Diriwayatkan dari Ibnu Mas’ud Radhiyallahu anhu, dia berkata, “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam ber-sabda:
لاَ تَذْهَبُ أَوْ لاَ تَنْقَضِي الدُّنْيَا حَتَّى يُمْلِكَ الْعَرَبُ رَجَلٌ مِنْ أَهْلِ بَيْتِيْ، يُوَاطِىءُ اِسْمُهُ اِسْمِيْ
"Dunia tidak akan hilang atau tidak akan lenyap hingga seseorang dari Ahlul Baitku menguasai bangsa Arab, namanya sama dengan namaku.”
Dari Abu Sa’id Al Khudri, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
الْمَهْدِىُّ مِنِّى أَجْلَى الْجَبْهَةِ أَقْنَى الأَنْفِ يَمْلأُ الأَرْضَ قِسْطًا وَعَدْلاً كَمَا مُلِئَتْ جَوْرًا وَظُلْمًا يَمْلِكُ سَبْعَ سِنِينَ
“Imam Mahdi berasal dari keturunanku. Beliau memiliki dahi yang lebar dan hidung yang mancung. Di masanya, akan tersebar keadilan di muka bumi, sebagaimana sebelumnya penuh dengan kezholiman dan kelaliman. Beliau akan berkuasa selama 7 tahun.”
Abuya telah berjuang puluhan tahun membina jemaah Islam, membangunkan cara hidup Islam, ekonomi Islam, sistem pendidikan Islam, kebudayaan dan lain-lain; tidak lain dan tidak bukan ialah sebagai satu persiapan dalam menunggu kehadiran seorang pemimpin yang Allah swt telah janjikan buat umat akhir zaman.
Perjuangannya pernah dihalang dan ditentang, hingga diharamkan dan Abuya serta beberapa pengikutnya ditangkap dan ditahan dibawah akta ISA, atas tuduhan mengancam keselamatan keselamatan negara. Hakikatnya tuduhan-tuduhan itu tidak berasas sama sekali. Bahkan Abuya sebelum ditangkap, beliau telah banyak berjasa pada negara Malaysia dalam mengharumkan nama negara di persada dunia. Realitinya ialah, Abuya dan perjuangannya dicemburui oleh segelintir individu dan kelompok yang cemburu dengan Abuya dan perjuangannya, lalu dengan kuasa dan pengaruh mereka maka cubalah mereka menghancurkan perjuangan Islam Abuya. Inti-patinya ialah, segala apa yang Abuya harungi dan lalui ialah untuk persiapkan tapak kedatangan Imam Mahdi. Tiada tujuan lain!
Kata Abuya, "Saya memang tidak pernah sekolah tinggi. Justeru itu tidak ada satu sijil apa pun yang saya miliki sekali pun SRP. Cuma darjah 7 sekolah Melayu dan Senawi 3 di Maahad Hishamuddin, Kelang". Kata Abuya lagi, kawan-kawannya dan pengikutnya sangat berikan kepercayaan padanya, bahkan mereka sangat kasihkan beliau dan begitu juga Abuya terhadap mereka. Sangat ajaib. Seorang yang tidak berpelajaran tinggi namun diberikan hati dan jiwa raga oleh kawan-kawan dan pengikutnya untuk dipimpin oleh beliau. Itulah takdir Allah swt. Semua ini bukan saja-saja. Ia ada hikmah yang sangat besar!
Apa kata Abuya lagi tentang kedatangan Imam Mahdi?
"Arak jadi minuman utama sebahagian besar manusia di dunia, termasuk umat Islam. Di setengah negeri umat Islam, arak dijadikan minuman ringan, diminum di kedai-kedai kopi yang murah, di tepi jalan. Judi, satu permainan yang diiktiraf. Dan orang besar sekalipun Islam kalau tidak pandai main judi dipandang rendah bagaikan tidak sah. Judi diiklankan bagaikan iklan suatu barang penting dan istimewa. Berhala dan agama-agama karut bertapak kuat di merata-rata negeri di dunia. Tenung nasib dan sihir jadi amalan biasa orang ternama dan cerdik pandai. Wanita dengan wajah dan tubuh yang telanjang jadi barang dagangan yang sungguh biasa, murah dan laris. Permainan seks difilemkan untuk tatapan umum manusia sedunia. Perzinaan, pelacuran jadi suatu hiburan yang diterima baik, dihalalkan oleh undang-undang mahkamah di dunia. Apa lagi sesudah itu yang membolehkan anda berkata, masyarakat manusia hari ini sungguh moden dan maju jaya? Bukankah kekufuran mereka pada Tuhan sudah sama bahkan lebih lagi dari orang-orang di zaman jahiliah? Bukankah taraf hidup mereka sudah sama seperti manusia zaman batu dan hampir-hampir sama dengan binatang atau mungkin lebih lagi".
"Apa lagi yang saudara mahu banggakan dengan orang zaman ini? Pada sains dan teknologi yang telah bawa manusia ke bulan? Ya, itu bagus, tapi apahal kalau manusianya yang mencipta itu semua kufur, penzina, penjudi, penipu, pembunuh, perasuah, penyalahguna kuasa, kekayaan dan ilmu dan perosak keamanan manusia? Saudara mahu berbangga dengannya? Misalkan ada orang beri anda RM1000, tapi kemudian dia rogol anak perempuan anda. Istimewakah dia itu?"
"Itulah persoalannya. Yang mana saudara patut sedar bahawa dunia ini sudah terlalu memerlukan seorang pemimpin untuk memandu seluruh manusia kepada kebenaran, kejujuran, keamanan, keharmonian, keselamatan dan kebahagiaan yang hakiki. Yakni seperti di zaman salafussoleh. Manusia saling berkasih sayang, timbang rasa, bertolong bantu. Orang kaya jadi bank pada orang miskin. Pemerintah sangat adil hinggakan rumahnya lebih kecil dari rumah orang miskin di zamannya. Makan satu lauk dan tidak tidur malam kerana menangisi dosanya manakala siang berada di tengah rakyatnya. Wanita malu dan sangat taat suami hingga rela dipoligamikan. Ulama sentiasa jadi guru yang memimpin tangan umat kepada Tuhannya. Apa saudara tidak rindu pada sebuah negara yang begitu? Atau apa salahnya kalau kita minta pada Tuhan agar dunia ini jadi seaman itu, sebelum ia diranapkan kerana gempa kiamat?"
"Allah SWT tentu tahu keperluan ini. Memang dia Maha Tahu. Maka sebagaimana Dia telah bermurah hati untuk hantarkan Rasul-Nya untuk orang-orang jahiliah dulu, maka saya yakin tentu Allah akan kirimkan juga untuk kita seorang pemimpin yang begitu. Pemimpin Islam yang ilmunya, taqwanya, karamahnya dan daya pimpin-nya boleh tundukkan Russia dan Amerika. Insya-Allah. Sejarah mesti berulang. Menjadi sunnah alam bila kerosakan sudah memuncak maka akan patah terkulailah ia dan berakhirlah riwayatnya, lalu bangkitlah kebaikan untuk mengambil tempatnya. Tradisi sejarah ini tentukan berulang".
"Untuk itu Imam Mahdi, Insya-Allah tidak lama lagi akan datang. Datangnya membawa iman dan Islam, kebahagiaan dan keselamatan ummah sedunia dan mencabar musuh Islam dan membela urnat Islam samada raja atau rakyat, kaya atau miskin, lelaki atau perempuan kecuali kalau ada yang menentangnya. Mari kita tunggu dan berharap untuk bersamanya dengan menyiapkan diri dengan iman dan taqwa, dengan Islam yang diamalkan mengikut cara hidup sunnah dan berjuang gigih bagaikan singa-singa Allah yang hidup di zaman salafussoleh".
No comments:
Post a Comment