Thursday, April 12, 2012

Rakyat Malaysia perlu jadi perkasa dan dinamik: Tuanku Abdul Halim


KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah rakyat Malaysia perlu menjadi warga yang perkasa dan dinamik bagi memastikan negara mencapai status negara maju menjelang 2020.

"Bukan sahaja tinggi penguasaan ilmu pengetahuan dan kemahiran tetapi juga tinggi nilai akhlak, moral dan etikanya," titah baginda pada Istiadat Pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 di Istana Negara hari ini.

Istiadat kali ini melakar sejarah penting bagi Seri Paduka Baginda kerana ini adalah kali kedua baginda ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong, selain adalah Yang di-Pertuan Agong pertama yang ditabalkan di Istana Negara baharu di Jalan Duta di sini.

Tuanku Abdul Halim dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima pada 1970 semasa berusia 42 tahun dan kini empat dekad kemudian, baginda ditabalkan sekali lagi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada usia 84.

Seri Paduka bertitah: "Negara tidak akan maju jika rakyatnya tidak berilmu dan kemajuan pula tidak bererti jika nilai-nilai yang positif diketepikan oleh penghuninya."

Titah baginda, tidak ada negara di dunia ini yang mampu mencapai kemajuan dan mencipta kejayaan dengan hanya bergantung kepada inisiatif kerajaan semata-mata tanpa sokongan dan peranan yang dimainkan rakyat.

"Maka jadilah insan yang mulia sebagaimana yang dituntut oleh agama, iaitu insan yang berilmu dan berpekerti mulia serta sedar dan patuh terhadap tanggungjawabnya kepada negara," titah baginda.

Tuanku Abdul Halim bertitah rakyat negara bukan sahaja ingin menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju pada tahun 2020 tetapi terus menjadikan negara ini kekal maju dan dihormati dunia.

"Persaingan global yang perlu dihadapi hari ini begitu kompetitif dan serba mencabar. Justeru, setiap dari rakyat Malaysia perlu bersedia untuk menggalas tanggungjawab dan melaksanakan peranan masing-masing dengan sepenuh hati," titah baginda.

Baginda juga menyeru seluruh rakyat supaya bersatu padu, berganding bahu dan bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi memastikan negara terus maju, aman dan harmoni.

"Perkukuhkah diri dan pikullah tanggungjawab kita sebagai warga yang benar-benar cintakan tanah air. Sesungguhnya Malaysia adalah hak, lambang maruah dan kedaulatan bersama. Untuk itu, masa depan negara kita haruslah dicorak dan diadun oleh kita semua," titah baginda.

"Kemajuan daripada segi kebendaan sahaja belum cukup untuk menjadikan kita satu bangsa yang kuat. Kita perlu menjaga dan mengamalkan ciri-ciri hidup masyarakat yang berbudi bahasa.

"Kemajuan fizikal yang diimbangi dengan nilai hidup berbudi bahasa akan mengangkat tamadun bangsa, menjulang agama dan negara. Beta menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menjaga tatasusila dan ciri-ciri hidup ketimuran yang sekian lama telah diamalkan selama ini," titah baginda.

Menyentuh mengenai kepimpinan negara dan pertabalannya sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua, baginda bertitah: " Sesungguhnya juga, setelah lebih empat dekad berlalu seperti yang sudah dipertentukan oleh Yang Maha Kuasa, dan tertulis dengan kehendak-Nya jua, pemerintahan Beta pada kali dahulu dan kali kedua ini, berpeluang menerima khidmat daripada dua Perdana Menteri yang mempunyai pertalian darah.

"Pertamanya semasa zaman pentadbiran Allahyarham Tun Abdul Razak. Kini pula pada kala tampuk kerajaan di bawah pimpinan anakandanya, yakni Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak," titah baginda.

Baginda bertitah rakyat negara ini perlu bersyukur kerana negara sejak dahulu sehingga hari ini mengecap nikmat kemakmuran disebabkan adanya kesinambungan pimpinan kerajaan yang berhemah, cekap lagi berwawasan.

"Begitulah juga kita bertuah kerana rakyat daripada pelbagai latar belakang kehidupan, bangsa dan agama, dapat kekal hidup rukun damai," katanya.

Tuanku Abdul Halim juga bersyukur kerana dapat menyaksikan kemajuan negara ini dan menyedarkan baginda betapa bertuahnya Malaysia dan rakyatnya yang sentiasa dilimpahi rahmat kejayaan, walaupun dunia keliling dilanda pelbagai kemelut politik dan ekonomi.

Baginda bertitah kesejahteraan hidup yang dinikmati ini "bukanlah datang secara bergolek. Ia pastinya telah direncana, disusun dan dilaksanakan oleh kerajaan dengan usaha begitu gigih daripada kepimpinan lalu kepada kepimpinan semasa."

Tuanku Abdul Halim bertitah falsafah utama kerajaan yang berlandaskan gagasan 1Malaysia 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' amat sesuai pada saat yang mencabar ini kerana untuk mengurus sebuah negara yang kompleks seperti Malaysia memerlukan kerjasama semua pihak.

"Paling utama harus ada kesefahaman di setiap lapisan dan kelompok (masyarakat)," titah baginda.

No comments: