▼
Friday, September 3, 2010
‘Penyeberangan’ Dan Permastautinan Manusia Di Alam Ghaib?
1. Apa yang ingin saya bincangkan di sini adalah mengenai perkara ghaib yang mana kita tidak diberikan ilmu pengetahuan mengenainya oleh Allah SWT melainkan sedikit sahaja. Dalam akidah Islam secara umum, Allah SWT meminta kita agar beriman dengan perkara-perkara ghaib yang disampaikan melalui kitab-Nya dan juga rasul-Nya. Namun, persoalan yang ingin diketengahkan ini barangkali adalah satu persoalan yang jarang dikupas dan diketengahkan. Ianya mengenai satu persoalan dalam hubungan antara alam manusia dan alam ghaib, iaitu tentang ‘penyeberangan’ dan kewujudan manusia di alam ghaib, dalam ertikata kehidupan sebagaimana manusia biasa yang hidup di alam zahir ini. Perbincangannya sama sekali tidak termasuk kehidupan manusia yang telah mati di alam roh. Pada pendapat saya tidak salah ianya dibincangkan, kerana menurut hemat saya ia dapat memahamkan kita dengan banyak masalah dan persoalan yang berlaku di sekitar hidup manusia yang berkait hubungan antara dua dimensi, alam zahir dan alam ghaib, khususnya berhubung soal kerohanian. Bagaimanapun, persoalan ini tentu menjadi pertikaian di kalangan ahli ilmu. Barangkali ada yang menolaknya, di samping ada juga yang menerimanya. Banyak hujah yang mungkin dapat menyokong orang yang menolak kemungkinan tersebut. Namun tidak kurang juga hujah-hujah orang yang tidak menolak kewujudan dan kebarangkaliannya. Malah cerita-cerita yang dikisahkan juga amat banyak.
2. Tiada siapa yang menafikan mengenai ‘penyeberangan’ makhluk dari alam ghaib ke alam zahir kerana bukti-bukti mengenainya sangat banyak, seperti yang dinyatakan dalam al-Quran tentang khidmat jin terhadap Nabi Sulaiman AS, tugasan Jibril AS menyampaikan wahyu kepada para nabi dan rasul, rombongan jin datang bertemu Nabi SAW untuk mendengar al-Quran, hadith mengenai Nabi SAW menangkap syaitan/jin ifrit yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, begitu juga kisah Abu Hurairah RA menangkap syaitan dan mengajarnya ayat al-Kursi sebagai pelindung, dan sebagainya. Namun persoalannya, bolehkah berlaku ‘penyeberangan’ manusia dari alam zahir ke alam ghaib? Sebagai jawapannya, mungkin kita boleh perhatikan fakta-fakta yang akan saya kemukakan satu persatu sepertimana berikut. Pertamanya, boleh kita katakan perpindahan pertama manusia ‘menyeberang’ dari alam ghaib ke alam zahir ialah perpindahan Nabi Adam AS dan Hawwa yang diturunkan oleh Allah SWT daripada syurga ke atas muka bumi ini. Zahir nas menunjukkan bahawa mereka ‘menyeberang’ dalam keadaan sedar dan jaga.
3. Seterusnya, kenyataan tentang Nabi ‘Isa AS diangkat ke langit oleh Allah SWT dalam usia 33 tahun, dan baginda akan turun semula ke bumi di akhir zaman kelak bagi memimpin umat Muhammad SAW menegakkan keadilan dan menghapuskan kebatilan. Baginda belum lagi diwafatkan oleh Allah SWT sehinggalah tiba masanya kelak, iaitu setelah turun semula ke bumi dan membunuh Dajjal. Riwayat mengenai perkara ini adalah mutawatir, meskipun ada golongan yang kurang berilmu di kalangan orang Islam yang mengatakan bahawa Nabi ‘Isa AS telah pun wafat, sepertimana kepercayaan orang Kristian. Pendapat mereka ini adalah tertolak sama sekali, sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Imam al-Kasymiri dalam al-Tasrih, Syeikh al-Kawthari dalam Nazrah ‘Abirah, al-‘Arabi al-Tabbani dalam I’tiqad Ahl al-Iman dan lain-lain. Ini menunjukkan bahawa Nabi ‘Isa AS dapat ‘menyeberang’ dari alam zahir ke alam ghaib dan sebaliknya dalam keadaan sedar dan jaga.
4. Bagi mereka yang mengatakan Nabi Khidir AS masih hidup meyakini bahawa baginda adalah manusia yang diberikan keistimewaan oleh Allah SWT dan dapat hidup di dimensi yang lain. Majoriti ulama yang mencebur bidang kerohanian menyatakan tentang kewujudan Nabi Khidir AS dan ramai yang telah bertemu dengannya. [Lihat contohnya, kitab Tabaqat al-Khidhriyyin oleh Syeikh Muhyiddin al-Tu’mi]
5. Antaranya, Nabi Muhammad SAW telah diberikan keizinan oleh Allah SWT untuk ‘menyeberang’ secara langsung dari alam zahir ke alam ghaib dengan jasad manusiawinya dalam peristiwa Israk dan Mikraj yang masyhur hingga dapat sampai ke Sidratul Muntaha. Malah baginda diperintahkan agar mengkhabarkannya kepada orang ramai, dan tidak menyembunyikan peristiwa yang sangat ajaib itu.
6. Nabi SAW juga pernah ‘menyeberang’ masuk ke alam jin dan membacakan al-Quran kepada mereka, seperti yang diceritakan oleh Ibn Mas’ud RA: Kami bersama Rasulullah SAW pada suatu malam, lalu tiba-tiba kami kehilangan baginda, dan kami pun pergi mencarinya di merata tempat di wadi dan lerengan bukit, hinggakan kami berkata: Baginda telah diculik jin atau pun dibunuh… (hadith riwayat Muslim no. 682 dan Abu Dawud).
7. Nabi SAW pernah menceritakan mengenai seorang lelaki yang bernama Khurafat.
عن عائشة قالت: حدث رسول الله صلى الله عليه وسلم نساءه ذات ليلة حديثا. فقالت امرأة منهن: يا رسول الله كان الحديث حديث خرافة. فقال : أتدرون ما خرافة إن خرافة كان رجلا من عذرة أسرته الجن في الجاهلية فمكث فيهن دهرا طويلا ثم ردوه إلى الإنس فكان يحدث الناس بما رأى فيهم من الأعاجيب فقال الناس حديث خرافة.
(رواه أحمد في مسنده برقم 24085، والترمذي في شمائله برقم 252 وأبو يعلى في مسنده برقم 4442، وقال شعيب الأرنؤوط : إسناده ضعيف لضعف مجالد بن سعيد وللاختلاف عليه في وصله وإرساله، ولكن أخرجه الطبراني في الأوسط برقم 6068 – من وجه آخر عن أنس بن مالك عن عائشة، وفيه: فقال رسول الله صلى الله عليه و سلم: إن أصدق الحديث حديث خرافة رجل من بني عذرة سبته الجن وكان يكون معهم فإذا استرقوا السمع أخبروه فيخبر به الناس فيجدونه كما قال).
Kisahnya, beliau telah diculik oleh jin dan masuk ke dimensi mereka. Lalu beliaupun melihat berbagai keajaiban yang tidak pernah dilihatnya di dunia nyata. Apabila beliau pulang semula ke alam zahir, beliau pun menceritakan kepada orang apa yang dilihatnya semasa di alam jin. Maka orang pun berkata: Cerita-cerita Khurafat. Apabila Nabi SAW tidak menafikan kebenaran kisah tersebut, jika sah hadith ini, maka jelaslah bahawa ‘penyeberangan’ manusia masuk ke alam ghaib adalah satu perkara yang mungkin dan boleh berlaku.
8. Kisah Tamim al-Dari RA dalam hadith al-Jassasah merupakan satu lagi bukti berlaku ‘penyeberangan’ ini, di mana beliau pernah menaik kapal bersama 30 orang dari kabilah Lakhm dan Juzam. Lalu mereka dipermainkan oleh ombak hingga berada di tengah lautan selama satu bulan. Sampai mereka terdampar di sebuah pulau di tengah lautan tersebut saat tenggelamnya matahari. Mereka pun menaiki perahu-perahu kecil dan memasuki pulau tersebut hingga menjumpai seekor binatang yang berambut sangat lebat dan banyak bulu. Mereka tidak tahu mana depan dan mana belakangnya, karena demikian lebat bulunya. Mereka pun berkata: ‘Apakah kamu ini?’ Ia menjawab: ‘Aku adalah al-Jassasah.’ Mereka mengatakan: ‘Apa al-Jassasah itu?’ Ia mengatakan: ‘Wahai kaum, pergilah kalian kepada laki-laki yang ada di biara itu. Sesungguhnya ia sangat merindukan berita kalian…’. Dipendekkan cerita, Nabi SAW bersabda: ‘Sesungguhnya cerita Tamim menakjubkanku, di mana sesuai dengan apa yang kuceritakan kepada kalian tentangnya (Dajjal), serta tentang Makkah dan Madinah. Ketahuilah bahwa ia berada di lautan Syam atau lautan Yaman. Tidak, bahkan dari arah timur ianya. Dari arah timur ianya. Dari arah timur ianya. Dan baginda mengisyaratkan dengan tangannya ke arah timur.’ (Hadith riwayat Muslim, Abu Dawud, al-Tirmizi, al-Nasa’i dalam al-Kubra, Ibn Majah dan Ahmad). Pulau yang dinyatakan dalam hadith di atas tentunya berada di dimensi yang lain, kerana jika tidak pasti manusia sudah menemuinya dengan kecanggihan teknologi yang ada sekarang ini dan mewartakannya sebagai Pulau Dajjal misalnya.
9. Ada dibincangkan oleh para ulama mengenai kemungkinan berlaku perkahwinan antara manusia dan jin. Ada yang menafikan, dan ada yang mengharuskan kemungkinannya berdasarkan kes-kes yang berlaku. Syeikh Muhammad bin ‘Abdullah al-Syibli (m. 769H) dalam kitabnya (آكام المرجان فى احكام الجان) menyatakan pernikahan manusia lelaki dengan jin perempuan, dan sebaliknya adalah mungkin. Namun, ada diriwayatkan bahawa Nabi SAW melarang dari menikahi jin, dan di kalangan tabi’in pula ada yang mengatakan hukumnya adalah makruh, manakala para ulama fiqh mengatakan bahawa hukumnya tidak harus. Bagaimanapun, bentuk kemungkinan sedemikian merupakan bukti terhadap ‘penyeberangan’, meskipun di luar adat kebiasaan dan kenormalan alam tabii.
10. Banyak peristiwa yang berlaku berhubung ‘penyeberangan’ manusia dari alam zahir ke alam ghaib dan sebaliknya. Namun, jika berlaku ‘penyeberangan’, bolehkah manusia hidup terus di alam tersebut, dalam ertikata membesar, berkahwin, beranak pinak dan mati di sana. Seringkali kita dengar seperti peristiwa manusia yang tersesat di dimensi yang berbeza, jin menculik manusia baik dewasa mahupun kanak-kanak, menyorokkan mereka, mengambil bayi dan sebagainya. Ada yang dapat kembali semula dan ada yang tidak. Malah peristiwa sebegini kemungkinan sudah berlaku sejak sekian abad lamanya. Maka berkemungkinan besar mereka yang tidak kembali itu terus hidup di alam tersebut. Berkemungkinan juga mereka dapat bertemu dengan manusia-manusia lain yang senasib dan dapat membina kehidupan ‘masyarakat’ manusia di alam sana. Barangkali juga, sesekali berlaku perhubungan secara rohani dengan dunia nyata, sehingga mereka ini dikenali dengan panggilan ‘Rijalul Ghaib’ (orang ghaib).
11. Kewujudan ‘Rijalul Ghaib’ turut menjadi perselisihan di kalangan ahli ilmu. Sebahagian ulama menolak kewujudan mereka kerana tiada dalil yang kukuh mengenainya. Bagaimanapun, di sana wujud golongan wali Abdal, Nujaba’ dan Awtad yang termasuk dalam kategori ‘Rijalul Ghaib’, sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Imam al-Suyuti dalam risalahnya (الخبر الدال على وجود القطب والأوتاد والنجباء والأبدال). Ini bersandarkan kepada banyak riwayat hadith dengan berbagai darjat antara sahih, hasan, daif, dan juga mawdhu’ (palsu), meskipun ada yang cuba menghukumkan kesemua riwayat ini sebagai batil. Antaranya diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada ‘Ubadah bin al-Samit daripada Nabi s.a.w. bahawasanya baginda s.a.w. bersabda: “Al-Abdal bagi umat ini seramai 30 orang, yang seumpama Nabi Ibrahim Khalil al-Rahman azza wa jalla, setiap kali meninggal seorang lelaki daripada mereka, Allah akan menggantikan tempatnya dengan lelaki yang lain.” (Musnad Ahmad: 5/322) [Lihat kitab (الاحتفال بثبوت حديث الأبدال) oleh ‘Allamah Muhaddith Syeikh Mahmud Sa’id Mamduh]
12. Antara yang mendorong saya menulis tentang persoalan ini ialah kekerapan seorang sahabat karib saya, seorang yang rajin beramal yang barangkali sudah bertemu dengan mereka, mengatakan bahawa mereka adalah manusia seperti kita, bukan jin, bunian, malaikat atau seumpamanya yang dijadikan dari selain unsur tanah. Beliau dengan pasti menjelaskan bahawa mereka adalah manusia, cuma mereka hidup di dimensi yang berbeza dan bukan di alam nyata sebagaimana manusia biasa yang lain.
13. Ada cerita yang baru diceritakan kepada saya oleh seorang kawan, pengamal perubatan Islam, mengenai sepasang suami isteri, di mana bayi mereka telah diambil oleh jin, namun ibunya telah memberikan syarat bahawa bayi tersebut mesti dipulangkan setiap hari untuk disusukan olehnya. Maka syarat tersebut ditepati di mana bayi tersebut dipulangkan sementara untuk disusukan dan kemudian diambil kembali sebelum terbit fajar. Apa yang menghairankan hanya si-ibu sahaja yang dapat melihat bayinya itu. Lalu ia terus dibela oleh mereka dan kini kanak-kanak tersebut sudah berusia 10 tahun dan enggan balik kepada ibunya di alam zahir.
14. Manusia adalah makhluk Allah SWT yang dijadikan oleh-Nya dengan sebaik-baik kejadian (fi Ahsani Taqwim). Maka tidak mustahillah jika pada diri manusia itu tersimpan berbagai rahsia yang tidak diketahui oleh manusia itu sendiri. Kemampuan roh manusia juga adakalanya dapat melebihi dari jangkauan akal dan ukuran logik. Ditambah lagi dengan keyakinan kita terhadap kekuasaan Allah SWT bahawa tiada suatu apa pun yang mustahil bagi-Nya. Malah amat banyak rahsia-rahsia alam yang belum kita ketahui kecuali sedikit sahaja, dan adakalanya menghairankan ahli-ahli sains untuk menghuraikannya. Maka berdasarkan penjelasan-penjelasan di atas, saya berpendapat ‘penyeberangan’ manusia ke alam ghaib dan kewujudan mereka di sana adalah mungkin. Jika sudah jelas fakta-fakta mengenai berlakunya ‘penyeberangan’ manusia ini, maka tidak mustahil pula berlakunya permastautinan mereka di sana. Wallahu a’lam…
Dicatat oleh al-'Abd al-Da'if
No comments:
Post a Comment