celaru apabila golongan pertama yang faham agama sentiasa menegur kesilapan yang berlaku di mana kebanyakan golongan ini tidak banyak diberi tempat dalam pentadbiran samada kerana kurang pakar dalam ilmu moden atau sengaja disisihkan demi kepentingan pemimpin, manakala golongan kedua yang tidak faham agama akan menggunakan kepakaran yang ada dengan mengenepikan agama serta menuduh golongan yang faham agama sebagai kolot kerana hanya tahu menegur sahaja.

Sepatutnya apabila wujudnya sistem pendidikan sepadu antara fardhu ‘ain dan fardhu kifayah maka negara bakal melahirkan umat yang bersatu atas asas Islam dan berusaha memajukan negara dalam membina tamadun rohani dan kebendaan secara serentak.

Inilah yang membimbangkan kuffar dan anak didik mereka. Seorang sarjana Islam ( Dr Umar Farikh) telah mengingatkan bagaimana liciknya perancangan barat dalam menghancurkan perpaduan dan kefahaman umat Islam mengenai Islam melalui serangan dalam sistem pendidikan negara.

Katanya : “Sesungguhnya dunia Timur milik umat Islam telah tumbang dari sudut kehidupan berpolitik dan juga berbangsa kerana institusi pendidikan asing yang terdapat di negara umat Islam telah memecah belahkan perpaduan anak watan menjadi berpuak-puak.  Oleh itu tidak hairanlah matlamat anak watan turut terbengkalai malah jalan yang boleh menyampaikan kepada matlamat tersebut semakin jauh".

"Pendidikan adalah satu-satunya kekuatan tarbiah yang agong yang tidak sepatutnya berada pada tangan orang asing yang mempermain-mainkannya dan memonopolinya untuk kepentingan kuffar. Sesungguhnya pendidikan negara yang bersepadu walau pun menghadapi pelbagai kekurangan adalah jauh lebih baik daripada sistem pendidikan asing yang saling menjauhkan umat Islam daripada Islam itu sendiri walau bagaimana canggih sekali pun”.

إنما يخشى الله من عباده العلمــؤا إن الله عزيز غفور

 Sesungguhnya golongan yang paling takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya ialah para ulama’. Sesungguhya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. (Fathir:28).

Kerosakan akhlak dan masalah jenayah yang semakin bertambah dalam negara  bukan disebabkan negara kita tidak maju dari segi kebendaan tetapi disebabkan terabainya tamadun insan. Penjenayah, perompak bersenjata semakin subur dalam membunuh pengawal keselamatan dan orang ramai. Malah pengawal keselamatan pun diragui statusnya kerana banyak kes jenayah melibatkan mereka juga. Harapkan pagar, pagar makan padi.

Sepatutnya sistem pendidikan bersepadu mesti dilaksanakan segera bukannya memerangi pengajian agama secara membuta-tuli. Jangan sama sekali runtuhkan tamadun insan yang dibina atas asas agama yang dijaga sebelum ini atas alasan ia membantut kemajuan material.

Sesungguhnya kemajuan kebendaan semata-mata akan membawa kehancuran di dunia dan akhirat. Siapa benar dan siapa salah bukan akal dan nafsu sebagai ukuran sebaliknya wahyu Al-Quran dan sunnah nabi sebagai neraca penimbang. Pilihlah samada mahu melaksanakan Islam atau memerangi Islam. Sedarlah bahawa kita diajar erti dosa dan pahala dan apakah syurga dan neraka.

Orang yang sungguh-sungguh mengetahui ilmu Qur’an, maka dia akan tahu ilmu dunia dan ilmu akhirat. Ilmu akhirat berkaitan dengan syariat, tasawuf, tauhid dan ilmu dunia seperti ilmu politik, kemasyarakatan, psikologi, kebudayaan, sejarah, pendidikan dan lain-lain. Yang jadi masalah, umat Islam sudah tidak memahami Al-Quran. Realitinya sekarang kita banyak berhadapan dengan golongan cerdik pandai dan intelek. Anehnya orang yang mengaji Qur’an hanya tahu ilmu syariat, tauhid atau tasawuf saja, sedangkan ilmu sejarah, ilmu ekonomi, ilmu kebudayaan, ilmu politik, ilmu sosial ada dalam Qur’an. Dia tidak tahu karena kebanyakan guru-guru yang mengajarpun tidak faham ilmu-ilmu tersebut. Dulu bila umat Islam kuasai Al-Quran ertinya menguasai maklumat dunia dan seisinya. Itulah kejayaan mereka.

Jika kita mahu Islam sekali lagi berdaulat atas muka bumi ini, jangan dipisahkan kedua-dua pendidikan ini. Orang yang bertaqwa itu cerdik hati dan akalnya. Keduanya berjalan dengan serentak.

BANGSA BARU MEMBANGUN BERMODALKAN ALLAH



"Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga "Adn". Itulah kemenangan yang besar. Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman. 

(As-Saf:10-13).

Orang Melayu jika ingin mengambil giliran menerajui empayar dunia atas nama Islam mestilah mempersiapkan diri dari sekarang.

Melayu Baru yang menyalin kekuatan para sahabat yang berjaya dididik oleh Rasulullah menjadi bangsa yang disegani. Sejarah menceritakan bagaimana Rasulullah berjaya menukar kaum Arab Badwi yang tidak tahu membaca dan menulis muncul sebagai kuasa baru menerajui empayar dunia Islam kali pertama seribu lima ratus tahun dahulu. Rasulullah hanya mengambil masa dua puluh tiga tahun memproses para sahabat dengan memasukkan ke dalam hati-hati mereka takut dan cintakan Tuhan dan berkasih sayang sesama insan. Maka muncullah dari celah celah padang pasir, disebalik pohon kurma atau tamar, dikalangan pengembala pengembala kambing yang asalnya jahil dan ganas bertukar menjadi etnik baru yang mulia dan berwibawa menerajui empayar Islam hingga menjangkau seluas tiga perempat dunia.

Kita cukup yakin kebangkitan kali kedua adalah milik bangsa Melayu Islam, satu bangsa yang Tuhan simpin untuk dipersiapkan bagi menerajui kebangkitan kali kedua ini. Melayu perlu merebut tawaran besar ini. Jangan dipandang kecil dan dipersiakan peluang ini.  Tuhan hanya tawarkan sekali seumur dunia dan ini adalah hadiah cukup bermakna buat umat dizaman ini. Moga moga janji Tuhan ini menjadi pemangkin untuk kita persiapkan diri menerajui empayar dunia baru Islam kali kedua ini, insya Allah.

Dulunya adalah bangsa yang suka berperang dan membunuh anak perempuan sendiri berubah menjadi bangsa yang suka membela, berkhidmat dan memartabatkan wanita. Melahirkan tokoh yang berbuat baik kepada orang yang buat jahat keatasnya.

Bangsa baru yang berjaya dilahirkan oleh Rasulullah yang menjadikan Allah SWT adalah modal kebangkitan Islam.

Kebangkitan Islam yang pertama ditangan Rasulullah SAW dan para sahabat, Islam terbangun dengan Allah SWT sebagai Pemodal. Tidak pernah ada sejarah Islam dapat bangkit selain Allah sebagai Pemodal.  Selama ini kita tersalah kalau beranggapan bahwa orang kaya sebagai pemodal.  Kalau kita ingin menjadi Melayu baru yang dapat mengulangi sejarah kebangkitan pertama saperti apa yang telah dilakukan oleh para sahabat bersama Rasulullah dalam kebangkitan tersebut.  Maka kita kena menggunakan modal yang sama iaitu cinta dan takutkan Tuhan inilah yang dimaksudkan bermodalkan Allah.

Kebangkitan yang pertama Bangsa Arab bermodalkan Tuhan dan Islam.  Mereka dari bangsa yang lemah menjadi kuat dan berdaulat. Asalnya bangsa yang tidak bertamadun menjadi bangsa yang bermaruah dan berakhlak. Menjadi bangsa yang mulia dan guru pada dunia.  Akhirnya Tuhan serahkan empayar dunia ditangan mereka.

Begitulah yang telah Tuhan lakukan untuk mereka. Hakikatnya, tidak akan terjadi kebangkitan Islam seandainya kita mendapatkan wang dari orang kaya kemudian kita tidak mengatakan bahwa wang itu ialah dari Allah. Justeru itu orang kaya kalau hendak berperanan serta dalam kebangkitan Islam, atau ingin selamat dari api neraka, pilihlah untuk membela Islam.

Seperti juga halnya orang bijak dan orang pandai menggunakan kepandaian untuk kebangkitan Islam dan juga orang miskin menggunakan tenaga untuk kebangkitan Islam.

Setiap orang diberikan peluang dan peranannya masing-masing oleh Allah SWT sesuai dengan kemampuannya. Bukan dilihat dari sudut pandang sebagai pemodal atau apa, tetapi kita harus melihat bahwa ini semua untuk menyelamatkan diri dari api neraka.

Pemodalnya tetap Allah, sebab itu Islam bukan terbangun atas nama orang kaya,  orang pandai atau orang bijak, tapi Islam terbangun atas nama Allah, Islam terbangun atas nama Rasulullah SAW sebagai utusan Allah dan pengurus bank Tuhan, anak kunci emas yang diciptakan Allah untuk pengeluaran wang dari Allah untuk modal kebangkitan Islam.

KEMBARA MENUJU ALLAH CINTA AGUNG


JASAD batin atau roh yang selalu kita ertikan sebagai hati, mempunyai kemampuan memandang dan mengenal sesuatu, merasakan kesenangan dan kesusahan, mengetahui yang lahir mahupun yang batin khususnya mengetahui keberadaan Allah SWT.

Itulah kelebihan manusia daripada makhluk lain yaitu mempunyai hati yang dapat mengenal Allah dengan sebenar-benarnya sehingga menjadi hamba Allah yang benar-benar takut pada Allah. Sebagaimana maksud firman Allah:

"Apabila disebut nama Allah, gemetarlah hati-hati mereka.

(Al Anfaal: 2):

" Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (Wahai Muhammad): "Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia kepadaNya aku berserah diri, dan Dialah yang mempunyai 'Arasy yang besar."

Surah Taubah,ayat 129.

Hati yang terang-benderang seperti itu dimiliki oleh para ‘ariffin, muqarrobin dan solehin. Hati mereka dapat melihat dan betul-betul mengenal sifat-sifat keagungan Allah. Kerana itu mereka benar-benar dapat menghambakan diri kepada Allah SWT. Sebaliknya ada juga manusia yang hatinya gelap (buta) tidak dapat melihat dan mengenal Allah. Hal itu juga difirmankan oleh Allah SWT:

" Adakah orang yang mengetahui bahwasanya apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu benar sama seperti orang yang buta (mengetahui)? Hanyalah orang-orang yang berakal saja yang dapat mengambil pelajaran.
(Ar Ra’d: 19)

Firman Allah lagi:

"Mereka itulah orang-orang yang hatinya, pendengarannya dan penglihatannya telah dikunci oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang lalai.
(An Nahl: 108)

Dari Umar Al Khattab, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Cop penutup hati tergantung di kaki arasy. Bila seseorang melanggar larangan Allah (menghalalkan yang diharamkan oleh Allah) maka Allah akan menutup hati mereka dengan cop penutup hati tersebut."

Bila hati sudah buta, atau sudah dikunci mati oleh Allah SWT, maka hati tidak dapat lagi mengenal Allah. Begitulah hati orang-orang kafir dan munafik yang menyebabkan mereka menolak kebenaran.

Namun bukan hanya hati orang kafir dan munafik saja yang sudah buta, kita sebagai umat Islam pun masih banyak yang hatinya buta. Buktinya adalah kita masih sering membuat dosa (kecil atau besar). Orang yang masih membuat dosa adalah orang yang tidak takut pada Allah. Orang yang tidak takut pada Allah adalah orang yang tidak kenal siapa Allah. Jika tidak kenal Allah menandakan bahwa hati telah buta.

Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: Sesungguhnya seorang mukmin apabila ia melakukan dosa maka terjadilah satu bintik hitam di hatinya. Jika dia bertaubat dan berusaha membuangnya (bintik hitam tersebut) maka akan selamatlah hatinya. Kalau dosanya bertambah maka hatinya akan semakin terkunci.

Sabda baginda lagi yang maksudnya:

Orang yang membuat satu dosa hilanglah sebagian akalnya untuk tidak kembali lagi selama-lamanya.

Kalau mata kita buta, maka kita tidak dapat melihat, tidak dapat mengenal bahkan tidak dapat berjalan lagi. Begitulah kalau hati kita buta, kita tidak dapat mengenal Allah dan tidak dapat menempuh jalan syariat lagi. Kita tidak takut, tidak redha, tidak tawakal, tidak yakin, tidak berharap kepada Allah, tidak cinta, tidak yakin dengan janji-Nya yaitu Syurga, Neraka, Hari Hisab, siksa kubur, dan lain-lain lagi. Bila perasaan tersebut sudah tidak ada di hati kita maka datanglah penyakit hati.

Maksud Firman Allah:

" Dalam hati mereka ada penyakit lalu ditambah Allah penyakitnya dan bagi mereka siksa yang pedih disebabkan mereka berdusta."
(Al Baqarah: 10)

Mereka akan tersiksa di dunia dan di Akhirat. Di dunia mereka akan merasa kecewa, putus asa, berkeluh kesah, dan tidak tenang. Di akhirat tentulah lebih tersiksa lagi.

Penyakit hati yang Allah maksudkan itu diantaranya ialah iri dengki, dendam, buruk sangka, tamak, cinta dunia, bakhil, pemarah, penakut, riya', ujub dan sombong.

Itulah bukti-bukti yang menunjukkan bahwa tindakan lahir, pendengaran dan penglihatan yang haram akan membuat hati kita buta kepada kebenaran.

Allah berfirman:

 Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari setitis mani yang bercantum (benih) yang akan Kami mengujinya (dengan perintah dan larangan) kerana itu Kami menjadikan dia mendengar dan melihat.

(Al Insaan: 2)

Tujuan Allah memberi kita mata dan telinga adalah untuk mencari dan mengenal pencipta kita iaitu Allah SWT. Selain itu supaya kita sedar untuk berbakti dan menurut perintah-Nya.

Kita mesti merasa bahawa diri kita adalah sebagai hamba dalam melaksanakan perintah suruhan dan larangan dari Allah. Yang penting adalah rasa kehambaan. Ibadah yang sebenarnya adalah yang berasal dari rasa kehambaan. Kalau waktu beribadah itu kita tidak merasa hina dan tidak merasa hamba, tetapi merasa besar diri, sombong, marah, dengki, maka amalan lahir itu bukan lagi dinilai ibadah. Sama halnya dengan seorang kuli yang menghadap tuannya dengan rasa besar diri, dengan bercekak pinggang. Bukankah lebih baik bila ia tidak mengadap, sebab tentu akan menimbulkan kemarahan tuannya.

Hidup bukan untuk dunia tetapi hidup untuk Allah dan untuk mencari bekal kembali ke Akhirat. Untuk tujuan itulah kita dikurniakan Allah pendengaran dan penglihatan. Gunakanlah keduanya sebaik mungkin sebagai alat untuk sampai kepada tujuan yang diredhai-Nya. Mari kita ubati hati kita dengan menjaga pandangan dan pendengaran hanya kepada yang dapat mengingatkan kita kepada Allah, merasa takut pada-Nya dan untuk berbakti pada-Nya.

TIGA KEKUATAN UTAMA BAGI KEBANGKITAN ISLAM KALI KEDUA

Firman Allah: 


ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. An-Nahl : 125

Para sahabat dahulu berdakwah pergi ke Cina hanya 2-3 orang saja, tetapi dalam waktu yang singkat, belum lagi para sahabat faham berbahasa Cina, sudah berbondong-bondong rakyat Cina masuk Islam. Apa rahasianya? 


Para sahabat memiliki 3 kekuatan utama iaitu:

1. Rasa bertuhan dan rasa kehambaan yang tajam.
2. Sikap dan akhlak mulia.
3. Ilmu dan hikmah.

Para pendakwah sekarang lain, sudah 30 tahun berdakwah, seorang pun susah nak Islam. Kalau umat Islam tidak solat, setelah didakwah tetap tidak solat juga, sebab para pendakwah tidak berdakwah dengan hikmah, mauizatil hasanah dan ahsan. Kadang-kadang berdakwah hasilnya lebih banyak kerosakan dari pada kebaikan, lahir golongan militan, jumud, liberal, dan lain-lain lagi sebab tidak ada hikmah, mauizatil hasanah dan ahsan. Akhirnya seluruh dunia Islam terancam.

Sebab itu dikatakan, siapa yang sungguh-sungguh mengetahui ilmu Qur’an, maka dia akan tahu ilmu dunia dan ilmu akhirat. Ilmu akhirat berkaitan dengan syariat, tasawuf, tauhid dan ilmu dunia seperti ilmu politik, kemasyarakatan, psikologi, kebudayaan, sejarah, pendidikan dan lain-lain.

Yang jadi masalah, para pendakwah kita kebanyakan tidak memiliki ilmu-ilmu itu, padahal sekarang kita banyak berhadapan dengan golongan cerdik pandai dan intelek. Anehnya orang yang mengaji Qur’an hanya tahu ilmu syariat, tauhid atau tasawuf saja, sedangkan ilmu sejarah, ilmu ekonomi, ilmu kebudayaan, ilmu politik, ilmu sosial ada dalam Qur’an. Dia tidak tahu kerana kebanyakan guru-guru yang mengajar pun tidak faham ilmu-ilmu tersebut.

Ayat di atas menjelaskan bahwa perlunya para guru, pendidik dan pendakwah tidak hanya memberi atau menyampaikan ilmu saja tetapi diharapkan hingga menjadikan murid berusaha sungguh-sungguh untuk membuat perubahan nyata dalam diri mereka. Bukan mudah untuk menjadikan didikan yang berkesan. Kalau sekadar berdakwah secara umum semua orang dapat mengerjakannya.

Ayat di atas memberikan panduan bagi kita supaya dakwah atau didikan berkesan, maka paling tidak ada 3 asas yang perlu dimiliki oleh guru, pendidik dan pendakwah. Tiga asas ini yang sangat penting yaitu : hikmah, nasihat yang baik dan berbincang dengan cara yang baik.


1. ILMU DAN HIKMAH


Mengapa dalam ayat tersebut Allah tidak berfirman sebagai berikut :

"hendaklah kamu menyeru kepada jalan Tuhanmu dengan ilmu?"

Sebab mendidik hanya dengan ilmu saja tidak akan memberi kesan dan perubahan pada sasaran dakwah atau murid.

Kita dapat lihat realitinya dalam masyarakat. Begitu meriahnya majlis taklim, pengajian di pejabat dan tempat kerja, sekolah-sekolah Islam, pesantren-pesantren, oranganisasi-oranganisasi Islam, tetapi perubahan yang nyata dalam masyarakat belum nampak lagi. Ramai orang-orang pejabat, tokoh perniagaan dan anggota masyarakat yang rajin datang ke pengajian, mengerjakan sembahyang, haji dan umrah setiap tahun, tetapi masih membuat kejahatan lahir batin seperti rasuah, berbohong, menipu, tidak disiplin, sombong, pemarah, hasad dengki, bakhil, ego dan lain-lain.

Dalam ayat di atas Allah menyebut bahwa pendidikan yang dapat memberi kesan tidak cukup hanya dengan ilmu saja, tetapi memerlukan hikmah.

Apakah yang disebut hikmah itu ?

Rasulullah SAW bersabda :

“Barang siapa yang diberi ilmu hikmah dia diberi sesuatu yang banyak”

Ramai orang yang menterjemahkan hikmah itu dengan bijaksana, tetapi sebenarnya bukan itu maksudnya, sebab dalam bahasa arab bijaksana ertinya lain. Sebab yang disebut bijaksana itu adalah Fatonah, iaitu bijaksana pada para Rasul Allah atau abqoriah yang bermakna genius.

Tetapi yang dimaksud dengan hikmah di sini ialah ilmu di dalam ilmu. Ilmu yang tidak terdapat di dalam kitab. Ertinya orang yang diberi hikmah itu diberi faham oleh Allah sehingga dia faham jalan fikiran, hati, roh, atau batin manusia. Dia faham hal-hal rohani, nafsu, roh, dan akal manusia. Ertinya, orang yang mendapat ilmu hikmah ini, dia diberi ilmu dan kefahaman oleh Allah secara langsung melalui ilham.

Dalam ayat lain Allah berfirman :

“Bertaqwalah kamu kepada Allah, niscaya Allah akan mengajar kamu ilmu”


Inilah ilmu hikmah atau kefahaman yang Allah beri secara langsung ke dalam hati kita. Iaitu setelah ada ilmu yang asas, dia diberi ilmu dan kefahaman lain oleh Allah. Ilmu asas mesti ada. Jadi kalau ingin berdakwah atau mendidik manusia secara berkesan, para pendakwah dan guru mesti ada ilmu hikmah. Ilmu hikmah hanya Allah beri kepada orang yang bertaqwa.

Jika tidak berhikmah, maka dia tidak akan dapat faham jalan fikiran, hati, roh, akal, perasaan atau batin manusia, sehingga sasaran dakwah dan murid-murid susah untuk berubah menuju kepada kebaikan.

Apakah itu taqwa?

Taqwa bukan sekadar telah mengucapkan 2 kalimah syahadah, sembahyang, zakat, puasa dan haji saja. Taqwa adalah himpunan sifat-sifat mahmudah (terpuji) yang ada dalam diri manusia, baik terhadap Allah maupun terhadap sesama makhluk yang dibuat semata-mata untuk mencari redha dan kasih sayang Allah.

Di antara sifat terpuji terhadap Allah adalah rasa bertuhan yang tajam, rasa cinta, takut, rindu, tawakkal, mengharap dengan Allah, rasa diawasi, diperhati oleh Allah, melaksanakan semua yang diperintah dan dianjurkan oleh Allah dan meninggalkan semua yang dilarang dan dibenci oleh Allah, semata-mata untuk mencari redha dan kasih sayang Allah. Di antara sifat mahmudah terhadap sesama makhluk dan manusia ialah pemurah, kasih sayang, bertoleransi, tolong menolong, pemaaf, sabar dan lain-lain yang semuanya dibuat semata-mata untuk mencari redha dan kasih sayang Allah.


Diantara ciri-ciri guru, pendidik dan pendakwah yang bertaqwa adalah seperti berikut.

Hati mereka senantiasa bersama Allah, sehingga mereka takut, cinta, rindu, sensitif dan sangat membesarkan Allah.
Ibadah fardhu dan sunatnya kemas dan banyak.

Akhlak mereka baik, boleh menawan hati orang lain seperti pemurah, tawadhuk, pemaaf, penyayang, bertolak-ansur, menghormati tetamu dan lain-lain lagi.
Ukhuwah dan kasih sayang antara mereka begitu erat dan kukuh.
Hukum Allah sangat mereka jaga, lebih dari rakyat jelata atau murid sehingga peribadi mereka menjadi contoh. Mereka sangat menjauhi larangan Allah yang haram dan makruh.

Berdakwah dan mengajar dengan kasih sayang sekalipun terhadap orang kafir.
Mereka hidup zuhud, kalau susah tidak meminta-minta jika senang pemurah pula, tidak mengambil kepentingan peribadi dari dakwah dan pekerjaan mereka. Mereka tidak menjadikan dakwah dan mengajara itu sebagai sumber penghasilan. Bahkan harta mereka sendiri dikorbankan untuk kepentingan umat dan murid. Mereka hidup berdikari.

Mereka sangat memberi layanan kepada manusia dan pengikutnya dan menyelesaikan masalah manusia.
Jemaah atau sekolah mereka gagah dan menjadi model atau bayangan kepada masyarakatnya.


2. MAUIZATUL HASANAH


Mauizatul hasanah ialah nasihat yang baik. Ertinya dalam berdakwah dan menyeru manusia kepada Allah atau dalam mendidik anak-anak murid, guru atau pendidik dan pendakwah hendaklah memberi nasihat yang baik dengan memberi khabar gembira atau tabsyir. Misalnya dengan menceritakan indahnya hidup bersama Allah, indahnya ganjaran yang akan Allah beri di akhirat, pertolongan yang Allah beri kepada orang-orang yang bersunggug-sungguh menuju Allah dan sebagainya. Ajak pendengar atau murid-murid berfikir tentang kebesaran ALLAH, kuasa ALLAH, kehebatan ALLAH, kebaikan ALLAH, rahmat ALLAH serta nikmat-Nya. Ini akan mendidik jiwa tauhid agar tumbuh rasa kehambaan yang tinggi terhadap ALLAH SWT.

Termasuk memberi nasihat yang baik itu ialah dengan menceritakan tanzir atau cerita-cerita yang menakutkan, misalnya menceritakan tentang Neraka dan azab ALLAH, serta ancaman-ancaman dan kemurkaan ALLAH bagi orang yang durhaka kepada Allah. Selain itu, termasuk memberi nasihat yang baik ialah menceritakan sejarah hidup para nabi, rasul dan orang-orang soleh. Cerita-cerita itu bermaksud untuk mendorong manusia agar melakukan amal soleh dan berakhlak mulia serta menjadi panduan kepada manusia, bagaimana mereka harus menjalani hidup sebenarnya.

Supaya manusia menghindari sifat-sifat jahat dan agar selamat dari pada api Neraka, maka para pendakwah dan guru menceritakan perihal orang-orang jahat atau musuh ALLAH seperti Firaun, Namrud, Qarun, Haman dan lain-lain. Semuanya ini untuk dapat dijadikan iktibar dan pengajaran oleh para pendengar dan anak-anak murid.


3. BIL AHSAN


Dalam masyarakat ada berbagai golongan orang, ada golongan awam, ada golongan cerdik pandai, intelek, pemimpin, dan ulama. Terhadap golongan yang bukan awam ini para pendakwah mesti menggunakan kaedah “bil ahsan”.

Ertinya dengan cerdik pandai, intelek, pemimpin, ulama dan lain-lain, hendaklah para guru dan pendidik masyarakat berbincang dengan sebaik-baiknya, iaitu  bahasa mesti baik, bertutur kata mesti tersusun, kata-katanya keluar dari hati yang dihayati, dijiwai dan sudah ada kesungguhan untuk mengamalkan apa yang dikatakan.

Para pendidik juga mesti ada ilmu yang luas walau secara umum dan serba sedikit yang mencakup ilmu pendidikan, politik, ekonomi, sosiologi, sejarah, kebudayaan dan sebagainya. Tanpa alat-alat yang cukup ini, dakwah dan pendidikan kita tidak akan berkesan dan tidak mendorong masyarakat atau anak-anak didik untuk baiki diri. Tidak mendorong orang bukan Islam untuk masuk ke dalam Islam, kerana mereka tidak melihat dan merasakan keindahan dan kecantikan Islam yang dibawa oleh para pendakwah dan pendidik masyarakat. Itu alat-alat yang bersifat maknawiyah.

Selain itu yang dimaksud dengan bil ahsan adalah dengan menggunakan alat-alat yang berbentuk material, teknologi canggih dan fizik seperti persembahan nasyid, sajak, drama dan macam-macam alat moden lainnya. Bila alat-alat ini kurang atau tidak ada sama sekali, maka hasilnya orang akan jemu sehingga dakwah tidak sampai, atau berdakwah dengan mengumpat, memaki atau menjatuhkan orang, sebab bahan-bahan dan alat-alat dakwah tidak cukup.

Jika ketiga-tiga ini sudah dikuasai, nescaya Allah akan membantu umat Islam didalam pekerjaannya. Malah inilah kekuatan umat Islam untuk mengembalikan kegemilangan Islam di akhir zaman