RASA YANG TERABAI
1.0 MUQADDIMAH
Islam ialah agama yang lengkap dan syumul. Lengkapnya Islam itu bukan
sekadar menyelesaikan masalah zahir dalam kehidupan seharian manusia
sahaja. Namun, Islam turut menyelesaikan masalah dalaman pada setiap
individu.
Secara umumnya manusia mengandungi 3 elemen. Jasmani,
rohani dan intelek. Ketiga-tiga perkara ini dijaga oleh Islam melalui
maqasid Islam itu sendiri. Di sinilah terletaknya kesyumulan Islam
melalui keseimbangan ketiga elemen ini. Kadar keseimbangan ini perlu
dijaga seperti kadar kesimbangan sistem imun tubuh badan kita yang
zahir. Kekurangannya dan kelebihannya yang tidak teratur akan membawa
kepada penyakit. Jika tidak dibendung akan membawa kepada kronik dan
membarah.
Hari ini, kepincangan masyarakat dalam segala segi
seperti akhlak, jahil, kemaksiatan dan lain-lain adalah berpunca dari
kekurangan dari salah satu elemen itu. Kertas kerja ini pula akan
membahaskan elemen rasa yang diabaikan oleh masyarakat khususnya
golongan agamawan sehingga menabrakkan lagi kebobrokan pelbagai gejala.
Semoga usaha kecil ini dapat membantu golongan agamawan menyelesaikan
masalah umat seperti yang dituntut oleh Rasul, kerana agamawan adalah
pewaris rasul dan rasul telah meninggalkan legasi untuk memelihara
umatnya.
Sabda Rasul s.a.w : (( Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak)).
2.0 RASIONAL
2.1 Perbincangan bersama GPI di peringkat negeri semasa Program Kem Solat Berkesan Negeri Johor 2010, di Gunung Berlumut.
2.2 Masalah yang selalu diutarakan kepada penulis tentang mereka yang bersolat tetapi masih melakukan maksiat.
2.3
Masalah yang diutarakan oleh masyarakat bukan Islam tentang kebobrokan
masyarakat Islam, sedangkan mereka mempunyai al Quran, hadis dan sistem
yang bagus.
3.0 KEPENTINGAN TAJUK
3.1 Berkaitan dengan iman. Seseorang yang kehilangan rasanya adalah orang yang sakit. Kaedahnya seperti orang demam.
3.2 Punca kepada segala penyakit masyarakat.
3.3 Kaedah tarbiyyah Rasul yang tidak dikuti.
4.0 FAKTOR-FAKTOR KEHILANGAN RASA
4.1 Fasad hati
Setiap anggota mewakili fungsinya masing-masing. Seperti mata
fungsinya melihat, telinga mendengar, hidung menghidu, tangan menyentuh,
lidah merasa yang zahir dan hati merasa yang batin.
Hati memain
fungsi rasa bagi perkara yang batin seperti yang ditunjuk nabi dalam
perlakuan baginda, apabila baginda menunjukkan isyaratnya ke dada,
sambil bersabda : (( Taqwa itu disini )) sebanyak dua kali.
Jesteru itu, kefasadan hati akan merosakkan deria rasa. Kerosakkan
tersebutlah yang akan merosakkan fungsi manusia. Malah menjerumuskan
manusia kepada kebinatangan dan kesyaitanan. Maka benarlah sabda nabi :
(( apabila dia baik, maka baiklah keseluruhannya. Dan apabila ia rosak,
maka rosaklah keseluruhannya.Bukankah dia hati )).
Perkara yang membawa fasad itu cukup banyak sekali seperti syirik, riya, ujub, sumah, kibriya dan lain-lain lagi.
4.2 Tidak di ajar untuk mendapatkan rasa
Hal keadaan Rasul yang berakhlak cukup mulia adalah berpunca dari
tarbiyyah ilahiyyah rabbaniyyah kepada jiwa rasul. Rasul bersabda : ((
Aku diajar adab oleh tuhanku, dan Dialah menjadikan adabku yang terbaik
)).
Maka, Allahlah yang mengajar rasa dan mengenalinya sehingga
baginda mendapat yang terbaik. Allah juga sering menguji baginda
sepanjang tempoh pengajaran tersebut bahkan memberi ilmu juga kepada
kaum muslimin yang lain. Ini dibuktikan melalui hadis jibril yang
panjang.
4.3 Sistem penumpuan kepada teori sahaja.
Sistem pembelajaran yang digunapakai pada hari ini menumpukan kepada
teori dan intelek sahaja. Malah bentuk-bentuk ujian juga menjurus kepada
menilai intelek berdasarkan teori. Islam dengan sifat syumulnya tidak
mampu untuk dinilai dengan cara sehala. Praktikal juga bukan sekadar
dalam bentuk luaran sahaja. Jesteru itu Imam al Ghazali banyak
menekankan di dalam Ihya dan Mauizahnya tentang kepentingan guru-guru
mursyid.
4.4 Memisahkan – misahkan ajaran agama.
Pemisahan ajaran agama menjadikan nilai rasa turut berkurang. Ilmu
Islam dipisah dari nilai rasa menjadikan ilmu itu begitu kering. ilmu
dibahagi kepada aqidah, feqh dan tasauf. Masing-masing dikhususkan tanpa
diserta dari sudut rasa. Pada zaman Rasulullah s.a.w, ilmu-ilmu ini
tidak dipisah-pisahkan. Jesteru ilmu aqidah bukan sekadar teori bahkan
dirasai. Ilmu feqh bukan sekadar teori bahkan dirasai. Begitu juga
dengan tasauf.
Inilah yang cuba digarap oleh Syeikh Hasan Farhan
al Maliki di dalam kitabnya Nahu Inqaz al Tarikh, mengenai rasa yang
telah diabaikan kini. Akhirnya ilmu-ilmu Islam hanya sebagai medan
perdebatan bukannya untuk di amalkan.
5.0 ISLAM DAN RASA
Banyak orang menyangkal kepentingan rasa di dalam Islam. Malah
mengabaikan nilai rasa dengan menganggap ia bukanlah benda penting di
dalam Islam. Bukahkah Islam dalam setiap perintah Allah turut
menyelitkan nilai rasa di dalamnya. Jesteru itu Allah telah menetapkan
fasad itu berlaku apabila setiap anggota itu tidak berfungsi dengan
benar. Seperti mana firman Allah : (( mereka itu mempunyai telinga
tetapi tidak mendengar, mereka mempunyai mata tetapi tidak melihat,
mereka mempunyai hati tetapi tidak memahaminya ))
Islam menitik beratkan rasa seperti mana contoh-contoh di bawah :
5.1 Takut
Firman Allah : (( Takutilah Allah dengan sebenar-benar taqwa ))
5.2 Sayang dan cinta
Firman Allah : (( Seandainya engkau mencintai Allah, ikutilah aku ))
5.3 Malu
Sabda Nabi : (( Jika kamu tidak rasa malu, lakukanlah apa yang kamu mahu ))
5.4 Marah
Sabda Nabi : (( Sesiapa yang melihat kemungkaran, ubahlah dengan tangannya …))
5.5 Bersungguh-sungguh
Sabda Nabi : (( Sesuatu pekerjaan yang disukai Allah, dilakukan dengan tekun ))
5.6 Benci
Sabda Nabi : (( Sesuatu yang dibenci oleh Allah tetapi halal ialah talak ))
6.0 FAKTOR-FAKTOR MENGUNDANG RASA
6.1 Ibadah Nawafil
Ibadah nawafil ialah pra syarat utama membawa kepada jaminan rasa yang
lebih mendalam. Malah untuk mendapat kekuatan melaksanakan ibadah
nawafil itu sendiri adalah berpunca dari rasa juga. Ini ditegaskan
melalui sabda s.a.w : (( tiadalah yang boleh mendekatkan Aku dengan
hambaKu melainkan dengan nawafil…)).
Ibadah nawafil akan dapat
mencetus nilai rasa melalui ibadah seperti membaca al Quran, bangun
malam, berselawat, bermaulid dan sebagainya.
6.2 Mujahadah
Sesuatu itu akan menjadi lebih nilai jika disertakan pengorbanan.
Begitu juga rasa, akan lebih bermakna jika melalui jalan mujahadah.
Malah dengan mujahadah akan membuka pintu-pintu rasa, seperti firman
Allah : ((Sesiapa yang berjihad kepada Kami, kami akan beri hidayah
melalui jalan-jalan kami ))
6.3 Riyadah
Latihan kerohanian adalah amat penting dalam mendapatkan rasa,
contohnya khusyuk.Khusyuk bukan boleh didapati dengan teori sahaja,
bahkan memerlukan latihan praktikal yang berterusan. Jesteru
meninggalkan latihan, khusyuk itu sendiri tidak akan kita capai. Ini
amat jelas dengan firman Allah : (( Sesungguhnya solat itu terlalu
berat, melainkan orang yang khusyuk )).
Solat itu sendiri untuk
mencapai tujuannya sebenar adalah berat. Jika kita dapat melaksanakanya
pun, adakah kita termasuk dalam kalangan orang yang khusyuk ?. Dan
adakah solat kita dapat mencegah mungkar ? Realitinya, masih ramai yang
bersolat dan masih melakukan mungkar.
Oleh yang demikian, latihan daripada guru yang mursyid dapat membantu kita untuk mencapai nilai rasa yang benar.
7.0 CARA MENDAPATKAN RASA
Untuk mendapatkan rasa yang sebenar, sudah semestinyalah kita terpaksa
merujuk sumber utama dalam Islam iaitu al Quran dan hadis nabi s.a.w.
Apabila sesuatu masalah yang berkait rapat dengan hati maka, jawapan
paling tepat untuk mengubatinya ialah dengan jalan berzikir.
Zikir ialah jalan mengubati segala penyakit hati. Tarbiyyah zikir ini
bukan setakat satu perintah malah adalah sunnah yang ditunjuki nabi
sewaktu di awal permulaan Islam. Rasulullah s.a.w telah mendidik sahabat
dengan memperbanyakkan zikir sehingga mereka memperoleh rasa.
Kepentingan zikir ini tidak boleh disangkal lagi dengan dalil yang cukup
qat’ie dan mani’. Sama ada dari al Quran atau hadis nabi s.a.w. Allah
sendiri berfirman : (( mengingati Allah itu adalah sebesar-besar
perkara)). Apatah lagi hadis, yang telah dimuatkan bab yang khusus dalam
setiap kitab hadis mengenai fadhilat zikir. Cukuplah kitab al Azkar
untuk menunjukkan keperluan dan kepentingan zikir.
Walau
bagaimana pun, zikir melalui beberapa peringkat. Ianya bergantung
kepada tujuan zikir itu sendiri. Bagi yang ingin mendapat rasa ia
mestilah melalui 2 jalan. Ibn Ata’illah as Sakandari menjelas jalan
tersebut ialah :
i. Qabad
ii. Basath
Melalui jalan inilah barulah rasa terbentuk, lantas membentuk qurbah dengan Allah.
8.0 PEMBAHAGIAN RASA
Rasa boleh dibahagikan kepada 3 bahagian, iaitu :
i. Mubtadi
ii. Mutawassit
iii. Muntahi
( Pembentangan kertas kerja ana ini turut dihadiri oleh Sahibus samahah Tuan Mufti Pulau Pinang )
9.0 KESAN RASA
8.1 Membawa kepada kesempurnaan Iman.
Sedar atau tidak, rasalah yang membawa kepada kesempurnaan Iman,
sepertimana sabda Rasulullah s.a.w : (( 3 perkara , sesiapa yang
memilikinya akan memiliki kemanisan iman. Mencintai Allah dan rasulNya
lebih dari segala-galanya. .. ))
8.2 Membawa kepada kesempurnaan dalam ibadat
Ibadat akan lebih sempurna apabila disertakan dengan rasa. Rasa
bermusyahadah dan rasa bermuraqabah. Namun, kedua rasa ini telah hilang
dalam nilai ibadah kita. Perkara tersebut tidak dianggap penting. Oleh
kerana itu, ibadah tidak dapat membantu membentuk nilai dalam diri.
Contohnya apabila Rasul s.a.w bersabda mengenai ibadah puasa : (( Berapa
ramai yang berpuasa, tidaklah ada nilai dalam puasa mereka melain lapar
dan dahaga.))
8.3 Menjadikan seseorang berakhlak mahmudah
Rasa cinta dan takut dapat mengubah diri seseorang. Rasa cinta dan
takut kepada Allah akan menyebabkan seseorang akan menjadi lebih
berakhlak mulia, bukan setakat baik pada zahir tetapi turut kepada
hal-hal batin. Ini adalah kerana tiada contoh yang boleh diikuti
melainkan Saidina Rasul s.a.w, seperti firman Allah : (( Pada diri
Rasulullah itu ada uswatun hasanah )).
8.4 Sebagai benteng untuk mencegah seseorang daripada terjebak kepada kemaksiatan.
Hidup dengan rasa bertuhan dapat mencegah seseorang daripada melakukan
maksiat atau perkara-perkara yang keji. Rasa bermusyahadah dan dan rasa
bermuraqabah dalam hidup benteng kepada penjegaan iman daripada dicemari
dengan sebarang gejala dan dosa. Ini dapat dikuatkan dengan hadis
baginda : (( Tidak berzina ketika mana hendak berzina dia seorang
beriman. Tidak mencuri ketika mana dia hendak mencuri dia beriman….))
9.0 PENUTUP
Ilmu Islam sudah mencapai kematangannya dengan melalui zaman-zaman yang
sukar dan gemilangnya. Namun mampukah kita mengembalikan kegemilangan
Islam sepertimana yang wujud pada zaman Rasulullah s.a.w.? Perhatilah
dengan tajam dan mata hati kepada masalah umat hari ini. Kebobrokan
akhlak, kemaksiatan bermaharajalela, hedonisme, masalah murtad dan
lain-lain lagi. Seperti tiada noktah dan penyelesaiannya. Mengapakah ini
berlaku? Sedangkan kita mempunyai al Quran, bimbingan hadis dan
lain-lain. Jawapannya tidak lain ialah rasa. Turunlah sebanyak mana
kitab dari langit pun jika tidak berasa, tidaklah ia mempunyai kesan.
Rasulullah s.a.w menerapkan nilai rasa di dalam jiwa sahabat sehingga
mereka menjadi taat yang luar biasa. Malah menyelesaikan masalah
kebobrokan akhlak ketika itu.
Kita perlu bermula kembali dari
bawah dengan nilai yang baru. Memberi rasa kepada setiap mukmin dan
muslim agar menjadi lebih baik dan menyelesaikan masalah yang kian
tenat. Semoga usaha kecil ini dapat menggembalikan kita ke Madinah.
Disediakan oleh :
Shahrul Rizal Mohd Sati.
Mudir Madrasah Hasaniyyah Islamiyyah
Tenggaroh, Mersing.
( Para peserta mendengar pembantangan kertas )
Source
No comments:
Post a Comment