Thursday, February 23, 2012

Rumahtangga - Punca Krisis

marriage-malay-bride.jpg

Apabila disebut tentang keluarga atau rumahtangga, di sana terdapat dua figure paling utama iaitu suami dan isteri atau bapa dan ibu.

Manakala antara kedua-dua itu sudah tentulah bapa atau suami yang menjadi faktor nombor satu.
Di tangan suami isteri atau bapa dan ibu itulah bagaimana anak-anak itu bakal membesar dan menjadi anggota masyarakat.

Ibarat pepatah Melayu, “bapa borek anak rintik dan “kalau guru (bapa) kencing berdiri, murid (anak-anak) kencing berlari.”

Manakala Rasulullah SAW, manusia paling benar lagi dibenarkan bersabda:

Maksudnya: “Anak-anak itu dilahirkan suci, ibu bapalah yang menjadikan mereka itu Yahudi, Nasrani atau Majusi.”

Maksud direct dari kata-kata Rasulullah itu mudah difahami. Iaitu anak-anak itu secara automatik mengikut agama ibu bapa mereka. Namun maksud yang indirect atau tersirat ialah buah didikan atau kesan didikan oleh ibu bapa.

Iaitu anak-anak tidaklah hingga menganut agama lain seperti Yahudi, Majusi atau Nasrani, tetapi sikap, perangai, tingkah laku, tabiat dan cara hidup sudah mengikut jejak langkah Yahudi, Majusi atau Nasrani.

Bermula dari ibu bapa, sekiranya tersalah pilih calon suami atau isteri, di situ bermulalah meletakkan tapak atau batu asas atau benih yang bakal berkembang biaknya cabang-cabang masalah.

Apabila suami tidak menepati syarat-syarat serta ciri- ciri suami yang sebenar, ianya amat memberi kesan kepada orang yang terdekat, yang sudah tentulah isterinya sendiri.

Contohnya, cuba bayangkan bagaimana kalau suami yang pemarah, tidak bertanggungjawab, kasar, tiada kasih sayang, ego, sombong, zalim, suka berfoya-foya, kaki judi, ketagih arak. Tentulah implikasi yang paling berat akan ditanggung oleh
isteri. Apabila beranak pinak, akan melimpah pula kepada anak-anak.

Demikian juga sebaliknya kalau isteri yang ego, sombong, meragam, abaikan rumahtangga, tidak memuliakan dan tidak menghormati suami. Suami akan menanggung risiko terutamanya risiko perasaan. Apabila perasaan suami terganggu, akan terjejas pula segala urusan kehidupan lainnya.

Kata pepatah ”Tangan yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia.”

Positifnya kalau isteri itu baik, maka bergoncang dunia dengan serba
serbi kebaikan. Bergoncang pula dunia dengan berbagai kemusnahan sekiranya isteri bertabiat buruk.

hitechdivorce.jpg

PUNCA KRISIS RUMAHTANGGA

Apakah punca krisis? Bila manusia berpaling daripada peringatan Tuhan, melupai Tuhan, mengabaikan dan meminggirkan Tuhan, tidak memperdulikan ajaran Tuhan, maka Tuhan timpakan berbagai kesulitan, kesusahan dan kesengsaraan. Sama ada penderitaan yang bersifat lahiriah, mahupun lebih-lebih lagi yang bersifat maknawiyah atau yang mencengkam perasaan. Bahkan penyeksaan dalaman ini lebih dahsyat, boleh sampai kepada kemuncak kekecewaan dan putus asa hingga sanggup membunuh diri.

Dan telah terbukti juga apabila manusia kembali kepada Tuhan, kembali merasai bertuhan dan memiliki rasa kehambaan, kembali mengambil berat terhadap peringatan dan ancaman Tuhan, maka respons dari Tuhan amat cepat.
Tuhan turunkan rahmat-Nya, lantas dalam tempoh yang singkat, perasaan menjadi tenang, tenteram, mencintai kebaikan, berkasih sayang dan berbagai sifat serta sikap positif.

Inilah yang dimaksudkan oleh Tuhan dalam firman-Nya:

Maksudnya: “Barangsiapa berpaling daripada peringatan-Ku, nescaya mendapati kehidupannya sempit. “

Sempit dalam berbagai bentuk dan pengertian. Sempit dadanya dengan resah gelisah, kecewa dan putus asa. Hilang sabar dan mudah marah. Buntu akal, kusut fikiran, tidak dapat melihat jalan penyelesaian. Tertutup jalan keluar kepada apa juga masalah yang timbul, termasuk tidak dapat mengatasi krisis dalam rumahtangga dan masalah gejala sosial.

Di sinilah betapa penting dan perlunya memahami dengan secara meluas dan mendalam apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah Hadis Qudsi:

Maksudnya: “Apabila hamba itu datang kepada-Ku
secara merangkak (perlahan), Aku akan mendekatinya
secara berjalan. Apabila hamba itu datang kepada-Ku
secara berjalan, Aku akan mendatanginya secara berlari.
Apabila hamba itu mendatangi-Ku sejengkal (sedikit),
Aku akan mendatanginya sehasta. Apabila hamba itu
mendatangi-Ku sehasta, Aku mendatanginya sedepa. “

TANDA & GEJALA RUMAHTANGGA BERMASALAH & PENYELESAIANNYA

a. Percakapan seperti marah-marah. tuduh menuduh, bahasa kasar dan kesat, sindir menyindir, tengking menengking, semuanya adalah manifestasi dari sifat-sifat dalaman (hati) yang tidak kelihatan. Jelmaan dari hati yang jahat (mazmumah) itu yang dilihat dalam bentuk yang dapat dilihat itu.

Hakikatnya kita sedang melihat dua keping hati yang sama-sama jahat dan berpenyakit (mazmumah), yang hanya dapat diatasi dengan pembersihan hati dengan takut
dan cintakan Tuhan.

b. Selepas bercerai, apa yang mereka berdua bakal lakukan? Mungkin suami akan kahwin lain dan mungkin isteri juga akan berkahwin lain. Apa jaminan pasangan yang bakal
dikahwini akan lebih baik? Bagaimana andainya berulang keadaan yang sama? Apakah akan mengambil jalan keluar yang serupa? Dan selepas itu bercerai lagi?
Kita mesti bawa Tuhan bersama dalam hidup ini. Kena rasakan bahawa Tuhan yang telah tentukan jodoh. Terimalah hakikat bahawa sama ada suami atau isteri, tetap ada
kebaikan dan kelebihan serta memiliki keburukan dan kekurangan. Terimalah itu semua untuk dikongsi mengatasinya.

c. Mesti kenal Tuhan dengan hati. Punca kejahatan manusia ialah kerana tidak takut kepada Tuhan. Takutkan Tuhan menjadikan manusia (suami dan isteri) sabar dan bertanggungjawab. Sabar dan bertanggungjawab hanya berlaku apabila takutkan Tuhan.Tanpa rasa bertuhan dan rasa kehambaan, sifat-sifat baik dan positif itu tiada tempat sandaran atau tunjang tempat bertaut.

d. Mesti faham kerja Tuhan. Setiap apa yang Tuhan cipta atau apa sahaja peristiwa dan kejadian semuanya tidak sia-sia, ada hikmah, iktibar, pengajaran dan didikan dari Tuhan.
Oleh itu apabila perangai, tabiat, sikap, tingkah laku suami atau isteri atau kedua-duanya berubah, ianya merupakan isyarat dari Tuhan bahawa mereka cuai dengan Tuhan,
mengabaikan Tuhan, meminggirkan Tuhan, lantas Tuhan datangkan ‘isyarat panggilan’ agar berpalinglah kepada Tuhan. Masing-masing kena bertaubat dan bersungguh-
sungguh membaiki diri. Apabila sama-sama sudah berpaling menyahut ‘panggilan’ Tuhan, maka Tuhan turunkan rahmat-Nya. Tanda rahmat Tuhan ke atas manusia ialah tenang, damai, berkasih sayang, lemah lembut dan bertoleransi.

—————————————————————–

Akibat Bercinta Sebelum Kahwin

Nafsu sungguh jahat, syaitan amat menipu
Di akhir zaman ini ramai orang berkahwin,
berkenal-kenalan dan bercinta-cinta lebih dahulu
Sebelum berkahwin, di waktu bercinta
semuanya indah-indah belaka
Tidak ada yang susah, tidak ada masalah
Semuanya baik walaupun jelek,
sekalipun menyusahkan, tapi indah
Di masa itu kentutnya pun wangi,
peluhnya pun harum mengalahkan atar
Tapi setelah berkahwin, tidak sampai setahun,
tiga bulan sahaja, yang dahulu bukan masalah
sekarang masalah
Dahulu yang busuk berbau harum,
sekarang yang harum berbau busuk
Sekalipun atar pilihannya yang dipakai
namun baunya menyakitkan
Dahulu yang diminta perkara susah bukan masalah,
sekarang yang mudah satu kewajipan pula
dianggap masalah
Dahulu cinta itu dirasakan sampai kesudah,
rupanya sebelum separuh jalan, punah
Dahulu yang jahat pun dianggap baik,
sekarang yang baik dianggap jahat
Betapalah yang jahat,
terasa berpuluh-puluh kali jahat dan menyusahkan
Perang mulut pun mula terjadi,
masing-masing menunjukkan sikap bermusuhan
Kadang-kadang tidur pun berasingan
atau tidur membelakang
Dahulu marahnya pun indah,
sekarang senyumnya pun pahit macam jadam
Masing-masing bawa diri,
izin-mengizin sudah tiada lagi
Makin bertemu perang menjadi-jadi,
makin berjumpa makin benci-membenci
Akibatnya apa sudah terjadi pada suami isteri ini?!
Kedua-duanya pergi jumpa tuk kadhi
minta cerai katanya jodoh sudah tidak ada lagi
Begitulah kesan cinta dahulu sebelum kahwin
Indahnya dan manisnya sudah habis
barulah diijabkabulkan

No comments:

Post a Comment