Thursday, February 23, 2012

Ciri2 suami dan isteri sejati

java-wedding.jpg

Foto Hiasan

CIRI-CIRI, SIKAP, PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB SUAMI

1. Sangat bertanggungjawab ke atas isteri, anak-anak serta orang-orang yang di bawah jagaannya termasuk ibu bapa yang sudah tua dan orang gaji sekiranya ada. Tanggungjawab dengan takutkan Tuhan adalah lazim melazimi. Orang yang takutkan Tuhan sangat bertanggungjawab. Orang yang benar-benar bertanggungjawab adalah kerana takutkan Tuhan.

2. Memberi ilmu dan didikan agama kepada isteri dan anak-anak.

3. Menyediakan nafkah lahir seperti makan minum, pakaian, tempat tinggal dan kesihatan kepada isteri dan anak-anak. Pemberian nafkah lahiriah ini tidak termasuk barang mewah (luxury) yang tidak boleh dituntut atau dipaksakan kepada suami terutamanya dalam keadaan tidak mampu. Namun dalam nafkah yang asasi itu sekiranya suami cuai boleh dituntut. Begitupun kalau ada tolak ansur adalah lebih baik dan lebih utama.

4. Suami tidak berkasar terhadap isteri dan anak-anak. Selaku ketua keluarga, suami lebih utama menonjolkan sikap kasih sayang dan prihatin. Kalau dalam sebuah institusi kecil rumahtangga, ketua keluarga tidak memberi kasih sayang, di mana pula anggota keluarga itu hendak mengadu dan bersandar. Lebih-lebih lagi suami selaku pendidik, pendidikan hanya berjaya dengan kasih sayang dan sabar.

5. Sekiranya isteri atau anak-anak membuat salah, hendaklah diberi tunjuk ajar. Secara fitrahnya anak isteri tentulah tidak suka berbuat salah. Kalau terjadi juga kenalah ayah atau suami memberi tunjuk ajar kerana kemungkinan mereka membuat salah itu kerana kecetekan ilmu, kurang bimbingan, terleka, terlupa, dorongan perasaan dan nafsu.

6. Suami hendaklah bertimbang rasa kepada isteri. Amat jarang tetapi bukan tiada langsung di kalangan wanita yang kuat jiwa dan akal, melainkan mereka lebih didorong oleh perasaan. Sebab itu wanita amat mudah marah, merungut, merajuk. Ini semua adalah bentuk-bentuk luahan perasaan mereka. Lebih- lebih lagi bagi isteri sepenuh masa yang menjalani rutin kehidupan yang sama setiap hari. Situasi mereka itulah yang memerlukan suami bertimbang rasa.

7. Ketika isteri kesedihan, suami hendaklah menghiburkannya. Tumpang simpati memang disuruh, tetapi jangan turut terbawa-bawa dengan kesedihan isteri. Akibatnya akan bertambah menjadi-jadi dan berpanjangan kesedihan isteri.

Kesedihan yang berpanjangan sedikit sebanyak boleh menjejaskan urusan rumahtangga. Suami perlu menghiburkan isteri dengan berbagai cara, umpamanya bawa berjalan-jalan, makan angin, ziarah kawan dan lain-lain.

8. Suami sentiasa memberi kerjasama terhadap isteri. Ertinya dalam urusan rumahtangga, karier kerja, anak-anak, perlu mendapat kerjasama yang baik dari suami. Jangan dibebankan sepenuhnya kepada isteri. Secara automatik berlakulah perkongsian dalam kehidupan berumahtangga.

9. Suami tidak memandang kepada wanita lain. Memandang di sini ada dua maksud iaitu memandang dengan mata kasar secara lahiriah dan memandang dalam erti kata memberi perhatian atau memberi perasaan terhadap wanita lain. Di antara hikmah larangan ini ialah supaya hati suami tertumpah kepada isterinya sahaja. Sekaligus suami tidak membanding-bandingkan wajah isteri dan perangai isteri sendiri dengan wanita lain. Isteri itu adalah anugerah Tuhan yang sudah menjadi ketetapan semenjak azali lagi, terimalah seadanya.

10. Berbincang bersama. Sama ada dalam soal masalah atau perancangan keluarga, elok dibincangkan bersama supaya terjamin memperolehi penyelesaian yang tepat dan memuaskan. Setiap aspek difahami bersama supaya sama- sama dapat menerimanya.

11.Kejahatan, kelemahan dan kesilapan isteri tidak didedahkan kepada orang lain. Dalam kes hendak membuat pengaduan sekalipun kena juga dibatasi, sekadar memahamkan hakim atau orang tengah. Tidak sampai mencemarkan maruah isteri.

