Friday, July 13, 2012

Kebenaran TERBUKTI : Putra Bani Tamim :Asma Ul Husna

Pada usia sekitar 11 tahun sewaktu alam persekolahan peringkat rendah (1978) mula di perkenalkan dengan Jemaah Al-Arqam oleh rakan sekolah iaitu Ustaz Zawawi. Masih segar dalam ingatan waktu itu peluang mendapat kaset Asma Ul Husna yang di keluarkan oleh Jemaah Al-Arqam.


Amat tersentuh dihati dan sentiasa mendengar. Inilah satu permulaan mula tertarik dengan Jemaah Al-Arqam di zaman kanak-kanak.

Berhiburlah dengan Jiwa

Inginkan hiburan adalah fitrah semula jadi manusia
Kerana ia adalah makanan batin manusia
untuk kebahagiaannya
Tidak ada hiburan batin
manusia kelaparan dan terasa kekosongan
Tidak ada hiburan
jangka panjang amatlah bahayanya
Tapi kalau salah cara berhibur, ia lebih lagi merbahaya
Boleh rosak jiwa
Buahnya merosakkan pula akhlak diri
dan manusia lainnya
Jika rosak akhlak
ia rosak-merosakkan pula sesama manusia
Kalau sudah rosak-merosakkan akhlak
masyarakat manusia akan jadi huru-hara
Oleh itu berhati-hatilah mencari hiburan
agar kehidupan manusia dapat dijaga
dengan mulianya
Kalau tidak, manusia yang akan menerima padahnya
Hiburan ertinya hendak mencari kepuasan batin manusia
Sama ada kepuasan akal, kepuasan nafsu
mahupun kepuasan roh atau jiwanya
Tuhan hanya membenarkan
mencari kepuasan akal dan kepuasan jiwanya
Kepuasan nafsu walaupun ia hiburan
tapi diharamkan kerana bahayanya
Kecuali hiburan nafsu didisiplinkan oleh syariat Tuhan
di dalam kehidupannya
Hiburan akal adalah mencari ilmu
melalui membaca, menyelidik dan lain-lainnya
Sama ada ilmu yang wajib mahupun ilmu yang sunat
yang diharuskan dibolehkan juga
Berhibur dengan ilmu boleh jemu
dan boleh meletihkan akal manusia
Hiburannya yang berterusan selepas ada ilmu
ia boleh menjadi panduan di dalam kehidupan
Panduan itu adalah juga hiburan
di dalam kehidupan manusia
Kerana ia boleh menyenangkan kita
di dalam berusaha dan tindakan bekerja
Hiburan menurut akal
walaupun termasuk kepuasan batin manusia
tapi ia masih belum dikatakan hiburan yang hakiki
mengikut Tuhan pencipta
Hiburan cara akal walaupun dibolehkan
hiburan akal tidak mampu membendung hati
daripada mendapat ujian dan kesusahan
di dalam kehidupan
Kalau ada bala berat yang menimpa
cita-cita yang gagal, mendapat kesusahan
selalu sahaja jiwa derita
Dia akan gelisah, kecewa, mungkin putus asa
Tidak hairanlah orang yang banyak ilmu,
bijak dan pandai, tapi sakit jiwa
Bahkan ada juga di kalangan mereka
membunuh diri kerana kecewa
Hiburan mengikut nafsu ia adalah diharamkan
kecuali yang disyariatkan
Kerana bahayanya dahsyat di dalam kehidupan insan
Akhlak manusia rosak
masyarakat manusia huru-hara
menggugat keamanan
Hiburan nafsu amatlah banyaknya
Seperti melihat perempuan atau gambarnya
terutama yang terdedah auratnya
Pakaian yang menjolok mata
yang merangsang nafsu manusia
Melihat filem-filem lucah
yang memberangsang nafsu, merosakkan jiwa
Menonton tarian gelek daripada perempuan-perempuan
yang menggoyangkan badannya
Semuanya itu boleh menyuburkan nafsu jahat
yang membawa perzinaan dan perogolan
Yang merosakkan keturunan, merosakkan rumah
tangga dan membawa pergaduhan
Hiburan mengikut nafsu pada hakikatnya bukan
hiburan
Di dalam hiburannya ada racun kepada jiwa manusia
Kerana ia membawa kerisauan, membawa angan-angan
fikiran kacau tidak keruan
Membawa fikiran tidak tenang
selagi kemahuan tidak ditunaikannya
Akhirnya tidak dapat cara halal
dilakukan secara haram yang dilaknat Tuhan
Ia membawa pula cemburu-mencemburui,
benci-membenci, hasad dengki, rebut-merebutkan
Akhirnya buahnya adalah perbalahan
dan pergaduhan, kemuncaknya pembunuhan
Hiburan mengikut nafsu itulah
yang telah memusnahkan kehidupan di dunia
Berbagai-bagai gejala masyarakat berlaku kerananya
Hilang keamanan, hilang ketenangan
Yang ada, kebimbangan dan ketakutan
Negara susah, rakyat parah, tergugat keselamatan
Termasuk juga hiburan nafsu melihat atau mendengar
lawak jenaka yang keterlaluan
Melihat atau mendengar ahli-ahli lawak
bercakap tidak keruan
Gelak ketawa terbahak-bahak yang memalukan
Bercakap terlolong-lolong
Adakalanya perkataan mencarut
Tanpa segan silunya diucapkan
Pelawak-pelawak jiwanya akan mati
dan mematikan jiwa para pendengarnya
atau ‘client’nya
Jiwa yang mati lupa Tuhan
Jiwa yang mati lupakan mati
Jiwa yang mati lupa Hari Pembalasan
Jiwa yang mati ia selalu lalai dengan Tuhannya
Lalai adalah dibenci Tuhan
Hiburan yang hakiki adalah hiburan jiwa atau hati
Hiburan hati sebenarnya banyak sudut
dan banyak bidangnya kalau diperhati
Membaca Al Quran atau mendengar bacaannya
yang dihayati menembusi lubuk hati
adalah salah satu caranya
Mengingati Tuhan hingga terasa kasih sayang-Nya
terasa kebesaran-Nya, terasa kuasa-Nya
Itu semuanya boleh membawa ketenangan jiwa
Ketenangan jiwa adalah hiburan
Takutkan Tuhan sebenarnya ada perkara yang tersirat
iaitu hiburan
Takutkan Tuhan menjadikan tidak takut
dengan kesusahan kehidupan
Tidak takut dengan kesusahan dan cabaran kehidupan,
di situ ada hiburan
Tidak takut selain Tuhan itu adalah hiburan
kalau difikirkan
Ketakutan selain Tuhan itu adalah membunuh hiburan
di dalam jiwa manusia
Kerana itulah Tuhan berkata yang bermaksud:
“Ketahuilah, ingatkan Tuhan itu
menenangkan jiwa.”
Jiwa tenang itu adalah hiburan yang tidak perasan
Termasuk juga hiburan jiwa
mendengar nasyid-nasyid yang merdu dan syahdu
Senikatanya pula yang menusuk jiwa
Seperti memuji-muji Tuhan, keampunan Tuhan,
nikmat dan rahmat Tuhan kepada insan
Termasuk memperdengarkan kasih sayang Tuhan, penjaga dan penyelamat insan
Kasihkan Tuhan juga hiburan kalau dihayati oleh jiwa
Kasihkan Tuhan adalah rahsia
kasih sesama manusia atau insan
Kasih sesama manusia adalah saluran hiburan
bagi jiwa
Kasihkan manusia terhibur membantunya
terhibur menziarahinya, terhibur menolongnya
Seterusnya terhibur memaafkannya,
terhibur memberi maaf kepadanya
Rupanya jiwa terhibur
boleh menghiburkan jiwa manusia
Ketenangan jiwa itulah hiburan yang tersembunyi
di dalam jiwa
Orang berhibur bukankah hendak menenangkan
dan menyenangkan jiwa?
Takutkan Tuhan menghilangkan takut selain-Nya
Tidak takut lagi dengan kesusahan-kesusahan dunia
Tidak takut dengan kesusahan dunia itu
adalah hiburan yang tersembunyi pada manusia
Rasa susah dengan kesusahan dunia
jiwa tidak tenang, hilanglah hiburan
Takutkan Tuhan sahaja menghilangkan takut
dengan kesusahan dunia
Bukankah itu hiburan?
Sebagai menutup intipati
Hiburan manusia ada tiga bahagian:
Hiburan akal, hiburan nafsu, hiburan jiwa
Ketahanan manusia adalah hiburan jiwanya
Ketahanan jiwa itulah jati diri manusia
Hiburan akal dan nafsu merapuhkan kekuatan jiwa
Jiwa yang rapuh tidak tahan berhadapan
dengan ujian dunia
Carilah hiburan, untuk kepuasan dan kekuatan jiwa
Kepuasan dan kekuatan jiwa
itulah ketahanan diri manusia
Orang yang selalu menghiburkan nafsunya
ketahanan jiwa tidak ada
Tidak boleh teruji dengan kesusahan,
dengan cabaran dan dengan kegagalan
Apatah lagi ujian-ujian itu besar
dan berat ditanggung oleh jiwa
Jiwa pun gelisah, resah, derita, terseksa,
kecewa dan putus asa
Kerana itulah penghibur-penghibur nafsu
selalu sakit jiwa
Penghibur-penghibur nafsu banyak yang hidup kecewa
Penghibur-penghibur nafsu ramai yang putus asa
Mereka-mereka itu ada yang membunuh diri
padahal mereka terkenal dan popular
Penghibur-penghibur nafsu
ramai yang rumah tangganya porak-peranda
Mereka bercerai-berai perkara biasa,
sudah jadi budaya
Masih umur muda sudah jadi janda
Ini bukan hendak mengata
ia adalah realiti kehidupan sebahagian mereka
Berhiburlah, ia bukanlah salah
Tapi berhiburlah dengan jiwa
Berhibur dengan jiwa mendapat untung dua perkara
hiburan dan pahala
Menjelang tidur 
Artikel ini adalah bagian dari buku Pendidikan Rapat Dengan Rohaniah Manusia yang berisi buah fikiran dan ilham dari Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi
Pendidikan Rapat Dengan Rohaniah Manusia karangan Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi

No comments: