Wednesday, August 1, 2012

RASA YANG TERABAI

RASA YANG TERABAI

1.0 MUQADDIMAH


Islam ialah agama yang lengkap dan syumul. Lengkapnya Islam itu bukan sekadar menyelesaikan masalah zahir dalam kehidupan seharian manusia sahaja. Namun, Islam turut menyelesaikan masalah dalaman pada setiap individu.

Secara umumnya manusia mengandungi 3 elemen. Jasmani, rohani dan intelek. Ketiga-tiga perkara ini dijaga oleh Islam melalui maqasid Islam itu sendiri. Di sinilah terletaknya kesyumulan Islam melalui keseimbangan ketiga elemen ini. Kadar keseimbangan ini perlu dijaga seperti kadar kesimbangan sistem imun tubuh badan kita yang zahir. Kekurangannya dan kelebihannya yang tidak teratur akan membawa kepada penyakit. Jika tidak dibendung akan membawa kepada kronik dan membarah.

Hari ini, kepincangan masyarakat dalam segala segi seperti akhlak, jahil, kemaksiatan dan lain-lain adalah berpunca dari kekurangan dari salah satu elemen itu. Kertas kerja ini pula akan membahaskan elemen rasa yang diabaikan oleh masyarakat khususnya golongan agamawan sehingga menabrakkan lagi kebobrokan pelbagai gejala.

Semoga usaha kecil ini dapat membantu golongan agamawan menyelesaikan masalah umat seperti yang dituntut oleh Rasul, kerana agamawan adalah pewaris rasul dan rasul telah meninggalkan legasi untuk memelihara umatnya.

Sabda Rasul s.a.w : (( Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak)).

2.0 RASIONAL

2.1 Perbincangan bersama GPI di peringkat negeri semasa Program Kem Solat Berkesan Negeri Johor 2010, di Gunung Berlumut.

2.2 Masalah yang selalu diutarakan kepada penulis tentang mereka yang bersolat tetapi masih melakukan maksiat.

2.3 Masalah yang diutarakan oleh masyarakat bukan Islam tentang kebobrokan masyarakat Islam, sedangkan mereka mempunyai al Quran, hadis dan sistem yang bagus.

3.0 KEPENTINGAN TAJUK
3.1 Berkaitan dengan iman. Seseorang yang kehilangan rasanya adalah orang yang sakit. Kaedahnya seperti orang demam.

3.2 Punca kepada segala penyakit masyarakat.

3.3 Kaedah tarbiyyah Rasul yang tidak dikuti.


4.0 FAKTOR-FAKTOR KEHILANGAN RASA
4.1 Fasad hati

Setiap anggota mewakili fungsinya masing-masing. Seperti mata fungsinya melihat, telinga mendengar, hidung menghidu, tangan menyentuh, lidah merasa yang zahir dan hati merasa yang batin.

Hati memain fungsi rasa bagi perkara yang batin seperti yang ditunjuk nabi dalam perlakuan baginda, apabila baginda menunjukkan isyaratnya ke dada, sambil bersabda : (( Taqwa itu disini )) sebanyak dua kali.

Jesteru itu, kefasadan hati akan merosakkan deria rasa. Kerosakkan tersebutlah yang akan merosakkan fungsi manusia. Malah menjerumuskan manusia kepada kebinatangan dan kesyaitanan. Maka benarlah sabda nabi : (( apabila dia baik, maka baiklah keseluruhannya. Dan apabila ia rosak, maka rosaklah keseluruhannya.Bukankah dia hati )).

Perkara yang membawa fasad itu cukup banyak sekali seperti syirik, riya, ujub, sumah, kibriya dan lain-lain lagi.

4.2 Tidak di ajar untuk mendapatkan rasa
Hal keadaan Rasul yang berakhlak cukup mulia adalah berpunca dari tarbiyyah ilahiyyah rabbaniyyah kepada jiwa rasul. Rasul bersabda : (( Aku diajar adab oleh tuhanku, dan Dialah menjadikan adabku yang terbaik )).

Maka, Allahlah yang mengajar rasa dan mengenalinya sehingga baginda mendapat yang terbaik. Allah juga sering menguji baginda sepanjang tempoh pengajaran tersebut bahkan memberi ilmu juga kepada kaum muslimin yang lain. Ini dibuktikan melalui hadis jibril yang panjang.

4.3 Sistem penumpuan kepada teori sahaja.

Sistem pembelajaran yang digunapakai pada hari ini menumpukan kepada teori dan intelek sahaja. Malah bentuk-bentuk ujian juga menjurus kepada menilai intelek berdasarkan teori. Islam dengan sifat syumulnya tidak mampu untuk dinilai dengan cara sehala. Praktikal juga bukan sekadar dalam bentuk luaran sahaja. Jesteru itu Imam al Ghazali banyak menekankan di dalam Ihya dan Mauizahnya tentang kepentingan guru-guru mursyid.

