Friday, March 30, 2012

RAHMATULLAH

Salah satu daripada sifat Allah s.w.t yang mulia ialah memiliki rahmat. Firman Allah s.w.t:

(وربك الغني ذوالرحمة)

Maksudnya: “Dan Tuhanmu Maha Kaya lagi mempunyai rahmat. (Al-An’aam: 133)

Bagi Allah memiliki 100 rahmat. Lalu diturunkan satu sahaja rahmat tersebut kepada seluruh manusia di muka bumi manakala 99 rahmat lagi ditahan oleh Allah diakhirat nanti untuk para waliNya dan hambaNya yang taat kepadaNya. Sabda Nabi s.a.w:

إن الله تعالى مائة رحمة، أهبط منها رحمة واحدة، إلى أهل الدنيا فوسعتهم إلى آجالهم، وإن الله قابض تلك الرحمة يوم القيامة، فيضمها إلى التسعة والتسعين، فيكملها مائة رحمة لأوليائه وأهل طاعته

Bermula sejak daripada kita di alam rahim lagi Allah s.w.t telah memelihara kita dengan rahmatNya sehingga kita selamat dilahirkan ke dunia. Hal ini berterusan sehingga kita dapat menikmati kehidupan di dunia ini tanpa ada apa-apa kekurangan. Bahkan setiap sesuatu diliputi oleh rahmat Allah yang dikurniakan untuk seluruh penghuni alam.

(ورحمتى وسعت كل شيء)

Maksudnya: “Dan rahmat-Ku meliputi segala sesuatu." (Al-A’raaf: 156)

Bagi orang-orang beriman, diutuskan Nabi s.a.w sebagai rahmat untuk sekalian alam bagi membimbing kehidupan manusia ke jalan yang benar. Kemudian diturunkan pula Kitab suci Al-Quran yang mengandungi seribu satu rahmat sebagai panduan penyuluh hidup bagi orang yang beriman serta beramal dengannya.

(وما أرسلناك إلا رحمة للعالمين)

Maksudnya: “Dan tiadalah kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.” (Al-Anbiya’: 107)

وننزل من القرءان ما هو شفآء ورحمة للمؤمنين ولا يزيد الظالمين إلا خسارا

Maksudnya: “Dan kami turunkan dari Al Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.” (Al-Isra’: 82)

Seluruh umat Islam diperintahkan oleh Allah supaya mengabdikan diri kepadaNya dengan bersungguh-sungguh dan penuh keikhlasan serta tidak melakukan dosa selain syirik. Dengan rahmat serta kasih sayangNya juga Allah s.w.t tetap mengampunkan dosa dan kesalahan orang-orang yang berdoa serta bertaubat di atas kesalahan yang telah dilakukan oleh umatnya.

إن الله لا يغفر أن يشرك به ويغفر ما دون ذلك لمن يشاء ومن يشرك بالله فقد افترى إثما عظيما

Maksudnya: “ Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa mempersekutukan (sesuatu) dengan Dia, dan dia mengampuni dosa yang selain syirik bagi siapa yang dikehendaki-Nya. barangsiapa yang mempersekutukan (sesuatu) dengan Allah, Maka Sesungguhnya ia Telah tersesat sejauh-jauhnya. (An-Nisaa’: 116)

Bahkan di akhirat nanti, segala amalan yang dilakukan walaupun sebesar gunung sekalipun pahalanya belum menentukan seorang abid dapat memasuki syurgaNya. Ini kerana hanya dengan rahmat Allah jua kita dimasukkan ke dalam syurga walaupun amal yang kita lakukan hanya sedikit, bergantung kepada keikhlasan serta keinsafan kita untuk kembali kepada Allah yang Esa.

Oleh itu, marilah kita sama-sama bersyukur di atas segala nikmat yang dikurniakan kepada kita tanpa ada rasa keluh kesah dan hiba. Janganlah pula kita berputus asa untuk mendapat rahmat Allah disebabkan sedikit ujian yang menimpa kita sebaliknya berdoalah supaya rahmatNya sentiasa mendampingi kehidupan kita.

قل يا عبادي الذين أسرفوا على أنفسهم لا تقنطوا من رحمة الله إن الله يغفر الذنوب جميعا إنه هو الغفور الرحيم

Maksudnya: “Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa.” (Az-Zumar: 53)


...

Mengapa seorang suami begitu sayang kepada isteri dan sebaliknya? Mengapa pula anak-anak yang saleh rela menanggung susah menjaga kedua ibu bapa? Mengapa kita mahu berkorban untuk mengikat tali persaudaraan dengan jiran tetangga, saudara mara dan sahabat seperjuangan? Mengapa dunia ini aman dan damai, walaupun berbilang bangsa dan kaum, adat dan kepercayaan manusia? Jawabnya hanya satu iaitu kerana rahmat Allah SWT telah diturunkan ke atas dunia ini.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ”Allah Taala memiliki seratus rahmat. Satu di antaranya diturunkan untuk sekalian makhluk sehingga mereka berkasih-kasihan sesama mereka. Dan yang sembilan puluh sembilan lagi disimpan untuk hari kiamat.” (Riwayat Muslim)

Jika kita kehilangan rasa ingin mencintai, sesungguhnya rahmat Allah SWT itu telah tercabut dari hati. Isteri yang membenci suaminya atau sebaliknya, anak yang derhaka kepada kedua orang tua, orang yang bengis dan kasar, angkuh lagi sombong, zalim kepada sesama manusia, mereka ini telah terkeluar daripada senarai pilihan orang-orang yang mendapat limpahan rahmat Allah.

Bukankah baginda SAW telah bersabda yang bermaksud:
”Orang yang tidak menyayangi, tidak akan disayangi.” (Muttafaqun Alaih)

Sesungguhnya rahmat Allah SWT meliputi seluruh alam. Dia tidak pernah jemu mencintai makhluk-Nya. Sehingga tertulis di dalam kitab yang tersimpan di ’Arasy, kalimah yang agung ketika Dia mencipta sekalian makhluknya yang bermaksud: ”Sesungguhnya rahmat (kasih sayang-Ku) mengalahkan kemurkaan-Ku.” (Riwayat Muslim)

Apakah tanda-tanda yang menunjukkan cinta Allah SWT telah bertapak di hati hamba-Nya?

1. Hati suka kepada kebaikan dan benci kepada kemungkaran.


Definisi makruf dan mungkar hanya dapat difahami melalui ilmu dan kajian. Orang yang berilmu adalah hamba yang paling dekat dengan Allah SWT. Kerana dengan ilmunya itu mereka bertambah takut kepada Allah SWT. Orang yang dikasihi Allah SWT hatinya sentiasa sibuk menilai, menimbang, mengkaji dan menghisab diri sendiri berdasarkan ilmu dan kefahaman agamanya. Tiada masa untuk menilik aib orang lain. Ramai manusia mencari ilmu, tetapi apakah wujud tanda-tanda ilmunya itu bermanfaat? Jawapannya ya, jika kita mengkaji hadis Rasulullah SAW tentang perangai-perangai para penuntut ilmu.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: ”Sesungguhnya perumpamaan petunjuk dan ilmu yang aku diutus Allah dengannya adalah seperti hujan yang turun di atas bumi. Sebahagian merupakan tanah baik yang boleh menghisap air dan menumbuhkan rumput-rumput. Sebahagiannya pula yang merupakan tanah keras yang dapat menahan air. Allah memberikan manfaat dengannya kepada manusia untuk minum dan mengalirkan tanaman. Sebahagiannya pula yang jatuh ke bahagian lain, yang berupa lembah yang tidak dapat menahan air dan menumbuhkan rumput. Yang demikian merupakan perumpamaan bagi orang-orang yang memahami agama Allah dan Allah memberi manfaat kepadanya. Seperti yang demikianlah aku diutuskan. Lalu dia memahami dan mengajarkannya. Begitu pula perumpamaan orang yang tidak mahu mengangkat kepalanya dan tidak menerima petunjuk Allah.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

2. Hati yang sensitif terhadap dosa.


Gelisah, risau dan takut merupakan perasaan semulajadi pada diri manusia. Jika kita berdosa apakah perasaan tersebut boleh muncul di permukaan hati? Ataukah tenggelam bersama rasa ego dan takbur kerana merasa diri telah sempurna? Hamba yang dikasihi Allah SWT memiliki kepekaan yang tinggi terhadap dosa dan maksiat. Dia menjadi orang yang paling teliti menjaga kesempurnaan ibadatnya, kebersihan hatinya dan sepak terjang perilakunya terhadap sesama manusia. Tiga aspek ini menjadi satu sistem penilaian yang berterusan sepanjang hidupnya. Ia sentiasa mengingati hari pertanggungjawaban atas segala perbuatan. Sabda baginda SAW yang bermaksud: ”Kedua kaki hamba tak akan berganjak sehingga dia ditanya tentang umurnya yang telah dihabiskan, tentang amal yang telah dikerjakan, tentang harta di mana dia mendapatkannya dan untuk apa dibelanjakan dan tentang tubuh badannya untuk apa dia gunakan.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmizi). Bukankah perkara itu sungguh berat? Adakah kita sentiasa mengingati keempat-empat urusan yang besar itu setiap hari?

3. Menjadikan dunia ini sebagai matlamat untuk mendapatkan cinta dari-Nya.


Untuk apa harta itu? Mengapa kita berusaha bersungguh-sungguh mendapatkan kejayaan? Jika Saidina Muaz bin Jabal masih hidup lagi, mungkin beliau akan menjawab persoalan itu. Tetapi eloklah kita mengingati kembali detik-detik kematiannya sambil meneliti kata-kata hikmah yang menyimpan sejuta inspirasi bagi hamba Allah SWT yang mahu memahami falsafah kehidupan ini. Muaz berkata: ”Aku berlindung kepada-Mu Ya Allah dari siksa api neraka. Rabbi, sesungguhnya Engkau Mengetahui bahawa aku tidak menyukai kehidupan ini kerana tanamannya yang hijau mahupun sungainya yang mengalir, ataupun rumah-rumah dan istananya yang indah, akan tetapi aku menyukai kehidupan ini hanya kerana tiga perkara, iaitu saat-saat berjuang di atas jalan-Mu, ketika berkumpul dengan para ulama demi menuntut ilmu-Mu dan saat menundukkan wajahku di hadapan-Mu.” Indahnya sebuah ungkapan, syair kasih seorang hamba Allah yang telah memiliki cinta Tuhannya.


TIGA SYARAT UNTUK MENDAPAT RAHMAT ALLAH




Terjemahan:

Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itulah (orang-orang yang) mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

(Al-Baqarah 2:218)
Tafsir Ayat:

Di dalam ayat di atas Allah SWT menyatakan tiga syarat yang perlu dipenuhi terlebih dahulu oleh seorang manusia barulah dia layak digolongkan sebagai orang yang benar-benar telah mengharapkan Rahmat Allah iaitu: IMAN, HIJRAH dan JIHAD FII SABILILLAH.

Apakah makna Rahmat Allah? Dan mengapa setiap manusia perlu mengharapkan Rahmat Allah? Bagaimanakacara supaya kita mendapat Rahmat Allah?

Rahmat Allah maknanya kasih sayang Allah. Tanpa Rahmat Allah manusia tidak akan mungkin hidup bahagia di dunia atau di akhirat. Semua keperluan manusia di dunia ini sejak dari tempat tinggal, makanan, minuman, oksigen dan lain-lain adalah di antara kesan-kesan rahmat Allah bagi mereka. Lebih-lebih lagi di akhirat nanti; amalan kita diterimaNya dan dosa-dosa kita diampuniNya adalah antara kesan-kesan Rahmat (kasih sayang) Allah. Malahan seseorang tidak akan mungkin masuk syorga tanpa rahmat Allah.

Nabi Muhammad (sallallahu alaihi wasalam) bersabda:
“Tidaklah amalannya yang memasukkan salah seorang daripada kamu ke dalam syorga dan tidak pula ia menjauhinya daripada neraka; demikian juga dengan aku, kecuali Rahmat daripada Allah”.[Hadis Sahih Riwayat Muslim]
Jadi kesimpulan hadis di atas; bukanlah amalan kita yang memasukkan kita ke dalam syorga. Tetapi manusia masuk syorga adalah berkat Rahmat Allah.

Siapakah orang-orang yang benar-benar mengharapkan Rahmat Allah? Di dalam ayat di atas Allah telah menetapkan bahwa IMAN, HIJRAH dan JIHAD adalah tiga syarat utama yang mesti kita miliki agar layak dikategorikan ke dalam golongan tersebut. Dan ini menunjukkan bahwa harapan mendapatkan Rahmat Allah tidak akan tercapai tanpa usaha melakukan sebab-sebab yang boleh mendatangkan Rahmat Allah. Adapun harapan yang diikuti dengan kemalasan adalah dakwaan yang kosong dan tidak akan menghasilkan apa-apa kecuali kerugian belaka.

Mengharapkan Rahmat Allah tanpa mengikutinya dengan sebab-sebab di atas iaitu iman, hijrah dan jihad adalah sama seperti orang yang mengharapkan mendapatkan zuriyat tetapi dia sendiri tidak mahu kawin atau seperti orang yang mengharapkan memiliki kebun yang subur rendang dan buah yang lebat tetapi kebunnya tidak diolah, disirami air dan dibaja. Oleh itu masrilah kita isi sisa-sisa hidup ini dengan usaha semaksima mungkin ke arah memantapkan ketiga-tiga syarat di atas.
1. IMAN.

Hubungan erat antara Keimanan dengan Rahmat Allah memang tidak dapat dinafikan lagi. Tanpa keimanan seseorang tidak akan mungkin mendapat kasih sayang (Rahmat) Allah. Malahan Allah sangat murka kepada orang yang syirik kepadaNya.

IMAN yang bagaimanakah yang boleh membawa kepada Rahmat Allah? Atau dengan kata lain: IMAN yang bagaimanakah yang boleh menghindarkan manusia daripada murka dan azab Allah? Barangkali ayat di bawah ini dapat menjawab pertanyaan ini: Firman Allah:
“Orang-orang yang beriman dan mereka tidak mencampurkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan (daripada siksaan Allah) dan merekalah orang-orang yang mendapat petunjuk”.(Al-An’aam 6:82)
Berdasarkan ayat ini jelaslah bahwa hanya IMAN YANG MURNI dan tidak bercampur syirik saja yang boleh menjamin seseorang mendapat Rahmat Allah.

Adapun muslim yang mendakwa beriman kepada Allah tetapi dalam kehidupan sehari-hari masih lagi melakukan perkara-perkara syirik dan khurafat, maka mereka tidak akan mendapat keamanan dari siksaan Allah. Keimanan seumpama itu tidak boleh menolong mereka karena amalan syirik yang masih mereka lakukan itu telah memusnahkan segala amal saleh mereka. Ini sebagaimana ketegasan daripada Allah sendiri melalui firmanNya dalam Surah Az-Zumar ayat 65:
Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada (nabi-nabi) yang sebelummu:
“Jika kamu mempersekutukan (Tuhan), niscaya akan hapuslah amalmu dan tentulah kamu termasuk orang-orang yang merugi”.
2. HIJRAH.

Hijrah menurut bahasa: Meninggalkan yang pertama untuk pergi kepada yang kedua. Hijrah ada dua jenis:

i. Hijrah yang bersifat fisikal iaitu berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain

ii. Hijrah sikap iaitu berpindah dari satu sikap kepada sikap yang lebih baik.

Hijrah yang paling utama ialah hijrah sikap. Berpindah dari sikap yang negatif kepada sikap yang positif. Daripada syirik kepada tauhid, daripada malas kepada rajin, daripada bid’ah kepada sunnah, daripada khianat kepada amanah, daripada durhaka kepada taat dan patuh dan lain-lain lagi.

Nabi Muhammad (sallallahu alaihi wasalam) bersabda:
“Sebaik-baik orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah”.[Hadis Sahih Riwayat Imam Muslim]
Meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah bukan hanya terbatas kepada menjauhkan diri daripada apa yang secara nyata dilarang oleh Allah tetapi larangan Allah juga terdapat secara tersirat di dalam setiap suruhan Allah. Di dalam perintah mendirikan solat terdapat larangan meninggalkan solat, di dalam suruhan berbuat ihsan kepada kedua ibubapa tersirat larangan berbuat durhaka kepada mereka berdua.

Jadi belumlah sempurna seseorang yang tidak berjudi, tidak minum arak dan tidak berzina, seandainya dia juga tidak solat, tidak puasa dan ibadah-ibadah lain yang diperintahkan. Malahan menurut sesetengah ulama; Tidak melaksanakan suruhan Allah adalah dosanya lebih berat jika dibandingkan dengan terlanggar larangan Allah. Mengapa demikian? Karena biasanya keengganan melaksanakan suruhan adalah didorong oleh sifat takabbur (sombong), berbeda dengan terlanggar larangan Allah.

Renungkanlah dan ambillah pengajaran daripada kisah Adam dan Iblis. Larangan Allah yang dilanggar oleh Adam tidaklah lebih besar jika dibandingkan dengan dosa Iblis yang enggan melaksanakan suruhan Allah. Adam melanggar larangan Allah karena ditipu oleh Iblis sedangkan Iblis tidak sujud kepada Adam adalah karena kesombongannya dan keangkuhannya.

Oleh sebab itu lakukanlah hijrah secara total. Robahlah cara hidup anda agar lebih Islmy sebagaimana yang pernah dilakukan oleh para sahabat Nabi (sallallahu alaihi wasalam). Setelah memeluk Islam semua adat istiadat Arab yang bercanggah dengan ajaran Islam mereka tinggalkan. Mereka menyedari bahwa kemuliaan mereka bukan karena Arabnya tetapi adalah karena Islamnya.

3. JIHAD FII SABILILLAH.

Jihad maknanya: kesungguhan, berjuang, melawan atau bersusah-payah. Fi sabilillah maknanya: Jalan yang boleh menyampaikan kita kepada keredhaan Allah. Jadi setiap usaha yang kita lakukan untuk mencapai keredhaan Allah dapat digolongkan ke dalam Jihad Fii Sabilillah.

Agar usaha yang kita lakukan mendapat keredhaan Allah maka ada dua perkara yang perlu kita penuhi, iaitu:

i. Hati mestilah ikhlas dalam beramal

ii. Amalan mestilah bersesuaian dengan syare’at Rasul (sallallahu alaihi wasalam).

Dan barangkali inilah yang dimaksudkan oleh Nabi (sallallahu alaihi wasalam):
“Tidak ada hijrah sesudah penaklukan Kota Makkah tetapi Niat dan Jihat”.[Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim]
Jadi setiap muslim dan muslimat mestilag bersungguh-sungguh dalam beragama. Jangan hanya sekedar Islam Warisan Nenek Moyang. Mengaku beragama Islam tetapi banyak amalannya yang tidak Islamic. Kita mesti berusaha menggali khazanah ilmu yang ada di dalam Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad (sallallahu alaihi wasalam) dan selanjutnya mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

Kesimpulan:

Sungguh banyak ayat yang menyatakan bahwa amalan sebagai penyebab seseorang masuk syorga. Hakikat ini tidak bercanggah dengan hadis bab di atas karena Rahmat Allah sangat menentukan untuk melayakkan suatu amalan itu diterima oleh Allah.

No comments:

Post a Comment