12. Sentiasa merendah diri kepada isteri, atau dengan istilah lain sebagai tawadhuk. Merendah diri bukan bererti meletakkan diri hingga boleh dihina oleh isteri. Tawadhuk ertinya tidak ego, sombong dan merasa diri segala-galanya.

Perlu diingat, tiada manusia yang benar-benar sempurna dalam segala hal. Sebab itu perlu tawadhuk kepada isteri kerana dalam banyak aspek, seorang suami memerlukan isteri dan banyak perkara suami tidak upaya berbuat dan bersabar seperti yang dilakukan oleh isteri. Tawadhuk juga bermaksud berlapang dada serta boleh bahkan bersedia menerima teguran, nasihat dan ingatan dari isteri.

13. Suami perlu bertolak ansur dengan isteri.

Suatu ketika seorang rakyat Sayidina Umar hendak mengadu sesuatu masalah tentang isterinya kepada Sayidina Umar. Ketika berdiri di halaman rumah, dia terdengar kata-kata rungutan dari isteri Sayidina Umar sedang Sayidina Umar sendiri hanya senyap berdiam diri.

Lantas rakyat itu pulang saja dan berkata seorang diri,

“Sedangkan Sayidina Umar sebagai khalifah pun isterinya merungut.”

Keesokan hari, dia bertanya kepada Sayidina Umar mengapa mendiamkan diri sahaja.

Sayidina Umar menjawab, “Aku sangat bertimbang rasa kepada isteriku kerana dia berkhidmat untuk aku, menjaga rumahtangga aku, menjaga makan minum dan pakaian aku, dan dia menjaga anak-anak aku.”

14. Suami sentiasa kasih kepada isteri. Fitrah semula jadi manusia lebih mudah mengasihi orang yang ada pertalian dan orang yang berjasa. Contohnya ibu bapa mengasihi anak-anak dan sebaliknya. Antara keduanya ada pertalian.

Pengikut lebih mudah mengasihi ketua atau pemimpinnya kerana pemimpin banyak berjasa, begitulah sebaliknya. Suami dituntut supaya sentiasa mengasihi isteri atas dua sebab tersebut sekaligus. Iaitu ada pertalian yang Tuhan lakukan melalui pernikahan yang sah, serta atas sebab jasa. Dalam hidup seorang suami, isteri adalah orang yang amat berjasa. Jasa isteri itu mewajarkan seorang suami mengasihi isteri. Inilah satu bentuk mengenang jasa seorang isteri.

15. Suami sentiasa belas kasihan terhadap isteri. Dalam kehidupan wanita moden, mereka mendakwa ada segala-galanya yang mereka perlukan. Bahkan apa sahaja yang mereka mahu, mereka mampu memikirkannya. Namun sebenarnya mereka tidak boleh menafikan fitrah semula jadi iaitu mereka perlukan suami tempat berlindung, mengadu, berkongsi perasaan, tampat merintih dan tempat memperolehi dan menumpahkan kasih sayang.

Ketiadaan suami dalam hidup seorang wanita, kekosongan tetap dirasainya terutama perasaan. Ini adalah fitrah semula jadi. Menyedari dan memahami hakikat inilah maka suami perlu sentiasa belas kasihan kepada isteri.

Mereka adalah golongan yang perlukan perlindungan, maka lindungilah mereka dengan penuh belas kasihan.

16. Sebagai menyempurnakan wibawa sebagai suami maka suami hendaklah mampu menjadi imam sembahyang jemaah dalam keluarga. Dan perlu berkumpul bersama dan sembahyang berjemaah bersama.

17. Biarpun peranan ini diletakkan sebagai yang terakhir, namun inilah yang paling penting. Iaitu suami perlu memperlihatkan dirinya orang yang sangat membesarkan Tuhan, mengutamakan Tuhan, bercita-cita dan bermatlamatkan Tuhan

Ini mestilah diperlihatkan di dalam setiap aspek kehidupan. Jelas memperlihatkan dirinya hidup ‘bersama’ Tuhan.


Ciri2 isteri sejati

paklehflickr.jpg

Dalam senarai di bawah, mungkin ada beberapa ciri yang mengkhususkan kepada isteri2 yang memang bergantung sepenuhnya kepada suami terutama dalam soal keperluan nafkah keluarga.

CIRI-CIRI, SIKAP, PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB ISTERI

1. Bertanggungjawab dalam urusan dan bidang sebagai seorang isteri terutamanya terhadap suami.

2. Keutamaan seorang isteri ialah melayan suami dengan ikhlas atau murni kerana Tuhan semata-mata.

3. Mentaati suami selagi dalam perkara yang dibolehkan. Hanya boleh ingkar dalam perkara-perkara maksiat dan dosa.

4. Sentiasa merendah diri atau tawadhuk kepada suami. Melalui bersikap tawadhuk, bimbingan, teguran dan tunjuk ajar akan dimudahkan. Merendah diri juga agar tidak berlaku satu kapal dua nakhoda. Maka akan harmonilah kehidupan keluarga.

