Sunday, March 25, 2012

Abuya Masih Hidup ! ( Siri 1-4)

Posting ini saya petik bulat-bulat dari blog Ustaz Nawawi Dahalan. Credit kepada beliau. Syukran.

SIRI 1

Dengan nama Allah yang Maha Baik. Salam rindu dan mohon restu Rasulullah saw, Imamul Mahdi dan Fatta Attamimi.

Sudah hampir setahun Abuya Ashaari meninggalkan isteri-isteri, ahli keluarga, pengikut-pengikut, murid-murid, simpatisan dan dunia seluruhnya. Dalam lain perkataan, Abuya telah pun meninggal dunia. Pemergian Abuya sangat dirasakan terutama kepada pengikut setia. Berbeza sedikit dengan mereka yang sangat ‘memusuhi’, pada mereka seolah-olah Abuya masih hidup.

13hb Mei 2010 kira-kira jam 9.00 malam Abuya dimakamkan di Kg Pilin, Rembau, Negeri Sembilan dengan disaksikan oleh ribuan orang terdiri daripada segenap lapisan masyarakat samada dari dalam maupun luar negeri. Namun sebahagian besar pengikut setia Abuya tidak berkesempatan untuk hadir terutama yang tinggal berjauhan samada di sebelah utara, selatan dan timur tanahair apatah lagi yang di luar negara.

Apa yang menariknya terdapat beberapa orang yang sudah lama menolak Abuya, muncul dan di antara mereka ada yang sangat menyerlah pada upacara tersebut. Kebanjiran begitu ramai para simpati membuktikan peribadi Abuya dan perjuangannya sangat terkesan di hati dan jiwa mereka.

Semenjak saat itu, makam Abuya terus menerus dikunjungi seolah-olah makam seorang negarawan. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan makam negarawan seulung mana pun sukar dilihat seperti itu.

Sejak kebelakang ini, berita dan cerita Abuya kembali mewarnai media massa terutamanya di Malaysia. Samada berita atau cerita yang bersifat positif, maupun yang pada lahirnya negatif.

Agak merasa hairan bila mengikuti sesetengah komen khususnya yang terus sinis dan pesimis. Kebencian dan sakit hati mereka sama seperti ketika Abuya masih hidup. Kedengkian mereka bertambah meluap-luap kepada pengikut Abuya yang masih terus setia dan berjaya mengekalkan komitmen perjuangan yang diwariskan oleh Abuya.

Tahun 1991

Kelompok yang sangat iri hati dan hasad dengki merasakan Abuya masih hidup segar dalam jiwa pengikut-pengikutnya. Dakwaan tersebut mungkin timbul berdasarkan kenyataan, bilamana jemaah dan perjuangan Abuya terus boleh bertahan malah berkembang pesat setelah hampir setahun pemergian beliau. Seperti yang terkini, Global Ikhwan telah berjaya membangunkan pusat kegiatannya di Mekah dan Madinah. Maka atas dasar itulah pihak berkenaan terus menerus ‘menyerang’ Abuya, seolah-olah pada mereka Abuya masih hidup.

Baru-baru ini Bonda Ummu Jah ada mengulas mengenai perkara tersebut yang disiarkan oleh Buletin Rakyat keluaran 15 April 2011 sesuai untuk direnungkan;

“….persoalannya mengapa sehingga 10 tahun usaha-usaha membenteras Al Arqam itu tidak berkesan? Sudah lebih 10 tahun isu dan masalah kami terus diperkatakan orang ramai, tidak seperti gambaran sebenar-benarnya. Bagi saya kedua-dua pihak, saya dan pihak mendakwa, dilihat bermasalah. Saya…kerana susah untuk berubah, manakala pihak pendakwa kurang berjaya menangani saya…”

Dakwaan lain yang juga hangat diperkatakan oleh setengah masyarakat, Abuya dikatakan bukan meninggal dunia tetapi cuma ghaib sahaja. Dalam Buletin Rakyat keluaran yang sama menyiarkan ulasan bonda Ummu Jah antara lainnya seperti berikut;

“Di pihak saya, atas nama media kami sekeluarga telah pernah membuat kenyataan akhbar mengenai isu ini. Namun dalam masa yang sama, ada rakyat Malaysia (bukan dari kami) yang ke Mekah, balik bawa cerita jumpa Abuya di Mekah. Jangan-jangan ada yang merancang untuk perbesarkan cerita kecil ini? Atau dalam bahasa mudah ada pihak yang cuba mencalarkan nama baik kami dengan dakwaan-dakwaan seumpama ini.”

Ada beberapa rakan Facebook (bukan dari kalangan pengikut Abuya) juga pernah membuat dakwaan yang sama melalui ruang sembang.

Oleh kerana itu adalah pengalaman mereka, maka tidak mudah untuk menolaknya. Samalah seperti halnya dengan mimpi. Jika kita bermimpi, tidak kiralah bermimpi apa sekali pun, tentulah orang lain tidak berhak menolak hal tersebut, kerana mimpi itu benar-benar kita alami.

Begitu juga dengan pengalaman kerohanian. Mana mungkin kita dapat menafikan pengalaman kerohanian yang dilalui oleh orang lain. Pengalaman yaqazah misalnya. Tidak mudah untuk menafikan pengalaman orang yang direzekikan beryaqazah hanya kerana kita tidak pernah mengalaminya.

Pengalaman mereka yang pernah berjumpa dengan Abuya selepas pemergian beliau, bukannya isu yang perlu diperbesarkan. Bagi mereka yang benar-benar pernah berjumpa dan sempat pula berbual-bual, mungkin menjadi pengalaman paling manis baginya yang tidak mungkin dapat dilupakan. Mereka mungkin terlalu teruja untuk berkongsi dengan orang lain sehingga isu ini dikontroversikan.

Makam Abuya di Kampung Pilin, Rembau

Kesimpulannya, tidak hairanlah kenapa ada orang yang masih percaya Abuya masih hidup, seperti mana ramai yang tidak percaya Abuya masih hidup.

SIRI 2

Bila dikatakan sistem politik dan ekonomi dunia sedang menuju kehancuran, pada umumnya ramai di kalangan kita yang sangat bersetuju. Beberapa buah negara sedang mengalami krisis politik dan kepimpinan di semua peringkat. Termasuk juga di tanah air kita tercinta.

Sistem ekonomi dunia juga sedang mengalami kekalutan yang amat mencemaskan masyarakat antarabangsa. Negara-negara kuasa ekonomi dunia semakin hilang idea untuk berhadapan dengan keadaan yang di luar jangkaan dan sekali gus di luar kemampuan mereka untuk mengatasinya.

Abuya Ashaari pernah mengambarkan situasi ini dalam banyak ucapan dan tulisan beliau. Buku beliau bertajuk “Barat Di Ambang Maut” adalah antara contohnya.

Sudah menjadi kebiasaan Abuya, beliau bukan sahaja meramalkan kehancuran sistem hidup ciptaan manusia yang menafikan sistem dari Tuhan, namun beliau tampil berjuang bersungguh-sungguh membangunkan sistem hidup dari Tuhan.Bermula dalam diri, keluarga, jemaah, masyarakat, nasional dan seterus di peringkat antarabangsa. Sistem hidup berTuhan yang mencakupi semua aspek kehidupan seperti ekonomi, pendidikan, kebudayaan, pertanian, penerbitan, multimedia, hiburan, keseniaan dan penyiaran terus dibangun dan diperjuangkan.

Abuya telah berjaya membangunkan model masyarakat Islam praktikal di beberapa bandar utama di Malaysia. Malah model masyarakat dan bandar Islam telah wujud di beberapa buah bandar di negara-negara seperti Thailand, Indonesia, Jordan, Mesir dan Syria.

Melalui GISB Abuya telah berjaya bertapak di Mekah dan Madinah sejak setahun yang lalu dengan kos operasi dan overhead mencecah belasan juta Ringgit Malaysia. Terkini, GISB mula membuka restoran dan pusat kebudayaan di Perancis dan London.

Perjuangan untuk sampai ke peringkat ini sangat menagihkan pengorbanan yang sangat luar biasa daripada pejuang-pejuang yang mempunyai keyakinan yang juga sangat luar biasa. Sehingga kini walaupun musuh-musuh perjuangan tidak pernah rehat untuk menggagalkan misi perjuangan Abuya, tetapi semua halangan yang diciptakan dapat dilepasi dengan bantuan Tuhan.

Abuya sering mengingatkan pejuang-pejuangnya agar yakin dengan sebenar-benar yakin, bahawa ini adalah masa untuk Islam menang dan tak akan kalah lagi. Dalam masa jemaahnya digerakkan membangunkan sistem hidup berTuhan dalam segenap aspek kehidupan, tangan ghaib terus menggoncangkan dunia.

Sistem politik demokrasi, sistem ekonomi kapitalis dan apa jua sistem ciptaan otak manusia sedang dihayun-hayunkan untuk dihancurkan oleh ‘power’ orang-orang roh. Mereka sedang sangat berkerja demi sebuah kebangkitan total kebenaran dari Tuhan.

SIRI 3

Restoran GISB di Mekah

Sepanjang perjuangan, ujian datang silih berganti. Kawan dan lawan bertukar ganti. Ujian dalaman, maupun ujian yang datang dari pelbagai arah. Kiri kanan, depan dan belakang. Sejak Abuya melagang perjuangannya, sudah beberapa kali percubaan bekas anak murid atau mantan pengikut beliau sendiri cuba menggugat jemaahnya.

Setelah mereka gagal menguasainya dari dalam, mereka mencuba untuk menyainginya dari luar. Namun belum pernah ada kejayaan di pihak yang mana hati kecil mereka itu sangat tau, siapakah gerangan yang menjadi saingan mereka. Mereka sangat kenal Abuya.

Baru-baru ini sekelompok bekas pengikut Abuya memulakan usaha untuk menandingi jemaah Abuya. Kelompok ini mendakwa bahawa Ummu Jah telah mengambil alih kepemimpinan jemaah. Ia, mereka cuba meyakinan bahawa jemaah Abuya sedang dipimpin oleh seorang wanita yang sangat mereka ‘geruni’ semasa mereka masih bersama Abuya.

Ummu Jah sebagai seorang isteri yang sangat memahami cita-cita dan perjuangan Abuya, telah berjaya mengambil cita-cita dan perjuangan Abuya menjadi cita-cita dan perjuangannya juga.

Sejak beberapa lama sebelum pemergian Abuya, Ummu Jah telah pun diberi kepercayaan untuk mengendalikan program-program utama dalam jemaah. Malah pembangunan projek-projek bertaraf mega dalam perjuangan juga berjaya direalisasikan oleh Bonda Ummu Jah sehingga menjadikan perjuangan dan jemaah Abuya terus mendapat kepercayaan dan keyakinan masyarakat Islam dalam maupun luar negara.

Semenjak pemergian Abuya lebih setahun lalu, Bonda Ummu Jah telah melangkah lebih jauh dengan berjaya membuka restoran bertaraf lima bintang di Jordan selain memperkemaskinikan lagi projek yang sedia ada di Mesir dan di Syria. Bukan sekadar itu, beliau telah berjaya membuka laluan perjuangan ini untuk bertapak di Mekah dan Madinah dengan Power Kaabah.

Perjuangan kini berpusat dan berkampung di perkampungan Rasulullah saw yakni di Haromain. Ini semua diterajui oleh Bonda Ummu Jah atau Khadijah Aam yang merupakan isteri kedua Abuya.

Timbul persoalan apakah benar perjuangan Abuya telah diterajui oleh seorang wanita?

Jika benar perjuangan ini sudah kehilangan Abuya lalu jemaah Abuya ini bergantung semata-mata kepada kepimpinan seorang wanita, ini sangat luar biasa. Bayangkanlah seorang wanita mampu mengendalikan sebuah jemaah yang begitu besar, berpengaruh dan sangat digeruni oleh musuh-musuhnya, bukankah ini satu yang sangat luar biasa?

@ wazir-wazir Imam Mahdi dari seluruh dunia

Abuya pernah berkata kepada seorang tokoh politik yang juga bekas pemimpin nombor satu sebuah gerakkan Islam di Malaysia, katanya “Pemimpin kebenaran setiap zaman mestilah didampingi oleh Rasulullah saw”. Mana mungkin pemimpin perjuangan kebenaran mampu memperjuangkan kebenaran jika tidak dipimpin oleh Tuhan. Tuhan memimpin pemimpin kebenaran melalui RasulNya. Rasulullah saw merupakan wasilah kepada Tuhan!

Jika Abuya pun mengaku tidak mampu untuk memimpin sebuah jemaah dan perjuangannya yang sebegini besar jika tanpa didampingi oleh Rasulullah saw, maka apakah Bonda Ummu Jah lebih hebat daripada Abuya?

Bonda Ummu Jah tidak pernah sama sekali mengatakan perjuangan ini dipimpin oleh beliau melainkan beliau hanyalah sebagai wasilah kepada kepimpinan roh. Apakah yang dimaksudkan dengan kepimpinan roh? InsyaAllah kita akan bertemu lagi bagi tujuan mengulas isu berkenaan. Ampun maaf.

SIRI 4

Kali ini siri Abuya Masih Hidup memetik sebahagian wawancara Bonda Ummu Jah yang disiarkan dalam Buletin Rakyat keluaran 15 Ogos 2011.

S : Syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB) boleh dikatakan agak berjaya dalam meluaskan empayar perniagaan sehingga menembusi Negara Timur Tengah. Kenapa GISB terus dibayangi oleh Ashaari Muhammad?

UMMU JAH : Semua ketua-ketua syarikat yang inginkan syarikatnya maju jaya dan membesar akan melakukan apa juga kaedah, motivasi dan strategi kearah itu. Kadang-kadang mereka berbohong, menipu asalkan dengan cara itu barang-barang mereka akan laku. Yang haram jadi halal misalnya.
Bagi GISB, walaupun Abuya sudah tiada, tapi nama Abuya sangat bernilai kepada ahli-ahlinya. Iaitu sebagai pencetus yang membawa manusia kepada Allah. Mengingati perjuangannya orang akan teringatkan Allah. Abuya Ashaari sebenarnya pada kami adalah seorang yang telah ikatkan hati kami kepada Allah sebagai satu perangsang kepada kakitangan kami untuk mengembangkan syarikat GISB, tidakkah ia sebuah strategi dan motivasi yang bijak dan menguntungkan? Kenapa ya, ada orang yang tidak senang dengan itu semua? Walhal dalam masyarakat riba, tipu, fitnah, bohong yang teruk, itu pun dibenarkan atas nama bisnes.

S : Sebagai umat Islam kita wajib taksub kepada Allah Taala. Namun sesetengah pihak berpendapat bekas jemaah Al-Arqam dilihat seolah-olah begitu taksub dengan Ashaari. Apakah benar dakwaan ini?

UMMU JAH : Ada beberapa sebab kami, jemaah Ikhwan ini, dikatakan taksub dengan Ashaari. Ini adalah kerana Abuyalah yang berjasa memperkenalkan Allah yang Agung, maka jasa-jasanya dikira cukup besar dan amat dibanggakan. Walhal tidaklah taksub itu mengatasi cinta kami kepada Allah SWT. Abuya juga membuatkan kami terhubung hati juga dengan Nabi Muhammad SAW sebagai Nabi Akhir Zaman yang sedang berperanan sebagai pesuruh Allah. Maka siapalah tidak hendak berterima kasih yang setinggi-tingginya kepada Abuya itu. Tapi tentulah tidak sama kesyukuran itu dibanding dengan apa yang kami lakukan untuk Nabi Muhammad kekasih junjungan. Ertinya taksub kepada Abuya itu ialah taksub kepada seorang yang telah taksubkan kami kepada Allah dan Rasul-Nya. Hasil bimbingan dan tunjuk ajar Abuya maka kami menjadi seorang yang suka bersembahyang, berjuang di jalan Allah dan melaksanakan cara hidup Islam yang sedang kami alami, adalah hasil didikan dan semuanya ini adalah bimbingan Abuya. Sebelumnya kami asing dengan semua itu. Masakan dengan guru dan pemimpin yang begitu baiknya, kami tidak menghargainya. Tapi kami tidak pun melanggar syariat Allah dalam hal membalas budi baik seseorang manusia biasa yang begitu besar jasanya kepada kami. Macam taksub dengan ibu ayah saja dan tak lebih dari itu. Lagi pun Allah, Rasul pun memang suka orang yang berjasa dibesarkan jasanya. Seperti yang diamalkan oleh Negara dalam menghargai jasa pembesar-pembesar mereka. Atas tiga sebab ini, maka saya ulangkan lagi kenyataan di atas iaitu taksub kepada Abuya ialah taksubkan kepada seorang yang taksubkan kami kepada Allah dan Rasul. Sebenarnya dalam Islam ada nas iaitu menyebut nama orang soleh itu satu rahmat.

S : Jasa Abuya dalam meluaskan empayar perniagaan memang tidak dapat dinafikan sama sekali. Kenapa dalam meneruskan kesinambungan perniagaan GISB seolah-olah dilihat masih menggunakan nama Abuya atau tidak berusaha mewujudkan identiti baru?

UMMU JAH : Jasa Abuya Ashaari terbesar bukannya dalam hal perniagaan. Tapi jasa itu ialah beliau telah ikatkan hati kami dengan Allah SWT.

InsyaAllah akan menyusul beberapa siri lagi untuk membuktikan Abuya Masih Hidup. Antaranya ialah ulasan berhubung nasib musuh-musuh lama perjuangan dan tak lupa juga yang baru mula nak berputik.

No comments: