Sunday, March 4, 2012

Pemerintahan - MAJU

TRANSLATE

Pemerintahan MAJU


Pemerintahan Islam bukan wakil rakyat. Dia bukan dipilih oleh rakyat, bukan memperjuangkan hasrat rakyat, bukan bersuara mengikut suara rakyat atau bertindak mengikut kehendak rakyat. Dasar pemerintahannya juga tidak ditentukan oleh rakyat. Dalam Islam, pemerintah adalah wakil Allah.

ULIL AMRI

Dalam Islam, pemerintah itu disebut sebagai ulil amri. Namun ulil amri ini banyak tafsirannya. Di antaranya ialah:

  • Ulama yang amilin iaitu ulama yang berwibawa dan dihormati orang ramai.
  • Ahlul halli wal 'aqdi (majlis yang mengungkai dan mengikat).
  • Orang-orang yang berkuasa di dalam sesebuah negeri atau negara.
  • Pemimpin-pemimpin jemaah Islam.

Di sini, kita tumpukan kupasan ulil amri itu sebagai pemerintah yang berkuasa di dalam sesebuah negeri atau negara. Maksud ulil amri ialah yang mempunyai perintah. Tetapi kita selalu sebut sebagai pemerintah yang bermaksud pemerintah umum yang tertinggi atau teratas atau yang utama dan yang paling berkuasa yang memerintah sesebuah daulah atau negara.

Pemerintah seperti ini mempunyai kuasa untuk memerintah atau menyuruh rakyatnya sama ada untuk berbuat atau meninggalkan sesuatu perkara. Mereka juga mempunyai sultoh (kekuasaan dan kekuatan sama ada berbentuk maknawiyah atau lahiriah). Kekuasaan dan kekuatan maknawiyah itu seperti undang-undang, peraturan dan akta. Manakala kekuasaan dan kekuatan lahiriah pula ialah polis, tentera, para hakim, pegawai-pegawai tadbir dan sebagainya. Dengan sultoh tersebut, ulil amri boleh dan mampu memaksa rakyat agar taat dan patuh dan boleh pula menghukum rakyat yang ingkar terhadap perintah mereka.

KHALIFAH

Dalam Islam, pemerintah umum yang tertinggi ini juga disebut khalifah, yakni khalifah Allah. Ertinya pengganti Allah atau wakil Allah di bumi. Mereka bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja yang Allah perintahkan kepada mereka terhadap rakyat. Kerja-kerja ini termasuklah berkhidmat kepada rakyat, memimpin, mendidik, mengajar, mentadbir, mengurus, menyelesaikan masalah rakyat, membangunkan dan memajukan negara dan masyarakat. Allah mahu hamba-hamba-Nya semua diurus dan ditadbir dengan baik agar mereka semua di dunia ini mendapat layanan dan hak-hak yang sepatutnya mereka dapat dari Allah SWT. Untuk itu segala harta benda, kekayaan dan khazanah perbendaharaan termasuk kekayaan sumber alam semula jadi diserah kepada pemerintah. Supaya mereka agih-agihkannya dengan adil kepada rakyat dan menggunakan sebahagiannya untuk menyediakan serba-serbi keperluan rakyat dan negara. Supaya negara berada di dalam keadaan aman, makmur dan mendapat keampunan Allah seperti dalam firman-Nya:

Maksudnya: "Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Allah. " (As Saba': 15)

Oleh kerana pemerintah itu adalah pengganti Allah dalam menjalankan keadilan di kalangan manusia, maka Allah memerintahkan hamba-hamba-Nya agar taat kepada pemerintah sesudah taat kepada Allah dan kepada Rasul.

Firman Allah Taala:

Maksudnya: "Wahai mereka yang beriman, taatilah Allah, taatilah Rasul dan yang mempunyai kuasa di kalangan kamu. " (An Nisa': 59)

Ketaatan kepada pemerintah, ulil amri atau khalifah yang adil yang benar-benar mewakili atau mengganti Allah untuk mentadbir bumi adalah penting, supaya hukum-hukum Allah yang hendak dijalankan dalam negara dapat berjalan dengan baik. Dan supaya kehidupan hamba-hamba Allah juga dapat diurus dengan baik. Terhadap mana-mana yang degil dan melawan perintah, dibenarkan pemerintah menghukum mereka demi menjaga dan mengawal kebaikan dalam masyarakat. Dengan syarat kesalahan itu betul-betul kesalahan yang menyalahi syariat dan diiktiraf oleh syariat. Pemerintah tidak boleh gubal hukum dan undang-undang sendiri dengan membelakangkan dan menyalahi undang-undang dan hukum Allah. Jika pemerintah berbuat demikian, maka ia akan jatuh kepada hukum fasiq atau zalim atau kafir. Firman Allah SWT:

Maksudnya: "Barang siapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah maka mereka adalah orang fasiq. " (Al Maidah: 47)

Maksudnya: "Barang siapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah maka mereka adalah orang zalim." (Al Maidah: 45)

Maksudnya: "Barang siapa yang tidak berhukum dengan hukum AHah maka mereka adaiah orang kafir." (Al Maidah: 44)

Kalau pemerintah sudah tidak taat dengan Allah, maka dalam keadaan itu, rakyat tidak lagi wajib taat kepada pemerintah tetapi dalam hal atau perkara yang bertentangan dengan syariat itu sahaja. Namun dalam hal-hal yang lain yang tidak menyalahi syariat, rakyat wajib terus taat. Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: "Tiada ketaatan kepada seorang makhluk dalam soal menderhakai Allah."

Oleh kerana di tangan pemerintah ada kekuasaan, kekuatan dan kekayaan negara, maka pemerintah bebas melakukan sebanyak-banyak kebaikan atau sebanyak-banyak kejahatan. Ini bergantung sama ada pemerintah itu beriman atau tidak. Pemerintah yang beriman akan mampu menjadi penguasa yang adil seperti yang Allah perintahkan. Tetapi pemerintah yang tidak beriman atau lemah imannya akan menyalahgunakan kuasa dan harta negara untuk kepentingan nafsu mereka sahaja. Pemerintah yang adil, yang dapat melayan rakyatnya dengan baik, yang menjatuhkan hukuman dengan tepat dan yang meletakkan rakyatnya pada posisi yang betul, sehingga rakyatnya mendapat hak dan keperluan yang cukup, adalah pemerintah yang telah menunaikan amanah dan tanggung jawabnya dengan betul. Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: "Sehari seorang raja berlaku adil, lebih besar pahalanya daripada (seorang abid) yang beribadah 60 tahun."

Ini kerana ibadah seorang abid hanya menguntungkan dirinya sendiri sahaja. Sedangkan satu keadilan yang dilakukan oleh pemerintah akan melimpah-ruah kebaikannya kepada rakyat. Pemerintah yang adil juga mendapat tempat yang pertama di sisi Allah di antara tujuh golongan yang Allah lindungi di hari Akhirat.

Pemerintah yang adil pernah wujud dalam sejarah tetapi banyak yang tidak lama pemerintahannya. Namun ia tidak sebanyak pemerintah yang tidak adil atau zalim. Di antara pemerintah yang adil yang pernah muncul dalam sejarah mengikut ukuran dan nilai Islam ialah Rasulullah SAW, Khulafa ur Rasyidin, Sayidina Umar Abdul Aziz, Muhammad Al Fateh dan Salahuddin Al Ayyubi. Pemerintah yang zalim dan tidak adil ialah pemerintah yang mengaut harta negara untuk dirinya, keluarga dan kroni-kroninya. Yang tidak memberi bantuan kepada rakyat yang tidak menyokong mereka atau yang mereka anggap sebagai musuh. Yang menyalahertikan tugas dan tanggung jawab kepimpinan dengan menjadikannya sebagai satu sumber pendapatan yang lumayan. Yang mengambil kesempatan atas amanah rakyat untuk jadi kaya-raya. Yang bekerja bukan untuk kepentingan rakyat jelata dan negara, jauh sekali untuk agama. Yang menindas, menekan, menganiaya, khianat dan berlaku zalim kepada rakyat. Hukuman bagi pemerintah seperti ini sangat berat di Akhirat nanti. Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: "Manusia yang paling dahsyat seksaan di hari Qiamat ialah pemimpin yang zalim."

KENAPA PERLU PEMIMPIN

Dalam Islam, adanya seorang pemimpin atau pemerintah dalam negara adalah wajib. Maknanya, setiap rakyat dalam satu negara wajib ada pemimpin. Kalau tidak, maka berdosalah setiap orang Islam dalam negara tersebut.
Pentingnya pemimpin adalah untuk mengajar, mendidik dan memimpin rakyat kepada jalan kebenaran, keadilan, keselamatan dan kebahagiaan hidup yang hakiki dunia dan akhirat.

Dengan kata yang lain, pemimpin bertanggungjawab untuk membuat rakyat dan negara aman, makmur dan men-dapat keampunan Allah. Untuk itu, pemimpin bukanlah boleh sebarang orang. Bukan terlantik hasil diundi atau hasil merebut-rebut jawatan atau hasil menonjolkan diri. Pemimpin bukan juga dipilih kerana ada kelulusan atau ijazah. Kelulusan dan ijazah dunia tidak relevan dan bukan syarat untuk menjadi pemimpin. Sebab pemimpin bukan bekerja untuk mendapat-kan rezeki dan tidak juga untuk mencari publisiti. Lebih-lebih lagi bukan untuk mengaut harta dan kekayaan.

Tugas pemimpin adalah untuk menyelamatkan rakyat dan umat di dunia dan di Akhirat. Untuk itu, dia hendaklah orang yang betul-betul boleh membuat kerja tersebut. Dia mesti ada karisma kepimpinan yang Tuhan bekalkan kepadanya, ilmu kepimpinan, watak semula jadi, latar belakang kehidupan dan didikan awal yang sesuai untuk melayakkan dia dapat membawa umat kepada keselamatan dunia dan Akhirat. Kalau dia bukan orangnya dan dia tidak layak, akan rosak umat dan rakyat dikerjakannya.
Hadhari atau tidak sesebuah negara banyak bergantung kepada pemimpin. Sebab itu, Islam ada menetapkan syarat-syarat dan sifat-sifat yang wajib ada pada seseorang pemimpin.

SYARAT-SYARAT MENJADI PEMIMPIN

  1. Beragama Islam. Orang yang bukan Islam tidak boleh menjadi pemimpin kepada orang Islam.
  2. Lelaki. Perempuan tidak boleh jadi pemimpin. Cuma boleh jadi wakil pemimpin.
  3. Baligh. Kanak-kanak tidak boleh jadi pemimpin.
  4. Akil. Yakni berakal atau cerdik. Orang yang lemah akal atau gila tidak boleh jadi pemimpin.
  5. Merdeka. Hamba sahaya tidak layak menjadi pemimpin.
  6. Sempurna anggota. Orang cacat atau rosak pancaindera tidak boleh jadi pemimpin. Sebab cacat itu menghalang dia untuk aktif dalam tugasnya.

SIFAT-SIFAT YANG WAJIB BAGI PEMIMPIN

1. Ada ilmu Islam dan ada minda

Sepatutnya ilmu pemimpin bertaraf mujtahid. Paling tidak dia mesti mempunyai ilmu yang agak luas secara menyeluruh. Yakni pemikirannya dalam semua aspek ilmu didasarkan kepada ilmu wahyu dan sabda Rasul. Kerana sebagai pemimpin, dia mesti tahu untuk menjatuhkan hukum sama ada halal atau haram, wajib atau sunat, makruh atau harus dan lain-lain lagi. Kerana dasar, teknik dan matlamat kerja ke atas sesuatu perkara yang hendak dibangunkan, perlaksanaan, jalan penyelesaian dan jawapannya mesti tepat dengan Al Quran dan Hadis. Ini termasuklah dalam soal pentadbiran, projek-projek perindustrian, pendidikan, pertanian, kesihatan, ketenteraan dan lain-lain lagi. Demikian juga terhadap sebarang isu semasa yang selalu berlaku sama ada isu yang kecil atau besar, yang dalam negara atau luar negara atau tentang perkara-perkara yang berubah dan berkembang di dunia, kesemuanya perlu ditentukan hukumnya. Pemimpin mesti dapat menentukan sikap yang benar menurut Islam, mana yang boleh dan mana yang tidak boleh, mana yang halal dan mana yang haram, mana yang bahaya dan mana yang tidak bahaya dan lain-lain kemungkinan lagi-Hal ini sungguh penting. Kalau pemimpin gagal menentukan sikap yang tepat untuk jangka pendek atau jangka panjang, macam-macam kemungkinan atau perkara yang tidak baik akan berlaku pada negara dan masyarakat. Oleh itu pemimpin perlu sekati ada ilmu Islam, minda serta idea yang kreatif dan stategik. Rasulullah SAW pernah bertanya kepada Sayidina Muaz ketika melepaskannya untuk menjadi gabenor di Yaman:

Sabda baginda: "Dengan apa nanti engkau menghukum?"
"Dengan Kitabullah,"
jawab Muaz.
"Kalau tidak ada?"
"Dengan Sunnah Rasulnya."
"Jika tidak ada dalam Sunnahnya?"
Muaz menjawab, "Aku akan berijtihad dengan fikiranku."
Rasulullah berkata, "Segala puji bagi Allah yang menyelaraskan fahaman utusan Rasulullah dengan apa yang diredhai Rasulullah."

Dalam kepimpinan seribu satu hal dan persoalan akan timbul dan berbangkit. Tidak semua perkara itu ada dalam Al Quran dan Hadis. Maka di situlah idea dan minda seorang pemimpin (yang berdasarkan wahyu) sangat penting. Dengan mindanya, dia boleh melakukan ijtihad fikri dalam semua hal dan isu yang berbangkit. Sebaliknya, kalau seorang pemimpin itu tidak tajam akalnya, ilmu tidak cukup, tidak ada minda pula, tidak kreatif dan tidak pandai berstrategi, jiwa negara dan rakyat akan jadi malap dan lesu, hidup segan mati tak mahu. Rakyat akan menjadi liar. Masalah yang timbul akan lebih banyak dari kebaikan yang berlaku. Sekalipun, dari segi peribadinya, pemimpin itu seorang yang baik. Ilmu kepimpinan yang diajar di Universiti pada hari ini tidak disandarkan kepada ilmu-ilmu wahyu. la disandarkan semata-mata kepada ideologi hasil akal fikiran manusia. Justeru itu, ia telah melahirkan pemimpin dunia yang gagal memimpin manusia dan negara hingga menjadi betul-betul aman makmur dan mendapat keampunan Allah. Bukan sahaja negara tidak boleh maju, bahkan rakyat tidak terdidik dan masalah-masalah dalam negara tidak dapat diselesaikan dan diatasi. Begitu juga ilmu yang didapati di pengajian-pengajian pondok, pesantren dan sekolah-sekolah agama hari ini. la pasif dan beku. la gagal melahirkan pemimpin yang dapat menyelesaikan pembangunan insaniah dan sekali gus pembangunan material ummah. Akibatnya di kebanyakan negara-negara umat Islam di dunia, rakyatnya merempat. Sentiasa berhadapan dengan masalah kewangan, krisis sesama sendiri, perpecahan, pergaduhan, pergeseran, tindas-menindas, menyalahgunakan kuasa, tuduh-menuduh dan seribu satu macam masalah yang kebanyakannya tidak dapat dijawab atau diselesaikan oleh pemimpinnya. Bahkan pemimpin sendiri turut membuat masalah. Negara jadi lebih lemah, mundur dan bertambah hancur.

2. Tahu memimpin rakyat

Pemimpin seolah-olah orang yang celik yang membawa orang-orang buta menuju ke matlamatnya. Rakyat yang berjuta-juta dalam sesebuah negara hendak dijaga, dikawal, digerakkan fizikal, mental dan spiritual mereka agar menjadi berguna untuk diri, keluarga, masyarakat, agama dan negara. Mereka perlu diletakkan di tempat, kedudukan dan peranan yang tepat supaya setiap orang dapat memberi sumbangan kepada agama, negara dan masyarakat.

Bukan senang hendak pimpin orang. Bukan senang orang hendak ikut cakap kita. Juga bukan senang hendak menjadikan rakyat yang jahil menjadi pandai, yang malas jadi rajin, yang degil jadi taat, yang liar jadi jinak, yang tidak pernah buat kerja hendak disuruh bekerja, yang jahat hendak jadi baik, yang tidak faham syariat hendak diberi faham tentang syariat, yang menentang jadi patuh dan sebagainya. Lebih-lebih lagi bukan senang hendak membina negara dan masyarakat yang maju di atas segala masalah, kelemahan dan kejahilan yang ada. Tetapi itulah tugas pemimpin Islam. Dia mesti tahu cara-cara memimpin, tahu seni silatnya, tahu sepak terajangnya, umpan-umpannya, rahsia-rahsia dan segala-gala yang berkaitan dengannya. Ilmu-ilmu ini bukan diperolehi dari dewan-dewan kuliah mana-mana universiti. Tidak juga di pondok-pondok, pesantren atau sekolah-sekolah agama. Sumber ilmu ini diperolehi oleh seseorang pemimpin daripada:

i. Al Quran dan Hadis
ii. Watak dan jiwa pemimpin yang terasuh sejak kecil
iii. Latarbelakang kehidupan dan pengalaman hidup di tengah-tengah masyarakat yang penuh pancaroba
iv. Pengalaman memimpin, cita-cita perjuangan dan hidupnya.
v. Bantuan Allah sama ada dari segi ilmu-ilmu yang di-ilhamkan atau setidak-tidaknya yang didorongkan.


Kerja pemimpin bukan boleh dibuat dengan rasmi-rasmi, dari atas pentas, dari jauh atau dari pejabat yang berhawa dingin. Hendak jadikan si buta pandai berjalan, mana boleh arah-arah dari jauh. Kita kena pegang tangannya dan dituntun perlahan-lahan. Atau kita kena beri dia tongkat dan ajar dia bagaimana hendak menggunakannya. Ini kena dibuat bersungguh-sungguh dan berkali-kali hingga dia pandai sendiri.

Ertinya pemimpin mesti hidup di tengah-tengah masyarakat, makan bersama, berbincang bersama dan sembahyang berjemaah bersama. Tidak boleh berjumpa rakyat di majlis-majlis rasmi sahaja. Hingga kehidupan lahir dan batin Pemimpin dapat dicontohi, diikuti dan diteladani oleh rakyat. pemimpin jangan sampai mengecilkan hati rakyat. Pendapatan dan kekayaan pemimpin janganlah sampaj melukakan hati rakyat. Untuk kejayaan dalam memimpin hingga rakyat boleh kasih dan taat setia padanya, pemirnpin mestilah menjadi sebahagian dari rakyat. Pemimpin yang menjauhi rakyat dan tidak ambil tahu tentang masalah rakyat nanti rakyat pun akan buat tidak tahu kepadanya.

3. Mendidik

Selain dari ada idea, minda dan ilmu kepimpinan yang tepat, pemimpin mesti mampu mendidik umat. Dia mesti mampu menyampaikan ilmu kepada rakyat sama ada ilmu Al Quran dan Hadis atau mindanya. Pemimpin yang pandai tetapi tidak mendidik rakyat tidak akan dapat menjayakan kepimpinan-nya. Macam-macam arahan dan dasarnya nanti tidak akan terlaksana. Ini kerana apabila pembangunan insan tidak berjaya, pembangunan material juga tidak akan dapat berjalan. Akan berlaku banyak penipuan dan penyelewengan.

Untuk mendidik rakyat, pemimpin mestilah memperbaiki diri. Dia mesti mempunyai lebih banyak sifat mahmudah daripada sifat mazmumah. Para pemimpin perlu ingat bahawa gagalnya kepimpinan yang ada di dunia hari ini umumnya adalah kerana adanya sifat jahat pada diri mereka yang diperturutkan. Terutama sifat ego, pemarah, bakhil, mementingkan diri, tidak ada belas kasihan, riyak dan sebagainya.


Sifat-sifat ini kalau dikekalkan, orang cepat lari dari kita. Orang benci, kecil hati dan marah kepada kita. Mungkin di depan kita mereka tunduk dan patuh kerana takut kepada kita tetapi di dalam hati dan di belakang, mereka mengata, mengutuk dan mengumpat kita. Di waktu itu, segala kepandaian, kehebatan dan jasa kita tidak bernilai lagi. Kita akan tinggal sendirian dan akan dilupakan orang.

Sebab itu Allah melarang sifat-sifat mazmumah ini diperturutkan. la akan membinasakan diri kita sendiri. Sifat riak misalnya akan memusnahkan kebaikan pemimpin kerana dia buat bukan kerana Allah tetapi kerana harapkan pujian manusia agar orang kenang jasanya. Supaya orang beri hati dan undi kepadanya. Dia juga terdorong untuk menyebut-nyebut dan mengungkit-ungkit jasanya. Orang begini sudahlah manusia benci, Allah pun sangat murka kepadanya. Firman Allah SWT:


Yang bermaksud"Wahai orang yang beriman, janganlah kamu membatalkan sedekah kamu (segala bentuk kebaikan) dengan menyebut-nyebut meminta dibalas dan menyakiti (perasaan penerima)." (Al Baqarah: 264)


Jadi, pemimpin mesti belajardan mendidik diri untuk jadi orang ikhlas. Hal ini bukan mudah. Apa lagi kalau tidak ada ilmu agama khususnya ilmu ihsan, akhlak atau tasawuf. Lebih-lebih lagilah bagi pemimpin yang menentang ajaran tasawuf, sufi dan tareqat. Dengan ilmu apa lagi mereka dapat bersihkan hati dan melawan hawa nafsu mereka. Takkanlah dengan ilmu siviks, sains, kesusasteraan, kejuruteraan, kedoktoran dan seumpamanya.

4. Taqwa

Pemimpin Islam mestilah yang memiliki sifat-sifat taqwa. Yakni orang yang sangat patuh dan taat kepada Allah dan Rasul, lahir dan batin. Seorang yang amat takut dengan dosa dan sangat memperjuangkan hukum-hukum Allah dalam diri, keluarga serta masyarakatnya. Orang beginilah yang hampir dengan Allah. Dia redha pada Allah dan Allah pun redha Padanya. Apa yang dia lakukan semuanya dapat restu dari Allah. Dalam sebuah Hadis Qudsi, Allah SWT berfirman:

Maksudnya: "Takutlah oleh mu firasat orang mukmin kerana dia memandang dengan cahaya Allah."

Orang-orang seperti ini, kerjanya dibantu, dipermudahkan dan diberkati Allah. Allah menyatakan janji-Nya ini dalam firman-Nya:

Maksudnya:" Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, Allah akan leaskan dia dari masalah hidup dan memberi rezeki dari sumber yang tidak diduga. (At Thalaq: 2-3)

Maksudnya:" Allah menjadi pembela bagi orang yang bertaqwa." (Al Jasiyah:19)

Pemimpin Islam hanya akan berjaya dalam kepimpinan kalau dia ada taqwa. Tanpa taqwa, Allah akan biarkan dia dengan seribu macam masalah yang maha rumit. Bila pemimpin melupakan dan membelakangkan Allah, maka Allah akan melupakan dia.

PEMERINTAH ISLAM ADALAH WAKIL TUHAN

Pemeritahan Islam bukan wakil rakyat. Dia bukan dipilih oleh rakyat. Dia bukan memperjuangkan hasrat rakyat. Dia bukan bersuara mengikut suara rakyat atau bertindak mengikut kehendak rakyat. Dasar pemerintahannya juga tidak ditentukan oleh rakyat.

Dalam Islam, pemerintah adalah wakil Allah. Ertinya dia dilantik oleh Allah secara langsung atau tidak langsung. Dia bertanggungjawab menjalankan dasar dan matlamat pemerintahan sepertimana yang Allah mahu. Selaku wakil Allah, dia paling faham tentang Allah, tentang matlamat pemerintahan yang Allah mahu, tentang hukum-hakam Allah dan tentang cara hendak melaksanakannya. Dasar dan matlamat pemerintahannya bukan ditentukan oleh akal dan nafsu tetapi berpandukan dasar yang termaktub di dalam Al Quran dan As Sunnah.

Allah melantik pemerintah Islam berbagai cara. Ada melalui wahyu. Ada yang diisyaratkan melalui Hadis. Ada yang dilantik melalui 'ahlul halli wal 'aqdi' (majlis yang mengungkai dan mengikat). Di kalangan pemerintahan Islam yang Allah lantik, yang paling utama ialah para nabi dan para rasul yang Allah tunjuk melalui wahyu. Kemudian para wali yang bertaraf mujaddid termasuk Muhammad Al Fateh yang disebut melalui Hadis. Juga yang disebut oleh Hadis ialah Imam Mahdi dan Pemuda Bani Tamim yang bakal memerintah di akhir zaman. Di antara pemerintah yang dilantik melalui 'ahlul halli wal 'aqdi' ialah keempat-empat Khulafa ur Rasyidin. Mereka ini adalah pemerintah Islam yang haq. Sebab itu hasil pemerintahan mereka sungguh luar biasa. Yakni tercapai keamanan dan kemakmuran yang hakiki.

Hadirnya pemerintah wakil Tuhan ini benar-benar membawa kebahagiaan pada seluruh manusia. Inilah pemimpin yang Islam perintahkan umatnya taat. Dia tidak boleh ditukar ganti. Kepimpinannya seumur hidup. Selagi tidak ada uzur syar'i seperti sakit, dia tidak boleh mengundurkan dirinya dari memimpin.

Ahlul halli wal 'aqdi dinamakan juga Majlis Syuyukh (Dewan Eksekutif) atau Majlis Tanfiz (Dewan Meluluskan). Majlis ini menentukan dasar pemerintahan, meluluskan atau membuat keputusan terhadap persoalan-persoalan penting negara, tentang hukum-hakam yang tidak jelas dan tentang isu pemimpin dan kepimpinan negara. Siapa yang layak boleh dijemput menjadi ahli majlis ini. Ahli tidak semestinya dari kalangan pemimpin rasmi.

PEMERINTAH YANG BAIK

Pemerintah atau pemimpin yang baik adalah pemimpin yang bertaqwa. Disamping itu dia perlu ada empat kekuatan pada dirinya. .

Taqwa

Pemimpin yang bertaqwa itu mendapat beberapa kelebihan dan kemuliaan dari Tuhan. Di antaranya:

1. Dia diberi ilmu yang tidak ada dalam kitab atau dalam pengalaman orang atau pada guru. Dia dia diajar secara langsung oleh Allah, Maha Guru bagi segala guru yang ilmu-Nya bagaikan lautan. Ilmu itu diajar melalui perantaraan hati, bukan akal lagi. Jadi hati pemimpin yang bertaqwa ini bercahaya-cahaya. Dia boleh menyuluh kehidupan yang nyata dan yang ghaib dengan terang sekali. Dia boleh memlihat perkara-perkara yang tidak boleh dilihat oleh mata kepala dan mata akal. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

Maksudnya:" Bertaqwalah kepada Allah, nescaya Allah akan mengajar kamu." (Al Baqarah:282)

Dalam sebuah Hadis Qudsi, Allah SWT berfirman:

Maksudnya: "Takutlah oleh mu firasat orang mukmin kerana dia memandang dengan cahaya Allah." Dalam satu hadis lagi, Maksudnya: "Barangsiapa beramal dengan ilmu yang dia tahu, Allah akan pusakakan kepadanya ilmu yang dia tidak tahu."

2. Dia dilepaskan dari masalah. Pemimpin sangat memerlukan bantuan Allah di waktu hadapi seribu satu macam masalah negara dan masalah rakyat yang mendatanginya. Tanpa bantuan Allah, umumnya, seseorang pemimpin itu tidak akan mampu untuk menyelesaikan masalah. Bahkan makin dicuba, akan timbul lebih banyak masalah lain. Seperti seorang yang mempunyai kereta yang rosak dan dia mahu memperbaiki keretanya sendiri. Dia tidak tahu apa-apa tentang kereta itu kerana bukan dia yang membuatnya. Dia pun tidak mempunyai ilmu tentang kereta tersebut. Kalau dia perbaiki juga, nescaya kereta itu akan jadi lebih rosak lagi. Dia perlukan bantuan mekanik kereta yang tahu selok belok tentang kereta itu. Contohnya seperti masalah AIDS yang mencabar dunia hari ini. Kerana tidak dirujuk kepada ajaran Allah dan tidak pula meminta pertolongan-Nya, penyelesaian yang dibuat membawa kepada pertumbuhan berbagai masalah lain. Manusia disarankan mengamalkan seks yang selamat (safe sex) dengan memakai kondom. Hasilnya, AIDS tidak dapat dibendung, zina pula berlaku dengan lebih banyak. Hakikatnya masalah tidak selesai juga kerana zina itu adalah suatu penyakit sosial yang sangat dahsyat. la perbuatan yang berdosa, yang keji dan yang merosakkan keturunan. Masalah zina itu lebih dahsyat dari masalah AIDS itu sendiri kerana AIDS itu hanya buahnya walhal zina itu pokoknya. Kalau orang mengidap AIDS, dia tidak berdosa kerana penyakit itu, dosanya adalah kerana berzina.

3. Dia mendapat rezeki dari sumber yang tidak diduga.

Sebab itu orang bertaqwa boleh selesaikan masalah ekonomi dan masalah-masalah seperti itu kerana bagi mereka, ada jalan-jalan kemasukan rezeki yang luar biasa. Hal ini dapat disaksikan dengan ketara dalam realiti kehidupan orang-orang yang bertaqwa. Allah Taala berfirman:

Maksudnya: "Barangsiapa yang bertaqwa Allah, Allah akan lepaskan dia dari masalah hidup memberi rezeki dari sumber yang tidak diduga."( Thalaq: 2-3)

Mempunyai Empat Kekuatan

Di samping taqwa, pemimpin yang baik juga perlu ada empat-kekuatan iaitu kekuatan jiwa, kekuatan mental atau akal (ada minda), kekuatan perasaan dan kekuatan fizikal, dengan syarat keempat-empat kekuatan ini ditunjangi oleh iman dan taqwa.

1. Kuat jiwa
Seseorang pemimpin memerlukan kekuatan jiwa kerana pemimpin perlu pada sifat-sifat tabah, redha, berani, tahan diuji, yakin dengan diri, tegas, optimis, bersungguh-sungguh, lapang dada, berkasih sayang dan serius dalam tugasnya. Tanpa sifat-sifat ini, seseorang pemimpin tidak akan mampu menghadapi dan menyelesaikan masalah dan persoalan yang timbul sama ada dalam hal urusan di kalangan manusia ataupun dalam hal urusan pembangunan material.

Kalau negara menghadapi ujian, tekanan atau cabaran sama ada dari dalam atau dari luar, pemimpin yang tidak kuat jiwa akan mudah melatah, panik dan ketakutan dan akan bertindak melulu. Semangat untuk meneruskan perjuangan mungkin patah. Rakyat yang melihat hal ini akan turut rasa cemas dan sekaligus semangat juang mereka akan luntur dan lemah.

Pemimpin yang tidak kuat jiwa tidak tahan diancam atau dicabar. Dia akan spontan menjawab dan bertindak. Dia boleh cabar orang lain tetapi dia sendiri tidak tahan dicabar. Kadang-kadang musuh sengaja mencabar untuk melihat kelemahannya apabila dia meracau-racau, menempelak, mempermain-mainkan dan menjatuhkan lawannya.

Pemimpin yang tidak kuat jiwa biasanya akan membiarkan rakyatnya bersikap lembab, malas dan bermain-main terhadap aktiviti pembangunan. Pada mereka, yang penting ialah sokongan rakyat. Rakyat lembab ke, malas ke tak apa. Kesungguhan untuk menggiatkan rakyat agar lebih aktif, lebih berkemajuan dan berdisiplin tidak ada. Akhirnya negara tidak membangun, rakyat mundur dan tidak berakhlak dan banyak masalah negara tidak selesai.

2. Kuat mental

Kekuatan mental atau kuat akal atau kuat fikiran sangat penting bagi seorang pemimpin. la umpama lampu penyuluh perjalanan hidup rakyat. Tanpa pemimpin yang kuat mental, rakyat seolah-olah berada dalam kegelapan. Bila pemimpin lemah fikiran, dia kekurangan idea yang baik dan tepat untuk bertindak, merancang dan menyelesaikan masalah. Dia tidak kreatif dan tidak strategik. Dia tidak ada minda sendiri, hanya meminjam minda dan idea orang lain. Dia mudah buntu bila berhadapan dengan masalah.

Bila dicabar atau diancam, dia tidak tahu bagaimana hendak melepaskan diri dan bertindak balas. Kadang-kadang, kerana tidak cerdik, perkara yang tidak baik dikatakannya baik dan begitulah sebaliknya. Keadaan yang berbahaya, dia tidak nampak dan tidak sedar maka dibiarkannya. Dia mudah termakan tipuan dan umpanan musuh.

Pemimpin yang mempunyai akal yang tajam dan mental yang kuat, dia dapat membaca sebab-sebab timbulnya sesuatu asalah dengan tepat dan pandai pula mencari jalan penyelesaian yang konkrit. Dia nampak kemungkinan-kemungkinan yang bakal berlaku terhadap sesuatu tindakan yang orang lain tidak nampak. Hal-hal yang tersirat dan tersembunyi dapat dibaca dan difahaminya. Tipuan musuh dapat dikesan dan dia mempunyai daya untuk bertindak balas dengan bijak dan tajam. Rancangannya tepat, strateginya mengena dan mindanya mampu menjayakan program pembangunan insan dan material dalam masyarakat dan negara.

3. Kuat perasaan

Kekuatan perasaan penting untuk menimbang-nimbang perasaan, keperluan, kepentingan dan masalah orang lain dan rakyat. Kekuatan perasaan menimbulkan sifat bertimbang rasa, berlemah lembut dan berkasih sayang sesama manusia. Kekuatan perasaan membolehkan kita untuk menangkap dan memahami perasaan dan hal-hal disebalik hati-hati manusia dan tahu bagaimana untuk menenangkan, menyenangkan dan menghiburkan mereka.

Kalau pemimpin tidak ada kekuatan perasaan, dia akan kasar, bengis dan kejam terhadap rakyat. Kalaupun rakyat taat kepadanya, adalah kerana takut dan terpaksa. Lama-kelamaan, rakyat akan jemu dan akan meninggalkannya. Dia kurang berhalus dan tidak sensitif dengan ragam manusia. Dia tidak pandai untuk memujuk, menjaga hati, mengambil| hati dan menghibur untuk menawan hati manusia. Kepimpinannya sentiasa tegang, serius dan formal. Tidak wujud tolak ansur, berlapang dada atau memaafkan rakyat yang bersalah atau lemah. Dia banyak melanggar dan merempuh dan memecahkan ukhwah. Akhirnya, kepimpinannya tidak membawa apa-apa hasil yang baik.

Pemimpin yang ada kekuatan perasaan akan berhasil dalam membuat pertimbangan dan tindakan terhadap manusia. Dia ditaati dan dikasihi. Dia dipuja kerana pandai melayan dan menghiburkan hati rakyatnya tanpa mengorbankan prinsip dan identiti. Dia tegas tetapi tidak keras. Dia bersungguh-sungguh tetapi tidak merempuh. Dia lembut, pengasih dan pemaaf tetapi tidak lembab, lemah atau cuai. Dia sabar tetapi tidak membiarkan rakyat. Dia diterima rakyat kerana akhlaknya, bukan sahaja kerana bijak dan beraninya. Pemimpin seperti ini bukan sahaja berada di mata tetapi juga di hati rakyat.

4. Kuat fizikal

Pemimpin perlu ada kekuatan fizikal. Kalau pemimpin tidak aktif, tidak sihat, tidak lincah dan selalu tidak hadir program, kepimpinannya akan menjadi jumud dan kaku. Pemimpin yang sempurna dengan kekuatan jiwa, mental, perasaan dan fizikal yang ditunjangi pula oleh iman dan taqwa, itulah pemimpin yang akan berjaya dalam kepimpinannya, yakni berjaya dalam mentaati Allah dan Rasul. Kalaupun seseorang itu mempunyai keempat-empat kekuatan di atas tetapi tidak ditunjangi oleh iman dan taqwa, maka kekuatan itu tidak akan dapat mencapai kesuburan yang maksimum. Umpama pokok, kalaupun benihnya baik tetapi kurang dapat baja, kesuburan dan hasilnya akan tetap terjejas. Pemimpin yang tidak beriman dan bertaqwa, jiwanya tidak sampai kepada kemerdekaan yang hakiki kerana dia masih berpaut kepada kepentingan dunia, tidak kepada Allah yang Maha Tinggi. Perasaannya tidak sampai dapat menyingkap rahsia yang tersirat di sebalik hati manusia. llmunya pula tumpul dan cetek, cuma di sekitar hal-hal yang terjangkau oleh otak sahaja.

Pemerintah yang lemah

Kalau pemerintah atau pemimpin yang baik itu beriman dan bertaqwa dan mempunyai kekuatan jiwa, mental, perasaan ikal, maka pemerintah atau pemimpin yang lemah pula kerana salah satu atau lebih dari satu kekuatan yang disebut itu tidak ada padanya. Sama ada jiwanya tidak cukup kuat,mentalnya tidak cukup tajam, perasaannya tidak cukup halus atau fizikalnya tidak cukup sihat.

Namun kelemahan pemimpin akan lebih menonjol kalau dia lemah mental atau lemah fikiran, sekalipun dia seorang yang baik dan bertaqwa. Sekalipun dia tidak menindas, tidak menzalim, tidak menyalahgunakan kuasa dan tidak mencari kepentingan diri dalam masa dia berkuasa.

Pemimpin yang lemah mental atau fikiran tidak ada idea atau minda. Dia tidak kreatif dan tidak strategik. Akibatnya, dia tidak tahu bagaimana caranya untuk mencipta kemajuan. Tidak tahu juga bagaimana hendak mengawal dan menjaga kemajuan yang sedia ada. Masalah tidak dapat dilihat sebagai masalah, tidak tahu pula bagaimana hendak menyelesaikannya. Dia tidak pandai membentuk dan mendidik rakyat yang membuat berbagai-bagai dan bermacam-macam masalah. Pembangunan insan di kalangan rakyat tidak berlaku dengan sempurna. Hasilnya, disebabkan pemimpin lemah fikiran, negara tidak maju, rakyat terbiar dan bila-bila masa sahaja musuh dapat memainkan dan menjatuhkannya.

Namun kalau pemimpin kuat mental tetapi lemah jiwa pula, kekuatan mental tidak ada erti apa-apa. Rancangan hanya tinggal teori dan idea semata-mata tetapi tidak terlaksana. Sebab untuk melaksanakan minda dan perancangan, pemimpin mesti dibantu oleh jiwa yang kuat iaitu bercita-cita, yakin, berani, tahan diuji, sanggup berkorban dan sebagainya. Mungkin ideanya banyak, tetapi tersimpan dalam fail di pejabat. Dia tidak berani turun gelanggang dan ke tengah masyarakat kerana takut risiko, cemas kepada kemungkinan-kemungkinan tidak baik yang akan timbul, tidak berani memecah tradisi, tidak sanggup melawan arus dan bermacam-macam lagi.

Akhirnya teori tinggal teori. Tidak ada praktikalnya. Pemimpin begini hanyalah pemimpin kertas kerja. Kertas bekerja, dia tidak bekerja. Dia hanya boleh memimpin seminar, memimpin simposium dan memimpin forum. Mukanya selalu di kaca televisyen dan ditonjolkan sebagai tokoh tetapi dia tidak bawa rakyat turun gelanggang. Kemajuan tidak berlaku. Bukan sahaja tidak mampu mengajak rakyat hidupkan pertanian di tanah terbiar, pertanian yang sudah ada di tanah subur pun terbiar. Bukan sahaja tidak boleh membangunkan kilang, kilang yang sudah wujud dan beroperasi secara kecil-kecilan pun tidak boleh ditingkatkan dan dibantu pemasaran produknya.

Tetapi sebaliknya, kalau pemimpin kuat jiwa sahaja tetapi mental atau fikirannya lemah, jadilah dia pemimpin bagaikan lembu yang menanduk tembok. Hebat keberaniannya tetapi tidak ada faedah. Silap-silap tanduk yang patah. Inilah keberanian melulu namanya. Bertindak semborono, tanpa rancangan, tidak bijak dan tidak berdisiplin. Pemimpin begini lebih banyak membuat masalah dari kebaikan. Rakyat susah dibuatnya.

Seterusnya, kalau pemimpin cuma ada kekuatan perasaan dan fikiran, lemah juga kepimpinannya. Kalau ada kekuatan perasaan dan jiwa sahaja, pun lemah juga kepimpinannya. Kalau tidak boleh ada kesemua kekuatan, maka setidak-tidaknya pemimpin itu mesti ada kekuatan fikiran (mental) dan jiwa.

PEMERINTAH YANG CACAT (ROSAK)

Pemerintah atau pemimpin yang cacat atau rosak ialah pemimpin yang mempunyai peribadi yang jahat. Mereka tidak beriman dan bertaqwa atau lemah iman. Akhlak mereka buruk sekali. Mereka sombong, takabur dan angkuh dengan rakyat. Mereka bakhil, tamak, kasar, pemarah, hasad dengki dan pendendam. Mereka memimpin bukan untuk membangunkan negara atau rakyat, tetapi untuk hidup berfoya-foya, bermewah-mewah dan membazirkan wang negara. Rakyat yang tidak menyokong mereka ditindas dan dizalimi. Mereka menyalahgunakan kuasa sewenang-wenangnya. Lagi cerdik mereka ini, lagi hebat kejahatan yang mereka lakukan. Lagi kuat jiwa mereka, lagi biadap mereka dengan Allah.

Dengan pemimpin seperti ini, akan berlaku huru-hara dalam negara. Pemerintah sama pemerintah bersengketa kerana perebutan harta dan kuasa. Para pengampu dan penjilat akan menghasut pemerintah bertindak terhadap penentang-penentangnya supaya mereka mendapat upah dan habuan serta kedudukan yang istimewa. Akan timbul kegelisahan dan ketegangan dalam negara. Akan berlaku bermacam-macam bala dan bencana dalam negara. Setiap hati rakyat merasa benci dan mahukan pertukaran pemerintahan kerana pemerintah yang ada sudah hilang wibawa dan keberkatannya.

PEMERINTAH YANG ADIL

Hanya pemerintah yang adil sahaja yang dapat membawa perpaduan, keamanan, kedamaian dan kemakmuran serta pengampunan Allah kepada rakyat. Hanya pemerintah yang adil dapat melahirkan manusia yang penuh keimanan, ketaqwaan, ketenangan, kelegaan, kepuasan dan kebahagiaan. Hanya pemerintah yang adil yang boleh menyelamatkan rakyat dari kegelisahan, krisis, ketegangan, kesempitan dan penderitaan. Hanya pemerintah yang adil sahaja yang mampu buatkan rakyat berkasih sayang, bertolong bantu, hormat menghormati antara satu sama lain, bertolak ansur, maaf bermaafan, bekerjasama, boleh duduk bersama, merendah di sesama mereka, pemurah, mencintai kebenaran dan doa mendoakan. Hanya pemerintah yang adil yang boleh mendidik rakyatnya hingga bersih dari segala hasad dengki, dendam, sombong, bakhil, tamak, gila dunia, gila puji, gila pangkat dan lain-lain lagi.

Hanya pemerintah yang adil yang mampu mendidik rakyat hidup secara sederhana dan merasa cukup dengan apa yang ada. Hanya pemerintah yang adil boleh membuatkan rakyat berebut-rebut mengisi tabung-tabung kebajikan dan baitul mal terutama rakyat yang kaya. Membuatkan rakyat lebih suka memberi dari menerima. Sehingga negara dan masyarakat menjadi begitu kaya dan makmur dengan harta yang berlebihan dalam tabung-tabung kepunyaan masyarakat dan negara. Hanya pemerintah yang adil yang dapat membersihkan negara dari maksiat dan kemungkaran. Hanya pemerintah yang adil yang dapat mencipta negara yang aman, makmur dan mendapat keampunan Allah.

PENGERTIAN ADIL

Adil bagi pemerintah tidak sama dengan pengertian adil di sudut-sudut yang lain yang umumnya bermaksud menaruh hak kepada yang hak. Pengertian ini tidak cukup luas untuk mencakupi seluruh bidang dan gelanggang pemerintahan bagi sesebuah negara. Adil bagi pemerintah ialah menjalankan hukum-hukum Allah pada sebarang tindak-tanduk, pembangunan, percakapan dan hukuman (kepada pesalah). Keadilan itu terbahagi kepada beberapa bahagian seperti berikut:

  1. Menjalankan aktiviti dalam semua tindak-tanduk dan dalam semua sistem hidup seperti pendidikan, ekonomi, kesihatan, pertanian, pentadbiran dan lain-lain, selaras dengan syariat Islam.
  2. Mendidik insan (rakyat) supaya menjadi hamba dan khalifah Allah serta meletakkan mereka tepat pada tempat yang sesuai dengan kebolehan, kemampuan dan peranan masing-masing serta memberi peluang untuk mereka menyumbangkan kreativiti mereka asalkan tidak melanggar syariat.
  3. Menjalankan hukum-hakam Allah iaitu hukum hudud, qisas dan ta'zir dalam sebarang hukuman yang hendak dijatuhkan kepada pesalah.
  4. Sebarang tindakan dan hukuman Allah itu hendaklah dijalankan terhadap sesiapa sahaja dan kepada semua golongan tanpa pengecualian termasuk menteri-menteri, raja-raja dan para hakim serta kadhi sendiri.
  5. Membahagi-bahagikan harta benda dan kekayaan negara dan kemudahan untuk rakyat dengan tepat mengikut keperluan dan tanggung jawab mereka, tanpa salah guna, pembaziran dan penggunaan yang sia-sia.
  6. Diri peribadi pemerintah dan pemimpin-pemimpin lain selaku warganegara, tidak boleh terkeluar atau terkecuali dari langkah-langkah atau hukum-hakam keadilan yang telah digariskan dalam negara. Pemerintah dan pemimpin-pemimpin bukan golongan istimewa terhadap tuntutan hukum-hukum Allah. Semua orang sama sahaja di sisi Allah sekali pun dia seorang raja, presiden atau perdana menteri. Kalau bersalah, mesti dihukum. Kalau tidak bersalah, mesti dilepaskan dari hukuman.

Pemerintah umpama ayah terhadap rakyat. Ayah tidak pernah menuntut apa-apa setelah membesarkan anak-anak. Demikian juga pemerintah, tidak mencari untung dan tidak mengungkit-ungkit jasa mereka dalam menjalankan tanggung jawab kepada rakyat.

HURAIAN TENTANG KEADILAN DALAM KONTEKS PEMERINTAHAN

1. Pemerintah yang adil itu dapat menyelaraskan sernua tindak-tanduknya dengan hukum fardhu dan sunat yang telah ditentukan oleh Allah .
Dia juga dapat menghindarkan perkara-perkara yang haram dan makruh. Termasuk dalam tuntutan ini, dia mesti mengusahakan kerja-kerja pembangunan di bidang ekonomi, pen-didikan, kesihatan, pertanian, kebudayaan, pentadbiran, sosial dan lain-lain. Pemerintah yang gagal menepati syarat ini dikira sebagai pemerintah yang zalim terhadap hukum Allah dan segala tindakan dan sumbangannya tidak bernilai di sisi Allah.
Sebaliknya, pemerintah yang taat kepada Allah dan menegakkan hukum-hukum wajib dan sunat dan menjauhi perkara-perkara yang haram dan makruh dalam pemerintahannya dan dalam melayan rakyat yang berbagai-bagai peringkat di dalam semua aspek dan bidang ialah pemerintah yang berjaya menegakkan hukum dan tamadun Islam. Lagi banyak pembangunan, kemajuan dan tamadun yang dilakukan, maka lagi banyak ibadahnya kepada Allah.

2. Pemerintah yang adil mesti menentukan semua rakyat terdidik dan terpimpin .
Rakyat tidak boleh dibiarkan tanpa didikan dan pimpinan. Rakyat yang Islam mesti diasuh dengan iman dan syariat Islam. Mereka mesti diajar tentang dunia dan lebih-lebih lagi tentang Akhirat. Kepada rakyat yang bukan Islam, mesti diusahakan supaya mereka Islam (selamat) secara berhikmah yakni secara dakwah bukan secara paksa.
Jangan biarkan rakyat yang Islam hidup memburu dunia Sernata-mata dan melupakan Akhirat. Jangan biarkan rakyat rosak Islamnya dan hanyut dalam jahiliah sekularisme, tanpa identiti Islam dan tanpa tamadun Islam yang tidak tamadun lain yang boleh menandinginya.

Rakyat yang telah terdidik dan telah diberi ilmu dunia dan akhirat hendaklah disusun dan diatur peranan dan tugas mereka di bidang-bidang dan kedudukan yang tepat. Inj supaya tidak ada rakyat yang tercicir, menganggur, membuang tenaga dan masa dengan sia-sia. Setiap rakyat mesti diberj tugas sesuai dengan kebolehannya sebagai sumbangan mereka kepada negara di samping untuk mendapat rezeki yang halal. Pemerintah juga mesti memberi peluang dan kebebasan kepada rakyat untuk beraktiviti dan berkreativiti selagi ianya tidak bertentang dengan syariat. Kegiatan dan pertunjukan maksiat mesti dihalang sama ada di kalangan rakyat, penguasa, pemimpin, keluarga diraja atau pemerintah sendiri

3. Pemerintah yang adil mesti menjalankan hukum Allah .
Hukum tersebut iaitu hukum hudud dan ta`zir dilaksanakan terhadap pesalah-pesalah tanpa mengira siapa yang bersalah, sama ada raja, pemimpin atau rakyat jelata. Sama ada orang miskin atau orang kaya atau orang berjawatan kecil atau orang berjawatan besar. Ini dilakukan melalui mahkamah dan hakim-hakim yang dilantik.

Hukum Allah adalah hukuman yang adil. Kadar hukumannya tepat dengan kadar kesalahan yang dilakukan. la amat berkesan untuk membuat pesalah merasa serik dan berhenti dari membuat kesalahan.Orang yang melihat pun tidak berani untuk melakukan kesalahan.

4 . Pemerintah yang adil berhati-hati dalam mengendalikan harta kekayaan negara dan rakyat.

Harta yang begitu banyak yang diamanahkan kepadanya mesti diuruskan dengan sebaik-baiknya. Harta itu mesti digunakan tanpa membazir dan disalurkan dengan baik dan bermanfaat tanpa mengambil apa-apa untuk kepentingan pemerintah sendiri.
Jangan mengambil gaji yang besar, lebih-lebih lagi jangan menimbunkan wang negara dan rakyat di bank-bank dan mengumpul berbagai-bagai harta dan kekayaan atas nama sendiri seelok menjadi pemerintah atau orang besar negara. Jangan jadikan jawatan pemerintah atau pemimpin sebagai sumber atau perniagaan untuk mengumpul kekayaan dari harta negara dan rakyat sama ada secara langsung atau tidak langsung atau melalui orang atau kegiatan yang ketiga.

Jangan guna kuasa dan authoriti untuk mendapat wang. Jangan juga mengabaikan atau menjual kuasa dan tanggung jawab untuk mendapat wang. Kuasa dan authoriti mesti digunakan untuk kepentingan dan keuntungan rakyat dan negara, bukan untuk kepentingan diri, keluarga dan kroni.

Dalam Islam, seperti yang dipraktikkan oleh Rasulullah dan Khulafa` ur Rasyidin, pemerintah adalah khadam yang berkhidmat untuk rakyat. Mereka bukan sahaja tidak mengambil harta rakyat yang diamanahkan, bahkan harta mereka sendiri pun mereka korbankan untuk kepentingan negara dan rakyat. Mereka hidup lebih zuhud daripada rakyat dan bila mati tidak meninggalkan apa-apa pusaka untuk waris-waris mereka. Pemimpin adalah lambang perjuangan dan lambang khidmat yang membahagi-bahagikan dan mengagih-agihkan keperluan kepada rakyat untuk membina negara yang aman, makmur dan mendapat keampunan Tuhan.

Kalau harta negara tidak diagihkan dengan adil kepada rakyat dan ada orang atau pemimpin yang mengambil kesempatan jadi kaya-raya, maka jadilah di dunia ini si kaya menekan si miskin, orang besar menelan orang kecil, yang kaya menjadi sekaya-kayanya dan yang miskin menjadi semiskin-miskinnya. Akan timbul huru-hara dan akan turun bala bencana. Selagi pemerintah atau pemimpin hidup kaya raya, rakyat terbiar, negara berhutang, nasib disandarkan kepada musuh, sistem hidup meniru cara Barat dan rakyat tidak dididik dengan iman dan Islam, maka selagi itulah negara umat Islam tidak akan bersatu, tidak akan aman dan tidak akan makmur. Jauh sekalilah untuk mendapat keampunan Allah.

5. Pemerintah, pemimpin dan ahli keluarga mereka boleh dikecualikan dari peraturan dan hukuman negara .
Dalam Islam, siapa sahaja yang bersalah mesti dihukum dengan seimbang, sekalipun dia dari keluarga diraja atau dari keluarga pemerintah dan pemimpin. Kalau ada pesalah-pesalah tertentu dilindungi dan tidak dihukum kerana mereka dianggap istimewa, maka rakyat yang terhukum akan sentiasa merasa tidak puas hati. Mereka akan jadi liar dan akan benci kepada pemerintah. Hilanglah barakah kepimpinan dan akan berlaku bermacam-macam masalah yang tidak dapat dikawal.

Dalam Islam, pemerintah yang tidak adil akan jatuh kepada salah satu hukum sama ada fasik, zalim atau kafir, bergantung kepada bentuk-bentuk atau sebab-sebab berlakunya ketidakadilan itu, seperti mana hukum tersebut juga melibatkan sesiapa sahaja yang menolak hukum Tuhan sama ada dalam diri, keluarga dan sebagainya.

Sebenarnya, secara umum, rakyat tidak ada hak untuk mengata-ngata kepada pemerintah yang tidak adil. Kerana hakikatnya pemerintah itu naik dari rakyat sama ada dia dipilih oleh rakyat ataupun tidak. Bagaimana rakyat begitulah pemerintah. Pemerintah itu cermin bagi rakyat dan rakyat adalah cermin bagi pemerintah. Sebaik-baiknya kedua-dua rakyat dan pemerintah mesti taat kepada Allah barulah akan terbentuk keadilan yang sempurna. Rahsia utama dalam membangunkan pemerintahan yang adil adalah dengan mengusahakan taqwa di pihak pemerintah dan rakyat. Bagi mereka yang rindukan negara yang adil, aman, makmur dan mendapat keampunan Allah, taqwa mesti disediakan sebagai tapaknya oleh pemerintah dan juga rakyat

PEMIMPIN BAWAHAN

Selain Ulil Amri atau khalifah atau pemerintah tertinggi negara yang penuh berkuasa, terdapat ramai pemimpin bawahan di berbagai-bagai peringkat dalam negara dan masyarakat. Mereka menjalankan tanggung jawab memimpin di peringkat dan bidang masing-masing. Rakyat yang dipertanggungjawab-kan kepada mereka tidaklah meliputi seluruh rakyat dalam negara tetapi terhad kepada rakyat di kawasan, daerah, wilayah, negeri atau yang bekerja di kementerian atau jabatan-jabatan kerajaan atau yang bekerja dengan pihak syarikat atau swasta.

Jenis-Jenis Pemimpin Bawahan

Pemimpin seperti ini terbahagi kepada berbagai peringkat dan di pelbagai bidang dan jurusan. Ada pemimpin negeri, pemimpin daerah, mukim dan kampung. Ada pemimpin ten-tera, pemimpin politik, pemimpin dakwah, pemimpin pen-didikan, pemimpin ekonomi, pemimpin belia dan lain-lain. Ertinya, pemimpin di kalangan umat Islam itu, ada pe-mimpin besar dan ada pemimpin kecil. Ada pula ketua-ketua kecil. Ada pemimpin umum dan ada pemimpin khusus.

Pemimpin umum adalah seperti pemimpin negeri, pegawai daerah, mukim dan kampung. Pemimpin khusus i seperti pemimpin tentera, pemimpin politik, pemimpini, pemimpin pendidikan, pemimpin ekonomi, pemimpin belia dan sebagainya.

Di bawah pemimpin umum ada bermacam-macam golongan, peringkat dan profesyen. Di bawah pemimpin khususnya ada satu golongan sahaja kerana golongan itu hanya mengendalikan satu bidang atau satu profesyen sahaja. Mungkin ruang lingkup dan kawasan pengaruhnya luas seperti pemimpin tentera dan pemimpin pendidikan yang mencakupi seluruh empayar atau negara. Orang yang di bawah kepirn-pinannya pula sudah tentu ramai.

Dalam Islam, walau apapun jenis dan peringkat pemimpin, asalkan dia pemimpin dan ada orang yang dipimpinnya, sama ada dia pemimpin umum atau pemimpin khusus, sama ada dia pemimpin besar atau kecil, kesemuanya mempunyai tang-gung jawab. Pemimpin bertanggungjawab terhadap agama, akhlak serta kebajikan orang yang di bawah kepimpinannya.

Di Akhirat kelak, setiap pemimpin akan ditanya oleh Tuhan tentang setiap orang yang di bawah pimpinannya. Khususnya dalam hal agama terutama dalam soal fardhu ain di mana setiap individu yang mukallaf/ mesti mengetahui, mengamal dan menghayatinya. Pemimpin, tidak kira apa jenis dan di peringkat mana mesti memastikan fardhu ain setiap anak buah pimpinannya selesai.

Fardhu ain itu termasuklah rukun iman yang enam, rukun Islam yang lima, mengetahui tentang perkara-perkara yang halal dan haram serta akhlak yang mulia seperti adil, jujur, benar, tawadhuk, pemurah, kasih sayang, sabar, redha, tawa-kal, bertolak ansur, lapang dada, pemaaf, meminta maaf dan amanah yang diwajibkan ke atas setiap orang dan oleh setiap golongan.

Kalau setiap pemimpin, tidak kira jenis apa dan di pe-ringkat yang mana, mengambil berat tentang didikan agama dan akhlak orang-orang di bawah kepimpinan mereka, maka akan lahirlah di dalam masyarakat ahli-ahli pendidikan, ahli-ahli ekonomi, ahli-ahli ketenteraan, ahli-ahli kepolisian dan sebagainya yang taat dengan agama, berdisiplin dan berakhlak mulia.

Tanggung jawab Pemimpin Bawahan


Pemimpin mendekati pengikut atau anak buah mestilah atas dua dasar iaitu:
1. Untuk mendidik
Mendidik atau mentarbiah merupakan tugas asasi para pemimpin sama ada ia dilakukan secara langsung atau tidak langsung atau sama ada cara bercakap atau dengan me-nunjukkan sikap.

2. Memerhatikan kehidupan
Pemimpin mesti memerhatikan kehidupan pengikut atau anak buah termasuk soal makan minumnya, mata pencariannya dan keadaan rumahnya. Supaya yang kurang dapat ditampung dan keadaan yang tidak sempurna dapat disempurnakan. Pemimpin mesti memastikan bahawa pergaulannya dengan pengikut atau anak buah mencapai matlamat. Matlamat itu ialah mendidik dan menjaga kebajikan hidupnya. Soal-soal lain adalah perkara sampingan sahaja.

Sifat-sifat Pemimpin Bawahan

1. Memiliki llmu

Pemimpin mesti memiliki ilmu yang cukup sesuai untuk memimpin di peringkat masing-masing. llmu agama dan ilmu kepimpinan sangat penting diikuti dengan ilmu kepakaran di bidang masing-masing.

2. Mengenal diri

Maksudnya mengenal fizikal, akal dan hati sendiri. Mengenal fizikal itu mudah. Yakni mengenal sama ada ia masih muda, tua, sakit atau sihat. Mengenal akal pula ialah pemimpin mesti tahu tahap IQnya sama ada baik atau sebaliknya. Sama ada fikirannya tajam, sederhana atau lemah. la juga mesti memahami apa ilmu yang banyak di kepalanya. Apakah ilmu dunia atau ilmu Akhirat. Kemudian dia mesti tahu apakah ilmu itu syumul atau tidak. Dia juga mesti tahu ilmu apa yang lebih yang ada pada dirinya sama ada ilmu sains, ilmu fekah atau sebagainya.

Mengenal hati atau jiwa ini sangat penting. Pemimpin mestj mengenal sifat positif dan sifat negatifnya. Apakah sifat mah-mudah (baik) yang ada dalam hatinya? Apakah pula sifat maz-mumah (jahat) yang bersarang di hatinya? Sifat mahmudah ialah sifat seperti berani, pemurah, kasih sayang, sabar, tawadhuk, pemaaf, lemah lembut dan lain-lain. Sifat mazmumah pula ialah penakut, ego, bakhil, pemarah, dengki, dendam, riak, cinta dunia dan lain-lain. Ini penting supaya dia dapat membuangdan mengungkai sifat-sifat mazmumahnya dan menyuburkan sifat-sifat mahmudahnya.

Bagi pemimpin, mengenal sifat-sifat mazmumahnya lebih penting daripada mengenal sifat-sifat mahmudahnya.
Ini kerana mazmumah boleh mencacatkan kepimpinannya. Kalau dia ego atau sombong dan pemarah, pengikut atau anak buah akan lari dan sakit hati. Jika dia penakut, kuranglah pengikut atau anak buah yang ingin bersandar dengannya. Kalau dia bakhil atau tamak, pengikut atau anak buah tidak akan rapat dengannya.

Bagi sifat mahmudah pula, seorang pemimpin mesti tahu ke mana hendak diarahkan. Kalau dia berani dan sabar, dia mesti tahu bila dia harus berani dan bila dia harus bersabar dan dalam perkara apa dia harus berani dan sabar.

Jika pemimpin tidak kenal dirinya, bagaimana dia hendak mengenal orang lain? Kalau dia tidak kenal dirinya, sudah pasti dia tidak akan dapat mendidik dirinya. Kalau dirinya dia tidak dapat didik, mana mungkin dia mampu mendidik orang lain.

Inilah punca mengapa kadang-kadang pemimpin diumpat dan dimarahi oleh pengikut atau anak buah. Dalam hal ini kita tidak boleh salahkan pengikut sahaja. Kita mesti kaji kesalahan pemimpin. Kalau pemimpin baik dan berwibawa,sudah tentu dia akan disayangi oleh pengikut. Kalau pengikut benci, sudah tentu ada yang tidak kena dengan pemimpin. Dalam hal sebegini, pemimpin yang mengenal diri itu akan menyalahkan dirinya sendiri dan akan membuat perubahan. Dia tidak akan salahkan pengikut atau anak buahnya.

3. Berwibawa

Pemimpin mencorak pengikut. Mencorak itu termasuklah mencorak jiwa dan perasaan, akal dan fikiran, watak dan perangai.

Untuk itu, pemimpin mesti mempunyai wibawa sesuai dengan peringkat dan tahap kepimpinannya, sama ada dia pemimpin kecil atau besar atau sama ada dia pemimpin rendah atau tinggi. Sijil sahaja tidak cukup. Mereka mesti boleh menjadi contoh.

Wibawa bukan setakat bergaya. Di samping mempunyai ilmu dan mengenal diri, pemimpin mesti bertaqwa yakni taat kepada agama dengan melaksanakan apa yang Tuhan suruh dan menjauhkan apa yang Tuhan larang. Elok ibadahnya, berakhlak mulia, berkasih sayang, lemah lembut, jujur, simpati, bertolak ansur, mengutamakan orang lain dan lain-lain lagi

4. Berjiwa pengikut

Pemimpin berkhidmat untuk pengikut atau anak buahnya. Hakikatnya dia adalah hamba kepada pengikut dan anak buahnya. Masalah dan keperluan pengikut didahulukan. Masalah dan keperluan dirinya jatuh nombor dua.

Kesusahan pengikut dan anak buah adalah kesusahannya. Kesedihan pengikut adalah kesedihannya. Penderitaan Pengikut adalah penderitaannya. Kesenangan pengikut adalah kesenangannya. Kegembiraan pengikut adalah kegembiraan-nya.

Pengikut atau anak buah sayang, segan, malu dan horrnat kepadanya. Cakapnya masin dan mudah diterima dan diikuti oleh pengikut. Pengikut bersatu padu memberi sokongan dan memberi kerjasama dengan sepenuh hati. Orang jahat merasa malu untuk meneruskan kerja jahat mereka.

5. Mempunyai watak-watak pemimpin

Kalau seorang pemimpin Islam itu mahu berjaya di dalam melaksanakan tanggung jawabnya terhadap pengikut dan anak buah, dia mesti mempunyai watak-watak tertentu. Ini ramai orang tidak faham. Orang menyangka pemimpin itu mestilah berwatak pemimpin semata-mata iaitu mengarah, mentadbir dan menghukum.

Pemimpin dalam Islam tugasnya termasuk mengajar dan mendidik. Oleh itu, hubungan lahir sahaja tidak cukup. Mesti juga ada hubungan hati. Kalau hubungan tidak sampai ke hati, tidak akan ada rasa bersama, tidak ada pautan hati, tidak ada saling percaya dan mempercayai serta yakin meyakini dan tidak ada kasih sayang. Tanpa semua ini, pemimpin tidak boleh mendidik dan memberi tunjuk ajar.

Watak-watak yang perlu ada pada pemimpin itu adalah seperti berikut:

  • Pemimpin
    Yang dihormati dan ditaati. Yang memberi arahan dan menjaga disiplin. Yang menyusun kerja dan menentukan arah dan matlamat organisasi.
  • Ayah
    Tempat untuk merujuk dan mendapat pembelaan.
  • Ibu
    Tempat untuk bermanja dan mengadu beban masalah.
  • Guru
    Yang memberi ilmu, panduan, nasihat dan tunjuk ajar. Yang mendidik, membina insan dan akhlak mulia.
  • Kawan
    Yang setia dan selalu mendahulukan dan mengutamakan pengikut dan anak buah.

TANGGUNG JAWAB RAKYAT TERHADAP PEMIMPIN

Dalam Islam terdapat peraturan-peraturan yang lengkap tentang tanggung jawab rakyat terhadap pemerintah dan negara. Kalau rakyat cuai atau ingkar terhadap tanggung jawabnya, negara tidak akan selamat dan mereka akan menanggung dosa. Allah SWT telah menjelaskan dalam Al Quran tentang tanggung jawab rakyat terhadap pemerintah.

Firman-Nya: Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, taat-lah kamu kepada Allah, taatlah kepada Rasul dan pemimpin di kalangan kamu." (An Nisa: 59)

Inilah tugas rakyat yang paling asas dan utama kepada pemerintah iaitu taat. Kalau terlaksana tanggung jawab ini, nescaya mudah sahaja negara dapat menuju kejayaan. Se-baliknya, kalau tugas ini tidak selesai dan rakyat tidak taat, macam-macam kekusutan dan masalah akan timbul serta akan membuatkan negara kucar-kacir dan terumbang-ambing. Ke-rana bila rakyat taat dengan segala arahan dan perintah dari pemimpin yang adil ertinya segala rancangan-rancangan yang baik akan terlaksana dengan jayanya. Sebarang projek, perancangan, arahan dan hasrat pemimpin akan disambut oleh rakyat dengan sukarela, penuh setia, rela berbuat dan sanggup berkorban apa sahaja untuk menjayakannya.

Dasar dan polisi yang bijak dan baik dari pihak pemerintah semata-mata tidak ada erti apa-apa dan tidak akan ada hasil-nya. Kejayaan tamadun akan hanya sampai kemuncak apabila rakyat mengorbankan tenaga yang maksimum dengan penuh taat dan rela untuk melaksanakan dasar dan polisi pemerintah itu.

Dengan kata lain, kombinasi antara pemerintah, sistem yang baik dan rakyat yang baik akan mencetuskan kebaikan yang merata dalam masyarakat untuk dikecapi oleh sernua pihak. Sebaliknya, tanpa rakyat yang taat, impian indah para pemerintah cuma akan tinggal angan-angan yang kosong sahaja. Pemerintah akan merasa dikecewakan oleh rakyatnya sendiri.

Sebab itu, pemerintah mesti bersungguh-sungguh dalam usaha mendidik rakyat agar mereka menjadi taat dan setia. Untuk itu, rasa kasih mengasihi antara rakyat dan pemerintah mesti ditanam betul-betul. Sebab dari kasih sayang baru da-tang taat. Orang susah hendak berlaku taat pada seseorang yang tidak dikasihinya. Sedangkan isteri yang sudah kasih kepada suaminya pun masih belum dapat taat sepenuhnya. Inikan pula rakyat yang tidak ada hubungan atau ikatan apa-apa dengan pemerintah. Masakan mereka dapat taat dengan mudah.

Hukum Taat itu Wajib

Ketaatan rakyat itu hukumnya wajib. Ertinya, kalau rakyat tidak taat pada pemerintah yang adil, mereka telah me-lakukan satu perkara yang haram dan ia tentunya satu ke-salahan. Rakyat perlu faham bahawa perintah untuk taat ini bukan datang dari pemerintah tetapi ia datang dari Allah-Jadi kalau rakyat menderhaka dengan pemerintah, ertinya mereka menderhaka dengan Allah. Kalau pun pemerintah tidak menghukum rakyat atas kesalahan itu, pasti Allah akan menghukumnya.

Namun ketaatan ini ada syaratnya. laitu selagi pemerintah itu taat pada Allah. Kalau pemerintah sudah derhaka dengan Allah, rakyat tidak lagi wajib taat kepadanya. Bahkan berdosa pula hukumnya memberi ketaatan kepada pemerintah yang derhaka kepada Allah.
Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: " Tiada ketaatan kepada makhluk dalam soal menderhakai Allah."

Tidak wajib taat di sini bukan secara menyeluruh. Hanya kepada perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum Allah sahaja. Arahan-arahan atau perintah lain yang tidak bertentangan dengan hukum Allah masih wajib dipatuhi.

Pemimpin-pemimpin yang Wajib Ditaati

Pemimpin-pemimpin yang wajib ditaati itu termasuklah semua jenis pemimpin sama ada pemerintah tertinggi negara atau pemimpin-pemimpin bawahan yang khusus seperti pemimpin dalam satu-satu bidang seperti menteri atau pengarah pelajaran, ketenteraan, pertanian, kewangan atau pemimpin bawahan umum seperti ketua kampung, penghulu, pegawai daerah, wakil rakyat dan sebagainya. Ketua-ketu kecil yang menjalankan dasar dan polisi pemerintah negara juga wajib ditaati selagi mereka taat menjalankan dasar pemerintah negara tersebut.

Tidak boleh pula seseorang rakyat berkata: "Saya hanya taat kepada kepimpinan negara yang tertinggi dan saya tidak perlu taat kepada pemimpin bawahan atau ketua-ketua kecil." Orang ini sombong dengan pemimpin bawahan dan ketua-ketua kecil. Dia rasa dia tidak layak untuk tunduk kepada pemimpin bawahan atau ketua-ketua kecil itu. Hal seperti ini akan membawa perpecahan dalam masyarakat. Akan ada dua atau tiga ketua di suatu tempat. Perpaduan dan pembangunan akan terancam.

Pemimpin bawahan dan ketua-ketua kecil di lantik oleh Pucuk pimpinan. Ertinya mereka adalah wakil atau orang kepercayaan pemimpin teratas. Oleh itu, kalau kita tidak taat kepada pemimpin yang dilantik dan yang dipercayainya, samalah macam kita tidak taat pada pucuk pimpinan itu

Susah Taat pada Perkara-perkara yang Harus

Ketaatan yang dituntut oleh Islam bukan sahaja dalam hukum-hukum wajib dan sunat. Atau dalam soal tegahan, bukan sa-haja dalam hukum-hukum yang haram dan makruh. Ini mudah. Sebab itu disuruh dan ditegah oleh Allah. Kalau pemimpin tidak suruh pun kita tetap akan buat yang wajib dan sunat. Kalau pemimpin tidak larangpun, kita tetap akan tinggalkan yang haram dan makruh.

Ketaatan kepada pemerintah mesti juga diberi dalam per-kara-perkara yang mubah (harus). Atau dalam soal ijtihadul fikri yakni pendapat atau perancangan pemimpin yang tidak menyalahi syariat, walaupun kita ada pendapat atau peran-cangan yang lain atau yang berbeza. Ini dinamakan wajib aradhi (wajib yang mendatang). Ketaatan yang seperti inilah yang susah. Ramai orang tidak mampu taat dalam hal-hal seperti ini.

Contoh perkara-perkara yang wajib aradhi yang mesti ditaati, di antaranya:

  1. Di waktu musuh menyerang, pemerintah kerahkan tenaga rakyat untuk menentang musuh. Maka rakyat wajib taat. Dalam Islam, siapa yang lari dari medan perang boleh dihukum bunuh.
  2. Di zaman kemarau atau darurat atau ketika berlaku bencana atau zaman susah makan minum, kalau pemerintah memerintahkan orang kaya mengeluarkan bantuan, sarna ada berbentuk senjata, peralatan atau bahan makanan dan minuman untuk fakir miskin dan lain-lain lagi, maka mereka wajib taat. Kalau mereka enggan, pemerintah yang adil boleh memaksa dan merampas harta orang-orang kaya yang bakhil itu.

  3. Kalau pemerintah sudah siapkan satu kawasan kediaman sama ada kampung atau taman kediaman dalam rancangan untuk memindahkan rakyat agar rakyat beralih ke kawasan yang baru itu, maka rakyat wajib pindah. Kalau ingkar mereka jatuh dosa.

  4. Rakyat yang diperintah tukar jawatan kerja atau tukar tempat kerja wajib mentaati arahan itu.

  5. Kalau kerajaan mengarahkan penduduk di satu kawasan untuk mengusahakan pertanian, mereka wajib berbuat demikian. Berdosa kalau mereka mengusahakan perkara lain seperti ternakan. Atau pemerintah arah supaya tanam padi, berdosa hukumnya kalau rakyat menanam jagung.

  6. Hatta arahan kahwin dan cerai pun, kalau berlaku, rakyat wajib taat. Kalau pilihan kita ditolak oleh ketua atau pemimpin, kita kena patuh dan berkahwin dengan pilihan yang ditunjukkan oleh pemimpin. Kalau tidak ditaati, ia satu dosa.

Islam bukan bermaksud mengongkong kebebasan atau menafikan kebijaksanaan atau kreativiti rakyat. Biasanya pemimpin yang adil lebih terpimpin dari rakyatnya dalam membuat keputusan. Dan rakyat yang taat akan lebih ter-pimpin fikiran dan kreativitinya.

Mentaati dan menghormati pemimpin itu disuruh dan di-perintah oleh Islam agar mudah para pemimpin itu memimpin, mendidik, rnengasuh, mengarah dan mengajak rakyat atau anak buah membuat kerja di dalam sebuah negara, negeri atau di dalam sesebuah jabatan atau organisasi.

Jika tidak ada ketaatan kepada seseorang pemimpin, maka Payahlah pemimpin tersebut untuk mendidik dan mengguna-tenaga rakyat atau anak buahnya untuk bekerja, membangun dan membuat kemajuan.

Walaupun taat itu adalah kehendak Islam tetapi bukan senang rakyat atau anak buah mahu taat kepada pemimpin secara lahir dan batin. Tidak mudah bagi rakyat dan anak buah boleh mentaati pemimpin dengan sepenuh hati tanpa berpura-pura atau berlakon.

Ketaatan ini ada hubung kait dengan tujuan sebenar rakyat atau anak buah itu mentaati pemimpin. Mungkin ada ke-pentingan tertentu. la juga ada hubung kait dengan peribadi dan sikap pemimpin itu sendiri. Adakah pemimpin itu mem-punyai karisma dan wibawa seperti mempunyai ilmu dan akhlak yang tinggi atau sederhana sahaja atau peribadi dan akhlaknya teruk sekali.

Sebab-sebab Rakyat dan Anak Buah Mentaati Pemimpin

Rakyat dan anak buah menghormati dan mentaati pemimpin itu ada sebab. Ada sebab yang baik dan ada yang kurang baik. Ada sebab dunia dan ada sebab Akhirat. Di antara sebab-sebab tersebut adalah seperti berikut:

  • Rakyat yang taat kerana takut pada pemimpin disebabkan dia kejam dan zalim. Kalau tidak dipatuhi dan ditaati, takut akan dihukum seperti dipenjara, dibuang daerah, kena rampas harta-benda, kena bunuh dan sebagainya.
  • Rakyat yang taat bukan kerana takutkan kekejaman atau kezalimam pemimpin tetapi kerana takut tidak dapat jawatan, tidak naik pangkat, tidak dapat biasiswa atau tidak dapat projek atau apa-apa bantuan.
  • Rakyat yang mentaati pemimpin hanya kerana melihat orang ramai patuh kepada pemimpin itu. Bukan kerana takut apa-apa, bukan kerana mereka menghormati pemimpin itu, malahan hidup mereka pun tidak bersandar dengan pemimpin tersebut. Mereka ikut sahaja kerana tidak mahu ketinggalan dan tidak mahu rasa keseorangan.
  • Golongan yang mentaati pemimpin kerana strategi. Mereka tidak takut dan tidak mengharap apa-apa dari pemimpin tersebut. Hanya mereka mahu orang ramai memberi ke-yakinan dan kepercayaan kepada mereka kerana ketaatan mereka itu agar mereka dapat mencari pengaruh dan sokongan orang ramai. Kalau jadi calon, orang ramai akan memberi undi. Ada kepentingan peribadi.

Rakyat yang taat pemimpin bukan kerana takutkan pemimpin itu tetapi kerana takutkan orang ramai yang taat kepada pemimpin berkenaan. Kalau mereka tidak ikut sama taat, mereka akan dibenci oleh orang ramai. Boleh jadi orang ramai akan pulaukan mereka.

Kumpulan yang mentaati pemimpin kerana ilmunya iaitu kerana hendak mendapat ilmunya. Kalau tidak taat, payah untuk mendapat ilmunya.

Rakyat yang benar-benar ikhlas sepenuh hati mentaati pemimpin kerana agama pemimpin itu. Iaitu kerana ketaqwaan dan akhlaknya yang mulia. Kerana mereka ingin dipimpin kepada Allah dan Rasul, moga-moga mereka selamat di dunia dan selamat di Akhirat. Justeru itu, mereka menyerah bulat-bulat seluruh jiwa raga mereka kepada pemimpin tersebut agar dapat diajar dan dididik. Mereka ini orang yang benar-benar setia dengan pemimpin dan sanggup berkorban apa sahaja.

Di akhir zaman, hendak mencari rakyat yang benar-benar ikhlas dan setia kepada pemimpin amat sukar sekali. Ini kerana orang ramai kebanyakannya sudah rosak akibat kepentingan dunianya yang begitu mendalam.

Begitu juga hendak mencari pemimpin yang bertaqwa dan berakhlak tinggi amat sulit sekali. Sebab itu amat susah untuk melahirkan kesatuan dan perpaduan di kalangan umat Islam.

Moga-moga Tuhan akan lahirkan kepada kita seorang pemimpin yang benar-benar berwibawa, mempunyai karisma kerana ketaqwaan dan akhlaknya yang tinggi dan ilmu dan kepimpinannya yang cukup matang agar dia boleh dihorrnatj dan ditaati oleh seluruh umat Islam dengan ikhlas dan sepenuh hati.

No comments:

Post a Comment