Monday, June 6, 2011

Pemerintahan Kuku Besi (Diktator)

Daripada Huzaifah RA katanya, telah bersabda Nabi SAW,

“Berlindunglah kamu semua daripada raja-raja yang bersifat kuku besi. Kenapa mereka membunuh dan membuatkan orang-orang yang beriman merasa takut sedangkan mereka telah mentaatinya? Dan para mukmin ini telah disakiti dengan lidah dan ditanggung sahaja oleh hati mereka. Apabila Allah berkehendak mengembalikan semula Islam, Dia akan memusnahkan setiap pemerintah yang zalim. Dia amat berkuasa melakukan apa sahaja dan mampu pula mengubah sesuatu bangsa selepas kejatuhannya. Wahai Huzaifah, kalaulah tidak tinggal umur dunia melainkan sehari sahaja, Allah pasti akan memanjangkan hari itu sehingga seorang lelaki dari ahli keluargaku naik memerintah dan Malhamatul Uzma berlaku semasa pemerintahannya, dan agama Islam akan tersebar luas. Allah tidak pernah memungkiri janji-Nya dan hisab-Nya amat cepat.”

Daripada hadis yang diriwayatkan oleh Huzaifah RA ini, beberapa perkara penting dapat kita ambil pemgajaran dan penghayatan daripadanya, antaranya:

  1. Berlindung daripada pemerintah yang bersifat kuku besi. Elakkan diri daripada tinggal di kawasan yang paling dekat dengan tempat tinggal pemerintah. Ini kerana ditakuti kita akan terkena apa-apa kesusahan daripadanya. Jika dirasakan selamat, bolehlah tinggal di kawasan mana pun.
  2. Berlindung juga bermaksud jangan menghampiri mana-mana pemerintah dengan harapan akan terselamat daripada gangguan dan kezalimannya.
  3. Berlindung diri juga bermaksud jangan bersubahat dengan mana-mana pemerintah dalam urusan pentadbiran yang dijalankannya. Kelak kita akan turut bersubahat dengan pemerintah itu.
  4. Berlindung diri juga bermaksud tidak peduli apa-apa yang dilakukannya, jika apa yang dibuatnya itu zalim pada sisi agama. Biarlah dia dengan kezaliman yang dilakukannya, jangan pula kita tumpang sama berlaku zalim dengan cara memburuk-burukkannya di khalayak rakyat ramai, yang sebelum ini tidak tahu-menahu akan hal itu pernah dan telah dilakukan oleh pemerintah mereka. Perbuatan sebegini adalah juga suatu perbuatan zalim iaitu berdosa kerana membuka rahsia seseorang di hadapan orang lain. Bolehkah sesuatu perbuatan zalim itu dapat dibetulkan dengan cara berlaku zalim? Jika pemerintah berbuat zalim, dapat kita terima kerana sifatnya sebagai pemerintah memang terdedah kepada berbuat zalim. Kita pula berbuat zalim sedangkan kita bukan pemerintah yang mudah berbuat zalim.
  5. Antara kezaliman yang paling berat pada sisi Allah yang dilakukan oleh pemerintah diktator ialah membunuh orang-orang yang beriman. Menyeksa orang-orang beriman juga adalah dosa yang amat besar.
  6. Sifat orang mukmin itu ialah mentaati perintah pemerintah mereka, selagi perintah itu tidak sampai menyuruh mereka berlaku zalim atau maksiat atau menderhakai Tuhan atau meninggalkan syariat yang fardhu. Jika perintah yang diberi itu berbentuk duniawi, maka wajiblah ditaati sama ada dia suka atau tidak, berfaedah atau tidak. Semakin taat seseorang itu kepada perintah pihak pemerintah, bermakna semakin kuatlah imannya kepada Allah. Sebab sifat seorang mukmin itu adalah taatkan setiap perintah yang diterimanya dari tiga pihak iaitu Allah, Rasulullah SAW dan Ulil Amri. Semuanya mesti dijalankan secara serentak.
  7. Satu lagi sifat orang mukmin ialah mereka selalu disakiti hatinya dengan lidah oleh pihak pemerintah, sedangkan mereka hanya menanggungnya jauh di dalam lubuk hati sahaja, tanpa melawan. Mereka menganggap perlakuan pihak-pihak berkenaan adalah sebagai satu kifarah terhadap dosa-dosa mereka dan jemaah mereka, atau sebagai penapis untuk menapis ahli-ahli jemaahnya yang istiqamah dengan perjuangan, atau sebagai peninggi darjat mereka pada sisi Tuhan, atau sebagai pembuktian sahih bahawa jemaah mereka adalah jemaah yang mendukung kebenaran pada zaman itu. Jemaah yang tidak selalu diuji bermakna mereka bukan jemaah yang mendukung kebenaran pada zaman itu.
  8. Pemerintah yang zalim tidak boleh dijatuhkan oleh kita, walau apa pun caranya. Perbuatan menjatuhkan pemerintah yang zalim adalah perbuatan zalim. Islam tidak boleh ditegakkan dengan cara yang zalim, kerana Islam itu bersih dan selamat. Islam hanya boleh ditegakkan dengan cara yang bersih dan aman. Pemerintah yang zalim hanya boleh dijatuhkan oleh Allah sendiri, kerana Dia yang menaikkan seseorang sebagai pemerintah, dan Dia jugalah yang lebih berhak menurunkan seseorang itu dari tampuk pemerintahan. Ingat, semakin zalim seseorang itu memerintah dan semakin banyak kezaliman yang dilakukannya, semakin cepat dia dijatuhkan oleh Allah. Oleh itu, biarkan sahajalah Si Luncai terjun dengan labu-labunya, jangan sampai kita pun sama-sama terjun setelah melihat Si Luncai itu terjun ke dalam air.

No comments: