Saturday, March 24, 2012

Operasi Menawan Eropah – (Khususnya German)

Cafe Nur Kuala Lumpur, Frankfurt, German.

Satu peristiwa berlaku tidak berapa lama sebelum perasmian Cafe di Frankfurt. Selesai kerja mengecat, seorang tetamu kehormat, (rakan baik kepada seorang kenalan rapat kami warga German asal Maghribi ), singgah untuk bersarapan. Tetamu tersebut adalah seorang ahli politik Maghribi dan juga seorang pendakwah bebas, sedang dalam perjalanan ke sebuah negara bekas Rusia untuk pembentangan kertas kerja dalam satu mesyuarat OIC.

Kami orang-orang Abuya termasuk seorang GISB warga asal Perancis, serta seorang lagi rakan warga German (asal Maghribi juga) menyambut beliau. Sembang bahasa Inggeris pada mulanya, bertambah lancar apabila disambung dengan sembang bahasa Perancis. Bertambah rancak apabila berbual tentang poligami, dimana beliau juga telah mengamalkannya sejak belasan tahun.

Bila diperkenalkan bahawa Abuya ialah dari Bani Tamim, beliau cepat merespon dan menambah bahawa masyarakat Bani Tamim sangat besar sekitar 100 ribu orang dan mereka terkenal sebagai pejuang-pejuang yang hebat sebelum kedatangan Rasulullah saw. Pada ketika itu Bani Quraisy baru sekitar 3 ribu orang sahaja. Bila salah seorang pemimpin Bani Tamim bernama Ahnaf ibni Uwais berjumpa Rasulullah saw, Rasulullah berkata kepada Ahnaf. “Kamu ada 2 kelebihan. Iaitu kebijaksanaan dan juga kesabaran yang tinggi”. Lalu Ahnaf bertanya kembali. “Adakah itu kami pelajari”. Jawab Rasulullah, “Tidak. Itu adalah anugerah Allah kepada kamu”. Kisah Bani Tamim ini diceritakan oleh beliau bila saya mencuitnya dengan hadis bahawa Bani Tamim adalah kelompok yang sangat menentang Dajjal nanti.

Kami menjamu sate sebagai menu utamanya dimakan dengan roti. Sambil makan dan melihat brochure cafe Nur Muhammad London kami perjelaskan kepada beliau yang kami datang ke sini atas tujuan dakwah dan cafe ini dijadikan tempat pertemuan dengan mereka-mereka yang mahu bekerjasama untuk mempromosi Tuhan dll.

Setelah selesai makan dan bermesra, kami mengambil kesempatan mempersembahkan video clip nasyid Rasa Bertuhan versi arab yang dinasyidkan oleh Khaulah Ashaari at Tamimi, Beliau mendengar dengan prihatin dan terus bertanya. “Kamu faham tidak apa maksud kata-kata nasyid ini”. Kami kata ya. Sebab lirik asalnya ditulis dalam bahasa Melayu dan diterjemahkan ke Arab. Dan Abuya yang menulis liriknya dan itu adalah satu dari 4000 sajak yang ditulisnya. Beliau berkata lirik ini sungguh indah dan menyentuh hati.



RASA BERTUHAN
Kalau manusia mengenali Tuhannya
Hancur luluh hatinya, lembutlah jiwanya
Tak sempat mengingati perkara yang lain
Hati dan jiwanya semata-mata terpaku
Dengan Tuhannya

Jika manusia mengenali Kehebatan
Keagungan Tuhannya, kecutlah perutnya
Kalau manusia sentiasa sedar, pendengaran
penglihatan dan pengetahuanNya

Chorus (2X)
Tuhan tidak pernah lekang dari manusia
Nescaya manusia itu tawadhuk merendah diri
Di bumi Tuhannya

Jika manusia rasa berTuhan hidup di hatinya
Matilah angan-angan
Takut pun datang menerpa di hatinya
Manusia akan sibuk dengan dirinya
Tak sempat memikirkan diri orang lain
Takut dan bimbang tak sempat mengumpat

Aduh! kalau Tuhan sentiasa di hati
Perasaan berTuhan mencengkam di hati
Mengenang pula nikmat
Nikmat Tuhan yang banyak
Bertambah perasaan cinta dan takut
Cinta kerana nikmat dan kasih sayangNya
Takut kalau nikmat ditarik semula
Kalau terbuat dosa akan diazabNya

Begitulah kalau seseorang hamba mengenali TuhanNya
Hatinya sangat sibuk dengan Tuhannya
Dunia dan nikmatNya tidak mempengaruhinya
Sekalipun dunia di tangannya

Bila nampak beliau sangat berminat lalu kami persembahkan pula nasyid kedua Terimakasih Tuhan dalam versi bahasa Arab yang dinasyidkan oleh Fatimah Ashaari atTamimi. Kali ini beliau nampak semakin fokus tunduk dan tangannya yang menongkat di meja mula menutup mukanya agak lama sambil terus mendengar nasyid. Kepalanya mula menggeleng-geleng ke kiri dan kanan tanda semakin asyik menghayati nasyidnya. Rupanya beliau sedang menangis. Kami segera hulurkan tisu kotak di sebelahnya apabila tangisannya semakin kuat dan teresak-esak.

Suasana jadi hening tanpa bicara. Hanya nasyid Terimakasih Tuhan yang berkumandang di kaca (semasa itu notebook, sekarang sudah dipasang TV) menutup suasana pertemuan kami. Sebaik saja habis nasyid itu, dengan mata merah dan air mata terus mengalir, beliau berkata. “Nasyid ini luar biasa. Ini akan mengubah orang Mahgribi! Siapa penulisnya?” Lalu kami bawa gambar Abuya berlaminate saiz A3 yg di dinding kepada beliau. Beliau menatapnya jarak dekat lalu mencium gambar tersebut dengan sungguh-sungguh sambil menangis. Lalu dia berkata. “Lirik ini luar biasa. Abuya tentu orang luar biasa. Lirik ini mengajar kita beradab dengan Tuhan. Hanya orang yang dekat dengan Tuhan yang tahu menulisnya!”

Kemudian beliau memohon nasyid itu diulang semula. Lalu dimainkan sekali lagi nasyid itu. Dia terus kelam kabut mencari pen dan kertas dan terus menulis liriknya sambil mendengar dengan air mata yang masih lagi bergenang di matanya. Bila habis saja nasyid dan menulis lirik bahasa Arabnya, beliau segera berkata, “Boleh bagi saya nasyid ini sekarang dan lain-lain nasyid yang seumpamanya. Saya nak bawa ke (negara yang saya hendak mesyuarat esok). Kami segera copy ke USB drive dan memberinya kepada beliau. Beliau mengambil USB tu lalu mencium USB tersebut tanda sangat menghargainya (seperti mencium Al Quran!). Kemudian beliau ke bilik air membasuh muka.

Rupanya rakan kami warga German berketurunan Maghribi itu juga turut menangis ketika nasyid tersebut dipersembahkan tetapi masih terkawal. Kawannya seorang lagi keturunan Maghribi warga German juga bagai terpegun melihat kawan-kawannya menangis lalu memberi respon. “Saya orang German. Kalau awak perlukan apa-apa bantuan di sini, beritahu saya. Insyaallah saya akan cuba membantu”

Setelah suasana agak tenang, kami memberitahu ahli politik itu, sekiranya ada permintaan dakwah di Maghribi, kami bersedia untuk bekerjasama dengan beliau. Beliau nampak gembira dan menyambut baik cadangan tersebut. Sebaik saja sebelum berpisah, beliau menghadap kami secara berdepan lalu berkata

“Saya telah berdakwah selama 35 tahun, tapi hari ini awak telah berjaya mendakwah saya!”

Lalu kami berpelukan dengan satu dakapan yang erat bagai saudara mara terdekat penuh kasih sayang.

Sungguh terharu dan menakjubkan sekali keajaiban ini, walaupun cafe belum beroperasi. Semasa beliau mengucapkan kata-kata ajaib itu, kebetulan dua orang bijak-pandai warga German yang baru tiba (asal Indonesia) mendengarnya. Kami menyambung penjelasan apa yang berlaku tadi dan mereka juga terkejut dan takjub. Lalu kami dijemput mengisi program bulanan pertemuan rakyat Indonesia dengan motivasi dan nasyid. Salah seorangnya juga menawarkan khidmat bantuan nasihat legal secara percuma kerana profesion beliau berkait dengan undang-undang.

Sesuatu yang tidak terfikir oleh kami. Dalam masa beberapa jam saja beberapa orang telah ditawan dan tertawan untuk turut sama membantu kebangkitan Islam di Eropah ini. Kenalan asal Indonesia tersebut bersedia mengatur dan mempromosi road tour Generasi Harapan di bandar-bandar German yang lain. Laluan besar sedang dibuka untuk mempromiskan Tuhan dan Islam di Eropah!

Kami juga mendapat rezeki dua buah kenderaan yang agak berwibawa, yang ditawarkan dengan harga kurang dari nilai sebenar oleh para simpati perjuangan, iaitu dari seorang warga Britain (sebuah BMW) semasa di England, dan sebuah Mercedes E- Class oleh seorang rakan warga German. Kedua-duanya dirancang digunakan untuk road-tour Eropah oleh group nasyid Generasi Harapan. Dua buah kenderaan ( Citroen dan Volkswagen Wagon) yang masih boleh berfungsi cuma perlu sedikit pembaikan juga telah dibaiah untuk kegunaan jemaah oleh seorang simpati warga German. InsyaAllah, sebuah food-van yang terbengkalai juga tersedia untuk diteruskan operasinya, saiznya dua kali ganda saiz food-van jemaah di Perth, Australia.

Krew dari Malaysia seramai 8 orang juga telah selamat sampai ke Eropah. Laluan masuk dimudahkan di mana tiba-tiba pada hari tersebut seluruh staf imigresen airport Paris, Charles de Gaulle telah melancarkan mogok. Keadaan menjadi agak tidak teratur dengan polis dan tentera terpaksa mengambil alih tugas menjaga urusan imigresen. Justeru itu semua mereka melepasi check point tanpa usul periksa panjang. Malahan mereka disambut dengan begitu terhormat kerana dianggap orang kaya yang ingin membuat pelaburan di Perancis. Sembang-sembang tidak rasmi dengan polis sambil berseloka dalam bahasa Perancis mengkagumkan mereka.

Pengarah Matrade German, Encik Sabri telah menelefon dan memberitahu bahawa beliau akan membawa wartawan dari Bernama untuk menemuramah wakil GISB tentang pembukaan satu-satunya cafe Melayu Malaysia dan Indonesia di Frankfurt. Beliau juga akan mengusahakan wartawan akhbar dan radio tempatan German datang untuk membuat liputan dan promosi juga katanya. Hasil promosi beliau juga, Pengarah Matrade London telah datang makan di cafe Nur Muhammad di London!

Suasana Cafe Nur KL, Frankfurt pada hari pelancaran.

Pada hari pelancaran, hampir semua staf utama di konsulat Malaysia di Frankfurt hadir meraikan pembukaan Cafe Nur Kuala Lumpur. Yang paling awal sampai ialah seorang pegawai JPA bersama 3 orang student pada jam 10.30 pagi walaupun program bermula jam 1 tengahari. Merekalah yang membantu membakar sate sampai jam 5 petang di luar cafe. Hampir 1500 cucuk sate telah dibakar untuk jamuan. Cuaca sungguh baik dengan suhu sekitar 15 Celcius. Langit cerah sekali disertai dengan pancaran matahari yang terang. Hari-hari sebelumnya cuaca agak mendung dan sejuk. Semua yang hadir sangat terhibur dapat makan di luar kerana sudah lama terpaksa berkurung di rumah kerana cuaca sejuk di musim dingin (winter).

Director Matrade Encik Sabri dengan keluarganya pada jam 1.30 tengahari, walau katanya akan tiba pada jam 4.00 petang. Dengan wajah ceria beliau duduk memerhati suasana sekeliling yang baru dicat serba kehijauan. Gambar Abuya terpampang di dinding dengan hiasan gambar-gambar makanan. Dengan nada ceria dan excited beliau bertanya menu setiap satu masakannya. Lalu terkeluar di mulutnya “Kalau macam ni, saya akan datang setiap hujung minggu makan disini…Ahad buka kan?” Jelas sekali beliau tidak dapat menutup perasaan gembiranya mendapat satu cafe Melayu Malaysia yang jelas halal masakannya. Satu kebanggaan bagi beliau yang juga berperanan sebagai pegawai Matrade. Jam 2 petang ramai tetamu mulai berdatangan terutamanya para pelajar dari JPA dan sebahagian student MARA. Ada sekitar 50 orang juga student yang datang. Mereka mencuba semua jenis masakan. Duduk sembang-sembang agak lama. Memberi peluang kami bermesra dengan hampir semua mereka. Rata-rata pelajar Melayu lelaki dan beberapa orang Cina dan India. Pegawai penyelaras JPA tersebut tadi telah benar-benar mempromosikan cafe NurKL kepada para student kerana selepas ini insyaAllah cafe Nur KL akan menjadi tempat pertemuan beliau dengan para pelajar. Itulah yang selalu disebut-sebutnya. Turut hadir juga pada program semalam ialah staf Tourism & pentadbiran, juga wakil-wakil Konsul Malaysia. Pegawai-pegawai konsul juga telah menjemput kami ke rumah mereka sebagai tanda persaudaraan.

Tetamu-tetamu yang lain dari kelompok Indonesia. Selepas ini kami perlu segera menambah menu bakso, gado-gado dan lain-lain menu kegemaran rakyat Indonesia. Selain itu tetamu adalah terdiri dari wakil konsul Maghribi, wakil rasmi pentadbiran bandar Frankfurt, juga Presiden masjid terdekat merangkap Imam. Kesemua tetamu sekitar 150 orang.

Begitulah keajaiban yg berlaku di bumi Eropah ini. Ditengah-tengah kekecohan Global Ikhwan diserang di dada-dada akhbar di Malaysia, wakil kedutaan Malaysia dengan stafnya sangat terhibur dan berbangga dengan cafe Global Ikhwan. Malah merekalah yang merasmikan Cafe Nur Kuala Lumpur, Franfurt. Terima kasih Allah dan kerajaanNya. (Disediakan oleh wakil GISB di German)

Lihat foto-foto hari pelancaran di sini. Baca link : Operasi menawan Eropah (Khususnya England)

No comments:

Post a Comment