Friday, February 21, 2014

BANGSA BARU MEMBANGUN BERMODALKAN ALLAH



"Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga "Adn". Itulah kemenangan yang besar. Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman. 

(As-Saf:10-13).

Orang Melayu jika ingin mengambil giliran menerajui empayar dunia atas nama Islam mestilah mempersiapkan diri dari sekarang.

Melayu Baru yang menyalin kekuatan para sahabat yang berjaya dididik oleh Rasulullah menjadi bangsa yang disegani. Sejarah menceritakan bagaimana Rasulullah berjaya menukar kaum Arab Badwi yang tidak tahu membaca dan menulis muncul sebagai kuasa baru menerajui empayar dunia Islam kali pertama seribu lima ratus tahun dahulu. Rasulullah hanya mengambil masa dua puluh tiga tahun memproses para sahabat dengan memasukkan ke dalam hati-hati mereka takut dan cintakan Tuhan dan berkasih sayang sesama insan. Maka muncullah dari celah celah padang pasir, disebalik pohon kurma atau tamar, dikalangan pengembala pengembala kambing yang asalnya jahil dan ganas bertukar menjadi etnik baru yang mulia dan berwibawa menerajui empayar Islam hingga menjangkau seluas tiga perempat dunia.

Kita cukup yakin kebangkitan kali kedua adalah milik bangsa Melayu Islam, satu bangsa yang Tuhan simpin untuk dipersiapkan bagi menerajui kebangkitan kali kedua ini. Melayu perlu merebut tawaran besar ini. Jangan dipandang kecil dan dipersiakan peluang ini.  Tuhan hanya tawarkan sekali seumur dunia dan ini adalah hadiah cukup bermakna buat umat dizaman ini. Moga moga janji Tuhan ini menjadi pemangkin untuk kita persiapkan diri menerajui empayar dunia baru Islam kali kedua ini, insya Allah.

Dulunya adalah bangsa yang suka berperang dan membunuh anak perempuan sendiri berubah menjadi bangsa yang suka membela, berkhidmat dan memartabatkan wanita. Melahirkan tokoh yang berbuat baik kepada orang yang buat jahat keatasnya.

Bangsa baru yang berjaya dilahirkan oleh Rasulullah yang menjadikan Allah SWT adalah modal kebangkitan Islam.

Kebangkitan Islam yang pertama ditangan Rasulullah SAW dan para sahabat, Islam terbangun dengan Allah SWT sebagai Pemodal. Tidak pernah ada sejarah Islam dapat bangkit selain Allah sebagai Pemodal.  Selama ini kita tersalah kalau beranggapan bahwa orang kaya sebagai pemodal.  Kalau kita ingin menjadi Melayu baru yang dapat mengulangi sejarah kebangkitan pertama saperti apa yang telah dilakukan oleh para sahabat bersama Rasulullah dalam kebangkitan tersebut.  Maka kita kena menggunakan modal yang sama iaitu cinta dan takutkan Tuhan inilah yang dimaksudkan bermodalkan Allah.

Kebangkitan yang pertama Bangsa Arab bermodalkan Tuhan dan Islam.  Mereka dari bangsa yang lemah menjadi kuat dan berdaulat. Asalnya bangsa yang tidak bertamadun menjadi bangsa yang bermaruah dan berakhlak. Menjadi bangsa yang mulia dan guru pada dunia.  Akhirnya Tuhan serahkan empayar dunia ditangan mereka.

Begitulah yang telah Tuhan lakukan untuk mereka. Hakikatnya, tidak akan terjadi kebangkitan Islam seandainya kita mendapatkan wang dari orang kaya kemudian kita tidak mengatakan bahwa wang itu ialah dari Allah. Justeru itu orang kaya kalau hendak berperanan serta dalam kebangkitan Islam, atau ingin selamat dari api neraka, pilihlah untuk membela Islam.

Seperti juga halnya orang bijak dan orang pandai menggunakan kepandaian untuk kebangkitan Islam dan juga orang miskin menggunakan tenaga untuk kebangkitan Islam.

Setiap orang diberikan peluang dan peranannya masing-masing oleh Allah SWT sesuai dengan kemampuannya. Bukan dilihat dari sudut pandang sebagai pemodal atau apa, tetapi kita harus melihat bahwa ini semua untuk menyelamatkan diri dari api neraka.

Pemodalnya tetap Allah, sebab itu Islam bukan terbangun atas nama orang kaya,  orang pandai atau orang bijak, tapi Islam terbangun atas nama Allah, Islam terbangun atas nama Rasulullah SAW sebagai utusan Allah dan pengurus bank Tuhan, anak kunci emas yang diciptakan Allah untuk pengeluaran wang dari Allah untuk modal kebangkitan Islam.

No comments: