Friday, August 10, 2012

Kaya Miskin Dalam Islam

Kaya Miskin Dalam Islam


Islam memuliakan golongan kaya atau miskin di atas asas ketaqwaan. Sesiapa yang paling bertaqwa maka dialah yang paling mulia di sisi Allah. Iaitu mereka yang mendampingkan  diri dengan Allah SWT dan berbakti sesama manusia kerana mengharapkan keredhaanNya.

Justeru tertolaklah kata-kata bahawa orang atasan dan kaya itu mulia. Manakala orang bawahan dan miskin itu hina .




 Bahkan Rasulullah SAW sangat menyukai kemiskinan sebagaimana doa baginda

“Hidupkan aku dalam miskin, matikan aku dalam miskin dan masukkan aku ke syurga bersama orang miskin”.

Rasulullah SAW membawa Sahabat seperti Sayidina Abu Bakar, Sayidina Umar Al Khattab dan ahli perniagaan seperti Sayidina Abdul Rahman bin Auf untuk duduk-duduk dalam majlis bersama Sayidina Bilal,  Abu Huzaifah dan Salman al Farisi tanpa sebarang jurang antara kaya dan miskin. Sahabat- Sahabat hidup bersama sebagai pejuang yang mencintai dan merindui Allah dan Rasul-Nya.

Abuya Imam Ashaari Muhammad At Tamimi mentafsirkan keperluan hidup sesama manusia sebagai satu hidangan lengkap yang terdiri daripada nasi, lauk pauk dan sayur yang sama-sama disediakan oleh para petani, nelayan atau penternak, mahupun jurujual, pemandu kenderaan, pekedai, tukang masak dan sebagainya. Hakikatnya, dalam hidangan yang begitu lazat yang nikmati oleh orang kaya atau pemimpin, secara tidak langsung mereka sebenarnya sedang mendapat perkhidmatan daripada golongan bawahan tadi. Itulah dia jasa kaum buruh dan miskin ini yang sewajarnya disyukuri  oleh semua orang.

Begitu jelas sekali, hanya dengan menikmati sepinggan nasi sudah cukup memadai bagi kita untuk menyedari betapa kehidupan manusia saling perlu memerlukan antara satu sama lain. Bilamana kita hendak membina bangunan seperti masjid dan sekolah atau khidmat masyarakat, sudah tentu kita perlu kepada tenaga buruh, dan sumbangan wang ringgit juga harta benda daripada orang  kaya atau para dermawan.


Oleh sebab itulah Abuya menyebut orang kaya dalam Islam menjadi bank kepada masyarakat dan negara. Ianya telah berlaku di zaman Rasulullah SAW di mana golongan kaya menjadi sandaran golongan susah. Orang miskin terbela. Keperluan masyarakat hingga negara pun dibiayai oleh golongan kaya.  Sahabat-Sahabat sangat pemurah, mereka berkorban habis-habisan untuk kepentingan Islam demi mendapat keredhaan dan kasih sayang Allah dan Rasul-Nya.

Sejarah menyebut hanya dalam masa satu tahun Hijrah Rasulullah bersama Sahabat-Sahabat dari kaum Muhajirin ke Madinah, puak Yahudi terpaksa gulung tikar keluar daripada bumi Madinah. Aktiviti pinjam-meminjam wang berteraskan faedah riba oleh kapitalis Yahudi  terhenti dengan wujudnya bank-bank orang kaya Islam. Pinjaman Islam adalah tanpa faedah dan ada yang disumbangkan terus tanpa perlu membayar balik. Semenjak itu terhapuslah sistem lintah darat yang selama ini memeras golongan orang miskin yang menjadi semakin miskin.

Manakala perniagaan kapitalis Yahudi yang mengutamakan konsep keuntungan sebanyak-banyaknya, dengan modal serendah-rendahnya; terhenti. Ia diganti oleh perniagaan yang dilagang oleh ahli perniagaan Islam, Sayyidina Abdul Rahman bin Auf yang membangunkan sebuah pasar bernama Suqul Ansar berasaskan cinta dan takut Tuhan hasil didikan Rasulullah SAW. Harga murah mengikut keupayaan. Suqul Ansar mendapat sokongan seluruh warga Madinah. Perniagaan kapitalis gulung tikar.

Dengan terhapusnya kegiatan pinjaman wang berteraskan riba  dan perniagaan ala kapitalis Yahudi maka Negara Islam Madinah berkembang maju, disokong semua golongan kaya dan miskin. Jalinan kasih sayang sesama Sahabat laksana satu badan, saling bertolong bantu antara satu sama lain dalam membangunkankan agama Allah. Para Sahabat diibaratkan seperti batu bata yang saling kuat menguatkan antara satu sama lain. Akhirnya Madinah menjadi Negara Islam yang makmur dan mendapat keampunan Allah SWT hasil gandingan golongan kaya dan miskin yang tinggi taqwanya.
Firman Allah dalam Surah Al A’raf ayat 96.

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُواْ وَاتَّقَواْ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ

“Jika dalam satu qariah itu penduduknya beramal dan bertaqwa nescaya Allah akan melimpahkan keberkatan yang keluar dari bumi dan turun dari langit”.

No comments:

Post a Comment