Thursday, March 15, 2012

Wang! wang! wang!


....

Madah Abuya :
Bagaimana nak selesaikan masalah wang?

Akal jawab, ” Berhutanglah”.

Tapi roh kata, ”Tidak ! ambillah taqwa sebagai jalan.”


Di akhir Zaman Wang Jadi Ukuran

DI AKHIR zaman wang ringgit atau kekayaan
menjadi ukuran
Mulia atau hormat seseorang itu
jika ada duit atau kekayaan
Hafaz Quran, hafaz Hadis, banyak ilmu
tidak akan dipandang orang
Kalau seseorang itu tidak ada duit,
tidak ada kekayaan
Ada duit, ada kekayaan banyak kawan,
belum tentu sayang
Tidak ada duit, tidak ada kekayaan,
kawan hilang dan dihina orang
Sanak-saudara tidak peduli,
keluarga pun pandang serong
Anak isteri pun tidak hormat,
silap sedikit mereka meradang
Ada duit, ada kekayaan adalah saudara,
banyaklah kawan
Apabila miskin papa di tengah ramai,
hidup keseorangan
Orang mengata, orang menghina,
di mana pergi dicemek orang
Isteri boleh lari, anak-anak akan benci,
kawan-kawan tidak peduli
Seseorang yang sedang disanjung,
tiba-tiba miskin, kawan-kawan lari
Sedikit sahaja yang silap,
orang hamun, orang maki
Kalau tidak sabar mahu cabut lari,
hidup bersendiri
Jika iman lemah, sakit jiwa susah hati
Begitulah duit atau kekayaan
di dalam kehidupan menjadi tuan
Sesetengah orang duit dan kekayaan
menjadi tuhan, sekalipun tidak dipanggil tuhan
Ada duit, ada kekayaan dihormat orang,
walaupun tidak sembahyang
Kalau dia menjadi calon di dalam pilihan raya
mudah menang
Apabila ada kekayaan, di dalam keluarga,
dialah yang paling disayang
Di tengah masyarakat ramai
dialah dipandang orang atau dihormat orang
Di dalam kumpulan kawan-kawan,
dialah selalu diziarah orang
Tapi apabila jatuh miskin
semuanya habis menghilang

Abuya
11.53 malam
25 – 05 – 1997(17 Muharam 1418)

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Menyebut perkataan ‘wang’, pasti semua orang akan tersenyum dan hati akan rasa berbunga-bunga bahagia. Apalagi kalau wang sudah ada di tangan atau di dalam poket. Orang yang punya wang akan merasa seolah-olah dia sudah beroleh semangat atau kuasa untuk mendapat apa yang dihajatinya. Bahkan sesetengah orang menjadikan wang sebagai matlamat hidupnya kerana dengan adanya wang, di dalam kotak fikirannya akan terus tergambar segala keperluan hidupnya yang boleh dibeli. Makanan, pakaian, pendidikan, hiburan, perkhidmatan dan lain-lain. Apabila membayangkan segala kemudahan hidup yang boleh datang dengan adanya wang itulah, maka sesiapa sahaja yang memperoleh wang akan tersenyum lega dan puas. Lebih-lebih lagi setelah wang yang diharap boleh membantunya itu diperoleh setelah bertungkus lumus dengan segala macam kepayahan, mengerah tenaga dan keringat serta memerah otak.

Wang seolah-olah menjadi ‘raja’ sehinggakan manusia yang hanya mengenal wang sebagai penyelesai masalah hidupnya menjadi lupa kepada Tuhan. Hati dan akal manusia yang hanya digunakan untuk memikirkan bagaimana untuk mendapat wang akan menjadi jauh dari Tuhan, bahkan Tuhan tidak lagi menjadi tempat untuk mengadu dan memohon pertolongan. Sedangkan Tuhan yang menciptakannya itu Maha Kaya. Dengan sifat arRahim dan arRahman Tuhan itulah setiap makhluk mendapat segala macam nikmat yang ada padanya. Bukankah wang yang menjadi idaman dan kegilaan manusia itu juga, Tuhanlah yang mendatangkannya melalui tangan-tangan manusia yang digerakkan oleh Tuhan jua.

Lihatlah kehidupan seekor anjing sekalipun, adakah ia memerlukan wang untuk mendapat makanan bagi meneruskan kehidupan? Adakah kita, manusia yang dianugerahkan akal oleh Tuhan, tidak mampu untuk menjadi lebih mulia daripada seekor anjing yang sangat bertawakkal dengan Tuhan untuk menyelesaikan segala masalah hidupnya.

Apakah bukti wang membawa bahagia dalam kehidupan yang boleh membuat semua manusia tersenyum bila mendapatnya? Sedangkan di hadapan mata kita sekarang, dunia menjadi sangat huru-hara dan kacau-bilau kerana manusia menjadi tamak, dengki dan bergaduh sehingga sanggup membunuh bukan sahaja orang lain bahkan mengugut dan membunuh ibu bapa sendiri. Kerana wang, manusia menipu, rasuah, berjudi, memalsukan wang, memeras, menghina orang, menindas dan menzalimi orang lain. Kerana wang juga manusia sanggup memperdagangkan kecantikan bahkan memperdagangkan dan memperalatkan orang lain.

Kalau begitu, wang bukanlah penyelesai masalah. Wang bukan nikmat. Lebih-lebih lagilah WANG BUKAN MATLAMAT HIDUP.

BERITA: 04 Januari 2012 22:47 PM

IIB Komited Bekerjasama Dengan Siasatan Antirasuah Yang Sedang Berjalan

KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) — Iskandar Investment Berhad (IIB) menyatakan komitmennya untuk bekerjasama dan menyumbang secara proaktif terhadap siasatan antirasuah yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.

Dalam satu kenyataannya, IIB berkata tindakan dan dakwaan yang dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan bekas kakitangannya, syarikat dan individu lain yang berkaitan, adalah berikutan laporan polis yang dibuat oleh lembaga IIB pada 4 April, 2011.

Katanya, laporan polis itu mengandungi pendedahan penuh keputusan lembaga IIB dan Ernst & Young berikutan kepada penyelewengan serius membabitkan sejumlah bekas anggota pengurusan kanan IIB dan pihak-pihak berkaitan.

Sebelum laporan polis dibuat, IIB telah melantik firma perunding dan perakauanan, Ernst & Young pada Jun 2010, sebagai sebahagian daripada fungsi pengawasan fidusiari, untuk mengadakan kajian penilaian kawalan dalaman, kata kenyataan itu.

Hasil semakan semula kajian awal itu menunjukkan beberapa penyelewengan dan ketidakpatuhan dalam prosesan utama terutama dalam pemerolehan tender yang menimbulkan tanda tanya berkenaan piawaian kepada keseluruhan urustadbir, katanya.

Berikutan kajian awal, sebuah Jawatankuasa Khas Lembaga Siasatan, terdiri daripada wakil tiga pemegang saham — Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor — ditubuhkan pada Okt 2010 untuk membuat susulan dengan lebih banyak kajian dan siasatan terperinci.

Pada 4 April 2011, lembaga khas itu sebulat suara bersetuju berhubung keputusan laporan dan memutuskan untuk membuat pendedahan penuh laporan itu kepada polis dan pihak berkuasa berkaitan.

Ia menjelaskan pendedahan itu dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan lebih banyak siasatan terperinci dan menentukan implikasi keputusan itu, kebersalahan mereka yang terlibat dan sama ada terdapat implikasi jenayah.

– BERNAMA

( Iskandar Investment Berhad (IIB) : Bekas CEO / Managing Director adalah Puan Arlida Ariff, beliau adalah bekas pelajar Kolej Tunku Kurshiah.)

Daripada berita di atas, jelas menunjukkan kerosakan masyarakat yang berlaku akibat gilakan wang. Manusia sanggup lakukan apa sahaja demi mendapatkan wang yang banyak dengan cara yang mudah.


Pautan : Buletin NURMUHAMMAD

No comments:

Post a Comment