Maksudnya: “Sesungguhnya pemimpin kamu hanyalah Allah dan Rasul-Nya dan orang mukmin, iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat, dan mereka adalah orang-orang yang rukuk (tunduk dan patuh pada perintah Allah). Barang siapa yang memilih Allah, Rasul dan orang mukmin (sebagai pemimpin), maka sesungguhnya itulah Parti Allah. Merekalah yang akan berjaya.” (Al Maidah: 55-56)
Rasulullah pula turut menegaskan bahawa umat Islam wajib berparti. Sabda baginda:
Maksudnya: “Wajib ke atas kamu berjemaah, sesungguhnya tangan (bantuan) Allah Taala adalah bersama jemaah.”
Sabda baginda seterusnya untuk memperincikan pengertian parti itu:
Maksudnya: Akan sentiasa ada satu toifah dari kalangan umat ini yang menzahirkan kebenaran dan mereka tidak dapat dirosakkan oleh orang yang menentangnya sehinggalah datang perintah Allah.” (Riwayat Al Bukhari dan Muslim)
Perihal sifat jemaah atau parti atau toifah yang dikatakan Parti Allah itu, ada juga disabdakan oleh Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Berjemaah itu rahmat, dan berpecah belah itu azab.” (Riwayat Al Baihaqi)
Memerhatikan kepada Parti Allah yang telah ditubuhkan oleh Rasulullah SAW, Khulafaur Rasyidin, para mujaddid dan lain-lain pemimpin kebenaran yang dijanjikan, saya suka menyenaraikan rumusan tentang ciri-ciri jemaah atau parti atau toifah atau hizbullah itu. Supaya kita umat Islam dapat membina sebuah parti atau jemaah yang layak untuk disebut Parti Allah atau parti Islam atau parti kebenaran. Paling tidak, kita dapat menentukan sesuatu parti atau jemaah itu hak atau tidak. Dan kalau boleh, kita cari mana-mana parti yang menepati ciri-ciri Parti Allah itu untuk diikuti.
Cuma sebelum saya perturunkan senarai tersebut, suka saya ingatkan bahawa beza antara ciri Parti Allah dan parti sekular ala Barat ini bagaikan langit dan bumi. Walaupun sesetengah jemaah itu menamakan partinya parti Islam, namun kalau tanpa ciri-ciri yang sepatutnya, ia bukan Parti Allah. Dasarnya, teknik, kaedah, sifat, pendekatan, matlamat dan lain-lain lagi, serba-serbinya sangat berbeza sama sekali. Perbezaannya macam siang dan malam.
Walaupun memang sulit untuk kita mencari Parti Allah di zaman ini, namun kita tidak boleh berjuang melalui politik sekular dengan alasan kita tiada pilihan lain. Kalau kita buat juga, yakni menggunakan politik sekular untuk lawan politik sekular (yakni matlamat mahu menghalalkan cara), dengan harapan untuk menegakkan Islam, nescaya kita tidak dapat tewaskan musuh. Hanya Parti Allah yang mampu menundukkan parti sekular Barat yang anti Islam itu.
Marilah kita bina Parti Allah seperti yang telah dicontohkan oleh Rasulullah dan Khulafaur Rasyidin serta para mujaddid. Di antara ciri-ciri Parti Allah itu:
A. CIRI-CIRI PEMIMPIN
- Pemimpinnya disebut wakil atau khalifah Allah. Dilantik atau ditunjuk oleh Allah sama ada melalui wahyu, Hadis, ilham atau oleh Ahlul Halli wal Aqdi. Rasul-rasul ditunjuk oleh wahyu. Khulafaur Rasyidin ditunjuk oleh Hadis dan Ahlul Halli wal Aqdi. Para mujaddid ditunjuk oleh Hadis dan ilham. Tholut dan Zulkarnain ditunjuk oleh wahyu. Muhammad Al Fateh ditunjuk oleh Hadis dan ilham. Nabi Isa a.s. ditunjuk oleh Al Quran dan Hadis. Imam Mahdi ditunjuk oleh Hadis dan ilham. Putera Bani Tamim juga ditunjuk oleh Hadis dan ilham. Terdapat juga pemimpin¬pemimpin kecil yang bertaraf wali dan orang-orang soleh yang kelahiran dan kepimpinan mereka ditunjuk oleh ilham.Khalifah atau wakil Allah ini memulakan kepimpinan mereka bukan melalui pilihan raya atau undian. Bahkan mereka tidak lalui apa-apa kaedah pun. Mereka diterima oleh orang di sekitarnya kerana ibadah, taqwa, akhlak, ilmu, pengorbanan, pimpinan, khidmat dan sumbangan yang diberikan kepada masyarakat. Sekalipun orang yang bukan Islam tidak masuk Islam, tapi mereka senang dengan kepimpinannya. Mereka ditunjuk oleh hati bukan oleh jari. Begitulah Allah menaikkan orang-orang-Nya.
- Pemimpinnya diberi ilmu oleh Allah sama ada melalui wahyu atau ilham atau ilmu laduni. Wahyu hanya untuk rasul dan nabi manakala pemimpin yang bukan rasul dan nabi mendapat ilham. Ilham itu membawa makna baru tentang tafsiran dan kefahaman mengenai wahyu dan syariat. Setiap mujaddid membawa ilham (minda) tersendiri yang sesuai untuk zamannya. Mindanya adalah ilmu yang baru, yang berbeza dari sebelumnya. Namun ia bukan syariat yang baru.
Ilmu ini bukan dipelajari dari sistem pembelajaran sezaman tetapi khusus diberi oleh Allah kepadanya. Kepada rasul, Allah beri 100 peratus. Kepada wali-wali Allah, diberi sebahagian untuk menambah sebahagian yang sudah dipelajarinya. Kadang-kadang ilmu para wali itu hasil ijtihad mereka. Dengan kehebatan ilmunya itulah agama yang rosak di zamannya dapat dihidupkan kembali.
Setiap mujaddid membawa minda yang berbeza. Ini kerana mereka hidup di zaman yang berbeza dan menghadapi permasalahan yang berbeza. Kerosakan di setiap zaman itu tidak sama. Ini menunjukkan wahyu itu dapat ditafsirkan dan dihidupkan dengan berbagai kaedah untuk berbagai zaman. Sebab satu-satu ayat Al Quran itu mempunyai 70 pengertian. Itulah rahmat Allah. Imam Sya’rani telah menulis tentang hal ini di dalam kitabnya: “Wahyu membawa syariat baru. Ilham membawa pengertian baru. “Barangkali kerana pembawaan yang terbaru dan berbeza dengan yang lama inilah maka para mujaddid ditentang oleh ulama-ulama sezaman yang masih terikat dengan pandangan yang lama. - Dengan tafsiran baru yang dibawa oleh pemimpin-pemimpin wakil Allah ini, mereka membuat motivasi dan mendidik manusia dari seorang ke seorang. Pendekatan inilah yang diambil untuk mengumpul pengikut atau menambah keahlian. Sesiapa yang menerima dan melaksanakan serta bersedia berjuang bersamanya, itulah ahli parti. Tiada borang dan yuran keahlian untuk jadi ahli. Tetapi komitmen kepada Islam menjadi syarat. Mereka tidak bergerak secara pilihan raya atau cara berpersatuan. Konsep jemaah seperti itulah yang menjadi asas Parti Allah.
- Kepada pengikut-pengikut Parti Allah, pemimpin adalah guru, ayah, sahabat dan rakan seperjuangan. Peribadi dan sikap serta akhlak pemimpin adalah cermin tempat pengikut melihat dirinya. Khalifah Allah adalah bayangan Rasulullah. Sebab itu sebagaimana Sahabat-Sahabat memberi cinta kepada Rasulullah, demikian pengikut Parti Allah ini mencintai pemimpin mereka. Mereka menjual segala-galanya untuk ‘membeli’ Allah dan Rasul. Orang yang tidak faham keadaan ini mengatakan mereka kumpulan fanatik dan taksub kepada pemimpin. Tapi yang sebenarnya tuduhan seperti itu dibuat oleh ulama-ulama dan pemimpin-pemimpin sezaman dengannya yang iri hati kerana tidak dapat pengikut yang cinta dan taat kepada mereka.
- Pemimpin Parti Allah ialah ahli parti yang paling miskin atau termasuk golongan miskin. In kerana kekayaannya dikorbankan habis-habisan ke jalan Allah. Walau bagaimanapun hidupnya seperti orang yang paling kaya kerana setiap keperluannya sama ada untuk diri, keluarga atau jemaah (parti) diperolehi. Dia mendapat rezeki dari sumber yang tidak diduga, yang Allah janjikan untuk orang yang bertaqwa.
- Dengan sifatnya sebagai pemimpin, para khalifah Allah ini bukan saja mampu mengajar hal-hal keagamaan dan membaiki manusia, tetapi juga mempunyai ilmu kemasyarakatan, tamadun duniawi dan pembangunan material. Mereka memandu pengikut berekonomi, menjalankan pendidikan, sosial, kesihatan, pertanian, perhubungan, media massa, budaya, senibina, ilmu perang (sesuai dengan zaman) dan lain-lain kemajuan duniawi seeara Islam.Itu semua bukan mereka pelajari di mana-mana pusat pengajian tinggi, namun mereka ada idea (ilham) bagaimana membangunkan tamadun duniawi di dalam parti (jemaah) yang sesuai di zamannya. Mereka dapat imbangkan antara pembangunan insan dan material. Terserlah sekali kemampuan kepimpinan mereka di kedua-dua aspek insan dan material ini. Merekalah bapa pembangunan sufi dan teknologi, yang dapat mendidik dan memimpin manusia menjadi abid dan singa Allah yang tidak berlaku kepada ulama-ulama dan pemimpin-pemimpin lain.
- Oleh sebab kenaikannya secara nature, bukan hasil lobi -melobi, maka pemimpin Parti Allah adalah pemimpin seumur hidup sama ada parti itu bertaraf toifah, negeri, negara atau empayar (ummah). Tidak ada tukar ganti pemimpin nombor satu dalam Parti Allah. Tidak ada undi tidak percaya padanya dan tiada pencabar yang dapat menjatuhkannya. Kepimpinannya tidak disukat -sukat oleh masa. Sebab dia memang mampu selagi tidak ada uzur syarie atau wafat.
B. CIRI-CIRI PENGIKUT
- Biasanya bilangan ahli-ahli jemaah atau parti Allah ini tidak ramai tapi berkualiti dan pengaruhnya besar. Yang ramai ialah simpati. Barangkali kerana syarat -syaratnya memang berat untuk dilaksanakan, lalu ramailah orang yang tidak dapat melayakkan diri ke dalamnya. Hikmahnya ialah supaya Allah dapat memperkenalkan diri-Nya dan menunjukkan kebesaran-Nya bahawa parti-Nya yang kecil bilangan keahliannya itu dapat mengalahkan kumpulan musuh yang jauh lebih besar jumlahnya. Dengan itu benarlah firman Allah:
Maksudnya: “Berapa banyak terjadi, kumpulan kecil dapat mengalahkan kumpulan besar dengan izin Allah.” (Al-Baqarah:249) - Peringkat-peringkat golongan atau masyarakat yang ada di dalamnya datang dari berbagai golongan. Golongan petani, siswa-siswi, hakim, peguam, ahli perniagaan, ahli politik, polis, tentera, pegawai kerajaan, artis, ulama, jutawan, menteri dan lain-lain lagi. Kebanyakan mereka menjadi ahli sepenuh masa, bekerja di bidang-bidang kepakaran masing-masing.
- Anggota parti Allah yang berada di merata pelosok negara di dunia, walaupun sesetengahnya tidak kenal-mengenal lantaran tinggal berjauhan, namun terdapat kesamaan dan keselarasan fikiran, watak, identiti, akhlak dan rentak perjuangan antara mereka. Seolah-olah mereka itu datang dari satu ibu dan ayah. Hal ini adalah kerana aliran didikan yang datang dari satu sumber, mengalir ke segenap ruang di mana ada anggotanya, melalui saluran-saluran yang siap dibina.
- Ikatan ukhwah di antara pengikut parti bagaikan batu -bata yang tersusun rapi dan rapat. Tidak ada peluang atau susah sekali bagi musuh untuk mencelah. Ramah mesra dan kasih sayang, rasa bersama, bekerjasama dan bertolong bantu di antara mereka terserlah, hasil meniru peribadi pemimpin. Juga kerana ukhwah dijadikan asas kekuatan jemaah sesudah iman. Inilah ciri khusus milik orang-orang bertarekat. Yang mana hati mereka dirangkai-rangkai oleh gurunya, lalu dipegang tali rangkai itu oleh si guru. Tali itu ialah iman dan kasih sayang hasil zikrullah yang tidak dapat dilakukan oleh ulama-ulama dan pemimpin-pemimpin yang lain.
- Ciri umum pengikut Parti Allah digambarkan sebagai:Menjadi abid di malam hari dan menjadi singa di siangnya.Mereka tidak meninggalkan dunia dan tidak juga Akhirat. Dunia dan Akhirat diimbangi. Ia menjadi satu yang tidak terpisah dan lazim-melazimi.
- Orang-orang Parti Allah, walaupun tidak ada kuasa negeri dan negara, namun dapat berdikari. Dalam semua hal kehidupan, mereka tidak bergantung kepada orang lain. Apalagi kepada musuh Islam. Biasanya pemerintah di zamannya cemburu, iri hati dan mencurigai. Mereka tidak bekerja makan gaji dengan sistem bukan Islam kecuali sebahagian kecil daripada mereka yang berbuat demikian kerana strategi perjuangan. Mereka mempunyai sistem hidup Islam yang lengkap, yang menyediakan peluang-peluang kerja kepada ahli-ahli parti. Itu pun mereka bekerja bukan untuk gaji tetapi kerana memenuhi tuntutan perjuangan di jalan Allah. Jemaah atau parti menyediakan wang maasy untuk sara hidup mereka. Sesetengah daripada mereka mengusahakan sendiri pendapatannya.
- Ahli-ahli parti begitu ghairah dengan amalan syariat atau cara hidup Islam, yakni Sunnah Nabi. Mereka ghairah mengamalkan sekecil-kecil Sunnah hingga sebesar-besarnya. Dari hal-hal peribadi hingga kepada soal-soal kemasyarakatan. Pakaian mereka seperti seragam kerana mengikut cara Rasulullah berpakaian. Manakala wanitanya pula berusaha meniru pakaian isteri-isteri Rasulullah, yakni fesyen besar dan longgar yang menutup aurat.
C. CIRI-CIRI PARTI (JEMAAH) ALLAH
- Zahir di dalamnya cara hidup Islam yang syumul
2.Wujud di dalamnya pembangunan insan dan material sekaligus (serentak)
Bezanya Parti Allah dengan bukan Parti Allah ialah wujudnya kedua-dua pembangunan insan dan material. Ibarat dacing, ia seimbang kerana ada kedua-dua timbangannya. Inilah faktor mengapa boleh terjadi keamanan, kemakmuran dan keampunan Allah di dalam parti ini. Kerana pembangunan lahiriah itu dipunyai oleh orang yang baik-baik. Lalu mereka benar-benar dapat menegakkan Sunnah Rasulullah atau hukum-hukum Allah dalam setiap aspek kehidupan. Yakni berjaya menzahirkan Islam itu dalam realiti kehidupan dan tidak lagi membiarkan Islam terus tinggal dalam bentuk teori impian yang tidak praktikal.
3. Pengaruhnya bersifat sejagatParti Allah mendapat pengaruh yang bersifat sejagat. Pelbagai bangsa dari berbagai negara menganggotai parti ini. Pembawaannya dapat mengisi keinginan umat Islam yang cintakan kebenaran walau apa pun bangsanya. Ia mampu mengisi fitrah manusia; yang memang setiap manusia itu dilahirkan dengan fitrah yang sama; walaupun mereka dari berbagai bangsa dan etnik. Bukan Parti Allah namanya kalau sesuatu parti itu hanya dianggotai dan diberi simpati oleh satu bangsa dari satu negara sahaja. Atau oleh satu golongan sahaja seperti orang muda sahaja, wanita sahaja, ulama sahaja, petani sahaja, buruh sahaja, ahli sastera sahaja, ahli perniagaan sahaja dan lain-lain lagi.
4. Berlaku perpaduan sejagat
Berlaku perpaduan sejagat atau kesatuan umat di dalam Parti Allah. Dengan kata lain, Parti Allah adalah tempat berpadunya umat dari seluruh dunia, yang masing-masing mengamalkan satu sistem hidup yang sama. Semuanya berpaut pada hukum Allah. Inilah yang Allah maksudkan dengan firman-Nya:
Maksudnya: “Berpeganglah kamu kepada tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah.” (Ali Imran: 103)
Hukum-hukum Allah itu, seolah-olah tali yang siapa memegangnya (menyertainya) maka mereka terangkai kepada satu sumber rujukan iaitu Allah. Itulah bersatu namanya. Inilah yang berlaku dalam parti Allah.
5. Ada sistem hidup tersendiri dan orang lain bersandar kepadanyaParti Allah tidak bersandar pada musuh dalam sebarang sistem hidup. Bahkan ia bukan saja mampu menaungi ahlinya, tetapi mampu menjadi tempat bersandar masyarakat umum sekalipun orang bukan Islam. Pernah dunia tunduk pada Islam yang ditaja oleh Rasulullah dan Khulafaur Rasyidin. Ertinya, parti Islam itu menjadi tempat orang bernaung dan orang merujuk soal pendidikan, kewangan, masalah hidup, berita dan serba-serbi, sekalipun oleh orang yang bukan Islam. Allahlah yang menguatkannya. Hingga ia tidak perlu mengemis dari orang lain. Bahkan orang bukan Islam pun bersandar padanya dengan penuh sukaria tanpa dipaksa-paksa.
6. Ada kekuatan tersendiri
Parti Allah, kalaupun belum atau tidak bertaraf sebuah kerajaan, namun ia seolah-olah sebuah kerajaan keeil dalam sebuah kerajaan besar. Atau sebuah sistem kecil di dalam satu sistem besar. Dan ia tidak dapat diikat oleh kerajaan besar kerana ia ada kekuatan tersendiri. Selalunya, kerajaan-kerajaan besar takut padanya kerana pengaruhnya hebat. Namun banyak juga kerajaan yang menerimanya kerana kebenaran dan potensinya.
7. Orang yang sayang, terlalu sayang. Orang yang benci, terlalu benci
Allah itu, orang yang sayang terlalu sayang, yang benci terlalu benci. Dengan itu terjadilah keadaan di mana terdapat satu golongan yang amat menjunjung dan menyanjungnya. Manakala satu golongan lain sangat membenci dan menekannya. Bila ini terjadi, akan terserlahlah kebenaran dan terserlah juga kemungkaran. Senanglah masyarakat menilai dan membuat pilihan. Demikianlah kebijaksanaan Allah mengkategorikan hamba-hamba-Nya.
8. Ia tidak dapat dirosakkan oleh musuhWalau bagaimana dahsyatnya kebencian dan tekanan musuh sekalipun di medan perang namun Parti Allah tidak dapat dirosakkan. Kecuali jika ada diantara pengikutnya yang tidak mengikut disiplin, contohnya sepertimana yang berlaku dalam peperangan Uhud. Parti Allah tidak akan dapat dirosakkan sama ada dalam peperangan senjata mahupun peperangan dingin. Mungkin boleh dicacatkan fizikalnya tetapi akidah dan syariatnya tidak dapat dirosakkan. Lebih-lebih lagi jemaah atau parti itu tidak dapat dibubar atau diharamkan. Tidak juga dapat dipecahbelahkan oleh musuh-musuh dalam selimut. Musuh tidak dapat menipu dan mempermain-mainkannya. Ini kerana parti ini mempunyai benteng yang cukup kuat dan kukuh. Kekuatan parti ini adalah kekuatan dalaman bukan luaran. Kalau di luar dapat dicacatkan tapi di dalam tidak dapat dicacatkan. Yang di dalam itu ialah iman dan keyakinan. Bahkan musuhlah yang kucar-kacir dan tertipu selalu. Akhirnya musuhnya tewas dan jatuh. Parti Allah-lah yang menang.
9. Jemaah kaya, individunya miskin
Segala kemajuan pembangunan material yang berlaku dalam jemaah adalah di atas pengorbanan anggotanya yang cintakan hidup miskin. Demi mengkayakan jemaah, individu rela miskin. Dan bila jemaah kaya, individu-individu itu jugalah yang mengecapi nikmat tersebut. Nikmat bersama namanya. Nikmat bentuk ini tidak dihisab di Akhirat. Demikianlah cara Parti Allah membangun. Satu kaedah yang selamat lagi menyelamatkan. Individu-individunya tidak punya apa-apa tetapi anehnya segala keperluan hidup mereka ada.
10. Mendapat bantuan dari Allah
Oleh kerana Parti Allah adalah kepunyaan Allah, maka ia sentiasa mendapat bantuan yang tidak diduga dari Allah. Kalau ketuanya bertaraf rasul, pertolongan itu dinamakan mukjizat. Kalau pemimpinnya bertaraf wali, bantuan itu dipanggil karamah. Paling tidak, Parti Allah itu akan mendapat maunah sekiranya pemimpin atau ketuanya bertaraf orang soleh. Mukjizat, karamah dan maunah itu ada yang lahir dan ada yang batin.
Dalam keadaan usaha-usaha lahir tidak lagi ada untuk membantu atau menyelamatkan jemaah, maka Allah pun menurunkan tentera-tentera-Nya secara ghaib. Bantuan mungkin dalam bentuk ilmu, strategi, kaedah, rezeki, tentera dan lain-lain sama ada secara wahyu, ilham, mimpi yang benar, kasyaf, yaqazah, hatif, firasat dan sebagainya. Bila Allah sudah tolong, tidak ada lagi kuasa lain yang boleh menentangnya. Sebab itu Parti Allah pasti menang!
11. Orang bukan Islam menerimanya dan memberi kerjasama
Disebabkan kebenaran dan kebaikan serta kejayaan yang dicapainya dalam pembangunan insan dan material, maka orang bukan Islam pun suka dan senang menerima kehadiran Parti Allah. Walaupun mereka tidak sanggup menukar agama tetapi mereka senang bernaung dan bekerjasama serta menolong Parti Allah ini. Mereka dikatakan golongan zimmi parti (zimmi jemaah) atau zimmi negara Islam. Mereka akui kehe¬batan dan kebenaran Islam dan taat pada pemimpinnya. Cuma mereka tidak sanggup menukar akidah. Golongan zimmi ini dinaungi oleh Parti Allah.
12. Kenaikannya melalui cara yang tidak didugaBagaimana Parti Allah mengembangkan sayap ke taraf negara dan ummah? Caranya murni sekali. Bukan dengan peperangan atau rebutan kuasa atau bergaduh dalam pilihan raya, tetapi melalui cara yang tidak diduga. Iaitu rakyat yang rindu, cinta pada kepimpinan yang adil serta pembangunan insan dan material yang seimbang, telah meminta supaya mereka dinaungi oleh Parti Allah itu.
Kalaupun terpaksa berlaku peperangan, ia disebabkan penentangan kelompok musuh yang bimbang kepentingan mereka tercabar bila Parti Allah memerintah. Kelompok itulah yang mengundangnya ke medan perang. Sedangkan hati rakyat berada di pihak parti yang benar. Sebab itu musuh tersebut mudah kalah kerana rakyatnya sendiri tidak menyokongnya bahkan membencinya. Kenaikan Parti Allah dialu-alukan oleh rakyat, sekalipun yang bukan Islam. Sebab itu Islam pernah memerintah di tiga perempat dunia.
13. Ahli-ahlinya mestilah bertaqwa
Bilamana ahli-ahli sudah kurang taqwa, kurang ibadah, tidak berakhlak, kurang berkorban dan kurang berjuang menegakkan hukum Allah, Parti Allah mula malap. Ia hidup di atas ketaqwaan manusia-manusia yang mendukungnya.
Demikianlah ciri-ciri jemaah atau Parti Allah. Ia membawa rahmat dan kemenangan pada umat Islam. Ia bukan parti politik pilihan raya yang membawa pergaduhan dan perpecahan. Parti politik pilihan raya, kalau mereka kata mereka memperjuangkan Islam, adalah parti Islam sekular namanya. Bezanya dengan Parti Allah ini bagaikan langit dengan bumi. Parti Islam sekular itu tunjangnya ideologi saMa ada yang disedari atau tidak. Ia bergerak di atas landasan sekularisme, bukan agama.
Umat Islam mesti bersedia membetulkan kekeliruan dan pembohongan tentang konsep berpolitik ini. Dalam Islam memang ada parti yang berpolitik. Tetapi bukannya yang dibina di atas platform perjuangan musuh Islam. Parti Allah ada platform sendiri, diasaskan sendiri oleh umat Islam. Politik Islam tidak ada campur aduk sedikit pun dengan sistem politik Barat.
Sepertimana sistem ekonomi, pendidikan, kesihatan, penerangan, sosial, pertanian dan lain-lain lagi, yang oleh Islam didirikan di atas tapak Islam, demikianlahjuga sistem politik Islam ini. Ia mempunyai tapak dan rangka yang tersendiri.
Bolehkah parti atau jemaah Allah mendapat kuasa dalam negara majmuk? Itulah soalan yang dijadikan alasan oleh umat Islam untuk ikut sama dalam politik kotor Barat itu. Sebenarnya jawapannya, boleh, insya-Allah! Lihat proses terjadinya negara dan empayar Islam di tangan salafussoleh. Itulah jalan yang paling tepat dan murni. Kalau kita meniru mereka, insya-Allah, kita bukan sahaja boleh dapat negara, bahkan dapat jadi empayar, menggantikan Amerika. Amin!
No comments:
Post a Comment