Saya sedar benar tentang risiko ini dan faham perasaan saudara-saudara saya dari parti politik itu. Tetapi mari kita berbincang dengan baik dan dengan hati yang terbuka serta menggunakan hujah-hujah ilmiah untuk membuktikan kebenaran. Supaya atas perbezaan pendapat ini, kita dapat menemukan sesuatu kebaikan yang lebih menguntungkan seluruh umat Islam. Masalah perasaan masing-masing, mari kita korbankan, kerana Allah. Sebab memang dalam perjuangan kita perlu berkorban termasuk korban perasaan. Kalau kita tidak sanggup berkorban, bukanlah kita seorang pejuang yang layak dan keikhlasan kita boleh dipersoalkan oleh orang ramai. Oleh itu saya sanggup menerima risikonya kerana kebenaran, malah kerana ini juga jemaah saya dulu iaitu jemaah Darul Arqam diharamkan dan saya ditahan di bawah
Saya yakin masa depan cara perjuangan saya sebagai alternatif kepada politik pilihan raya yang ada. Itu keyakinan saya. Saya berjuang di atas keyakinan inilah. Insya-Allah kalau sama-sama panjang umur, sama-samalah kita saksikan apa yang menjadi keyakinan saya ini. Ia akan berlaku dengan am an damai dan harmoni. Bahkan orang bukan Islam pun menerimanya.
Saya memang ada pandangan, tafsiran dan cara tersendiri tentang perjuangan Islam. Ini bukan perkara baru dan semua orang sudah maklum. Hingga kini setelah 40 tahun berjuang, saya jadi bertambah yakin bahawa perjuangan saya ini adalah benar. Matlamat perjuangan yang telah digariskan dan cara yang dipraktikkan selama ini nampaknya dapat membuahkan hasil yang diharapkan, walaupun di peringkat awal banyak orang sangsikan bahkan seperti yang saya katakan tadi jemaah saya diharamkan. Sedangkan di depan mata saya, orang-orang yang punya cara yang lain, yang juga ingin memperjuangkan Islam, tidak pun memperlihatkan hasil seperti yang dijangkakan. Bahkan walaupun sesetengah mereka sudah mendapat kekuasaan, namun hendak menarik orang untuk sembahyang pun masih gagal. Kerana politik pilihan raya yang mereka ceburi tidak mendidik orang. Ia melobi orang. Tidak fikir halal dan haram. Sekalipun pengikut mereka beratus ribu banyaknya malahan di sesetengah negara berjuta-juta ahli, sistem Islam tetap tidak dapat ditegakkan.
Ini bagaikan orang yang sama-sama pergi ke laut dengan tujuan menangkap ikan, tapi menggunakan perahu kecil dan cara masing-masing. Ramai yang tidak dapat tangkap ikan kerana gelombang besar, diserang kapal lain yang lebih besar, ditipu kawan dan berbagai lagi masalah hingga ada yang tenggelam, sesat di laut atau pulang dengan tangan kosong.
Berdasarkan pengalaman saya, saya mempunyai alasan yang boleh dipegang bahkan sangat meyakinkan. Ya, sesungguhnya ketika di peringkat awal era kebangkitan Islam dulu, semua menyatakan keinginan kepada pendidikan Islam, ekonomi Islam, perkampungan Islam, masyarakat Islam, sistem hidup Islam, negara Islam, perpaduan sejagat dan dunia Islam. Semua melaungkan ini sebagai alternatif kepada sistem sekular jahiliah yang karut dan
Maka masing-masing pun berjuang; bersyarah, berslogan, berseminar, berkempen, bertindak dan macam-macam lagi untuk menegakkan sistem Islam, hingga ada jemaah yang usia perjuangannya kini sudah menjangkau 50 tahun dan ada yang lebih lama lagi. Tetapi mana dia sistem pendidikan Islam yang dapat ditegakkan dalam jemaah masing-masing? Hingga anak-anak kita sudah dewasa, belum juga merasa berada dalam sistem yang katanya indah itu. Mana dia sistem ekonomi Islam, sosial Islam, politik Islam, perubatan, pertanian Islam dan lain-lain sistem itu? Belum muncul-muncul, bukan? Dalam jemaah sendiri pun tidak wujud. Bahkan dalam parti sendiri pun tidak wujud. Bahkan laungan kepada sistem-sistem itu sudah tidak selantang dulu. Malahan kian malap dan tenggelam dalam arus sistem yang masih jahiliah. Sesetengah mereka telah terserap ke dalam perjuangan yang mereka tentang. Sesetengah parti Islam sudah dapat kuasa memerintah negeri tetapi usahkan di dalam sistem pemerintahan atau di dalam negeri yang diperintah, dalam parti
Atau adakah mereka merasakan sistem yang ada itu sudah cukup Islamik. Memadailah dengan menukarkan pemerintah kepada parti Islam. Kalau begitu, apakah tujuan kita berjuang dahulu? Adakah untuk Islamkan yang sudah Islam? Atau Islam itu mesti tertegak di tangan kita, tidak boleh di tangan orang lain. Padahal dalam berkempen, semuanya itu dikatakan toghut.
Kesedaran rakyat Islam pada Islam di seluruh dunia kian bertambah dan meningkat. Tuan-tuan, saudara-saudari juga mahu cara hidup Islam di dalam semua aspek. Sudah takut untuk melibatkan diri dengan riba, dengan sistem pendidikan sekular, dengan maksiat dan kemungkaran. Masyarakat mahu Islam jadi cara hidup yang syumul. Mereka mahukan kasih sayang, hidup harmoni, berkorban, mementingkan orang lain, bekerjasama, hidup dalam suasana di mana orang bukan Islam menghormati Islam dan sebagainya. Tetapi pada saat ini, pejuang-pejuang Islam belum bersiap sedia! Tidak ada apa-apa perubahan pun yang dapat dilihat pada mereka. Kalau ada berlaku sedikit-sedikit perubahan, itu pun dilakukan oleh badan Islam, bukan parti politik.
Politik yang diamalkan masih bertentangan dengan politik Islam. Tetapi mahu cuba menutup-nutup rahsia. Supaya orang anggap politik ala Barat itu boleh diamalkan oleh umat Islam. Seolah-olah Islam tidak ada cara berpolitik yang tersendiri lalu membenarkan cara politik Barat. Samalah dengan orang yang menyekolahkan anak-anaknya dalam sistem sekular. Kemudian mengatakan Islam membenarkannya. Sedangkan dia cukup sedar bahawa pendidikan sekular sangat bertentangan dengan sistem pendidikan Islam. Ia telah banyak merosakkan fikiran dan jiwa umat Islam.
Kadang-kadang kita dengar macam-macam alasan dibuat kenapa Islam tidak ditegakkan. Duit tidak ada, kerajaan Pusat tidak beri bantuan, tidak ada tenaga dan pelabur disekat. Hingga dengan itu amalan-amalan Islam seperti berkasih sayang, menutup aurat, berbaik-baik dengan golongan lain, bekerjasama dengan badan Islam dan lain-lain tidak dapat diamalkan. Apakah berkasih sayang mesti dengan duit. Apakah untuk menutup aurat menunggu duit banyak? Apakah hendak berbaik-baik dengan orang golongan lain menunggu bantuan wang? Apakah bekerjasama dengan badan Islam perlu menunggu bantuan? Mengapa sudah berpuluh tahun berjuang, masih tidak ada tenaga? Apakah dengan pengikut seramai 600 ribu masih belum cukup tenaga? Tidak adakah di kalangan mereka itu orang yang pandai dan mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang?
Saya dengan izin Allah mempunyai bukti bahawa sistem pendidikan Islam itu sangat berbeza dengan sistem pendidikan sekular. Ya, ia telah dipraktikkan oleh saya di dalam mendidik keluarga dan kakitangan syarikat korporat saya. Demikian dengan sistem-sistem lain termasuk sistem politik. Saya menempuh politik Islam untuk mentadbir rumah tangga, masyarakat, jemaah dan seterusnya, insya-Allah. Walaupun banyak orang yang mentertawakannya, tetapi orang yang berjuang mesti ada prinsip dan berpegang teguh dengan prinsipnya. Tunggulah sedikit masa lagi, insya-Allah. Kita akan saksikan bersama, Islam akan berdaulat dengan aman, damai dan penuh harmoni di dalam kawasan lebih luas lagi. Saya tidak menunggu menjalankan politik Islam sehingga mendapat negara. Politik Islam boleh dijalankan mengikut saiznya. Ia terhenti mengikut pengetahuan Islam kita atau pengetahuan kita di bidang-bidang yang lain. Kerana itulah politik Islam telah saya jalankan dalam syarikat saya dan keluarga serta rumah tangga saya terutamanya lebih dahulu. Saya rasakan sangat berkesan. Bahkan di dalam keluarga besar saya itu, saya rasa keamanan dan kebahagiaan dapat berjalan dengan sebaik-baiknya. Masing-masing mudah didisiplinkan dan didamaikan bila sedikit-sedikit timbul perselisihan faham.
Keluarga saya yang besar itu kalau tidak saya jalankan atau tadbirkan secara politik Islam, maka keluarga saya itu tidak akan hidup aman, damai dan harmoni. Cubalah tuan-tuan fikirkan keluarga saya yang besar itu yang bilangan anak-anak seramai 39 orang, cucu-cucu lebih dari 150 orang manakala menantu pula ada 40 orang (waktu buku ini ditulis). Tentulah akan huru-hara jika saya tidak tadbirkan mengikut politik Islam. Kalau takdirnya saya dapat organisasi atau institusi yang lebih besar lagi, pentadbiran rumah tangga saya itulah saya perpanjangkan sampai ke peringkat itu.
Inilah keyakinan saya. Sekarang sudah ramai yang percaya dan menerima bahkan sudah ramai yang membuat perubahan hid up ke arah Islam.
Hasil mempraktikkan ini, maka saya kini rasa berani untuk mempertikaikan umat Islam yang menempuh sistem politik sekular dengan alasan tiada pilihan lain. Melalui pengalaman berpolitik secara Islam, saya akan buktikan dengan izin Allah bahawa politik Barat itu tidak sesuai dengan ajaran Islam serta banyak merosakkan. Dan bahawa umat Islam ada pilihan lain dalam berpolitik. Insya-Allah ia akan menghasilkan kejayaan yang lebih besar daripada apa yang ada hari ini.
Tujuan saya memberi pandangan ini supaya kita saling menasihati kepada kebenaran. Supaya kebenaran tertegak dan yang palsu lenyap. Saya tidak bermaksud menghina dan jauh sekali mencari musuh. Kiranya Hujah saya ini diragui dan tidak kuat, saya pohon hujah balas yang lebih mantap, supaya kita dapat melihat kebenaran. Kerana itulah saya cubakan pentadbiran secara politik Islam di dalam keluarga saya terlebih dahulu. Kalau berkesan, pada saya sudah ada hujah dan dapat membuktikannya. Janganlah dihadapi pandangan saya ini dengan permusuhan melulu oleh sentimen fanatik kepada puak. Ilmu mesti dihadapi dengan ilmu. Jangan ilmu dihadapi dengan penghinaan, kemarahan dan dendam. Pemburu kebenaran tidak takut pada kebenaran. Walaupun dia terpukul dengan kebenaran itu. Sebab kebenaran tidak memecahkan akal dan hati insan. Kecuali yang tidak mahu menerima kebenaran lagi.
Sekarang saya akan senaraikan alasan mengapa saya katakan palitik Barat bercanggah dengan Islam. Mengikutinya, ertinya tidak mengikut syariat Islam. Moga-moga Allah restu dan izinkan. Supaya kebenaran itu dapat dibuktikan benar dan dapat diikuti. Manakala kepalsuan atau kebatilan dengan sendirinya akan hilang, setidak-tidaknya ada tandingan untuk pilihan. Bagi orang yang hendakkan kebenaran maka sudah ada suri teladan. (Saya pernah menyertai parti politik PAS selama 10 tahun, maka apa yang saya tulis ini bukan satu serkap jarang atau teropong dari jauh).
Oleh kerana mempunyai matlamat untuk menang pilihan raya, agar dapat memerintah negara, supaya dari sana baru hendak ditegakkan hukum Islam di semua aspeknya, maka tumpuan kepada mendidik iman dan perlaksanaan Islam di dalam parti kurang diambil berat. Bukan tidak ada tetapi tidak diberi keutamaan. Kadang-kadang kuliah fardhu ain pun jadi landasan untuk kempen mengundi dan menyerang lawan. Apalagi kalau memang kuliah politik. Mendengar syarahan-syarahan bentuk ini kurang membangkitkan rasa takut pada Allah. Kadang-kadang sibuk di dalam palitik pilihan raya itu, sembahyang diabaikan, padahal ia ibadah yang pokok dalam Islam. Kalau sembahyang sudah diabaikan, syariat-syariat Islam yang lain lebih-Iebih lagi dicuaikan. Bahkan masih rasa senang dengan dosa dan redha dengan adat-adat yang bertentangan dengan Islam. Di antara perkara-perkara itu ialah:
- Pelaksanaan ibadah. Sekalipun ibadah asas seperti sembahyang fardhu dan sembahyang jemaah, ia amat kurang dititikberatkan. Sedangkan ia hukum Islam yang paling pokok sesudah iman. Sembahyang tiang agama, penguat dan tapak perjuangan. Kalau ia lemah, lemahlah tiang dan tapak jemaah. Di Akhirat, perkara yang paling awal disemak ialah sembahyang.
Ertinya sembahyang hukum yang paling utama ditegakkan selepas iman. Sama ada kita tinggal dalam negara Islam atau tidak, sembahyang tetap penting. Meremeh atau memandang kecil persoalan sembahyang kerana mengutamakan usaha mendapat negara Islam adalah pilihan atau pandangan yang salah. Ahli-ahli parti ramai yang cuai bersembahyang; tidak faham, tidak khusyuk dan tidak berjemaah. Ini menggambarkan kelemahan parti. Bagaimana parti yang lemah boleh kuat untuk memerintah negara dan mampu mendidik rakyat?
Parti yang akan memerintah mesti punya role model pemerintahan yang baik untuk menjadi ikutan rakyat. Bagaimana parti itu boleh membawa rakyat dalam negara untuk beristiqamah sembahyang, kalau ahli partinya tidak mampu didisiplinkan? Bagaimana hukum Allah yang ini terjamin perlaksanaannya di peringkat negara sedangkan di peringkat parti pun belum terbukti? Sayidina Umar Al Khattab r.a. selepas ditikam dan sejurus sebelum beliau wafat, terus berkata, “Sudahkah kaum muslimin sembahyang Fajar (Subuh)?”
Begitu Sayidina Umar, dalam kesakitan kena tikam, beliau masih memperingatkan sembahyang fardhu kepada kaum muslimin. Logikkah, dengan kuasa memerintah baru orang mahu bersembahyang? Jangan-jangan bila kuasa di tangan, orang lebih lalai!Demikianjuga persoalan akhlak, pergaulan terbatas lelaki perempuan, menutup aurat dan sebagainya, adalah hukum-hukum yang boleh dibuat tanpa kuasa negara. Tetapi ia tidak diberatkan dalam parti politik. Sedangkan itu semua adalah hukum-hukum penting pada setiap individu muslim. Mengapa hukum yang amat penting ini tidak ditegakkan lebih dahulu sebelum dapat negara? Mengapa gigih memperjuangkan tertegaknya hukum lain yang belum tentu kita dapat berbuat. - Kuliah-kuliah pengajian kurang menekankan persoalan iman, taqwa, akhlak, Akhirat, Syurga, Neraka, peribadi mukmin, amalan fardhu ain dan fardhu kifayah selain negara. Sedangkan perkara-perkara inilah yang membuatkan manusia menyuluh diri, mendapat inspirasi untuk melaksanakan Islam. Seolah-olah Islam yang diperjuangkan itu bagaikan pokok yang tidak diberi baja. Atau kereta yang enjinnya lemah, kerana tidak diambil perhatian.Mengapa hal ini terjadi? Apakah tokoh politik yang menerajui perjuangan Islam itu tidak sedar perihal ini? Kalau sedar, mengapa dibiarkan, sedangkan hukum Allah itu terlaksana oleh individu manusia bersumberkan ilmu ini. Apakah ada cara lain, manusia beroleh kekuatan menjalankan hukum Tuhan tanpa melalui proses mendidik iman dan ibadah-ibadah asas? Sedangkan dalam sejarah, negara Islam itu sendiri hanya dapat ditegakkan oleh orang-orang yang cukup terdidik dengan iman dan peribadi-peribadi yang bertaqwa. Dalam Al Quran bukankah Allah berfirman:
Maksudnya: “Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dad api Neraka.” (At Tahrim: 6)
Para hukama ada berkata: Tegakkan Islam dalam diri kamu nescaya akan tertegak Islam di dalam negara kamu. - Persoalan ukhwah tidak dititikberatkan. Sedangkan semua orang tahu perpaduan itu amat penting. Ia merupakan salah satu daripada kekuatan jemaah. Sebab itu ukhwah antara pengikut dengan pengikut, pemimpin dengan pemimpin dan pengikut dengan pemimpin tidak terasa dan tidak kelihatan.
Kasih sayang tidak diambil kira dan kurang diusahakan. Hingga terjadi jurang antara pengikut dengan pemimpin.
Sebab itu kata-kata pemimpin tidak terlalu berharga, bahkan arahan pemimpin kurang dipatuhi. Sikap rasa bersama dan saling bekerjasama serta tolong-menolong kurang. Kecenderungan berkorban untuk perjuangan terlalu lemah.
Dalam keadaan ini dapatkah parti menjadi seperti batu�bata yang tersusun kukuh untuk membentuk bangunan yang gagah dan hebat? Ertinya, dapatkah ditegakkan sistem hidup Islam di kalangan orang-orang yang hati mereka belum disatukan, yang masih nafsi-nafsi dan tidak sanggup berkorban dan juga tidak taat arahan ketua? Saya yakin kalau dapat negara pun, selagi individu-individu masih nafsi-nafsi, sistem-sistem Islam tidak akan dapat ditegakkan.
Sebab menegakkan sistem adalah ibarat membuat kereta yang memerlukan gabungan perikatan dan penyatuan antara tayar, enjin, casis, gear, badan kereta dan lain-lain lagi. Tanpa ukhwah antara tiap-tiap golongan, ertinya tidak ada rasa bersama dan kerjasama. Bila tidak ada rasa bersama dan kerjasama, bagaimana mereka hendak membentuk satu sistem hidup yang indah itu? Adakah tali lain yang lebih kuat dari iman dan ukhwah ini untuk menyatukan umat Islam dalam barisan yang teratur kukuh?
- Faktor kefahaman dan keselarasan di antara ahli parti tidak diutamakan. Apabila kefahaman dan keselarasan tidak diutamakan, masing-masing bebas dalam berfikir, bebas mempunyai pandangan serta mengambil sikap, sekalipun dalam persoalan dasar dan asas. Terhadap sesuatu isu saja, kita lihat mereka berbeza pandangan dan sikap. Dalam menghadapi musuh pun tidak sama sikap dan pandangan. Ada yang bermusuh ketat dengan pihak yang dianggap musuh, ada yang longgar.
Hal ini bercanggah dengan teknik dan strategi perjuangan Islam. Lebih-lebih lagi dalam medan perang. Fikiran mesti satu, hasil menerima ilmu dari sumber yang satu iaitu Al Quran dan Hadis. yang diberi minda oleh pemimpin untuk menjadi pegangan bersama demi perpaduan. Fikiran yang bercelaru dan bersimpang-siur, tidak memberi hasil apa-apa melainkan akan menimbulkan perbalahan dan perselisihan faham. Dalam negeri atau negara, kalau keadaan ini berlaku, ia bukan membawa pembangunan sistem Islam tetapi membawa kepada kucar-kacir dan kecelaruan, yang akhirnya akan mengelirukan rakyat dan susah bagi orang lain untuk menirunya.
- Identiti atau syiar Islam tidak kelihatan dalam parti politik pilihan raya. Soal mengapa pendekatan melalui syiar ini tidak diambil, tidaklah difahami. Sedangkan Sunnah Nabi kalau diamalkan, syiarnya sangat memeriahkan dan sangat banyak berkatnya. Sebab mengamalkan Sunnah Nabi, yakni cara hidup Islam yang lahir dan batin seperti di dalam berpakaian, bergaul, makan minum, berkahwin, berjuang, berkorban dan lain-lain cara hidup, itu lahir dari hati yang sangat kasih atau fanatik dengan Allah dan Rasul. Orang yang fanatik dengan Allah dan Rasul, baru orang itu dapat melaksanakan hukum dan Sunnah Rasulullah. Apabila berjaya membangunkan hukum dan Sunnah Rasulullah, barulah nampak syiar. Lahirnya syiar itu adalah daripada sifat taqwa. Firman Allah:
Maksudnya: “Barang siapa yang membesarkan syiar Allah, sesungguhnya itu datang dari hati yang bertaqwa. (Al Haj: 32)
Orang yang sayang dan cintakan Allah dan Rasul, sanggup meniru cara hidup Rasul sekalipun orang bukan Islam benci atau kawan lari. Tetapi kalau hati tidak kasih, walaupun ada kuasa memerintah negara dan bebas menegakkan hukum Tuhan dan Sunnah Nabi, namun manusia tetap enggan melakukannya. Seperti orang ada lori, tahu pandu lori tetapi kalau hati tidak suka naik lori, tetap dia tidak naik juga.
Identiti Islam atau syiar Islam itu sangat penting dalam perjuangan. Ia menjadi lambang yang punya daya untuk menarik manusia kepada cara hidup Islam. Ia juga menjadi benteng kepada musuh dari sikap pura-pura dan menyusahkan mereka untuk menyeludup masuk ke dalam jemaah dan bertindak bagaikan gunting dalam lipatan. Ia membezakan parti Islam dengan parti sekular. Ia menjadi tekanan dan saingan pada cara hidup Barat. Dan berbagai-bagai lagi hikmahnya.
Tanpa identiti yang membezakan cara hidup pejuang Islam dengan orang yang tidak memperjuangkan Islam, menjadikan parti politik itu tidak ada kelebihan berbanding parti-parti yang tidak memperjuangkan Islam. Kalau cakap saja yang berbeza tetapi cara hidup sama saja dengan mereka, bahkan meniru pula cara hidup musuh, samalah dengan tin kosong yang orang tidak pandang dan yang tidak berharga. Berbunyi tetapi tidak berisi. Lagi kuat bunyi, lagi kurang isi. Hanya akan jadi mainan dan bahan perli orang. Sungguh, cara ini bersalahan sekali dengan kehendak Islam.
- Tokoh-tokoh politik yang berjuang atas nama Islam, bilamana jadi wakil rakyat atau jadi menteri, nampaknya akan hidup kaya-raya atau lebih kurang sama seperti kehidupan wakil-wakil rakyat dari parti-parti lain yang memang tidak bercita-cita hendak memperjuangkan Islam. Ertinya, mereka ini mempunyai tujuan yang sama dengan wakil-wakil rakyat lain, yakni berpolitik untuk hidup senang dan membina harta serta membangunkan projek peribadi. Sedangkan pemimpin-pemimpin Islam yang sebenar itu kerana mahu menegakkan hukum Islam, mereka korbankan kekayaan mereka hingga hidup mereka sederhana sekali.
Tanpa pengorbanan, dari mana datangnya wang dan harta untuk perjuangan? Masakan hendak minta dari orang yang tidak ada cita-cita Islam atau daripada musuh sendiri? Pengorbanan pemimpin dan ahli-ahlilah sumber kekayaan bagi parti yang ada cita-cita Islam. Tanpa pengorbanan, parti akan terus miskin dan kita akan membuat alasan Islam tidak dapat tegak kerana masalah kewangan. Konon, salahkan musuh kerana tidak alirkan wang, sedangkan ia kesalahan kita kerana tidak mahu berkorban. Itulah punca utamanya. Adakah logik perjuangan kita dibiayai oleh musuh? Atau minta bantuan dari musuh? Apakah cara ini boleh menaikkan maruah perjuangan?
- Ahli-ahli politik yang katanya ingin memperjuangkan Islam, tidak mahu bergaul dan berhubungan dengan siapa saja yang tidak menyokong perjuangannya, sama ada individu atau kumpulan lain. Kata-kata saya ini berdasarkan beberapa bukti yang telah terjadi.
Ini dapat dilihat pada sikap yang ditunjukkan oleh ahli-ahli harakah politik berkenaan yang sedang menuntut di pusat pengajian tinggi di luar negara. Pengalaman pelajar-pelajar di kalangan anak-anak staf saya satu ketika dahulu apabila berdepan dengan tindak-tanduk mereka ini jelas memperlihatkan sikap tidak terbukanya mereka. Antaranya:
a. Di Jordan, pernah seorang pelajar berusia 11 tahun menghulur tangan untuk bersalaman dengan seorang pelajar anggota parti tersebut, tapi tangannya tidak disambut, sebaliknya dibalas dengan kata-kata, “Engkau pergilah salam dengan tok guru engkau yang sesat itu
b. Di Mesir, pernah terjadi iaitu pada tahun 1989, empat orang pelajar wanita dari Malaysia yang menuntut di Al Azhar, telah dihalang daripada mendekati kumpulan anak-anak kami di sana oleh pelajar-pelajar lelaki yang menganggotai harakah politik berkenaan. Apabila mendapati pelajar-pelajar wanita itu masih berhubung dengan anak-anak kami, yang memang sentiasa membuka pintu menerima kedatangan sesiapa saja, maka sebagai usaha terakhir, dua orang daripada mereka dikurung buat beberapa lama. Salah seorang daripadanya dikurung hingga dua minggu.
Sepanjang mereka dikurung itu, yakni di satu tempat yang dirahsiakan, mereka didera secara psikologi dan dibrainwash supaya terkikis cara mereka berfikir. Akhirnya, salah seorang daripadanya dikahwinkan dengan seorang pelajar ahli harakah berkenaan, iaitu pelajar Tahun dua di Al Azhar. Selepas berkahwin, pelajar lelaki itu digugurkan dari universiti kerana masih gagal dalam pelajaran walaupun diberi peluang mengulang selama dua tahun berturut-turut. Dia kemudian memohon masuk ke Maahad Al Azhar (hanya layak ke peringkat I’dadi selepas ujian penilaian) iaitu mengulang dari peringkat rendah semula semata-mata untuk membolehkannya menyambung visa pelajar di Mesir. Peliknya, sebelum ini pelajar itulah yang pernah berkata, “Ustaz Ashaari bukan ada ilmu, buat apa ikut dia.”
Sementara itu seorang daripada empat pelajar wanita tadi telah berkahwin dengan seorang pelajar kami di sana. Pelajar itu merupakan antara pelajar yang cemerlang di Al Azhar.
C. Di Jordan juga, pada satu musim cuti semester, sekumpulan pelajar muslimah dari kalangan anak-anak staf kami di sana telah menziarahi seorang rakan mereka di Irbid, kawasan yang didiami oleh ramai pelajar-pelajar penyokong kuat harakah politik dari Malaysia. Pelajar wanita yang diziarahi itu terlibat dengan harakah tersebut. Sedang mereka berbual-bual, masuk seorang pelajar lelaki iaitu pelajar Tahun Dua, Universiti Yarmouk, yang merupakan anggota harakah politik berkenaan. Pelajar lelaki ini, tanpa memberi salam atau memperkenalkan diri, dan sambil bercekak pinggang telah menyergah pelajar-pelajar muslimah berkenaan dengan pertanyaan, “Kamu semua tahu tak ini rumah orang … (disebut nama harakah politik itu)?” Selepas itu dia memberi amaran, “Saya beri tempoh setengah jam untuk kamu semua keluar dari rumah ini.”
d. Pelajar-pelajar Malaysia dari harakah politik di Jordan, kerana tidak senang dengan pengaruh pelajar-pelajar dari kalangan anak-anak staf kami di sana, cuba memburul-burukkan imej mereka di mata pensyarah dan pihak-pihak lain. Sedangkan wakil-wakil pelajar dari kalangan anak-anak staf kami di sana mempunyai hubungan yang baik dengan para pensyarah, dekan-dekan, pihak Kementerian Pelajaran dan dengan Menteri Awqaf sendiri, Dr Muhammad Abdul Salam Ubbadi. Malah anak-anak kami mendapat peluang-peluang pendidikan yang tidak diperolehi oleh pelajar-pelajar lain, hingga 20 orang daripada mereka mendapat tempat di Madrasah Umariah, sebuah sekolah untuk anak-anak golongan elit di sana, dengan dibiayai yuran, tambang bas dan buku-buku oleh pihak sekolah sendiri.
Begitulah sekadar beberapa contoh. Sikap tidak ‘buka pintu’ dan tidak berlapang dada ini bercanggah dengan akhlak Islam. Sedangkan Allah berfirman:
Maksudnya: “Serulah kepada jalan Tuhanmu secara hikmah dan tunjuk ajar yang baik dan (kalau perlu) berbahaslah dengan mereka dengan memberi hujah yang lebih baik.” (An Nahl: 125)
Di dalam ayat di atas, kita disuruh berbahas dan berbincang dengan sebaik-baiknya. Kalau dengan manusia yang tidak separti dengan mereka telah dibina jurang atau bagaimana hendak berbincang? Sedangkan dengan berbincang baru kita tahu ilmu kita betul atau tidak, hujah kita kuat atau lemah, pendapat kita benar atau salah. Pandangan kita perlu disuluh dengan perbincangan, baru kita tahu pandangan kita itu benar atau salah.
Allah mahu kita cari bermacam-macam jalan untuk hadapi bermacam-macam golongan manusia sekalipun orang bukan Islam, demi mengajak mereka kepada Allah. Sikap mudah bermusuh, berprasangka, tidak bertegur sapa dan tidak mesra, itu bukanlah caranya untuk memperjuangkan Islam. Ia menyempitkan gelanggang perjuangan kita. Rasulullah menziarahi seorang perempuan tua bukan Islam yang selalu menyakitinya. Hingga akhimya perempuan itu masuk Islam.
Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Ucapan atau kata-kata orang baik itu adalah sedekah.” (Riwayat Muslim)
Sabdanya lagi:
Maksudnya: “Senyum (kemesraan) kamu di hadapan saudaramu itu adalah sedekah.” (Riwayat Al Bukhari)
- Terhadap individu atau kumpulan yang tidak seperjuangan atau lain gaya perjuangan, dituduh dan mudah dijatuhkan hukuman fasik, zalim, kafir, murtad dan lain-lain. Hukuman semberono dan melulu ini dibuat menggunakan ayat AI Quran dan Hadis tanpa takut dan malu dengan Allah. Hal ini berlaku sejak badan politik yang ingin memperjuangkan Islam melalui pilihan raya ini ditubuhkan. Ia terjadi di mana-mana di dunia ini.
Hukuman atau menghukum jadi seperti mainan bibir untuk tujuan menghina dan memalukan orang Islam lain serta menarik orang kepada parti sendiri. Penuh bangga kerana merasa diri sudah selamat. Sedangkan seorang hamba Allah sepatutnya amat menderita bilamana terpaksa menjatuhkan hukuman. Takut kalau-kalau tersilap hingga hukuman itu kembali menimpa muka sendiri dan Allah akan tempelak di Akhirat nanti. Sayidina Abu Bakar As Siddiq r.a., kalau dirasakan cakapnya sudah menyakiti hati orang Islam, lantas dia minta qisas atau mengadu pada Rasulullah SAW supaya dia segera dihukum. Begitulah iman orang mukmin yang memperjuangkan hukum-hukum Allah; sangat takut dengan Allah. Kerana itu, mereka berhati-hati dalam menghukum.
Sikap mudah menuduh-nuduh dan menghina-hina dengan tidak menggunakan hujah yang benar dan terhormat, akan membuatkan orang benci dan lari dari kita. Hingga terjadilah perpecahan yang dahsyat hasil perjuangan kita itu. Dalam sebuah masjid, ada dua imam yang mengimami sembahyang dalam satu masa. Pernah terjadi di Terengganu, dua ceramah dengan dua mikrofon dalam satu masjid. Walhal perjuangan Islam bermaksud meramaikan dan menyatu padukan ahli jemaah di bawah satu imam dalam satu masjid. Tapi politik Barat ala pilihan raya mengecil, menyempit dan memecahbelahkan umat Islam dalam masjid. Juga membuatkan orang Islam tidak makan sembelihan orang Islam lain. Dan nikah kahwin sesama Islam dianggap tidak sah kerana berlainan pandangan politik. Inikah kebenaran? Lagi banyak berjuang, lagi umat Islam berpecah. Lagi banyak berjuang, lagi umat Islam berkrisis. Kalau begitu, apa bukti Islam yang diperjuangkan itu agama selamat, membawa keamanan sejagat dan keharmonian masyarakat? Politik pilihan raya tidak akan dapat menyelesaikan kemelut ini. Ia hanya akan menambahkan masalah. Bahkan ia adalah punca masalah ini. Harapan sekarang hanya tertumpu kepada politik Islam yang penuh kasih sayang.
- Terhadap serangan musuh, orang politik yang katanya memperjuangkan Islam itu memberi respon penuh emosi, bukan dengan penuh bijaksana, matang dan strategik. Seperti orang melatah diusik, melompat-lompatlah ia dengan penuh aksi, geram, melulu dan tidak sabar hingga menyusahkan diri sendiri. Bila musuh tuduh perkara yang tidak sepatutnya, maka dengan geram dan gelisah, dibuatlah serangan balas yang kadang-kadang tersalah cakap, terlebih hukum, terlajak sikap hingga menguntungkan musuh.
Musuh memang suka kita asyik menjawab. Agar masa kita terbuang dengan menjawab. Supaya kita tidak ada masa untuk berbuat dan membangun. Memang itulah yang musuh mahu. Tetapi pemain politik yang guna nama Islam ini seperti tidak faham niat jahat musuh terhadapnya. Dia fikir musuh betul-betul tersalah tuduh, maka tertipulah dia. Kalau mereka faham tipu daya musuh, tentu mereka tidak teruk ditipu.
Mereka tidak praktikkan doktrin bahawa ‘peperangan itu tipu daya’. Sedangkan ahli politik Islam seharusnya lebih bijak, lebih matang dan lebih berstrategi dari musuh dalam menipu daya dan bermuslihat. Pejuang Islam sepatutnya sentiasa dapat menipu dan mengalahkan musuh dan bukan sebaliknya. Mereka sepatutnya berada dua tiga langkah di hadapan musuh dan dapat membaca gerak-geri musuh. Kalau tidak, di mana keistimewaan Islam? Lagi pula, Islam mengajar penganutnya selalu bertenang dengan ujian agar tidak menghilangkan kebijaksanaan di dalam tindakan. - Cara dan strategi peperangan fikiran tidak sama dengan peperangan senjata. Dalam perang senjata, kita boleh terus menyerang tetapi berdisiplin dan tidak menzalim. Tetapi secara politik, untuk pancing undi dan menarik simpati orang yang yakin cara itulah perjuangan, tentu tidak boleh gopoh dan main kasar. Kita kena berlembut, kalau boleh biar lebih lembut gigi dari lidah. Supaya orang tertarik dan tertawan dengan kita. Kita disuruh berakhlak. Itulah strategi namanya. Dan ia pula memang diperintah oleh Islam. Kerana ia adalah buah ibadah dan buah perjuangan.
Tetapi sayang, orang-orang politik ala Barat ini berkasar dengan orang. Mudah menyerang, mudah mengata-ngata, menuduh dan melempar tohmah tanpa usul periksa. Ini semua meramaikan musuh, bukan meramaikan kawan. Orang lari, bukan orang mendekati. Ceramah mereka panas, hanya berslogan, berpropaganda, menghasut dan membangkitkan semangat marah. Lalu tercetuslah di tengah masyarakat perasaan gelisah, tegang, benci-membenci, rasa permusuhan, dendam, dengki, buruk sangka, kata-mengata dan lain-lain lagi.
Punah segala kasih sayang, harmoni, kedamaian, bertolak ansur, maaf-bermaafan, perikemanusiaan, hormat-menghormati dan lain-lain sifat mulia dari umat Islam. Sedangkan Islam membawa segala kebaikan ini dan kerana inilah ia kelihatan indah, cantik dan dapat menawan hati manusia. Kalau itu semua tidak ada, di mana keindahan dan kecantikan Islam itu?
- Struktur kepimpinan dalam parti politik yang dijadikan platform perjuangan Islam itu selalu berubah-ubah dan bertukar ganti, yang berpunca daripada krisis-krisis peribadi, perebutan jawatan, jatuh-menjatuhkan hingga tercetus berbagai kern dan team dalam parti. Kadang-kadang pemimpin nombor dua lebih popular daripada pemimpin nombor satu. Perbuatan sepak terajang hingga pemimpin tergolek dan terguling, biasa berlaku. Naiklah orang lain me megang jawatan yang diidamkannya.
Sungguh tidak patut sekali hal ini berlaku dalam parti yang bernama Islam. Namun begitulah realitinya. Betapa malangnya kita kalau hal begini terjadi dalam negara Islam yang mereka laung-laungkan dan idam-idamkan. Kemungkinan terjadi memang besar. Sebab dalam parti pun boleh terjadi, apalagi dalam negara? Sedangkan dalam negara Islam tulen, kepimpinan seorang khalifah adalah untuk seumur hidup. Pengikut taat, kasih dan cinta serta terhutang budi padanya seperti terhutang budinya kita kepada ayah, guru dan sahabat. - Tidak jelasnya prinsip perjuangan pejuang Islam melalui politik Barat ini ketara sekali. Kita jadi tertanya-tanya apa pendirian mereka sebenarnya ketika menukar-nukar stail dan fesyen pakaian. Depan orang kampung pakai ketayap, di bandar pakai necktie. Dalam negeri lain lagaknya, di luar negeri lain pula. Kalaulah menutup kepala itu kerana mempertahankan hukum sunat, mengapa tidak dikekalkan? Atau kalau dianggap tidak berketayap itu sunat, mengapa tidak terus jangan pakai ketayap? Sesetengah ahli, demi wang dan jawatan sanggup dijual beli orang. Mereka sanggup keluar masuk parti. Mereka sanggup melompat dari satu parti ke satu parti. Hal ini sungguh malang bagi parti yang bernama Islam.
- Dalam soal metod perjuangan pula, terjadi hal yang sarna. Yakni sering berubah-ubah mengikut arah angin. Kalau angin dari Iran bertiup, mereka pun hala ke Iran. Bila angin bertiup dari Libya, Libya pulalah rujukannya. Bila angin dari Algeria, sana pulalah mereka. Perubahan ini lebih kerap berlaku bila dekat pililian raya. Demi untuk menang, kadang-kadang prinsip dilanggar. Hal ini bukanlah rahsia lagi. Semua orang perasan. Tetapi apakan daya, keadaan ini seperti menjadi satu trend, seolah-olah tiada pilihan. Walaupun ianya mengecewakan sekali.
- Sistem-sistem Islam yang hendak diperjuangkan tidak jelas. Walaupun sudah berpuluh-puluh tahun berjuang tidak ada pun buku-buku panduan yang dikeluarkan oleh pemimpin. Buku perlu untuk memahamkan orang ramai apa itu sistem pendidikan Islam, ekonomi Islam, kebudayaan Islam dan lain-lain sistem lagi. Selain untuk memahamkan orang ramai, ia juga jadi panduan kepada orang yang akan memerintah kelak.
Setelah menyenaraikan apa yang saya nampak tentang teknik perjuangan parti politik yang memperjuangkan Islam di Malaysia dan di dunia amnya, saya mohon maaf kiranya ia menyakitkan saudara. Saya terpaksa berterus-terang dan wajib saya berbuat demikian. Kerana pada saya sudah cukup bukti untuk mengatakan begitu. Lebih-Iebih lagi kerana saya punya altematif iaitu politik Islam yang hak, yang potensinya lebih meyakinkan.
Ia lebih mendekati jejak sejarah perjuangan Islam oleh baginda Rasulullah SAW. Yang mana sesudah melewati perjuangan selama 23 tahun, baginda telah mendapat negara Islam. Yakni melalui kaedah motivasi dan pendidikan kepada pengikut-pengikutnya dan juga kepada yang bukan pengikutnya, dengan aman dan selamat. Terjadinya peperangan, kerana orang kafir memulakan terlebih dahulu. Sedangkan perjuangan melalui politik ala Barat sudah lebih 50 tahun, di sesetengah negara lebih lama daripada itu, namun belum ada tanda-tanda untuk menjadi negara dalam negara atau jemaah bayangan negara. Lebih-lebih lagi jadi negara Islam.
Dulu, di awal-awal perjuangan, kita sama-sama tidak pasti laluan yang mana yang akan benar-benar sampai kepada tertegaknya sistern hidup Islam, maka kita sama-sama mencuba.
Logiknya yang paling cepat, laluan politik pilihan rayalah. Tetapi kini, kita dapat sama-sama saksikan bahawa teknik perjuangan melalui politik pilihan raya jalannya panjang, penuh dengan perangkap musuh serta tidak dapat mendidik ahli. Walaupun jalannya lebar tetapi amat merbahaya. Hampir tiada yang selamat melaluinya. Walaupun sudah mendapat sebuah negeri, tetapi amalan Islam serupa saja, tiada perubahan apa-apa. Dan ternyata juga laluan motivasi dan pendidikan, dengan pendekatan kasih sayang dan dengan mewujudkan role model, walaupun baru tetapi kerana bukan jalan musuh, rnaka ia lebih selamat dilalui. Kini sesudah 40 tahun melaluinya, kita sudah dapat membangunkan negara di dalam negara dan seterusnya di ambang daulah Islamiah.
Moga-moga saudara-saudari sudi mengambil perhatian di atas apa yang saya katakan ini, demi kebaikan agama Islam yang kita anuti bersama. Allah-lah pembuat keputusan yang sebaik-baiknya. Dan Allah jualah yang mentakdirkan dan mengizinkan ini semua.
No comments:
Post a Comment