Wednesday, August 1, 2012

Peristiwa-peristiwa penting bersejarah yang berlaku dalam bulan Ramadhan.



“ Ustaz, kenapa saya rasa Ramadhan kali ini macam bukan Ramadhan”

“ Saya tak rasa lapar pun” anak muridku bertanya kepadaku.

“ Ermmm… Ramadhan bukannya rasa beza atau tak beza dari segi makan. Tapi, beza dari segi amal kita.”

“ Kalau tak lapar tak mengapa. Tapi, kalau tak beramal. Aduh! Sia-sianya rasa dengan datangnya Ramadhan.” aku membalas.

Bulan Ramadhan ialah bulan mujahadah. Bulan ujian untuk membentuk manusia bersifat manusia. Mengawal nafsu kebinatangan. Cenderung kepada sifat-sifat kemalaikatan. Menjarakkan hubungan kesyaitanan. Mendekatkan rasa ketuhanan.

Bulan Ramadhan ialah bulan pemberian. Kita manusia memberi masa kita, tenaga kita, kehendak kita, harta kita dan lain-lain. Jesteru Allah, membalas pemberian kita dengan rahmatNya,maghfirahNya, pembebasan dari nerakaNya, syurgaNya, cintaNya dan lain-lain lagi.

Jika kita rasa letih dengan kerja seharian kita dan bermujahadah dalam bulan Ramadhan sehingga kita boleh meninggalkan amal atau mengabainya,maka, bandingkanlah diri kita dengan perjuangan , mujahadah, pemberian orang terdahulu yang soleh-soleh. Marilah kita kenang peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam bulan Ramadhan, moga menambah iman kita, lantas menambah amal kita dalam bulan Ramadhan.

….

Peristiwa-peristiwa penting bersejarah yang berlaku dalam bulan Ramadhan.

1. Perang Badar

Perang Badar ialah perang pertama di dalam Islam. Perang ini ialah perang yang berjaya memisahkan antara yang benar dan yang bathil. Berlaku pada hari Jumaat, bersamaan 17 Ramadhan, tahun kedua hijrah. Hal ini telah oleh Dr Said Ramadhan al Boutie dalam kitabnya Feqh al Sirah al Nabawiyyah pada halaman 158. Al Mubarakfourie juga ada menyatakannya di dalam al Rahiq al Makhtum pada halaman 249. Dr Wahbah al Zuhailie menyokong pendapat ini dan menyatakannya di dalam al Feqhul Islam wa adillatuh pada halaman 575.

Allah telah berfirman : (( Allah telah membantu kamu dalam perang badar sedang ketika itu kamu berasa hina. Takutlah Allah, moga-moga kamu bersyukur .))

Dr Wahbah al Zuhailie dalam kitabnya al Feqhul Islam, menyatakan satu riwayat daripada Ibnu Abbas , iaitu peristiwa itu berlaku pada 17 Ramadhan dan terbunuhnya firaun ummah iaitu Abu Jahal, musuh utama Islam.


2. Fathu Makkah ( Pembukaan Kota Mekah )

Pembukaan kota Mekah ialah salah satu peristiwa yang terbesar dalam sejarah Islam. Peristiwa ini yang menyebabkan kekuatan islam dan penyebarannya mula melebar ke serata alam. Peristiwa ini dianggap satu kejayaan kepada Islam. Malah peristiwa ini merupakan tarikh keramat kepada kesempurnaan Islam. Peristiwa ini telah digambarkan dengan sempurna di dalam surah al Fath ayat 1 : (( Sesungguhnya kami telah membuka kepada kamu pembukaan yang benar )).

Berlaku pada hari selasa, bersamaan 17 Ramadhan tahun 8 Hijrah. Rasulullah dan umat Islam berpuasa ketika bertolak dari Madinah dan sampai di Kadid, di antara I’sfan dan Amaj, baginda berbuka puasa. Hal ini telah dinyatakan oleh Abdul Salam Harun di dalam kitab Tahzib Sirah Ibn Hisyam, pada halaman 198.

3. Perang Tabuk.

Berlaku beberapa peperangan Tabuk pada bulan ramadhan tahun 9 hijrah. Baginda keluar ke Tabuk pada bulan Rejab dan kembali ketika bulan Ramadhan. Peperangan ini memakan masa selama 50 hari. Secara tepatnya, peperangan di Tabuk memakan masa selama 20 hari sahaja. Manakala bakinya berlaku sepanjang perjalanan pergi dan balik. Peperangan Tabuk ialah peperangan yang terakhir yang diikuti oleh baginda s.a.w. Peristiwa ini telah diberitahu kepada kita melalui kitab al rahiq al Makhtum, karangan al Mubarakfourie, pada halaman 517.

4. Nuzul al Quran.

Wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w adalah di Gua Hira’. Peristiwa itu berlaku pada hari Isnin, bersamaan 21 Ramadhan atau 10 Ogos, tahun 610 Masihi. Peristiwa itu berlaku pada waktu malam. Baginda ketika itu berusia tepat 40 tahun 6 bulan 12 hari.

Berlaku perselisihan dalam kalangan ulamak, peristiwa kenabian itu berlaku di bulan Ramadhan. Ada juga berpendapat ianya berlaku pada bulan rabi’ul awwal. Ada juga yang mengatakan dalam bulan Rejab. Tetapi kami merajihkan ianya berlaku dalam bulan Ramadhan.Seperti mana firman Allah : (( Bulan Ramadhan diturunkan padanya al Qur’an..)) –Surah al Baqarah ayat 185.

Bukan setakat itu sahaja, malah firman Allah : (( Sesungguhnya kami turunkannya pada malam Lailatul Qadar )) – Surah al Qadr ayat 1. Seperti mana yang kita ketahui malam lailatul qadar itu jatuhnya dalam bulan Ramadhan.

Ia dikuatkan lagi dengan firman Allah di dalam surah al Dukhan ayat yang ke 3 : (( Sesungguhnya kami turunkan al Quran, pada malam yang diberkati, sesungguhnya kami telah memberi peringatan)). Rasulullah s.a.w berada di gua Hira pada bulan Ramadhan, jesteru peristiwa penurunan al Quran itu berlaku pada bulan Ramadhan juga seperti yang kita ketahui.

Tetapi, telah berlaku polemik, iaitu perselisihan ulamak pada menyatakan tarikh penurunan wahyu secara tepat. Antara pendapat tersebut ialah :

Pendapat 1 : Hari ke 7

Pendapat 2 : Hari ke 17

Pendapat 3 : Hari ke 18

Pendapat 4 : Hari ke 21

Dalam kitab Muhadarat Tarikh al Umam al Islamiah, karangan al Khadrie, jilid 1 halaman 69, menyatakan yang beliau berpendapat permulaan penurunan wahyu itu berlaku pada 17 Ramadhan. Tetapi al Mubarakfourie berpendapat tarikh yang sebenarnya ialah pada 21 Ramadhan.

Hujah al Mubarakfourie tentang tarikh 21 Ramadhan ialah kesemua ulamak sirah bersepakat peristiwa bi’sah nabi berlaku pada hari Isnin. Ini turut dikuatkan dengan hadis-hadis yang diriwayatkan oleh para imam-imam hadis seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah, sesungguhnya Rasul telah ditanya tentang puasa pada hari Isnin. Baginda bersabda : pada hari itu, aku dilahirkan, dan pada hari itu diturunkan wahyu kepadaku. Dalam riwayat lain, terdapat lafaz : Hari yang aku dilahirkan padanya, dan hari yang aku dibi’sahkan atau hari yang diturunkan wahyu ke atasku. Hadis ini dikeluarkan dalam sahih Muslim ( Jilid 1 / halaman 368 ), Imam Ahmad ( Jilid 5 / halaman 397 dan 399 ), Imam al Baihaqie ( Jilid 4 / halaman 286 dan 300 ), al Hakim ( Jilid 3 / halaman 206 ).

Menurut al Mubarakfourie lagi, dalam tahun itu dan dalam bulan Ramadhan, hari Isnin tidak berlaku melainkan pada 7, 14, 21 dan 28 Ramadhan. Dan lailatul Qadar pula dalam riwayat hadis yang kuat menyatakan ianya berlaku dalam 10 hari terakhir Ramadhan dalam hari-hari yang ganjil. Jesteru jika dihitung mengikut firman Allah yang mengungkapkan penurunan al Quran pada malam lailatul Qadar, dari hadis bi’sah nabi yang berlaku pada hari Isnin dan perhitungan kalender secara ilmiahnya, menguatkan bahawa tarikh 21 Ramadhan berlakunya awal penurunan al Quran dan bukannya pada 17 Ramadhan. Inilah pendapat yang diterjih oleh al mubarakfourie.

Namun, pendapat 17 Ramadhan adalah tarikh awal penurunan wahyu adalah pendapat jumhur ulamak.

5. Penghantaran batalion perang selepas Fathu Mekah.


Selepas pembukaan kota Mekah. Rasulullah telah menghantar beberapa batalion perang, yang bertujuan memusnahkan musuh. Kesemuanya itu berlaku dalam bulan Ramadhan. Penghantaran tersebut adalah seperti berikut :

i. Rasulullah s.a.w mengutuskan Khalid bin al Walid ke a’za. Penghantaran tersebut berlaku 5 hari terakhir di dalam bulan Ramadhan dalam tahun 8 Hijrah.

ii. Di utus Amru bin al A’s ke Suwa’. Lebikh kurang 3 km dari Mekah.

iii. Di utus Saad bin Zaid al ashhilie ke minat bersama 20 tentera berkuda.

6. Pengislaman rombongan tsaqif pada tahun 9 Hijrah.

Selepas kepulangan Rasulullah s.a.w ke Madinah dari Tabuk dalam bulan Ramadhan, pada tahun 9 Hijrah. Baginda telah didatangi rombongan Tsaqif daripada Thoif yang ingin menganut Islam. Hal ini telah dinyatakan dalam Sirah Ibn Hisyam pada jilid 4, halaman 141-144.

