Sunday, March 4, 2012

Malaysia Maju

Watak manusia itu bertamadun.Tuhan cipta manusia begitu. Oleh itu adalah salah kalau watak itu dinafikan atau dikorbankan. Salahlah kalau sifat ingin majub manusia itu dihalang. Kalau dihalang, ia satu penzaliman.

PERIHAL TAMADUN

Bila bercakap tentang Malaysia Maju , kita tidak dapat elak daripada memperkatakan tentang tamadun, seperti yang dibincangkan sebelum ini.

Tamadun itu ada dua bentuk. Pertama tamadun rohaniah dan kedua ta-madun lahiriah. Dalam Islam Hadhari, tamadun rohaniah adalah tamadun yang asas yang perlu ditegakkan dahulu. Tamadun lahiriah adalah hasil dari tertegaknya tamadun rohaniah. Kalau tamadun lahiriah ditegakkan dahulu sebelum tamadun rohaniah, itu adalah tamadun yang rosak dan merosakkan. la tidak akan menepati kehendak Islam Hadhari.

Malaysia Maju ertinya mengamalkan Islam sebenar yang mana pembangunan rohaniah (insaniah) atau akhlak dan pembangunan lahiriah (material) berjalan seiring dan serentak. Di dalam Malaysia Maju , tidak ada umat Islam yang hanya menerima Islam dalam aspek tertentu sahaja lantas mengabaikan aspek-aspek yang lain. Atau tidak berlaku juga umat Islam yang salah faham tentang ajaran Islam yang amat luas itu.

Sebagai contoh, tidak berlaku golongan yang tertumpu kepada aspek ibadah khususiah semata-mata dan mengabaikan tamadun material dan tidak juga berlaku golongan yang bertungkus-lumus membangunkan material tetapi mengabaikan aspek rohaniah dan akhlak.

Untuk seluruh dunia pula, Malaysia Maju membawa mesej kasih sayang sejagat dan kedamaian secara global. Perhubungan antarabangsa bukan setakat perkongsian teknologi, komunikasi dan perdagangan semata-mata tetapi lebih dari itu. la perkongsian perasaan, kasih sayang dan saling rasa terhutang budi dan jasa.

Malaysia Maju bakal menghapuskan berbagai label negatif yang selama ini dilemparkan kepada umat Islam seperti militan, ganas, jumud, mundur, miskin, buta huruf dan sebagainya.

DI ANTARA DUA TAMADUN

Tuhan jadikan bumi dan manusia dan diberi-Nya manusia itu dua peranan. Satu sebagai hamba kepada Tuhan dan satu lagi sebagai khalifah Tuhan di muka bumi. Dengan wujudnya bumi dan manusia, Tuhan mahu laksanakan dua program untuk mengimarahkan bumi ini. Tuhan suruh manusia membuat dua pembangunan iaitu:

1. Pembangunan insaniah
2. Pembangunan material

Pembangunan insaniah adalah untuk membina sifat hamba pada diri manusia agar manusia bahagia di Akhirat. Pembangunan material adalah tugas manusia sebagai khalifah untuk kebahagiaan dan kesenangan manusia di dunia. Inilah dua peranan manusia.
Untuk membangunkan material, siapa pun boleh buat. Orang jahat, orang baik, orang kafir atau orang Islam, semuanya boleh bangunkan material. Cuma mahu atau tidak sahaja. Mahu atau tidak mahu berusaha mencari ilmunya.

Tetapi untuk membangunkan insaniah, tidak ada siapa yang boleh buat kecuali orang yang Allah tunjuk iaitu para nabi para rasul. Kalau tidak ada nabi dan rasul maka para mujaddid. Kalau tidak ada mujaddid, paling tidak pemimpin yang bertaqwa. Yang penting orang itu mestilah pemimpin. Nabi, rasul dan mujaddid itu, sudah tentulah mereka pemimpin. Kalau setakat bertaqwa sahaja tetapi bukan pemimpin, dia hanya boleh bangunkan insaniah dirinya sendiri sahaja. Dia tidak mampu membangunkan insaniah orang lain. Kalau bukan pemimpin, walaupun bertaqwa, dia tidak mampu bangunkan insaniah manusia secara umum.

Itu sebab, orang yang hendak membangunkan insaniah manusia ini paling tidak mestilah seorang pemimpin yang bertaqwa.

Alangkah indahnya kalau kedua-dua pembangunan insaniah dan material ini dapat dicetuskan serentak. Kalau dapat, itulah yang dinamakan Malaysia Maju . Malaysia Maju itu ialah pembangunan insaniah dan material yang berlaku seiring. Namun, kalau keadaan tidak mengizinkan untuk kita mencetuskan pembangunan material kerana sesuatu sebab, mungkin kerana masanya tidak baik atau tempatnya tidak kena atau situasinya tidak sesuai atau dihalang oleh berbagai kesulitan yang lain, maka pembangunan insaniahlah yang perlu diutamakan. Tidak apalah kalau kita susah di dunia asalkan kita bahagia di Akhirat daripada kita bahagia di dunia tetapi terseksa di Akhriat. Tetapi, kalau boleh, biarlah kita dapat kedua-duanya sekali. Itulah yang hebat. Itulah yang dikatakan Malaysia Maju. Itulah yang dikatakan dalam Al Quran:


Maksudnya: "Negara yang aman, makmur dan mendapat keampunan Tuhan." (As Saba`: 15)


Untuk membangunkan insaniah, ahli fikir, ahli falsafah, ahli sains atau para cerdik pandai tidak boleh buat. Hanya orang Tuhan sahaja yang boleh melakukannya. Orang Tuhan adalah para rasul, para nabi dan para mujaddid. Paling tidak, seorang pemimpin yang bertaqwa. Itupun sudah dikira lemah.Tetapi kalau hendak membangunkan material, cukuplah dengan ahli fikir, ahli sains, cerdik pandai atau ahli dan pakar-pakar di berbagai bidang walaupun dia itu jahat, zalim, tidak kenal Tuhan dan mazmumah atau sifat keji penuh bersarang di hatinya.

Kedua-dua pembangunan ini bukan mudah. Ada halangan-halangannya. Tidak ada pembangunan yang tidak ada halangan sama ada pembangunan material mahupun pembangunan insaniah. Hanya bentuk halangan dan cara untuk mengatasi halangan-halangan itu yang tidak sama.

Mari kita bincang tentang halangan pembangunan material terlebih dahulu sebab ianya lebih mudah dilihat, didengar dan dirasa. Bagi pembangunan material, halangan-halangannya lebih banyak berbentuk lahiriah seperti hutan, gunung, sungai, laut, paya, padang pasir dan sebagainya. Dengan adanya halangan-halangan dunia ini, hidup manusia jadi susah. Tempat tinggal susah, hendak berjalan pun susah sebab dihalang oleh gunung, hutan, paya, laut dan sungai. Tambahan pada itu, ada pula binatang buas dan ganas seperti buaya, singa, harimau, gajah, ular dan sebagainya. Bila pembangunan hendak dibuat, binatang-binatang ini mengancam kita.

Kalau jiwa tidak kuat dan ilmunya tidak dicari sungguh-sungguh, maka manusia tidak akan mampu berbuat apa-apa. Gunung akan tinggal gunung, hutan akan tinggal hutan, sungai akan tinggal sungai, paya akan tinggal paya dan laut akan tinggal laut.
Kalau begitu, manusia terpaksa hidup susah. Manusia hanya mampu hidup macam orang Badwi atau orang asli (aborigine). Hidup dalam gua. Hendak makan, petik buah hutan. Hendak minum, cari sungai.

Gambarkan betapa susahnya hidup kalau halangan terlalu banyak. Selagi halangan-halangan ini tidak dibuang atau ditawan, maka tidak akan ada pembangunan dan kemajuan. Kita tidak boleh bina rumah atau bangunan. tidak ada jalan, tidak ada jambatan, kenderaan, kapal, ladang-ladang pertanian, ladang ternakan dan sebagainya. Jadi hutan perlu ditebang. Bila diusahakan, jadilah kampung. Hidup cara kampung pun masih susah lagi. Kena usahakan jadikan bandar. Mula-mula bandar kecil dan tidak berapa moden. Kemudian bandar dibesarkan dan dimodenkan lagi. Barulah maju dan membangun.
Pembangunan dan kemajuan ini bolehlah diibaratkan sebagai mahmudah. Halangan-halangan seperti hutan, sungai, gunung, paya dan laut bolehlah diibaratkan sebagai maz-mumah. Selagi halangan-halangan tidak dibuang, selagi itulah tidak wujud pembangunan. Begitu juga, selagi mazmumah (halangan lahir) tidak dibuang selagi itulah tidak akan wujud mahmudah (pembangunan lahir).
Yang susahnya ialah hendak bangunkan insaniah. Berbeza dengan membangunkan material, membangunkan insaniah mazmumahnya atau halangannya tidak nampak. la mazmumah atau halangan batin. Kemajuan mahmudahnya atau rohaniahnya juga tidak nampak. Sebab itu ia lebih sukar. la memerlukan orang Tuhan untuk tunjuk jalan, iaitu para rasul, para nabi dan para mujaddid. Paling tidak pemimpin yang bertaqwa. Mazmumah atau halangan dalam membangunkan insaniah di antaranya ialah sombong, tamak, pemarah, pendendam, bakhil dan macam-macam lagi. Semuanya kita tidak nampak. Itulah penghalang untuk kita bangunkan insaniah seperti mana juga hutan, gunung, sungai, laut, paya dan padang pasir itu adalah penghalang untuk kita bangunkan material.

Itu sebab untuk menghadapi halangan-halangan atau mazmumah pembangunan lahir yang nampak oleh mata, cukup dengan ilmu dunia. Cukup dengan ahli falsafah, ahli fikir, ahli sains dan cerdik pandai yang menggunakan ilmu otak atau Hmu akal. Tetapi untuk menghadapi dan me-musnahkan mazmumah batin agar dapat dibangunkan insaniah supaya insaniah bertamadun, ia memerlukan ilmu yang special atau khas iaitu ilmu wahyu. llmu ini otak tidak mampu teroka. la adalah satu ilmu yang tidak ada campur tangan manusia secara umum. Supaya manusia dapat menjadi hamba Tuhan dan dapat kebahagiaan di Akhirat. Dalam waktu yang sama, Tuhan benarkan juga kita membuang mazmumah dunia untuk membangunkan material agar kita juga dapat merasa bahagia dan senang di dunia. Membuang mazmumah dunia itu tidak salah.

Pembangunan insaniah ini susah, payah dan berat kerana sukar hendak membuang mazmumah batin. Mazmumahnya tidak nampak. Mazmumahnya terlalu jahat. Manusia boleh membuat kemajuan dunia yang berbagai-bagai dalam jangka waktu yang singkat tetapi untuk mengubah watak, sikap dan perangai manusia dari jahat kepada baik, dari sombong kepada merendah diri, dari pemarah kepada pemaaf dan pengasih, dari bakhil kepada pemurah, ini bukan senang. Tiga puluh, empat puluh atau lima puluh tahun dididik, belum tentu boleh berjaya. Sebab itu Rasulullah ada bersabda:

Maksudnya: "Kalau ada orang kata Gunung Uhud sudah berubah, walaupun kita tidak tengok, percaya sajalah. Tetapi kalau ada orang berkata, `Si Polan itu sudah berubah,` jangan terus percaya. Tengok dulu."

Bukan mudah untuk mengubah insaniah. Gunung lebih mudah untuk diubah. Berapa banyak gunung telah ditarah dan diratakan. Dibangunkan bandar dan pekan. Tetapi maz-mumah dalam hati manusia bukan sahaja tidak dapat dibuang malahan bertambah merebak dan bercambah dari hari ke hari. Sebab itu Allah datangkan orang-orang-Nya iaitu para rasul dan nabi, para mujaddid dan pemimpin-pemimpin yang bertaqwa. Selain mereka itu, sekalipun bijak, tidak akan mampu membangunkan insaniah sekalipun terhadap anak dan isteri mereka sendiri.

Sekarang, bila kita sebut tentang Malaysia Maju, tamadun yang ditumpukan dan disebut selalu hanyalah tamadun material sahaja sedangkan tamadun insaniah tidak dihiraukan. Hutan dalam hati kita terbiar. Ada ular, ada singa, ada harimau dan ada gajah. Mungkin ini adalah kerana tamadun insaniah susah dan sukar untuk dibangunkan. Oleh itu orang bagi keutamaan kepada yang mudah dan senang iaitu tamadun material Tetapi kalau pemimpin benar-benar faham, akan ditubi betul-betul pembangunan insaniah ini. Sebab walaupun lebih susah, ia lebih penting dan bermakna. la bukan sahaja sumber kebahagiaan di Akhirat. la juga boleh membawa ketenangan di dunia walaupun hidup serba kekurangan.

TAMADUN MESTI BERDISIPLIN DAN BERPERATURAN

Islam itu dikatakan agama fitrah. Bila dikatakan fitrah, ia adalah satu pakej yang ada dalam diri manusia iaitu akalnya, nafsunya, rohnya dan jasadnya. Ini satu pakej yang sandar-menyandar, kuat-menguatkan dan perlu-memerlukan. Setiap satunya tidak boleh bertindak sendiri-sendiri.
Roh berperasaan seperti suka, benci, senang dan lain-lain-nya. Nafsu merangsang atau mendorong. Akal memikirkan perasaan tadi dan bila didorong oleh nafsu, ia akan fikirkan kaedah atau cara, lalu diarahkan fizikal untuk melaksanakannya. Fizikal hanya ikut sahaja. Dengan wujudnya fenomena ini, manusia itu berubah dan maju dari masa ke masa.

Berdasarkan ini, rupanya tabiat semula jadi manusia ia berkemajuan. Dengan adanya pakej tadi iaitu akal, nafsu, roh dan jasad, manusia berkemajuan. Tidak seperti haiwan. Haiwan, dulu telanjang sekarang pun telanjang. la tidak berubah sebab tidak ada pakej kemajuan dalam dirinya. Kalau pokok kayu, lagilah. Langsung tidak ada perasaan, akal atau nafsu.
Manusia tidak begitu. Manusia berubah-ubah. Jadi maju ke maju sampai menjadi canggih. Kalau manusia hidup seribu tahun lagi, entah apa kemajuan yang manusia akan buat. Kereta mungkin bukan yang macam ada sekarang. Kapal terbang pun entahlah apa bentuknya.

Watak manusia itu bertamadun. Tuhan cipta manusia begitu. Oleh itu adalah salah kalau watak itu dinafikan atau dikorbankan. Salahlah kalau sifat Hadhari (berkemajuan) manusia itu dihalang. Kalau dihalang, ia satu penzaliman. Kalau tidak, untuk apa Tuhan jadikan watak itu.
Bila Tuhan telah menjadikan manusia berwatak kemajuan, ertinya Tuhan benarkan manusia itu bertindak dan berusaha untuk maju. Tidak boleh dihalang atau disekat.

Cuma, kerana kasih sayang Tuhan, Dia tidak mahu kita semata-mata maju sahaja kerana dalam kemajuan itu ada bahayanya. Dorongan untuk maju itu, kalau sudah ada, sudah baik. Tetapi Tuhan itu penyelamat. Dia kasihan kepada hamba-hamba-Nya. Dia mahu hamba-hamba-Nya maju tetapi jangan ada huru-hara. Majulah tetapi jangan ada kesan negatif atau gejalanya. Jangan ada jenayah dan penzaliman. Sebab itu Tuhan buat peraturan. Hendak maju boleh tetapi ada syarat-nya. Ada disiplinnya.

Islam itu juga dikatakan agama yang selamat dan menyelamatkan. Bukan setakat selamat sahaja tetapi selamat dan menyelamatkan. Kita selamat dan orang lain pun selamat sama. Sebab itu agama Tuhan ini dinamakan Islam (yang bermaksud selamat dan menyelamatkan). Kalau setakat selamat sahaja tentulah agama ini dinamakan sahaja Salmun, iaitu selamat. Untuk selamat dan menyelamatkan itulah ia perlu disusun dan diperundangkan, didisiplinkan dan dibuat peraturan.

Contohnya, hendak maju boleh, tetapi jangan ada rasuah. Orang ramai benci pada rasuah. Jangan bergaduh dan jatuh-menjatuhkan. Apa ertinya maju kalau kita bergaduh. Boleh maju tetapi jangan bergaul bebas lelaki perempuan. Sebab, kalau sudah bebas bergaul, tiada ertinya maju. Nanti dalam maju ada penzinaan, ada pelacuran, ada perogolan dan lain-lain. Tidak akan ada erti apa-apa kemajuan yang dicapai. Kalau tidak ada peraturan, akhirnya nanti, semua ikut naik.Maju naik, jenayah pun naik. Maju naik, krisis pun naik. Maju naik, dedah-mendedah aurat pun naik.

Yang dikatakan Malaysia Maju itu, bukan maju sahaja atau disiplin sahaja tetapi kemajuan dengan berdisiplin. Kemajuan dapat dan disiplin pun dapat. Itulah Malaysia Maju . Itulah Islam yang selamat dan menyelamatkan.

UMAT ISLAM MESTI BERTAMADUN BERSAMA AKHLAK YANG MULIA

Untuk selamat di dunia dan di Akhirat, umat Islam mesti membangun, berkemajuan dan bertamadun bersama akhlak yang terpuji. Tamadun mestilah ditegakkan bersama akhlak dan disiplin hidup yang mulia. Kalau tidak, walaupun berjaya dan megah di dunia, di Akhirat akan rugi dan kecundang. Kerana segala usaha dan kemajuan itu tentunya tertolak dan tidak diterima oleh Tuhan. Nerakalah padahnya.

Selain itu, jika umat Islam membangun dan berkemajuan tanpa akhlak, ketenangan, keselamatan, keharmonian dan kesempurnaan hidup yang diidamkan tidak akan tercapai. Kemajuan itu hanya setakat memperolehi kemudahan hidup atau bermewah-mewah sahaja. Kerana apabila pembangunan dan kemajuan yang dibangunkan tidak bertunjangkan iman dan taqwa dan tidak bersama akhlak yang mulia, ia ada side effectnya yang tidak baik. la tidak terlepas dari gejala masyarakat yang tidak sihat, jenayah dan kemungkaran. la tidak terlepas dari berlakunya perpecahan, jatuh-menjatuhkan, khianat-mengkhianati, pergaduhan dan lain-lain lagi.

Maka dengan itu, kekuatan umat Islam tidak akan kekal lama.
Kemajuan fizikal semata-mata, tidak kira betapa hebatnya akan cepat jatuh dan musnah kalau orang-orangnya tidak dibangunkan insaniah mereka.

Tambahan kepada itu, kemajuan yang dicapai tanpa akhlak yang mulia, akan menyebabkan bangsa-bangsa lain di dunia. Bangsa-bangsa di dunia mengutuk dan sakit hati. Musuh nanti banyak. Inilah yang berlaku kepada bangsa Eropah, Amerika dan Rusia. Di zaman kemegahannya, mereka kuat tetapi dunia benci dengan mereka. Mereka maju tetapi dunia tidak senang. Dunia akui mereka berilmu dan maju tetapi dunia benci perangai dan akhlak mereka yang mirip kepada perangai haiwan.

Di dalam kemajuan dan tamadun mereka, mereka membawa bermacam-macam penyakit dan masalah kepada dunia. Tidak ada bahagian dunia yang tidak diserang oleh penyakit-penyakit dari Barat dan Amerika seperti penzaliman, pendedahan aurat, pelacuran, disko, pergaulan bebas, perjudian, minum arak, tidak hormat ibu bapa, menyayangi binatang dan membenci manusia, homoseks, lesbian dan seribu satu macam penyakit kekufuran dan moral.
Apakah bentuk kemajuan, pembangunan dan tamadun yang mahu diperjuangkan oleh umat Islam? Adakah serupa seperti yang telah dicipta oleh Barat, Amerika dan Komunis? Kalau itulah bentuk tamadun yang hendak diperjuangkan, tidak payahlah kita menyebut atau merujuk kepada Al Quran dan Sunnah. Tidak payahlah kita bersusah-susah dengan Malaysia Maju . Cukup dengan kita ikut nafsu sahaja.

Umat Islam mesti berjuang dan membangunkan kekuatan-nya yang tersendiri yang mempunyai satu bentuk dan identiti yang tersendiri yang unik, yang dapat mengatasi Barat dan Amerika tetapi disenangi dan disukai oleh manusia sejagat dan yang memberi banyak kebaikan dan manfaat dunia dan Akhirat.

Ini bukan perkara baru bagi umat Islam. Umat Islam pernah membina tamadun dan peradaban fizikal dan spiritual yang bertahan beratus-ratus tahun lamanya. Tamadun Islam pernah membawa manusia kepada keamanan dan keharmonian. Mereka menguasai dunia tetapi tetap disenangi. Mereka di guru yang dihormati, penaung yang melindungi dan adil dalam melayani. Tetapi semua itu sudah hilang. Namun prinsip dan kaedahnya masih ada tetapi tersembunyi dalam Al Quran dan As Sunnah. Kita wajib keluarkannya kembali.

Tamadun berkait rapat dengan Addeen iaitu cara hidup (way of life) sama ada cara hidup di peringkat individu mahupun di peringkat masyarakat. Mari kita bincang beberapa aspek tentang Addeen atau cara hidup ini berpandukan kepada beberapa ayat Al Quran.

Tamadun yang Selamat

Kita tidak dapat menafikan bahawa ilmu, kemajuan, pembangunan dan tamadun material dan fizikal itu boleh memberi kehidupan dan kemudahan hidup kepada manusia. la boleh memenuhi tuntutan dan keperluan hidup manusia. Tetapi itu bukan segala-galanya. Sekadar itu sahaja belum boleh men-jamin keselamatan, kebahagiaan dan keharmonian dalam kehidupan masyarakat di dunia ini. Apatah lagi untuk memperoleh keselamatan dan kebahagiaan di Akhirat kelak.

Kalau kemajuan, pembangunan dan tamadun yang di-bangunkan itu tidak bertunjangkan iman dan taqwa, ertinya kita telah memutuskan diri kita dari Tuhan. Maka Tuhan pula akan berlepas diri dari kita. Tuhan itu penyelamat, pelindung dan pembela. Tuhan mengajar, memandu dan memimpin kita ke jalan yang selamat dan sejahtera. Tetapi dengan syarat kita menyerah diri pada-Nya dan mengikut jalan-Nya. Kalau kita berpaling, maka Tuhan akan tinggalkan kita. Kita akan terdedah kepada jalan nafsu dan syaitan.

Justeru itu, risiko yang kita akan tanggung sangat berat. Bermacam-macam masalah akan timbul daripada usaha kita sekalipun usaha kita itu berjaya. Nampak lahirnya hebat, gah, cantik, indah, mempersona tetapi kemajuan itu akan memakan diri dan menyusahkan kita. Akan hilang kasih sayang perpaduan, kedamaian dan keharmonian. Hidup akan dengan jenayah, krisis dan perbalahan. Manusia hidup dalam ketakutan.

Ibarat pemuda yang berkahwin dengan seorang gadis yang cantik, berpelajaran, bangsawan, hartawan tetapi mulutnya celupar, suka merajuk, curang, tidak setia, tidak boleh dikawal, melawan dan berbagai-bagai karenah lagi. Memang hajat untuk beristerikan perempuan cantik tercapai. Orang lain melihat pun iri hati dan cemburu. Namun demikian, betapa teruk dia makan hati dan memendam rasa. Habis masa melayan kehendak isteri dan terseksa jiwa berhadapan dengan karenahnya. firman Allah SWT:


Maksudnya: "Barang siapa yang berpaling dari mengingati Aku, baginya hidup yang sia -sia. " (Thoha: 124)

Ini kerana tamadun lahiriah semata-mata, ia dekat dengan nafsu. la sangat dicintai oleh nafsu manusia sedangkan nafsu itu watak semula jadinya sangat jahat. Firman Allah lagi:

Maksudnya: "Sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan. " (Yusuf: 53)

Ertinya nafsu itu sangat cenderung kepada kejahatan. Di antara kejahatannya ialah rakus, tamak, bakhil, gelojoh, melulu, mementingkan diri, angkuh, suka berfoya-foya, cenderung kepada perempuan, makan-minum, harta kemewahan, Pangkat, darjat dan sebagainya.

Kalau kemajuan dan tamadun lahiriah tidak ditunjangi oleh iman dan ketaqwaan, ia akan terpengaruh oleh nafsu dan akan disalahgunakan dan akan merosakkan manusia. la akan melahirkan manusia yang sombong, bangga diri, tamak, bakhil, mementingkan diri, yang suka menindas, yang zalim yang membazir, suka mengumpul dan menompok-nompok harta, menghina orang, lupa Tuhan, lupa Akhirat dan seribu satu macam kejahatan lagi.
Penyakit-penyakit atau kejahatan ini akan menimbulkan reaksi seperti rasuah, dendam, sakit hati, dengki, krisis, jatuh-menjatuhkan, tuduh-menuduh, fitnah-memfitnah dan kemuncaknya ialah bunuh-membunuh.

Kalau sudah begitu, hilanglah kasih sayang, retak perpaduan, terkuburlah ukhuwah dan berakhirlah keharmonian. Keamanan dan keselamatan yang diidamkan hanya tinggal impian semata-mata. Hanya tamadun Hadhari sahaja yang bertunjangkan iman dan ketaqwaan yang akan selamat dan menyelamatkan.

Membangun dan Berkemajuan Mesti Atas Nama Tuhan


Firman Allah SWT:

Maksudnya: "Bacalah dengan nama TuhanMu yang mencipta..." (Al Alaq: 1)

Ramai yang memahami ayat ini hanya mengikut maksud yang tersurat sahaja iaitu bacalah Al Quran dengan niat kerana Allah. Tetapi kalau dikupaskan dengan lebih luas, istilah bacalah di sini bermaksud carilah Umu. Mencari ilmu itu pula mestilah dengan nama Tuhan iaitu kerana Tuhan, ikut cara yang Tuhan mahu dan dipergunakan ilmu itu ke jalan Tuhan. Mencari ilmu itu pula bukan semata-mata untuk mengumpulkan ilmu. llmu itu adalah untuk membina kemajuan, untuk membangun, untuk berjuang dan membina tamadun. Semua ini mesti dibuat atas nama Tuhan, iaitu atas nama iman, ketaqwaan, kerana Allah, dengan cara yang Allah mahu dan untuk mendapat keredhaan Allah.

Kita dilarang mencari ilmu untuk tujuan-tujuan yang lain seperti hendak jawatan, nama, glamour, kekayaan dan sebagainya. Lanjutan kepada itu, kita juga dilarang menggunakan ilmu untuk membangun dan berkemajuan bagi tujuan lain selain kerana Allah dan untuk mendapat keredhaan Allah. justeru itu, tamadun yang kita hendak tegakkan berdasarkan ilmu yang ada pada kita tidak boleh terkeluar dari syarat-syarat yang telah Tuhan tetapkan dalam syariat-Nya.

Tuhan melarang kita membangun, berkemajuan dan bertamadun untuk diri, bangsa atau negara, atau kerana megah, kerana mahu dihormati, kerana mahu berlumba-lumba dan untuk disanjung dan dipuji. Ini semua sia-sia sahaja, tidak ada nilai di sisi Allah, tidak ada pahala dan Allah berlepas diri dari kita. la dianggap syirik khafi dan di Akhirat, kebaikannya tertolak.

Cara Hidup yang Selamat dan Menyelamatkan

Firman Allah SWT:

Maksudnya: "Agama pada di sisi Allah itu adalah Islam." (Al Imran: 19)


Mengikut pada maksud lahir, ayat ini bermakna agama yang Tuhan terima atau redha itu adalah agama Islam. Justeru itu orang yang berfahaman sedemikian merasa cukup dengan mengucap dua kalimah syahadah dan menjadi orang Islam dan membuat dan melaksanakan rukun Islam yang lima.

Di sini kita tidak boleh silap faham. Agama di dalam ayat ini bukan setakat pegangan dan kepercayaan. Agama di dalam ayat ialah Addeen atau cara hidup (way of life). Sama ada cara hidup itu di peringkat individu atau pun di peringkat masyarakat.

Cara hidup di peringkat individu ialah yang ain dan di peringkat masyarakat ialah yang kifayah. Cara hidup di peringkat individu ialah yang bersangkut paut dengan iman ketaqwaan, ketuhanan dan ibadah khususiah yang bertujuan untuk membina iman, jiwa dan akhlak. Cara hidup di peringkat masyarakat pula ialah yang bersangkut paut dengan ibadah umumiah atau pembentukan sistem hidup seperti sistem ekonomi, pendidikan, masyarakat, kebudayaan, kesihatan, kemajuan, pembangunan dan sebagainya.

Cara hidup di peringkat individu adalah peranan manusia sebagai hamba bersabit hubungannya dengan Tuhan (Hablumminallah). Di peringkat masyarakat adalah peranan manusia sebagai khalifah yang bersabit hubungannya dengan sesama manusia (Hablumminannas).
Kedua-dua hubungan ini adalah di dalam rangka membina tamadun. Di peringkat individu untuk membina tamadun rohaniah dan di peringkat masyarakat untuk membina tamadun lahiriah.

Islam di dalam ayat ini pula bukan setakat agama Islam itu sendiri. Bukan juga setakat penyembahan, rukun atau hukum-hakam. Islam di sini bermaksud selamat dan menyelamatkan. Bukan setakat selamat. Kalau selamat tentu Tuhan akan sebut Salmun. Islam bermaksud kita selamat dan orang lain selamat. Jadi, kalau dikupas secara terperinci, ayat ini membawa maksud yang tersirat seperti berikut:

Addeen (cara hidup) pada sisi Allah itu adalah selamat dan menyelamatkan.

Ini bermakna kalau cara hidup atau tamadun yang kita tegak-kan adalah kerana Allah dan mengikut cara yang Allah mahu, maka ia akan selamat dan menyelamatkan. Tamadun Islam itu (rohaniah dan lahiriah) selamat bagi orang Islam dan menyelamatkan bagi orang lain. Tamadun Islam itu tidak menindas, tidak menekan, adil dan tidak militan. Inilah yang dimaksudkan dengan tamadun yang maju.

. Jangan ambil selain Islam sebagai cara hidup

Firman Allah SWT:
Maksudnya: "Barang siapa yang menghendaki selain Islam sebagai cara hidup, sekali-kali tidak akan diterima daripadanya dan di Akhirat, ia menjadi orang yang rugi." (Ali Imran: 85)
Manusia itu bermula dari diri dalamnya. Apa yang dilahirkan itu adalah buah. Sebelum boleh mengaddeenkan kehidupan lahirnya, manusia mestilah terlebih dahulu mengaddeenkan diri dalamnya, iaitu bermula dari akalnya, kemudian nafsunya dan hatinya.

Setelah akalnya, nafsunya dan hatinya terdidik bertunjangkan iman, tapwa dan rasa bertuhan, barulah akan lahir buahnya iaitu deenul Islam atau cara hidup Islam. Selain deenul Islam atau cara hidup Islam, Tuhan tidak terima. Akibatnya manusia akan rugi. Rugi itu maksudnya akan di-lempar ke dalam Neraka.

Dalam hendak membina tamadun dan cara hidup, umat lslam tidak ada pilihan. Umat Islam mesti kembali kepada cara hidup Islam. Kalau tidak, cara hidup atau tamadun itu t]dak akan diterima Tuhan. Tambahan lagi, kalau mengikut cara hidup atau tamadun yang dicipta akal manusia, ia akan merosakkan kehidupan manusia itu sendiri dan manusia akan dalam kehinaan dan penderitaan.

Apa pun, tamadun itu mesti bermula dari pembinaan insan atau pembinaan diri dalam manusia yang merangkumi akal, nafsu dan hati.

. Amalan Islam mesti syumul

Firman Allah SWT:

Maksudnya: "Hendaklah kamu masuk ke dalam Islam secara keseluruhannya. " (Al Baqarah: 208 )


Firman Allah SWT:

Maksudnya: "Apakah kamu mengambii sebahagian isi kitab dan menolak sebahagian yang lain. Tidak ada balasan bagi orang yang melakukan demikian itu melain-kan akan ditimpa kehinaan di dunia. Manakala diAkhirat akan dicampakkan pada azab yang pedih. " (Al Baqarah: 85)


Firman Allah SWT lagi:

Maksudnya: " Bukan sifat mukmin lelaki mahupun perempuan, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan hukum, mereka memilih-milih (yang sesuai dengan selera mereka)." (Al Ahzab: 36)

Islam itu satu sistem keselamatan. Kalau Islam itu tidak diarnbil atau diamalkan keseluruhannya, akan ternafilah keselamatan yang dijanjikan oleh Islam. Kita tidak boleh beriman dengan sesetengah ayat Quran dan kufur dengan sesetengahnya. Kita tidak boleh amalkan sesetengah ayat Quran dan meninggalkan sesetengahnya. Kita tidak boleh campur aduk-kan sistem Islam dengan sistem-sistem yang lain, dan kemudian menuntut keselamatan dari Tuhan.

Sistem Islam itu adalah penawar. Sistem-sistem yang lain adalah racun. Kita tidak boleh campurkan racun dengan penawar dan kemudian menganggapnya sebagai ubat. Kalau kita berbuat begitu, bukan sahaja penyakit yang ada tidak akan sembuh, bahkan akan timbul pula berbagai-bagai penyakit yang lain.

Kalau kita berjaya mengamalkan Islam keseluruhannya iaitu berjaya menegakkan cara hidup dan tamadun Islam, baik yang lahir mahu pun yang batin, maka Tuhan janjikan apa yang difirmankan Allah SWT dalam Quran:


Maksudnya: "Negara aman makmur dan mendapat keampunan Tuhan." (As Saba`: 15)

Aman negara itu adalah kerana adanya ukhuwah dan kasih sayang, perpaduan, timbang rasa, bersatu padu, rasa bersama, bekerjasama, bertolak ansur, maaf-bermaafan, doa-mendoakan, bertolong-bantu, bela-membela, pemurah dan berdisiplin hasil dari terbinanya rohani dan insan rakyat. Negara damai, tenang dan sejahtera. Tidak ada krisis, pergaduhan, perbalahan dan jenayah.

Makmur negara itu bila ada pembangunan, ada jalan raya, ada kemudahan, mewah makan minum, berpakaian, cukup tempat tinggal, mudah perhubungan, mudah mengurus keperluan dan kehidupan dan sebagainya. Makmurnya negara itu adalah sebagai alamat atau isyarat kasih sayang Tuhan terhadap negara dan rakyatnya yang telah berjaya mendirikan Islam dalam diri dan negara mereka.

Keampunan Tuhan itu bukanlah kerana negara makmur. Tidak ada kaitan negara makmur dengan keampunan Tuhan. Tuhan tidak memberi keampunan kepada sesebuah negara hanya kerana negara itu makmur. Kalau begitulah maka Amerika dan Eropah lebih layak mendapatkan keampunan Tuhan kerana mereka makmur.

Keampunan Tuhan itu adalah kerana makmurnya hati rakyat sesebuah negara. Apakah hati yang makmur itu? laitu apabila hati tenang, terutama tenang dengan dunia, walaupun hati bergelora dengan Tuhan. Hati yang lapang, indah dan tidak takut pada dunia dan hal-hal keduniaan. Hati yang cinta dan takut Tuhan hinggakan hal dunia tidak menggugat perasaan. Lapang dada dengan kesusahan dunia tetapi bimbang dengan kesusahan Akhirat. Sibuk dengan rasa bertuhan. Rasa berdosa dan takut dengan dosa. Hati yang seperti ini adalah hasil berzikrullah.


Firman Allah SWT:

Maksudnya: "Ketahuilah bahawa dengan mengingati (zikir) kepada Allah itu, hati akan menjadi tenang (tentang hal-hal dunia). " (Ar Raad: 28)

Maksudnya: "Sesungguhnya orang mukmin itu apabila disebut nama Allah, gementarlah hati-hati mereka. " (Al Anfal: 2)

Makmur hati inilah yang membawa kepada keampunan Tuhan, bukan makmur negara. Makmur negara itu hanya nikmat yang Tuhan segerakan kerana redha-Nya. la berbentuk rahmat dari Tuhan kerana kasih sayang-Nya. Itupun kalau kemakmuran itu adalah hasil dari usaha yang bertepatan dengan syariat dan cara yang Tuhan mahu. Bukan kemakmuran mengikut konsep ciptaan manusia seperti kapitalis, sosialis dan komunis. Makmur yang dicapai tanpa menegakkan cara hidup dan tamadun Islam ialah istidraj. la Tuhan beri dengan murka. la bertujuan untuk menyesatkan lagi manusia yang kufur dan ingkar.

No comments:

Post a Comment