Monday, March 26, 2012

Politik Islam Yang Menyimpang..??

membangun-bersama-islam.jpg

haji-hadi.jpg

“Dewan Pemuda PAS mengutuk kebaculan UMNO sebagai pemerintah mempertahankan aqidah dan syiar Islam dan gagal menangani perkara ini secara bijaksana sehingga mencetuskan bibit-bibit yang tidak sihat dalam masyarakat majmuk di negara kita. Dewan Pemuda PAS juga memberi amaran kepada mana-mana pihak yang sengaja mencabar kesucian dan kedaulatan Islam bahawa kami sanggup mengorbankan apa sahaja demi mempertahankan Islam. Daripada hidup bercerminkan bangkai, biar mati bergalang tanah“. - Datuk Seri Hj Abdul Hadi Awang

Petikan Ucapan dari :

Teks Ucapan Dasar Presiden PAS: Selamatkan Demokrasi, Tegakkan Keadilan

Petikan Akhbar Semasa:

Pemimpin PAS cadangkan sistem syura, Perwakilan : Dewan Ulama PAS umpama tin kosong

Baca teks penuh 2 link ini yang dipetik dari akhbar kerajaan di akhir posting ini.

—————————————————————————————–

TEKNIK PERJUANGAN ISLAM YANG TIDAK ISLAMIK

lambang_pas.jpg VS umno_logo1.jpg


Penulis : Abu Nizam

Tujuan saya memberi pandangan ini supaya kita saling menasihati kepada kebenaran. Supaya kebenaran tertegak dan yang palsu lenyap. Saya tidak bermaksud menghina dan jauh sekali mencari musuh. Kiranya hujah saya ini diragui dan tidak kuat, saya pohon hujah balas yang lebih mantap, supaya kita dapat melihat kebenaran. Janganlah dihadapi pandangan saya ini dengan permusuhan melulu oleh sentimen fanatik kepada puak. Ilmu mesti dihadapi dengan ilmu. Jangan ilmu dihadapi dengan penghinaan, kemarahan dan dendam. Pemburu kebenaran tidak takut pada kebenaran. Walaupun dia terpukul dengan kebenaran itu.

Sebab kebenaran tidak memecahkan akal dan hati insan. Kecuali yang tidak mahu menerima kebenaran lagi.

Sekarang saya akan senaraikan alasan mengapa saya katakan politik Barat bercanggah dengan Islam. Mengikutinya, ertinya tidak mengikut syariat Islam. Moga-moga Allah restu dan izinkan.

Supaya kebenaran itu dapat dibuktikan benar dan dapat diikuti. Manakala kepalsuan atau kebatilan dengan sendirinya akan hilang, setidak-tidaknya ada tandingan untuk pilihan. Bagi orang yang hendakkan kebenaran maka sudah ada suri teladan.

(Saya pemah menyertai parti politik PAS selama 10 tahun, maka apa yang saya tulis ini bukan satu serkap jarang atau teropong dari jauh).
Oleh kerana mempunyai matlamat untuk menang pilihan raya, agar dapat memerintah negara, supaya dari sana baru hendak ditegakkan hukum Islam di semua aspeknya, maka tumpuan kepada mendidik iman dan perlaksanaan Islam di dalam parti kurang diambil berat. Bukan tidak ada tetapi tidak diberi keutamaan.

Kadang-kadang kuliah fardhu ain pun jadi landasan untuk kempen mengundi dan menyerang lawan. Apalagi kalau memang kuliah politik. Mendengar syarahan-syarahan bentuk ini kurang membangkitkan rasa takut pada Allah.

Kadang-kadang sibuk di dalam politik pilihan raya itu, sembahyang diabaikan, padahal ia ibadah yang pokok dalam Islam. Kalau sembahyang sudah diabaikan, syariat-syariat Islam yang lain lebih-lebih lagi dicuaikan. Bahkan masih rasa senang dengan dosa dan redha dengan adat -adat yang bertentangan dengan Islam.

Di antara perkara-perkara itu ialah:

1. PERLAKSANAAN IBADAH :

Sekalipun ibadah asas seperti sembahyang fardhu dan sembahyang jemaah, ia amat kurang dititikberatkan. Sedangkan ia hukum Islam yang paling pokok sesudah iman. Sembahyang tiang agama, penguat dan tapak perjuangan. Kalau ia lemah, lemahlah tiang dan tapak jemaah. Di Akhirat, perkara yang paling awal disemak ialah sembahyang, [ BUKAN mendapat negara atau hukum hudud]

Ertinya sembahyang hukum yang paling utama ditegakkan selepas iman. Sama ada kita tinggal dalam negara Islam atau tidak, sembahyang tetap penting. Meremeh atau memandang keeil persoalan sembahyang kerana mengutamakan usaha mendapat negara Islam adalah pilihan atau pandangan yang salah. Ahli-ahli parti ramai yang cuai bersembahyang; tidak faham, tidak khusyuk dan tidak berjemaah. Ini menggambarkan kelemahan parti. Bagaimana parti yang lemah boleh kuat untuk memerintah negara dan mampu mendidik rakyat?

Parti yang akan memerintah mesti punya role model pemerintahan yang baik untuk menjadi ikutan rakyat. Bagaimana parti itu boleh membawa rakyat dalam negara untuk beristiqamah sembahyang, kalau ahli partinya tidak mampu didisiplinkan?

Bagaimana hukum Allah yang ini terjamin perlaksanaannya di peringkat negara sedangkan di peringkat parti pun belum terbukti?

Sayidina Umar Al Khattab r.a. selepas ditikam dan sejurus sebelum beliau wafat, terus berkata,

“Sudahkah kaum muslimin sembahyang Fajar (Subuh)?”

Begitu Sayidina Umar, dalam kesakitan kena tikam, beliau masih memperingatkan sembahyang fardhu kepada kaum muslimin. Logikkah, dengan kuasa memerintah baru orang mahu bersembahyang? Jangan-jangan bila kuasa di tangan, orang lebih lalai!
Demikia juga persoalan akhlak, pergaulan terbatas lelaki perempuan, menutup aurat dan sebagainya, adalah hukum-hukum yang boleh dibuat tanpa kuasa negara. Tetapi ia tidak diberatkan dalam parti politik.

Sedangkan itu semua adalah hukum-hukum penting pada setiap individu muslim. Mengapa hukum yang amat penting ini tidak ditegakkan lebih dahulu sebelum dapat negara? Mengapa gigih memperjuangkan tertegaknya hukum lain yang belum tentu kita dapat berbuat.

2. KULIAH2 PENGAJIAN

Kuliah2 pengajian kurang menekankan persoalan IMAN, TAQWA, akhlak, Akhirat, Syurga, Neraka, peribadi mukmin, amalan fardhu ain dan fardhu kifayah selain NEGARA. Sedangkan perkara-perkara inilah yang membuatkan manusia menyuluh diri, mendapat inspirasi untuk melaksanakan Islam. Seolah-olah Islam yang diperjuangkan itu bagaikan pokok yang tidak diberi baja. Atau kereta yang enjinnya lemah, kerana tidak diambil perhatian.

Mengapa hal ini terjadi? Apakah tokoh politik yang menerajui perjuangan Islam itu tidak sedar perihal ini? Kalau sedar, mengapa dibiarkan, sedangkan hukum Allah itu terlaksana oleh individu manusia bersumberkan ilmu ini. Apakah ada cara lain, manusia beroleh kekuatan menjalankan hukum Tuhan tanpa melalui proses mendidik iman dan ibadah-ibadah asas? Sedangkan dalam sejarah, negara Islam itu sendiri hanya dapat ditegakkan oleh orang-orang yang cukup terdidik dengan iman dan peribadi-peribadi yang bertaqwa.

Dalam Al Quran bukankah Allah berfirman yg maksudnya ”Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari api Neraka.” [ at Tahrim :6]

Para hukama ada berkata: “Tegakkan Islam dalam diri kamu nescaya akan tertegak Islam di dalam negara kamu.”

3. Persoalan UKHUWAH

Persoalan ukhuwah tidak dititikberatkan. Sedangkan semua orang tahu perpaduan itu amat penting. Ia merupakan Salah satu daripada kekuatan jemaah. Sebab itu ukhwah antara pengikut dengan pengikut, pemimpin dengan pemimpin dan pengikut dengan pemimpin tidak terasa dan tidak kelihatan.

Kasih sayang tidak diambil kira dan kurang diusahakan. Hingga terjadi jurang antara pengikut dengan pemimpin.

Sebab itu kata-kata pemimpin tidak terlalu berharga, bahkan arahan pemimpin kurang dipatuhi. Sikap rasa bersama dan saling bekerjasama serta tolong-menolong kurang. Kecenderungan berkorban untuk perjuangan terlalu lemah

Dalam keadaan ini dapatkah parti menjadi seperti batu-bata yang tersusun kukuh untuk membentuk bangunan yang gagah dan hebat? Ertinya, dapatkah ditegakkan sistem hidup Islam di kalangan orang-orang yang hati mereka belum disatukan, yang masih nafsi-nafsi dan tidak sanggup berkorban dan juga tidak taat arahan ketua? Saya yakin kalau dapat negara pun, selagi individu-individu masih nafsi-nafsi, sistem-sistem Islam tidak akan dapat ditegakkan.
Sebab menegakkan sistem adalah ibarat membuat kereta yang memerlukan gabungan perikatan dan penyatuan antara tayar, enjin, casis, gear, badan kereta dan lain-lain lagi. Tanpa ukhwah antara tiap-tiap golongan, ertinya tidak ada rasa bersama dan kerjasama. Bila tidak ada rasa bersama dan kerjasama, bagaimana mereka hendak membentuk satu sistem hidup yang indah itu? Adakah tali lain yang lebih kuat dari iman dan ukhwah ini untuk menyatukan umat Islam dalam barisan yang teratur kukuh?

4. Faktor KEFAHAMAN DAN KESELARASAN

Kefahaman dan keselarasan di antara ahli parti tidak diutamakan. Apabila kefahaman dan keselarasan tidak diutamakan, masing-masing bebas dalam berfikir, bebas mempunyai pandangan serta mengambil sikap, sekalipun dalam persoalan dasar dan asas.

Terhadap sesuatu isu saja, kita lihat mereka berbeza pandangan dan sikap. Dalam menghadapi musuh pun tidak sama sikap dan pandangan. Ada yang bermusuh ketat dengan pihak yang dianggap musuh, ada yang longgar.

Hal ini bercanggah dengan teknik dan strategi perjuangan Islam. Lebih-Lebih lagi dalam medan perang. Fikiran mesti satu, hasil menerima ilmu dari sumber yang satu iaitu Al Quran dan Hadis, yang diberi minda oleh pemimpin untuk menjadi pegangan bersama demi perpaduan.

Fikiran yang bercelaru dan bersimpang-siur, tidak memberi hasil apa-apa melainkan akan menimbulkan perbalahan dan perselisihan faham. Dalam negeri atau negara, kalau keadaan ini berlaku, ia bukan membawa pembangunan sistem Islam tetapi mebawa kepada kucar – kacir dan kecelaruan, yang akhirnya akan mengelirukan rakyat dan susah bagi orang lain untuk menirunya.

5. IDENTITI atau SYIAR ISLAM

Syiar tidak kelihatan dalam parti politik pilihan raya. Soal mengapa pendekatan melalui syiar ini tidak diambil, tidaklah difahami. Sedangkan Sunnah Nabi kalau diamalkan, syiarnya sangat memeriahkan dan sangat banyak berkatnya. Sebab mengamalkan Sunnah Nabi, yakni cara hidup Islam yang lahir dan batin seperti di dalam berpakaian, bergaul, makan minum, berkahwin, berjuang, berkorban dan lain-lain cara hidup, itu lahir dari hati yang sangat kasih atau fanatik dengan Allah dan Rasul.

Orang yang fanatik dengan Allah dan Rasul, baru orang itu dapat melaksanakan hukum dan Sunnah Rasulullah. Apabila berjaya membangunkan hukum dan Sunnah Rasulullah, barulah nampak syiar. Lahirnya syiar itu adalah daripada sifat taqwa.

Firman Allah:
Maksudnya: “Barang siapa yang membesarkan syiar Allah, sesungguhnya itu datang dari hati yang bertaqwa.” (AI Haj: 32)

Orang yang sayang dan cintakan Allah dan Rasul, sanggup meniru cara hidup Rasul sekalipun kawan lari. Tetapi kalau hati tidak kasih, walaupun ada kuasa memerintah negara dan bebas menegakkan hukum Tuhan dan Sunnah Nabi, namun manusia tetap enggan melakukannya. Seperti orang ada lori, tahu pandu lori tetapi kalau hati tidak suka naik lori, tetap dia tidak naik juga.

Identiti Islam atau syiar Islam itu sangat penting dalam perjuangan. Ia menjadi lambang yang punya daya untuk menarik manusia kepada cara hidup Islam. Ia juga menjadi benteng kepada musuh dari sikap pura-pura dan menyusahkan mereka untuk menyeludup masuk ke dalam jemaah dan bertindak bagaikan gunting dalam lipatan. Ia membezakan parti Islam dengan parti sekular. Ia menjadi tekanan dan saingan pada cara hidup Barat. Dan berbagai-bagai lagi hikmahnya.

Tanpa identiti yang membezakan cara hidup pejuang Islam dengan orang yang tidak memperjuangkan Islam, menjadikan parti politik itu tidak ada kelebihan berbanding parti-parti yang tidak memperjuangkan Islam. Kalau cakap saja yang berbeza tetapi cara hidup sama saja dengan mereka, bahkan meniru pula cara hidup musuh, samalah dengan tin kosong yang orang tidak pandang dan yang tidak berharga. Berbunyi tetapi tidak berisi. Lagi kuat bunyi, lagi kurang isi. Hanya akan jadi mainan dan bahan perli orang. Sungguh, cara ini bersalahan sekali dengan kehendak Islam.

6. TOKOH2 POLITIKNYA ‘SAMA’ DENGAN PARTI LAWAN

Tokoh2 politik yang berjuang atas nama Islam, bilamana jadi wakil rakyat atau jadi menteri, nampaknya akan hidup kaya-raya atau lebih kurang sama seperti kehidupan wakil-wakil rakyat dari parti-parti lain yang memang tidak bercita-cita hendak memperjuangkan Islam. Ertinya, mereka ini mempunyai tujuan yang sama dengan wakil-wakil rakyat lain, yakni berpolitik untuk hidup senang dan membina harta serta membangunkan projek peribadi.

Sedangkan pemimpin-pemimpin Islam yang sebenar itu kerana mahu menegakkan hukum Islam, mereka korbankan kekayaan mereka hingga hidup mereka sederhana sekali.
Tanpa pengorbanan, dari mana datangnya wang dan harta untuk perjuangan? Masakan hendak minta dari orang yang tidak ada cita-cita Islam atau daripada musuh sendiri? Pengorbanan pemimpin dan ahli-ahlilah sumber kekayaan bagi parti yang ada cita-cita Islam. Tanpa pengorbanan, parti akan terus miskin dan kita akan membuat alasan Islam tidak dapat tegak kerana masalah kewangan. Konon, salahkan musuh kerana tidak alirkan wang, sedangkan ia kesalahan kita kerana tidak mahu berkorban. Itulah punca utamanya. Adakah logik perjuangan kita dibiayai oleh musuh? Atau minta bantuan dari musuh? Apakah cara ini boleh menaikkan maruah perjuangan?

7. AHLI-AHLI POLITIK MENJAUHI AHLI PARTI LAIN

Ahli2 politik yang katanya ingin memperjuangkan Islam, tidak mahu bergaul dan berhubungan dengan siapa saja yang tidak menyokong perjuangannya, sama ada individu atau kumpulan lain. Kata-kata saya ini berdasarkan beberapa bukti yang telah terjadi.

Ini dapat dilihat pada sikap yang ditunjukkan oleh ahli-hli harakah politik berkenaan yang sedang menuntut di pusat pengajian tinggi di luar negara kepada anak2 buah saya.

“Serulah kepada jalan Tuhanmu secara hikmah dan tunjuk ajar yang baik dan (kalau perlu) berbahaslah dengan mereka dengan memberi hujah yang lebih baik.” (An Nahl: 125)

Di dalam ayat di atas, kita disuruh berbahas dan berbincang dengan sebaik-baiknya. Kalau dengan manusia yang tidak separti dengan mereka. telah dibina jurang atau gap, bagaimana hendak berbincang?

Sedangkan dengan berbincang baru kita tahu ilmu kita betul atau tidak, hujah kita kuat atau lemah, pendapat kita benar atau salah. Pandangan kita perlu disuluh dengan perbincangan, baru kita tahu pandangan kita itu benar atau salah.
Allah mahu kita cari bermacam-macam jalan untuk hadapi bermacam macam golongan manusia sekalipun orang bukan Islam, demi mengajak mereka kepada Allah.

Sikap mudah bermusuh, berprasangka, tidak bertegur sapa dan tidak mesra, itu bukanlah caranya untuk memperjuangkan Islam. Ia menyempitkan gelanggang perjuangan kita.

Rasulullah menziarahi seorang perempuan tua bukan Islam yang selalu ,menyakitinya. Hingga akhirnya perempuan itu masuk Islam.

Rasulullah SAW bersabda:

Ucapan atau kata-kata yang baik itu adalah sedekah” [ Muslim]
Senyum (kemesraan) kamu di hadapan saudaramu itu adalah sedekah.”[ Al Bukhari]

iron_lava.jpg

8. TUDUHAN KAFIR, SESAT….

Terhadap individu atau kumpulan yang TIDAK SEPERJUANGAN atau lain gaya perjuangan, dituduh dan mudah dijatuhkan hukuman fasik, zalim, kafir, murtad dan lain-lain.

Hukuman semberono dan melulu ini dibuat menggunakan ayat Al Quran dan Hadis tanpa takut dan malu dengan Allah. Hal ini berlaku sejak badan politik yang ingin memperjuangkan Islam melalui pilihan raya ini ditubuhkan. Ia terjadi dimana-mana di dunia ini.

Hukuman atau menghukum jadi seperti mainan bibir untuk tujuan menghina dan memalukan orang Islam lain serta menarik orang kepada parti sendiri. Penuh bangga kerana merasa diri sudah selamat. Sedangkan seorang hamba Allah sepatutnya amat menderita bilamana terpaksa menjatuhkan hukuman. Takut kalau-kalau tersilap hingga hukuman itu kembali menimpa muka sendiri dan Allah akan tempelak di Akhirat nanti.

Sayidina Abu Bakar As Siddiq r.a., kalau dirasakan cakapnya sudah menyakiti hati orang Islam, lantas dia minta qisas atau mengadu pada Rasulullah SAW supaya dia segera dihukum. Begitulah iman orang mukmin yang memperjuangkan hukum-hukum Allah; sangat takut dengan Allah.

Kerana itu, mereka berhati-hati dalam menghukum.
Sikap mudah menuduh-nuduh dan menghina-hina dengan tidak menggunakan hujah yang benar dan terhormat, akan membuatkan orang benci dan lari dari kita. Hingga terjadilah perpecahan yang dahsyat hasil perjuangan kita itu.

Dalam sebuah masjid, ada dua imam yang mengimami sembahyang dalam satu masa. Pernah terjadi di Terengganu, dua ceramah dengan dua mikrofon dalam satu masjid.

Walhal perjuangan Islam bermaksud meramaikan dan menyatupadukan ahli jemaah di bawah satu imam dalam satu masjid. Tapi politik Barat ala pilihan raya mengecil, menyempit dan memecah-belahkan umat Islam dalam masjid. Juga membuatkan orang Islam tidak makan sembelihan orang Islam lain. Dan nikah kahwin sesama Islam dianggap tidak sah kerana berlainan pandangan politik.

Inikah kebenaran? Lagi banyak berjuang, lagi umat Islam berpecah. Lagi banyak berjuang, lagi umat Islam berkrisis. Kalau begitu, apa bukti Islam yang diperjuangkan itu agama selamat, membawa keamanan sejagat dan keharmonian masyarakat?
Politik pilihan raya tidak akan dapat menyelesaikan kemelut ini.

Ia hanya akan menambahkan masalah. Bahkan ia adalah punca masalah ini. Harapan sekarang hanya tertumpu kepada politik Islam yang penuh kasih sayang.

9. PEJUANG YANG EMOSI

Terhadap serangan musuh orang politik yang katanya memperjuangkan Islam itu memberi respon penuh emosi, bukan dengan penuh bijaksana matang dan strategik. Seperti orang melatah diusik, melompat-lompatlah ia dengan penuh aksi, geram, melulu dan tidak sabar hingga menyusahkan diri sendiri.

Bila musuh tuduh perkara yang tidak sepatutnya, maka dengan geram dan gelisah, dibuatlah serangan balas yang kadang-kadang tersalah cakap, terlebih hukum, terlajak sikap hingga menguntungkan musuh.

Musuh memang suka kita asyik menjawab. Agar masa kita terbuang dengan menjawab. Supaya kita tidak ada masa untuk berbuat dan membangun. Memang itulah yang musuh mahu. Tetapi pemain politik yang guna nama Islam ini seperti tidak faham niat jahat musuh terhadapnya.

Dia fikir musuh petul-betul tersalah tuduh, maka tertipulah dia. Kalau mereka faham tipu daya musuh, tentu mereka tidak teruk ditipu.
Mereka tidak praktikkan doktrin bahawa ‘peperangan itu tipu daya’. Sedangkan ahli politik Islam seharusnya lebih bijak, lebih matang dan lebih berstrategi dari musuh dalam menipu daya dan bermuslihat.

Pejuang Islam sepatutnya sentiasa dapat menipu dan mengalahkan musuh dan bukan sebaliknya. Mereka sepatutnya berada dua tiga langkah di hadapan musuh dan dapat membaca gerak-geri musuh.

Kalau tidak, di mana keistimewaan Islam? Lagi pula, Islam mengajar penganutnya selalu bertenang dengan ujian agar tidak menghilangkan kebijaksanaan di dalam tindakan.

10. SALAH STRATEGI

Strategi peperangan fikiran tidak sama dengan peperangan senjata. Dalam perang senjata, kita boleh terus menyerang tetapi berdisiplin dan tidak menzalim.

Tetapi secara politik, untuk pancing undi dan menarik simpati orang yang yakin cara itulah perjuangan, tentu tidak boleh gopoh dan main kasar.

Kita kena berlembut, kalau boleh biar lebih lembut gigi dari lidah. Supaya orang tertarik dan tertawan dengan kita. Kita disuruh berakhlak. Itulah strategi namanya. Dan ia pula memang diperintah oleh Islam. Kerana ia adalah buah ibadah dan buah perjuangan.
Tetapi sayang, orang-orang politik ala Barat ini berkasar dengan orang. Mudah menyerang, mudah mengata-ngata, menuduh dan melempar tohmah tanpa usul periksa.

Ini semua meramaikan musuh, bukan meramaikan kawan.

Orang lari, bukan orang mendekati. Ceramah mereka panas, hanya berslogan, berpropaganda, menghasut dan membangkitkan semangat marah.

Lalu tercetuslah di tengah masyarakat perasaan gelisah, tegang, benci-membenci, rasa permusuhan, dendam, dengki, buruk sangka, kata-mengata dan lain-lain lagi.
Punah segala kasih sayang, harmoni, kedamaian, bertolak ansur, maaf-bermaafan, perikemanusiaan, hormat-menghormati dan lain-lain sifat mulia dari umat Islam.

Sedangkan Islam membawa segala kebaikan ini dan kerana inilah ia kelihatan indah, cantik dan dapat menawan hati manusia. Kalau itu semua tidak ada, di mana keindahan dan kecantikan Islam itu?

11. MASALAH DALAMAN

Struktur Kepimpinan dalam parti politik yang dijadikan platform perjuangan Islam itu selalu berubah-ubah dan bertukar ganti, yang berpunca daripada krisis-krisis peribadi, perebutan jawatan, jatuh-menjatuhkan hingga tercetus berbagai kem dan team dalam parti.

Kadang-kadang pemimpin nombor dua lebih popular daripada pemimpin nombor satu. Perbuatan sepak terajang hingga pemimpin tergolek dan terguling, biasa berlaku. Naiklah orang lain memegang jawatan yang diidamkannya.

Sungguh tidak patut sekali hal ini berlaku dalam parti yang bernama Islam. Namun begitulah realitinya. Betapa malangnya kita kalau hal begini terjadi dalam negara Islam yang mereka laung-laungkan dan idam-idamkan. Kemungkinan terjadi memang besar. Sebab dalam parti pun boleh terjadi, apalagi dalam negara? Sedangkan dalam negara Islam tulen, kepimpinan seorang khalifah adalah untuk seumur hidup. Pengikut taat, kasih dan cinta serta terhutang budi padanya seperti terhutang budinya kita kepada ayah, guru dan sahabat.

12. PRINSIP PERJUANGAN TAK JELAS

Tidak jelasnya prinsip perjuangan pejuang Islam melalui politik Barat ini ketara sekali.. Kita jadi tertanya-tanya apa pendirian mereka sebenarnya ketika menukar-nukar stail dan fesyen pakaian. Depan orang kampung pakai ketayap, di bandar pakai necktie. Dalam negeri lain lagaknya, di luar negeri lain pula.

Kalaulah menutup kepala itu kerana mempertahankan hukum sunat, mengapa tidak dikekalkan?

Atau kalau dianggap tidak berketayap itu sunat, mengapa tidak terus jangan pakai ketayap?

Sesetengah ahli demi wang dan jawatan sanggup dijual beli orang. Mereka sanggup keluar masuk parti. Mereka sanggup melompat dari satu parti ke satu parti. Hal ini sungguh malang bagi parti yang bernama Islam.

13. TIDAK KEKAL PENDIRIAN

METHOD PERJUANGAN pun terjadi hal yang sama. Yakni sering berubah-ubah mengikut arah angin. Kalau angin dari Iran bertiup, mereka pun hala ke Iran. Bila angin bertiup dari Libya, Libya pulalah rujukannya. Bila angin dari Algeria, ke sana pulalah mereka.

Perubahan ini lebih kerap berlaku bila dekat pilihan raya. Demi untuk menang, kadang-kadang prinsip dilanggar. Hal ini bukanlah rahsia lagi. Semua orang perasan. Tetapi apakan daya, keadaan ini seperti menjadi satu trend, seolah-olah tiada pilihan. Walaupun ianya mengecewakan sekali.

14. SISTEM ISLAM TIDAK JELAS

Sistem2 Islam yang hendak diperjuangkan tidak jelas. Walaupun sudah berpuluh-puluh tahun berjuang tidak ada pun buku-buku panduan yang dikeluarkan oleh pemimpin.

Buku perlu untuk memahamkan orang ramai apa itu sistem pendidikan Islam, ekonomi Islam, kebudayaan Islam dan lain-lain sistem lagi.

Selain untuk memahamkan orang ramai, ia, juga jadi panduan kepada orang yang akan memerintah kelak.

—————————————————————————————–

Setelah menyenaraikan apa yang saya nampak tentang teknik perjuangan parti politik yang memperjuangkan Islam di Malaysia dan di dunia amnya, saya mohon maaf kiranya ia menyakitkan saudara.

Saya terpaksa berterus-terang dan wajib saya berbuat demikian. Kerana pada saya sudah cukup bukti untuk mengatakan begitu. Lebih-lebih lagi kerana saya punya altematif iaitu politik Islam yang hak, yang potensinya lebih meyakinkan.

Ia lebih mendekati jejak sejarah perjuangan Islam oleh baginda Rasulullah SAW. Yang mana sesudah melewati perjuangan selama 23 tahun, baginda telah mendapat negara Islam.

Yakni melalui kaedah motivasi dan pendidikan kepada pengikut-pengikutnya dan juga kepada yang bukan pengikutnya, dengan aman dan selamat.

Terjadinya peperangan, kerana orang kafir memulakan terlebih dahulu. Sedangkan perjuangan melalui politik ala Barat sudah lebih 50 tahun, di sesetengah negara lebih lama daripada itu, namun belum ada tanda-tanda untuk menjadi negara dalam negara atau jemaah bayangan negara. Lebih-lebih lagi jadi negara Islam.
Dulu, di awal-awal perjuangan, kita sama-sama tidak pasti laluan yang mana yang akan benar-benar sampai kepada tertegaknya sistem hidup Islam, maka kita sama-sama mencuba.
Logiknya yang paling cepat, laluan politik pilihan rayalah. Tetapi kini, kita dapat sama-sama saksikan bahawa teknik perjuangan rnelalui politik pilihan raya jalannya panjang, penuh dengan perangkap musuh serta tidak dapat mendidik ahli.

Walaupun jalannya lebar tetapi amat merbahaya. Hampir tiada yang selamat melaluinya.

Walaupun sudah mendapat sebuah negeri, tetapi amalan Islam serupa saja, tiada perubahan apa-apa.

Dan ternyata juga laluan motivasi dan pendidikan, dengan pendekatan kasih sayang dan dengan mewujudkan role model, walaupun baru tetapi kerana bukan jalan musuh, maka ia lebih selamat dilalui.

Kini sesudah 40 tahun melaluinya, kita sudah dapat membangunkan negara di dalam negara.

Moga-moga saudara-saudari sudi rnengambil perhatian di atas apa yang saya katakan ini, derni kebaikan agama Islam yang kita anuti bersama. Allahlah pembuat keputusan yang sebaik-baiknya. Dan Allah jualah yang mentakdirkan dan mengizinkan ini sernua.

lovecare.jpg

UTUSAN MALAYSIA 4/6/07

Hassan cadang pemilihan secara syura


KOTA BHARU 3 Jun – Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali mencadangkan pemilihan bagi jawatan tertinggi dalam parti dibuat secara syura yang dianggap lebih baik seperti yang ditunjukkan oleh Islam sendiri.

Beliau yang mengharapkan cadangannya diberi perhatian serius berkata, selaku sebuah parti Islam, Pas sepatutnya tidak mengetepikan langkah itu kerana ia adalah sistem yang diamalkan di zaman Rasulullah.

Beliau secara terbuka mengakui, pemilihan setiap dua tahun sekali cukup mengganggu pemikirannya dan tentunya juga para pemimpin lain apatah lagi, ia turut merenggangkan hubungan persahabatan sedia terjalin.

Sehubungan itu, Hasan mencadangkan supaya tatacara sistem syura dapat dibentangkan secepat mungkin bagi menggantikan sistem yang ada agar perjalanan tidak terus diganggu oleh pemilihan.

‘‘Kita ada sistem syura, inilah sistem yang paling murni dengan tidak ada lagi sistem yang lebih baik kerana yang lain adalah dibuat oleh manusia untuk manusia.

‘‘Justeru, parti kita melaungkan Islam tetapi kenapa kita tidak boleh ambil pendekatan ini,” katanya dalam ucapan penggulungan sempena Muktamar Pas kali ke-53 di Pusat Tarbiyah Islam Kelantan (Putik), di sini hari ini.

Menurutnya, perubahan ini boleh dilakukan kerana ia melibatkan perkara dalaman parti dan tidak sesukar usaha untuk mengubah keadaan demokrasi di negara ini kerana Pas belum berupaya membentuk kerajaan.

‘‘Pada saya, kita wujudkan sistem merit untuk pilih pemimpin, tengok latar belakang dia, pendidikan tidak penting, tetapi kesungguhan dia untuk berjuang bersama Pas itu lebih penting, kiranya kalau lebih banyak turun demonstrasi, markah dia lebih banyak,” ujarnya.

Tambah Hassan, pemilihan yang dilakukan secara mengundi banyak menganggu fikiran perwakilan yang bukan sahaja berlaku di saat-saat membuang undi bahkan sejak beberapa bulan sebelum itu lagi.

Malah katanya, dari segi calon yang hendak bertanding ada kalanya telah dikenali berpuluh tahun tetapi tidak tahu hendak pilih yang mana kerana kedua-duanya bertanding untuk jawatan yang sama.

‘‘Macam Ahmad Awang dengan Dr. Mohfodz Mohamaed (calon Naib Presiden), lebih 30 tahun saya kenal mereka dan itu baru saya, Presiden tentunya lebih lagi merasainya,” ujarnya.

Hasan yang menyifatkan ini sebagai ucapan terakhirnya selaku Naib Presiden berikutan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan turut meluahkan rasa kecewa dengan sikap segelintir pihak dalam Pas sendiri yang cuba mewujudkan pemisahan antara ulama dan profesional.

Malah dalam ucapannya, beliau turut melahirkan rasa kesal dengan tindakan cuba melabel sesetengah pemimpin sebagai sekular termasuk dirinya hanya kerana pendidikan formal yang diterima bukan berlatar belakang Islam.

——————————————————————————————

muktamar-tahunan.jpg

MINGGUAN MALAYSIA 3/6/07

Dewan Ulama Pas ibarat tin kosong – Perwakilan
Oleh: YULPISMAN ASLI

KOTA BHARU 2 Jun – Perwakilan pada Muktamar Tahunan Pas kecewa dengan Dewan Ulama parti itu yang kewujudannya diibaratkan seperti tin kosong.

Wakil Perak, Misbahul Munir Masduki berkata, Dewan Ulama parti itu hanya hidup dalam kepompong mereka sendiri dan tidak berperanan dalam usaha mencelikkan rakyat terutama ketika berdepan dengan pelbagai isu yang melibatkan kepentingan umat Islam.

“Kepimpinan ulama yang dicanang oleh parti Pas tidak harus hanya menjadi tin kosong melalui kewujudan Dewan Ulama, apabila aktiviti mereka lebih tertumpu di surau dan markas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan terima kasih ucapan dasar Presiden pada Muktamar Tahunan Pas Ke-53 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Misbahul Munir turut membangkitkan kegagalan Dewan Ulama parti itu menyatakan pendirian serta pandangan mereka tentang pelaburan Internet sehingga ahli-ahli parti terus ternanti-nanti.

“Laman web Dewan Ulama juga tidak dikemas kini. Ulama secara individu juga tidak ada laman web yang boleh diketengahkan bagi membela isu-isu melibatkan rakyat Malaysia,” katanya.

Tegas beliau, ulama Pas perlu berperanan lebih proaktif sesuai dengan status mereka termasuk menerbitkan karya atau buku-buku ilmiah dan jurnal bagi mengupas isu-isu semasa.

Katanya, selain mencelikkan rakyat, langkah itu juga dapat menjawab banyak isu mengenai peranan Dewan Ulama yang tidak termampu dimuatkan kesemuanya dalam akhbar rasmi Pas, Harakah.

“Tidak dinafikan ada yang menjawab atas dasar individu yang menyentuh isu seperti rasuah dan sebagainya. Tetapi, Dewan Ulama perlu menghuraikan dosa rasuah dan sebagainya supaya rakyat jijik,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan peranan yang dimainkan oleh Dewan Ulama Pas dalam menarik sokongan orang bukan Islam terhadap parti itu.

Sementara itu Pas Pahang mencadangkan supaya slogan ‘kepimpinan ulama’ ditukarkan kerana ia akhirnya seolah-olah menyekat individu-individu berpotensi daripada kalangan yang bukan berpendidikan agama memegang jawatan dalam parti itu.

Wakilnya, Hamzah Jaafar yang juga Yang Dipertua Pas kawasan Jerantut berkata, hakikatnya ada kalanya golongan bukan ustaz lebih berpotensi untuk diangkat sebagai pemimpin kerana keperibadian dan kebolehan mereka tetapi ada ahli rasa serba salah hendak berbuat demikian.

“Sedangkan slogan kepimpinan ulama bukanlah bermaksud sedemikian tetapi kerana kegagalan ahli untuk memahaminya maka ia berlaku sebaliknya.

“Jadi saya cadangkan supaya kita tukar daripada ‘kepimpinan ulama’ kepada ‘kepimpinan Islam’ yang boleh memberikan tafsiran yang lebih luas dan seterusnya mengelakkan daripada UMNO menguar-uarkan pertembungan ulama dan profesional dalam parti kita,” katanya.


SOURCE : HELICONIA

No comments:

Post a Comment