5. Isteri mesti sentiasa berusaha menghiburkan suami dalam layanan, sikap, percakapan dan ketaatan.

6. Sebaik-baiknya isteri menyambut kepulangan suami. Dengan cara ini akan menyejukkan hati, menyenangkan hati, menenangkan perasaan dan menambahkan kemesraan.

7. Isteri tidak menuntut sesuatu yang tidak termampu oleh suami kecuali dalam hak yang asasi. Tuntutan yang membebankan suami boleh menganggu perasaan, boleh mengeruhkan hubungan.

8. Isteri sentiasa memberi kerjasama kepada suami dalam apa aspek rumahtangga. Sikap suka membantah, ingkar dan kurang memberi kerjasama mudah meretakkan hubungan, boleh berlaku krisis dan membantutkan banyak perancangan keluarga.

9. Mesti berusaha agar dapat bersembahyang jemaah bersama suami. Dari situ nanti akan banyak memperoleh rahmat dan berkat dari Tuhan dan mengeratkan lagi hu-
bungan hati.

10. Isteri mesti menjaga maruah diri sama ada sewaktu di rumah lebih-lebih lagi di luar rumah.

11.Keperluan suami dalam lingkungan rumahtangga hendaklah disediakan oleh isteri. Dalam beberapa hal dan aspek, tidak pula dituntut sebagai wajib, namun di situlah ruang dan peluang bagi seorang isteri mengumpul sebanyak-banyak darjat taqwa di sisi Tuhan. Seorang hamba itu hanya dapat mendekatkan diri dengan Tuhan melalui saluran yang bukan perkara fardhu atau wajib, [ amalan sunat] melainkan dalam perkara-perkara lain yang dibuat sebagai usaha mencari bekalan taqwa.

12. Sedangkan lidah lagi tergigit, maka apabila timbul sebarang masalah, cuba dibawa kepada perbincangan bersama. Elakkan dari retak dahulu baru hendak dibincangkan. Kalau retak dahulu, bincang kemudian, keadaan begini kurang berkesan untuk mengatasi masalah.

13. Berpuas hatilah di atas apa sahaja pemberian suami. Perlu berkorban perasaan sekiranya kurang berpuas hati. Jangan korbankan kepentingan kebahagiaan rumahtangga hanya semata-mata mahu memenuhi perasaan sendiri.

14. Kesalahan suami hendaklah dilupakan. Anggaplah jasa dan khidmat suami itu jauh lebih besar berbanding kesilapan yang dilakukan oleh suami. Lebih-lebih lagi lazimnya kesalahan suami itu berlaku sekali sekala. Kadang-kadang bukan disengajakan atau hanya salah faham, atau kerana menghadapi tekanan. Bila gagal melupakan kesalahan suami akan subur dendam kesumat yang boleh mencetuskan huru hara dalam rumahtangga. Ini umpama sumbu mercun yang gagal dipadamkan. Sumbu mercun itu hanyalah sekadar keluar percikan bunga api. Bila tidak dipadamkan, letupan mercun amat kuat bunyinya.

15. Memberi semangat kepada suami. Sesekali berlaku juga lemah semangat kepada suami, bukan lemah jiwa. Dalam situasi demikian, maka isteri hendaklah bersikap seperti Sayidatina Khadijah ketika Rasulullah SAW mula menerima wahyu. Sayidatina Khadijah menyelimutkan Rasulullah SAW dan memberi semangat serta perangsang dengan tugas besar yang baru diterima oleh Rasulullah SAW.

16. Ketika suami bercakap, tidak kira dalam apa topik dan aspek, maka isteri perlu mendengar dengan teliti dan sepenuh hati. Ini juga sebagai tanda hormat, memuliakan suami serta tanda merendah diri kepada suami.

17. Cacat cela, kelemahan, aib, kejahatan suami tidak didedahkan kepada sesiapa pun, hatta kepada ibu bapa dan kawan sendiri.

18. Isteri juga hendaklah berusaha membesar dan mengutamakan Tuhan. Hendaklah sama-sama menjadi hamba yang hidup bertuhan dalam apa jua aspek kehidupan.

————————————————————————–

KEMULIAAN SEORANG ISTERI DI SISI TUHAN ITU ADALAH BILA DAPAT MERENDAH DIRI KEPADA SUAMI & BERKHIDMAT KERANA ALLAH SEMATA-MATA.

No comments:

Post a Comment