7. Peperangan al Zilaqah pada tahun 479 Hijrah.

Pada subuh hari Jumaat, 25 Ramadhan pada tahun 479 Hijrah telah berlaku peperangan al Zilaqah ( laut yang terletak berdekatan dengan Portugal sekarang ini ). Peperangan ini telah dimenangi oleh tentera Portugis yang memiliki kekutan sebanyak 1000 tentera di bawah pimpinan Alfonso ke 6, raja Qisyhtallah. Peristiwa ini disebut di dalam al Feqhul Islam wa adillatuh, karangan Dr Wahbah al Zuhailie, jilid 2 halaman 572.

Di dalam kitab Tarikh al Islam, karangan asan Ibrahim Hasan, jilid 4 halaman 118 menyatakan, seandainya Yusuf bin Tashfin yang menerima seruan jihad tersebut dan mengetuai tentera muslimin dalam peperangan al zilaqah dan menang dalam peperangan tersebut, nescaya eropah kini sudah menganut Islam. Lihat sahaja kesan tersebut, beberapa universiti di Moscow, Berlin, London dan Paris telah menyediakan ruang untuk menyelidik al Quran.

8. Peperangan Ain Jalut pada Ramadhan tahun 658 Hijrah.


Peperangan ini berlaku pada 3 April tahun 1260 Masihi bersamaan hari Jumaat, 15 Ramadhan tahun 658 Hijrah di Ain Jalut ( perkampungan diantara bisan dan Nablus di Palestin ). Dalam peperangan tersebut, tentera Monggol telah kalah dengan tentera kerajaan Mamalik. Kekalahan tersebut adalah titik penting berhentinya penguasaan tentera Monggol terhadap asia barat. Malah peristiwa tersebut telah membawa kepada kemerdekaan Mesir dan penggabungan antara Mesir dan Syam. Peristiwa ini telah digarap dengan teliti di dalam kitab al Alam al Islami fil asr al Mughulie, pada halaman 48.

9. Pembukaan Andalus pada Ramadhan tahun 92 Hijrah.


Pembukaan Andalus berlaku pada 28 Ramadhan tahun 92 Hijrah atau bersamaan 19 Julai tahun 711 Masihi. Pembukaan Andalus diketuai oleh Thoriq bin Ziyad selepas kekalahan tentera pimpinan Roderick dalam peperangan yang cukup getir iaitu peperangan al Buhairah. Peperangan tersebut berlaku selepas tentera muslimin menawan Jabal thoriq atau Jabraltar. Kemudian, berlakulah penawanan Cordova ( Qurtubah ),Granada ( gharnatah ) dan Thulaitolah di Andalus. Sejarah ini boleh dirujuk melalui kitab al Tarikh al Siyasie Liddaulah al Arabiah, karangan Dr Abdul Mun’im Majid, jilid 2 halaman 204.

Hazim A’juz telah menulis satu artikel yang bertajuk Bulan Ramadhan al Mubarak menolak keperwiraan dan membersihkan ibadah dan taat dalam majalah al Iqtisad al Islami, bilangan 142. Keluaran March 1993 Masihi bersamaan Ramadhan 1413 Hijrah, halaman 20, telah mengambil kata-kata Syeikhul Azhar, Syaikh Jadul Haq Ali Jadul Haq iaitu :

“ Sesiapa yang memberhentikan amalan mereka atau mengurangi amalan mereka dengan dakwaan dia berpuasa, maka jelaslah dia seorang yang jahil terhadap hukum agama, lalai terhadap implikasi berpuasa. Berpuasa tidak menghapuskan amalan atau mengabaikannya. Sementara kaum muslimin sejak difardhukan puasa ke atas mereka, mereka beramal dan mereka juga berpuasa. Bahkan mereka berperang dan mereka juga berpuasa.”
…..
“ Janganlah kamu menyangka bahawa, semua guru tidak akan bertindak atas kelakuan kamu jika sekarang ini adalah bulan Ramadhan.”

“ Malah saya akan bertindak juga jika kamu melampaui batas undang-undang”

“ Saya tetap akan sebat kamu jika saya tahu saya benar. Saya tetap akan mendapat pahala, walaupun sekarang ialah bulan Ramadhan. Malah pahalanya akan berlipat kali ganda pula”

“ Jadi, sila jaga akhlak kamu disekolah ini “ Tegas cikgu Zul. GPK HEM sekolah aku berbicara ketika perhimpunan mingguan diadakan.

Berpuasa tidaklah membatalkan tanggungjawab sebagai seorang guru dalam mendidik. Berpuasa juga tidaklah menghalang urusan kami untuk menghukum pelajar jika menyalahi undang-undang sekolah. Kerana Rasul dan sahabatnya serta para pendahulu yang soleh-soleh tetap berjuang ketika Ramadhan….Allahu akram.

source

No comments: