Thursday, February 23, 2012

Kelab Taat Suami – susahnya menjadi isteri taat…!!

Wanita/isteri solehah pada zaman ini mungkin sudah tiada, kalau ada pun mungkin tak sampai 10% sahaja. Mana taknya, mampukah kita menjadi sesolehah wanita dalam kisah terkenal ini.

Pernah disebut dalam riwayat, pada zaman Rasulullah, ada seorang wanita yang bakal masuk syurga lebih dahulu daripada Siti Fatimah. Wanita itu begitu taat serta sangat memuliakan suaminya.
Dia menunggu kepulangan suaminya dengan pakaian yang bersih serta mengghairahkan; disediakan tuala, air sejuk dan sebatang rotan.
Segala perbuatannya itu menjadi tanda tanya kepada Siti Fatimah yang mengunjunginya. Lalu beliau bertanya untuk mengetahui di sebalik perlakuan wanita itu
Wanita itu pun berkata: “Aku bersiap-siap dan menyinsing kainku ialah supaya mudah jika suamiku ingin menyampaikan hajatnya. Adapun tuala ini ialah untuk mengesat peluhnya, air ini ialah untuk menghilangkan dahaganya dan rotan ini ialah untuk dia menghukum aku jika aku membuat sebarang kesalahan.”

Wanita itu bernama Siti Muthiah, dia dikatakan hadis sebagai yang mula-mula masuk ke pintu syurga adalah sebab dia memegang tali pedati kereta kuda Fatimah anak Rasulullah, jadi dia berada di hadapan. Tentulah Siti Fatimah lebih mulia, sedangkan semasa perkahwinannya dengan Saiyidina Ali RA, syurga telah dihias dengan begitu indah sekali.

Ramai wanita merengus, bagaimana saya nak taat suami sedangkan suami pun banyak sangat kelemahan. Luahan hati wanita ini biasa sangat kita baca di akhbar-akhbar. Malah baru-baru ini di Kosmo keluar berita ini. Suami didakwa punca utama cerai

Suami didakwa punca utama cerai

Oleh BASIR ABU BAKAR
basir.abubakar@kosmo.com.my
KUALA LUMPUR – Kegagalan lelaki menjalankan tanggungjawab sebagai suami dan ketua keluarga dikatakan menjadi punca utama peningkatan kes jumlah pasangan Islam yang bercerai berbanding pasangan bukan Islam di negara ini.
Pakar Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali berkata, penemuan itu adalah hasil kajian yang dilakukan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Apabila suami gagal melaksanakan tanggungjawab dalam rumah tangga, kewujudannya tidak lagi dianggap penting, malah ada isteri yang menganggap ketiadaan suami bukan lagi satu beban tetapi rahmat,’’ katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Heng Seai Kie kelmarin mengenai kes pasangan Islam yang bercerai meningkat daripada 22,289 kes sepanjang tahun 2008 kepada 27,116 kes pada tahun lalu.
Pada masa yang sama, jumlah kes perceraian pasangan bukan Islam menurun kepada hanya 3,633 kes pada 2008 berbanding 2,938 kes tahun 2009.
Menurut Suzana, kekurangan ilmu rumah tangga dan perkahwinan selain kecenderungan niat tidak tepat untuk berkahwin turut menyumbang kepada perceraian.

Masalahnya benarkah punca penceraian adalah akibat dari suami semata-mata? Tidak bertanggungjawab, curang? Banyak suami mengeluh bukan kerana isteri tidak cantik, tetapi kerana isteri yang sombong dan terlalu banyak menyakitkan hati suami. Sedangkan dalam hadis ada disebut tentang betapa ramainya wanita yang diseksa dalam neraka kerana sering menyakiti suami dengan lidahnya. Ini Allah dan Rasulullah yang memberitahu, bermakna ia satu fakta.

Sudahkah para isteri Islam taat perintah Allah dengan setaat-taatnya. Setiap isteri mestilah cuba memahami suami yang Allah telah jodohkan kepadanya. Bagaimana watak dan kehendaknya. Disebabkan taraf seorang suami, dia sukar untuk menerima isteri yang tidak mendengar cakapnya, tidak menghormatinya. Perasaan ( taraf ) seorang suami kepada isteri boleh ditamsilkan kepada perasaan guru dengan anak murid, atau ayah kepada anak. Suami sangat mengharapkan isteri memuliakannya, sangat menjaga kata-kata, tidak memperlekehkan, serta melayannnya seperti seorang majikan atau raja, disamping menjadi pasangan untuk meluahkan perasaannya serta menjadi regu dalam berfikir.

Dalam banyak hal suami gembira dan berpuas hati jika isteri mendengar sahaja dan taat akan perintah atau pendapatnya. Manakala ketidakbolehan suami menerima pendapat isteri ini pun berperingkat-peringkat. Ada yang biasa dan mudah orangnya serta bertimbangrasa jika isteri memberi pendapat, ada yang tegas, ada yang sangat dominan dan mudah marah. Watak ini bukan sahaja dalam hal ehwal rumahtangga seharian, malah dalam bilik tidur.

Allah yang menciptakan lelaki dan perempuan bersekali dengan pakej wataknya. Allah tahu, isteri secara nafsu sukar nak taat pada suami sebab suami pun manusia biasa dan wanita pula makhluk emosi. Apatah lagi jika suami banyak kelemahan, dari segi fizikal, akal mahupun nafsu. Tetapi Allah telah meletakkan peranan seorang isteri itu begitu penting dalam menentukan kebahagiaan sesebuah rumahtangga. Jika seorang suami yang baik pun ada isteri yang sukar untuk taat sebagaimana yang disebut dalam hadis, inikan pula jika suami banyak kelemahan pada mata dan nafsu sang isteri.

Contohnya, dalam worst-case-scenario, jika suami seorang yang sukar, isteri yang takutkan Allah akan mampu merendah diri, mengaku salah walau tak bersalah, dan memuliakan seorang suami yang wataknya sangat dominan dan ego, dan ini akan mampu melembutkan dan mengubah watak suami. Hasilnya, rumah tangga jadi aman damai. Jika isteri turut sama ego dan melawan, maka rumah tangga akan musnah. Suami yang panas baran mungkin seterusnya akan mendera isteri. Isteri yang betul-betul takutkan Allah sahaja akan mampu taatkan suami kerana Allah. Hasilnya adalah kebaikan, kepada suami, isteri dan seluruh keluarga. Itu contoh dalam worst case scenario.

Bila suami penyayang dan mudah orangnya, maka jangan pula si isteri menjadi acuh tak acuh dan kurang hormat pada suami. Khidmatnya sepatutnya telah dimudahkan dan melonjak ke bertaraf kelas pertama. Tetapi yang terjadi sebaliknya. Banyak wanita mengambil kesempatan akan suami yang baik hati. Lalu jika suami tersilap atau melakukan kesalahan yang tidak memuaskan hatinya, isteri akan menjadi melawan wataknya. Isteri yang keras hati, tidak taat suami akan menyebabkan suasana rumahtangga hambar. Selagi suami menyimpan rasa tersinggung atau kecewa dalam hatinya, selagi itulah si isteri tidak akan mendapat ketenangan hati. Mungkin solatnya turut terganggu sebab ada hijab antara dirinya dan Allah.

Saya teringat satu lagu yang sering dinyanyikan oleh ‘my significant other’ @ suami dalam sessi Karaoke di rumah. Lagu ini sedap kerana melodinya, dan dia menyanyikannya bukanlah ditujukan kepada saya – haha, diharaplah.. :)

Kalau kita selami lagu ini apalah agaknya yang tersirat.

D Massiv ( Band Indonesia)
Cinta Ini Membunuhku
Kau membuat, ku berantakan.
Kau membuat, ku tak karuan.
Kau membuat, ku tak berdaya.
Kau menolak ku, acuhkan diri ku.

Bagaimana, caranya untuk,
meruntuhkan, kerasnya hati mu.
Ku sadari, ku tak sempurna,
ku tak seperti, yang kau inginkan.

Kau hancurkan aku dengan sikap mu,
tak sadarkah kau telah menyakiti ku.
Lelah hati ini meyakinkan mu,
cinta ini, membunuh ku.

Fikirkan, seorang lelaki sanggup menyediakan wang hantaran yang ribuan, kadang-kadang meminjam dari bank, untuk memiliki seorang wanita yang halal. Setelah berkahwin, bila si isteri melihat kelemahan-kelemahan suaminya seorang manusia biasa, kerana ego dia menjadi susah untuk taat dan hormat kepada suami. Padahal dia tak sedar dirinya pun punya 1001 kelemahan. Bila usia perkahwinan dah agak lama, percakapannya menjadi menyakitkan. Mungkin khidmat dah kurang, agaknya suami dibiarkan goreng telur sendiri sebagai hidangan makan malam, sebab si isteri sibuk main Facebook dalam handphone sambil memberi anak susu. Atau suami makan tidak ditemankan kerana sibuk membasuh pinggan. Bila malam makin larut, isteri semakin tidak puas hati sebab suami banyak menghabiskan masa sendiri menonton bola, atau asyik di depan komputer, suami pula rimas dengan wajah tidak ceria isteri yang asyik masam mencuka. Lalu apa lagi, isteri pun buat hal sendiri, atau kalau isteri tak ambil pusing dia tidur sahajalah.. apa dia peduli? Perasaan kecewa ini jadi dua hala – sama-sama tidak puas hati.

Penyelesaian kepada masalah ini, isteri hendaklah menjadi ‘dara’ semula. Suami yang keseorangan di ruang tamu, temanilah. Lakukanlah apa khidmat yang sepatutnya, mengurut ke, atau berbual dengan topik yang menyenangkan hati. Isikan hati dengan takut pada Allah dan berbaik sangka pada suami serta penuhkan hati dengan limpahan kasih sayang. Dengan kata lain, sesuai dengan logo Kelab Taat Suami, dara roh, dara akal dan dara fizikalnya, macam baru-baru berkahwin. Dara akalnya, usaha memaafkan, buang segala dendam, sangat mencintai, berfikir bagaimana hendak berkhidmat yang terbaik dari segi watak, percakapan, penampilan, bagaimana menjadi regu berfikir. Dara roh, sangat-sangat memohon kepada Allah agar dijadikan isteri yang setaat-taatnya, menjadi sangat memandang besar dan memuliakan suami walau bagaimana suami itu ( sebab ini kehendak Allah ), sentiasa berusaha untuk lincah, cergas, berkata-kata yang manis, macam anak dara.

Dara fizikal ( erm kalau dah anak berderet macamana pulak? ).
Begini, jika kita kaji cerita wanita solehah yang dijumpai Fatimah RA anak Rasulullah itu, di mana dia menyediakan tuala, rotan dan siap kainnya disingkapkan, bayangkanlah jika Sayidatina Fatimah tiada, mungkinkah kain itu sangat minimum saiznya atau hampir tiada… ?? Inilah yang dikatakan dara fizikalnya… Faham-fahamlah sendiri.

http://metromaya.blogspot.com/2011/06/kelab-taat-suami.html

RAWANG, 4 Jun — Kesediaan isteri untuk patuh dan memenuhi keperluan seks suami masing-masing akan membantu mengelak mereka daripada berlaku curang ataupun mencari pelacur — mesej ini yang hendak disampaikan oleh Kelab Taat Suami, yang dilancarkan hari ini untuk mengatasi masalah sosial di seluruh dunia.

Ia dilancarkan di Kelab Golf Perangsang Templer di sini dan bercadang memperluaskan sayapnya ke negara-negara lain seperti Indonesia pada 19 Jun ini.

Malah ia juga bercadang memperluaskan cawangan ke negara-negara Eropah, Britain, Perancis, Itali dan Jerman.

Kelab itu diperkenalkan oleh bekas pengikut kumpulan Al-Arqam terbuka kepada isteri-isteri semua kaum dan tidak kira kepercayaan.

Ia mendakwa mempunyai kira-kira 1,000 ahli buat masa sekarang dengan 200 daripadanya di Johor sejak dilancarkan di negeri itu 1 Mei lalu.

Baki 800 ahli datang dari seluruh negara.

Menurut kelab itu, 50 peratus ahlinya merupakan mereka daripada kalangan kelas atasan dan minda terbuka serta golongan intelek.

Ketika ditemui wartawan, naib presiden kelab itu, Dr Rohaya Mohamad (gambar, kanan) berkata, kaum wanita seringkali lupa bahawa sebagai “isteri yang baik” mereka juga perlu memenuhi keperluan suami di bilik tidur.

“Jika anda melihat di dunia sekarang, wanita dilayan sebagai objek seks … dalam majalah, TV … mengapa tidak mereka jadi objek seks kepada suami mereka? Ia adalah sah dan diharuskan oleh Tuhan.

“Seorang isteri yang baik adalah pekerja seks yang baik bagi suami mereka,” katanya lagi.

Pemimpin wanita sayap kanan Global Ikhwan Sdn Bhd itu juga berkata, selain menggalakkan wanita melayani suami, kelab itu juga akan mengadakan aktiviti seperti sesi kaunseling kepada ahlinya.

“Kita buka ahli kepada semua orang tidak kira bangsa dan agama. Kita akan adakan kaunseling kepada isteri, suami, dan kedua-duanya sekali,” katanya.

Selain itu, Rohaya juga menerangkan kelab itu ditubuhkan bukan semata-mata untuk memenuhi kehendak seks suami, tetapi memenuhi tuntutan agama.

Katanya, seorang isteri yang solehah perlu memenuhi empat kriteria yang digariskan dalam Islam iaitu sembahyang lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadan, memelihara kehormatan diri dan taat kepada suami.

“Kenapa kita tidak mahu buat apa yang disuruh oleh Tuhan? Taat kepada suami. Untuk menjadi isteri yang baik perlu memenuhi keempat-empat kriteria ini. Malah dalam hadis Nabi sendiri ada menyebut, ‘tunaikanlah walau di belakang unta’. Ini apa yang disuruh oleh Allah dan Nabi, jadi kita ikut,” katanya.

Ditanya mengenai jika isteri didera, adakah isteri masih lagi perlu mentaati suami, Rohaya berkata, seorang isteri perlu taat kepada suaminya dan juga membenarkan suaminya berpoligami kerana itu merupakan fitrah seorang suami.

“Seorang isteri perlu menjadi seorang isteri yang baik sampai bila-bila. Jika apa yang terjadi padanya sebagai contoh didera, mereka perlu memikirkan bahawa ini adalah ujian dari Allah kepada mereka.

“Setiap apa yang jadi ada hikmahnya. Seperti kisah Firaun dan Asiah. Firaun suami kepada Asiah dan dia mengaku dia itu Tuhan. Tetapi, akhirnya Asiah masuk ke syurga,” katanya.

Rohaya juga berkata, apa yang kelab ini cuba sampaikan adalah sesuatu yang telah dipraktikkan oleh ahli-ahli Global Ikhwan sendiri.

Beliau juga memberitahu, walaupun kebanyakan ahlinya berpoligami tetapi peratusan penceraian di kalangan ahli itu adalah sedikit.

Malah, ibu kepada lapan orang anak dan isteri ketiga daripada empat itu juga berkata, 30 peratus daripada ahli Kelab Taat Suami juga merupakan pasangan berpoligami dan hampir 50 peratus ahlinya juga datang daripada kalangan kelas atasan dan minda terbuka serta golongan intelek.

Sementara itu, salah seorang daripada 10 pasangan pengantin itu, Hawari Hamid, 45, yang berkahwin untuk kali kedua bersama pasangannya Nurul Asyikin Sanusi, 22, berkata, beliau menyambut baik kelab tersebut demi keharmonian rumah tangga.

Selain itu ketika ditanya adakah dengan isterinya membenarkan beliau berkahwin dua merupakan salah satu tindakan ‘taat’ seorang isteri, beliau yang juga pengurus syarikat berkata, “dalam Islam dibenarkan suami berkahwin sehingga empat orang.”

“Ini juga salah satu cara untuk isteri tunjuk taat dengan membenarkan suami berkahwin lain. Isteri saya membenarkannya dan Insya-Allah dia seorang yang taat. Dia juga yang membuat urusan perkahwinan saya ini,” katanya.

Hawari yang sudah 20 tahun mendirikan rumah tangag dan hanya dikurniakan seorang anak dengan isteri pertamanya juga berkata, tujuan beliau berkahwin adalah ingin menambah zuriat selain mengikut sunah Nabi. – TMI

No comments:

Post a Comment