Friday, March 16, 2012

(I) Pandangan Seorang Muallaf Cina Muslim terhadap Melayu.

Merujuk kepada posting Loo Joo Yee gadis Cina yang memeluk Islam – TV Al Hijrah, saya merancang untuk menulis sesuatu tentang paparan yang menarik itu tetapi rasa blank fikiran ini. Mulanya tertarik dengan video itu, , tetapi di penghujungnya saya sebenarnya agak malu menonton tentang persepsi orang Melayu terhadap agamanya sendiri.

Alhamdulillah, ada jawabannya. Di sini saya kongsikan email seorang pengunjung blog, yang ketika menulis catatan ini, beliau baru sahaja memeluk Islam secara rasmi – seminggu sebelumnya.

...

Tulisan sumbangan adik @LookingForTruth – username di blog ini, atau nama Islamnya Ahmad Mustaqim. Tulisan ini terdiri dari beberapa bahagian.

  1. Islam Hari Ini
  2. Hukum Hudud yang ditakuti kaum bukan Islam (serta Islam)
  3. Pandangan Serong Masyarakat Melayu Terhadap Perjuangan Abuya Imam Ashaari Muhammad @ al Fata at Tamimi
  4. Kekuatan sebenar Melayu adalah Islam
  5. Kehebatan bangsa Melayu terserlah dalam mengamalkan Islam
  6. Kesimpulan

Dengan nama Allah SWT yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, yang menciptakan langit tanpa sokongan tiang, yang menjadikan bumi dengan kuasa graviti, yang menjadikan siang dan malam mengikut pengiraan Mu yang Maha Perancang dan Maha Bijaksana. Siapakah hambaMu ini kalau bukan kerana sifatMu yang Maha Mengetahui segala isi hati hambaNya. Kaulah yang Maha Mulia yang memuliakan hambaMu dan Kaulah yang Maha Adil yang menghinakan musuh-Mu. Segala-gala pujian bagiMu. Hambamu yang hina ini mengharapkan keberkatan menulis dariMu dan semoga ia bermanfaat kepada muallaf yang lain. Ampun maaf sekirannya terguris hati yang membaca.

Assalamualaikum kepada para pembaca, terlebih dahulu adik ingin memperkenalkan diri. Nama Islam adik adalah Ahmad Mustaqim dari keluarga Cina kacukan Baba Nyonya di Melaka. Disini adik ingin menulis pandangan adik sebagai seorang muallaf Muslim yang baru berusia seminggu terhadap Islam di Malaysia.

Islam Hari Ini

Adik di sini tertarik terhadap Islam bukan atas kehendak pernikahan, kewangan, pangkat, darjat tetapi kebenaran. Islam memperlihatkan kebenaran, merungkaikan permasalahan, menyediakan solusi kepada setiap permasalahan. Andai kata kita tulis setiap permasalahan yang setebal dan selebar kamus, Islam sahaja dapat merungkaikan segala simpulan mati itu. Memang dari peringkat remaja adik suka sahaja memikirkan permasalahan diri dan sekeliling. Tetapi setiap kali disoalkan, tidak ada hasil di penghujungnya. Hasilnya selalu tidak elok.

Waktu remaja dahulu memang tidak faham Islam, adik percaya Islam itu terrorist. Ya, selepas kejadian 11 September2001 yang dirancang Yahudi dan sekutunya, adik memang memusuhi Islam dalam diri. Rasa menyampah yang meluap-luap apabila lihat orang Islam. Mana tidaknya, kalau baca sahaja berita dalam sebulan itu mesti ada kes-kes buruk perlilaku ustaz, datuk, ayah dan abang seperti liwat, rogol dan sumbang mahram. Waktu jadi pengawas sekolah dahulu perasaan ini cukup benci sekali melihat akhlak anak-anak muda bangsa Melayu ini, buruk sekali akhlaknya, yang si lelaki suka terjerit-jerit, ketawa terbahak-bahak, memperli, mengusik, menggatal, dengan tidak kira guru atau rakan perempuan. Suka merokok, ponteng kelas, merempit, menconteng, membuli dan lain perkara yang adik malas nak memikirnya disini. Yang si gadis pun lebih kurang, ada di antara kawan sekelas adik, gadis Melayu ini, kalau datang ke kelas pakaian tudungnya melabuh lebih besar tutupannya berbanding akan sekelas kawan yang lain. Adik berbisik dalam hati, mesti baik gadis perempuan ini. Tetapi alangkah terkejutnya Ya Allah apabila kawan-kawan Melayu adik kata dia melakukan zina dengan teman lelakinya malah sempat merakamkan aksi mereka. Bertambah jauh hati dengan Islam, memang dah rasa menyampah ditambah lagi siraman cuka.

Sampai adik selalu memperli bangsa Melayu dangan kawan-kawan Cina yang lain. Kalau ada pembasmi atau vakum yang kuat kita sedutkan keluar sahaja parasit-parasit ini! Kata saya kepada mereka.

Mana tidaknya, sudahlah bangsa subsidi, senang sahaja mendapat bantuan kerajaan. Manakala bangsa Cina susah-payah cari makan dan kerajaan yang bias selalu menangkan orang-orangnya. Biar dapat berpuluh-puluh A dalam SPM pun belum tentu dapat JPA scholarship. Tetapi anak Melayu takda A tapi guna khidmat ‘orang dalam’ pasti dapat tempat. Kebanyakan kami anak-anak bangsa Cina sudah dididik bencikan bangsa Melayu sejak kami kecil lagi. Kalau nak kawan dengan anak Melayu, ibu adik selalu bantai dengan ranting pokok kecil sehingga adik tak berani nak berkawan dengan mereka. Kalau ke sekolah, ibu akan nasihat jangan kawan dengan budak Melayu. Didikan ibu adik sebenarnya amat memberi kesan yang mendalam ke peringkat remaja. Seperti dalam filem perisikan Hollywood, adik di-brainwash. Adik sebenarnya anti-Melayu jadi secara automatiknya anti-Islam kerana bagi adik Melayu=Islam.

Waktu inilah adik sangat-sangat menyanjungi para sarjana barat, cara hidup Barat, malah banyak buku-buku motivasi sekular barat ini adik baca dan amalkan. Semua harus mengamalkan dasar pandang ke Barat kerana segala-gala keperluan ada di sana. Fasiliti yang baik, bangunan yang canggih, pendidikan yang melahirkan individu yang bagus personalitinya dan bermacam kebaikan yang nampak sahaja baik. Pada waktu itu fahaman atheism dan –isme2 yang lain mudah diterima. Adik waktu itu belum kenal Abuya lagi.

Allah SWT yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang serta Maha Bijaksana dan Maha Perancang. Allah SWT mengaturkan hidup hati ini berkecelaruan, resah, adik mengalami sepertimana sarjana Barat hebohkan masalah personality, Inferiority Complex. Satu penyakit jiwa yang sukar diubati dan lebih perit dari penyakit fizikal.

Adik dari keluarga yang sederhana, rupa yang sederhana, kebijaksanaan yang sederhana, motivasi diri yang sederhana, keinginan dunia yang kuat menyebabkan adik selalu sahaja risau masa depan untuk bersaing dengan pemuda yang lain. Ombak dalam hati bergelora setiap hari, risau amat sangat. Sebab itu adik suka membaca, asyik sahaja ke Popular dan MPH bookstores untuk mencari buku motivasi.

Buku motivasi Islam pun adik ada selakkan, seperti Ust K (maaf lupa namanya) – (mungkin Fadhilah Kamsah?- Heliconia) yang cukup popular,adik percaya para pembaca kenal Ustaz cari makan ini yang selalu muncul di radio dan TV yang suka memberi ceramah motivasi disana-sini. Bagi adik pada waktu itu, cara Ustaz ini tidak sesuai dengan kehendak adik yang amat inginkan dunia, semenjak itu adik tidak lihat lagi buku-buku motivasi Islam. Walaupun adik telah memeluk Islam, masih tidak ingin membacanya dan sarankan kawan-kawan samaada yang muallaf atau mukallaf tidak perlu membazir waktu dan wang ringgit mengkayakan mereka. Ini adalah sebab-sebabnya:
1. Sebahagian buku motivasi yang mereka terbitkan tidak mengajak manusia mengejar cinta Allah SWT dan mengenali Rasullulah SAW dan mencintai sunnahnya, mereka mengguna pakai kandungan Al-Quran dan Hadis untuk tujuan keduniaan dan kepentingan diri. Ia amat mengelirukan untuk pengamalan samaada yang mencari dunia mahupun akhirat.
2. Tidak memberi rasa kehambaan kepada pembaca dan kurang mengharapkan bantuan Allah SWT. Mencampurkan fahaman sekular seperti fahaman individualism dalam mendidik pembaca. Sangat jauh sekali dengan cara didikan Rasullulah SAW.
3. Manakala buku-buku yang memperkenalkan Islam pula amat mengelirukan dan sukar difahami cara penyampainya. Gemar membicarakan syariat Islam dan kesahihan hadith-hadith.

Ampun maaf atas pandangan adik ini.

Setelah begitu lama mencari-cari buku-buku yang sesuai untuk diamalkan dalam kehidupan , akhirnya atas takdir Allah SWT, adik berkenalan dengan seorang abang yang sudah lama mengikuti perkembangan Abuya semenjak tahun 90-an. Disebabkan sifat banyak bertanya dan ingin tahu mengenai Islam, beliau meminjamkan adik buku Abuya yang pertama adik baca “Inilah Pandanganku”. Pandangan Abuya mengenai umat Islam akhir zaman yang semakin hari semakin kacau-bilau kehidupan mereka. Abuya memberikan sebab-sebabnya berserta hadith Rasullulah SAW akan penyakit wahan yang melanda hati umatnya.


Pandangan beliau cukup ringkas dan mudah difahami kerana banyak memberi contoh yang praktikal. Umat Islam hari ini dipandang begitu hina sekali kerana mengamalkan Islam tanpa merasai kewujudan Allah SWT, tanpa cinta kepada Rasullulah SAW. Syariat lahir seperti sembahyang, zakat, haji, puasa, khatam Al-Quran semuannya dibuat tetapi akhlaknya masya-Allah. Sikap sombong, kedekut, dengki, hasad, dan berbagai mazmunah menguasai diri. Orang lain lihat pun menyampah, tidak mesra, jumpa orang tidak tahu senyum, tidak mahu belajar membetulkan diri. Akhlak paderi lebih cantik daripada para ulama.

(Tidak hairanlah kalau bangsa Cina di Malaysia lebih tertarik kepada Kristian dan ramai Muslim yang murtad!). Abuya kata lagi, kalau hendak beramalkan mesti ada modelnya tak boleh syok sendiri. Mesti ikut cara Rasullulah SAW. Ditambah dengan pemimpin yang bertaqwa dan guru yang mursyid sebagai pemimpin. Tetapi di akhir zaman ini, guru mursyid tinggal bilangan jari, haruslah cari mujaddid Allah yang dijanjikan setiap seratus tahun. Islam tidak dipebaharui tetapi diperhalusi dan diperkemasi lagi mengikut perkembangan zaman. Sebab itu ada para ulama hari ini masih lagi ketinggalan zaman, ikut cara lama ahli-ahli sufi di zaman salafusolleh. Hasilnya, dia sahaja yang selamat masyarakat sendiri terbiar, Islamnya tidak syumul, tidak membawa kemajuan. Itu bukanlah Islam yang dibawa Rasullulah SAW. Tidak salah mengikuti cara sufi, tetapi harus kita tahu, zaman salafusoleh, masyrakatnya masih baik-baik, masih cinta Allah dan Rasul, perkembangan ilmu Islam amat pesat begitu juga dengan teknologi lahir dan batinnya. Jadi tidak salah mereka hendak membawa diri jauh dari masyarakat kerana kewajipan fardu kifayah sudah dipenuhi.

Tetapi kalau kita lihat masyrakat Islam hari ini, kicap di dapur pun masih ciptaan orang kafir, pendidikan sekular yang membawa ke neraka, hiburan yang merosakkan fitrah. Jadi bolehkah kita menggunakan tafsiran para ulama besar zaman dahulu bulat-bulat tanpa pembaiki daripada orang pilihanNya? Jadi tidak salah kalau seorang mukmin cuba berusaha membuat kilang sos, sistem pendidikan Rasullulah SAW, dan perkampungan sendiri. Ada perkampungan maknanya ada perjuangan daripada Jemaah yang sehaluan, dari kampung kepada negeri kemudian kepada Negara kemudian ke rantau setempat dan barulah seluruh dunia.

Pandangan Abuya itu cukup bijak sekali, Islam tidak membawa kehinaan, tetapi bergantung kepada pengamalnya. Kalau sempurna pengamalnya dari segi batin dan rohani maka cantiklah akhlaknya dengan Allah dan manusia. Terbuka pintu adik sedikit kepada cahaya Islam. Seterusnya adik meneruskan pembacaan adik kepada persoalan hukum hudud yang ditulis Abuya juga.

No comments:

Post a Comment