4.4 Memisahkan – misahkan ajaran agama.

Pemisahan ajaran agama menjadikan nilai rasa turut berkurang. Ilmu Islam dipisah dari nilai rasa menjadikan ilmu itu begitu kering. ilmu dibahagi kepada aqidah, feqh dan tasauf. Masing-masing dikhususkan tanpa diserta dari sudut rasa. Pada zaman Rasulullah s.a.w, ilmu-ilmu ini tidak dipisah-pisahkan. Jesteru ilmu aqidah bukan sekadar teori bahkan dirasai. Ilmu feqh bukan sekadar teori bahkan dirasai. Begitu juga dengan tasauf.

Inilah yang cuba digarap oleh Syeikh Hasan Farhan al Maliki di dalam kitabnya Nahu Inqaz al Tarikh, mengenai rasa yang telah diabaikan kini. Akhirnya ilmu-ilmu Islam hanya sebagai medan perdebatan bukannya untuk di amalkan.

5.0 ISLAM DAN RASA
Banyak orang menyangkal kepentingan rasa di dalam Islam. Malah mengabaikan nilai rasa dengan menganggap ia bukanlah benda penting di dalam Islam. Bukahkah Islam dalam setiap perintah Allah turut menyelitkan nilai rasa di dalamnya. Jesteru itu Allah telah menetapkan fasad itu berlaku apabila setiap anggota itu tidak berfungsi dengan benar. Seperti mana firman Allah : (( mereka itu mempunyai telinga tetapi tidak mendengar, mereka mempunyai mata tetapi tidak melihat, mereka mempunyai hati tetapi tidak memahaminya ))



Islam menitik beratkan rasa seperti mana contoh-contoh di bawah :

5.1 Takut
Firman Allah : (( Takutilah Allah dengan sebenar-benar taqwa ))

5.2 Sayang dan cinta
Firman Allah : (( Seandainya engkau mencintai Allah, ikutilah aku ))

5.3 Malu
Sabda Nabi : (( Jika kamu tidak rasa malu, lakukanlah apa yang kamu mahu ))

5.4 Marah

Sabda Nabi : (( Sesiapa yang melihat kemungkaran, ubahlah dengan tangannya …))

5.5 Bersungguh-sungguh
Sabda Nabi : (( Sesuatu pekerjaan yang disukai Allah, dilakukan dengan tekun ))

5.6 Benci
Sabda Nabi : (( Sesuatu yang dibenci oleh Allah tetapi halal ialah talak ))

6.0 FAKTOR-FAKTOR MENGUNDANG RASA
6.1 Ibadah Nawafil
Ibadah nawafil ialah pra syarat utama membawa kepada jaminan rasa yang lebih mendalam. Malah untuk mendapat kekuatan melaksanakan ibadah nawafil itu sendiri adalah berpunca dari rasa juga. Ini ditegaskan melalui sabda s.a.w : (( tiadalah yang boleh mendekatkan Aku dengan hambaKu melainkan dengan nawafil…)).

Ibadah nawafil akan dapat mencetus nilai rasa melalui ibadah seperti membaca al Quran, bangun malam, berselawat, bermaulid dan sebagainya.

6.2 Mujahadah

Sesuatu itu akan menjadi lebih nilai jika disertakan pengorbanan. Begitu juga rasa, akan lebih bermakna jika melalui jalan mujahadah. Malah dengan mujahadah akan membuka pintu-pintu rasa, seperti firman Allah : ((Sesiapa yang berjihad kepada Kami, kami akan beri hidayah melalui jalan-jalan kami ))

6.3 Riyadah

Latihan kerohanian adalah amat penting dalam mendapatkan rasa, contohnya khusyuk.Khusyuk bukan boleh didapati dengan teori sahaja, bahkan memerlukan latihan praktikal yang berterusan. Jesteru meninggalkan latihan, khusyuk itu sendiri tidak akan kita capai. Ini amat jelas dengan firman Allah : (( Sesungguhnya solat itu terlalu berat, melainkan orang yang khusyuk )).

Solat itu sendiri untuk mencapai tujuannya sebenar adalah berat. Jika kita dapat melaksanakanya pun, adakah kita termasuk dalam kalangan orang yang khusyuk ?. Dan adakah solat kita dapat mencegah mungkar ? Realitinya, masih ramai yang bersolat dan masih melakukan mungkar.

Oleh yang demikian, latihan daripada guru yang mursyid dapat membantu kita untuk mencapai nilai rasa yang benar.

7.0 CARA MENDAPATKAN RASA
Untuk mendapatkan rasa yang sebenar, sudah semestinyalah kita terpaksa merujuk sumber utama dalam Islam iaitu al Quran dan hadis nabi s.a.w. Apabila sesuatu masalah yang berkait rapat dengan hati maka, jawapan paling tepat untuk mengubatinya ialah dengan jalan berzikir.

Zikir ialah jalan mengubati segala penyakit hati. Tarbiyyah zikir ini bukan setakat satu perintah malah adalah sunnah yang ditunjuki nabi sewaktu di awal permulaan Islam. Rasulullah s.a.w telah mendidik sahabat dengan memperbanyakkan zikir sehingga mereka memperoleh rasa.

Kepentingan zikir ini tidak boleh disangkal lagi dengan dalil yang cukup qat’ie dan mani’. Sama ada dari al Quran atau hadis nabi s.a.w. Allah sendiri berfirman : (( mengingati Allah itu adalah sebesar-besar perkara)). Apatah lagi hadis, yang telah dimuatkan bab yang khusus dalam setiap kitab hadis mengenai fadhilat zikir. Cukuplah kitab al Azkar untuk menunjukkan keperluan dan kepentingan zikir.

Walau bagaimana pun, zikir melalui beberapa peringkat. Ianya bergantung kepada tujuan zikir itu sendiri. Bagi yang ingin mendapat rasa ia mestilah melalui 2 jalan. Ibn Ata’illah as Sakandari menjelas jalan tersebut ialah :

i. Qabad

ii. Basath

Melalui jalan inilah barulah rasa terbentuk, lantas membentuk qurbah dengan Allah.


8.0 PEMBAHAGIAN RASA

Rasa boleh dibahagikan kepada 3 bahagian, iaitu :

i. Mubtadi
ii. Mutawassit
iii. Muntahi


( Pembentangan kertas kerja ana ini turut dihadiri oleh Sahibus samahah Tuan Mufti Pulau Pinang )


9.0 KESAN RASA

8.1 Membawa kepada kesempurnaan Iman.
Sedar atau tidak, rasalah yang membawa kepada kesempurnaan Iman, sepertimana sabda Rasulullah s.a.w : (( 3 perkara , sesiapa yang memilikinya akan memiliki kemanisan iman. Mencintai Allah dan rasulNya lebih dari segala-galanya. .. ))

8.2 Membawa kepada kesempurnaan dalam ibadat

Ibadat akan lebih sempurna apabila disertakan dengan rasa. Rasa bermusyahadah dan rasa bermuraqabah. Namun, kedua rasa ini telah hilang dalam nilai ibadah kita. Perkara tersebut tidak dianggap penting. Oleh kerana itu, ibadah tidak dapat membantu membentuk nilai dalam diri. Contohnya apabila Rasul s.a.w bersabda mengenai ibadah puasa : (( Berapa ramai yang berpuasa, tidaklah ada nilai dalam puasa mereka melain lapar dan dahaga.))

8.3 Menjadikan seseorang berakhlak mahmudah

Rasa cinta dan takut dapat mengubah diri seseorang. Rasa cinta dan takut kepada Allah akan menyebabkan seseorang akan menjadi lebih berakhlak mulia, bukan setakat baik pada zahir tetapi turut kepada hal-hal batin. Ini adalah kerana tiada contoh yang boleh diikuti melainkan Saidina Rasul s.a.w, seperti firman Allah : (( Pada diri Rasulullah itu ada uswatun hasanah )).

8.4 Sebagai benteng untuk mencegah seseorang daripada terjebak kepada kemaksiatan.

Hidup dengan rasa bertuhan dapat mencegah seseorang daripada melakukan maksiat atau perkara-perkara yang keji. Rasa bermusyahadah dan dan rasa bermuraqabah dalam hidup benteng kepada penjegaan iman daripada dicemari dengan sebarang gejala dan dosa. Ini dapat dikuatkan dengan hadis baginda : (( Tidak berzina ketika mana hendak berzina dia seorang beriman. Tidak mencuri ketika mana dia hendak mencuri dia beriman….))

9.0 PENUTUP

Ilmu Islam sudah mencapai kematangannya dengan melalui zaman-zaman yang sukar dan gemilangnya. Namun mampukah kita mengembalikan kegemilangan Islam sepertimana yang wujud pada zaman Rasulullah s.a.w.? Perhatilah dengan tajam dan mata hati kepada masalah umat hari ini. Kebobrokan akhlak, kemaksiatan bermaharajalela, hedonisme, masalah murtad dan lain-lain lagi. Seperti tiada noktah dan penyelesaiannya. Mengapakah ini berlaku? Sedangkan kita mempunyai al Quran, bimbingan hadis dan lain-lain. Jawapannya tidak lain ialah rasa. Turunlah sebanyak mana kitab dari langit pun jika tidak berasa, tidaklah ia mempunyai kesan. Rasulullah s.a.w menerapkan nilai rasa di dalam jiwa sahabat sehingga mereka menjadi taat yang luar biasa. Malah menyelesaikan masalah kebobrokan akhlak ketika itu.

Kita perlu bermula kembali dari bawah dengan nilai yang baru. Memberi rasa kepada setiap mukmin dan muslim agar menjadi lebih baik dan menyelesaikan masalah yang kian tenat. Semoga usaha kecil ini dapat menggembalikan kita ke Madinah.

Disediakan oleh :

Shahrul Rizal Mohd Sati.
Mudir Madrasah Hasaniyyah Islamiyyah
Tenggaroh, Mersing.



( Para peserta mendengar pembantangan kertas )

Source

No comments:

Post a Comment