Saturday, March 3, 2012

Mazmumah Penghasut Manusia

Hakikatnya yang bergaduh, berkrisis,berkelahi dan berperang di dunia ini adalah sifat mazmumah manusia.Mazmumah-mazmumah yang disuburkan setiap masa dan ketika. Yang menjadi mangsa adalah manusia Tapi yang bergaduh dan berperang itu tidak nampak oleh mata.Yang nampak adalah manusia yang menjadi senjatanya.

Setiap hari bergaduh, berkrisis, berperang mazmumah manusia.Bergaduh dan berperang di antara sombong dan hasad dengki,di antara dendam kesumat dan sifat marah yang memusnah, di antara riyak dengan sum`ah yang menjadi orang sakit hati,di antara penghasut hati dan tamak yang dibenci. Mazmumah-mazmumah manusia bergaduh dan berperang tidak henti-hentinya.

Begitulah mazmumah manusia yang bergaduh dan berperang setiap hari.Mata tidak nampak tapi kesannya nampak pada kehidupan manusia. Makhluk yang berkrisis tidak nampak tapi senjata yang digunakannya nampak ,iaitu manusia yang menjadi alat kepada mazmumah.Manusialah yang parah dan susah.Manusialah yang menerima bahana dan padah.

Kalau manusia sedarlah siapa yang menghasut dan menggunakannya, mereka sudah tentu marah. Sudah tentu mereka akan memerangi berhabis-habisan mazmumahnya, kerana mazmumahlah punca segala petaka yang menimpa manusia. Jika manusia sedarlah bahawa jahatnya mazmumah mereka tidak akan bertolak ansur dengan mazmumah. Biarlah mereka berperang dengan mazmumahnya iaitu seterunya daripada berperang sesama mereka.

Pada diri manusia, hati adalah raja yang memerintah atau mengarah atau menggerakkan seluruh anggota manusia.Hatilah yang membuat atau bertindak. Akhlak, perangai, tabiat, tingkahlaku, tindak-tanduk, perlakuan, perbuatan,gerak-geri dan sikap manusia ditentukanoleh hati.Hati yang membuat keputusan sama ada mahu atau menolak. Hati yang memilih sama ada kebaikan atau kejahatan, positif atau negatif, rajin atau malas.

Gambaran lahiriah manusia itu adalah pantulan, natijah atau manifestasi dari hati manusia itu sendiri. Malah hati sangat berperanan membentuk atau mencorak ragam, gelagat, budaya dan tamadun sesuatu puak, golongan atau bangsa. Hati yang merupakan sebagai raja dalam diri itu pula, tempat rebutan antara nafsu dan iman. Apabila nafsu atau sifat-sifat mazmumah subur di dalam hati atau berjaya menguasai hati, maka kejahatanlah yang melanda kehidupan manusia. Subur dan berkembanglah segala macam budaya jahat dan mungkar. Tidak kira apa jenis kejahatan dan kemungkaran, semuanya adalah cetusan dari hati manusia yang sudah bersarang dengan nafsu serakah.

Sebaliknya apabila hati manusia itu berisi iman dan tagwa, adanya rasa kehambaan dan rasa bertuhan yang mendalam, maka syariat Tuhanlah yang berkembang. Kebaikan, selamat, sejahtera dan harmonilah kehidupan manusia. Akhlak mulialah yang terserlah, kasih sayanglah yang merata di kalangan manusia.

Inilah satu aspek yang sangat perlu difahami oleh semua umat Islam. Kerana inilah hakikat manusia. Kalau ini tidak difahami, biar beribu atau berjuta penyelidikan, kajian dan rumusan yang dibuat dan dihasilkan, bukan saja tidak menyelesaikan masalah bahkan merugikan masa, tenaga dan wang ringgit.

Cuba kita imbas kembali melihat peristiwa pembunuhan pertama di dunia iaitu Qabil membunuh Habil. Kedua-duanya adalah adik-beradik dan sama-sama anak kepada Nabi Adam a.s. dan Hawa a.ha. Pada waktu itu tidak ada manusia lain di dunia ini kecuali anak-beranak Nabi Adam a.s. itu saja. Sudah tentulah pada waktu itu tidak ada sama sekali sebarang pengaruh luar, sama ada dari saluran sosial, budaya, media, teknologi dan lain-lain.

Tidak ada siapa yang menjadi contoh, mengajar, mendidik, mengasuh, menyuruh, menghasut atau mempengaruhi Qabil untuk membunuh Habil. Hatta pada diri Qabil itu sendiri bukan tangan, kaki, mulut, hidung, telinga, mata, perut, leher, kuku, roma, misai, gigi, lidah dan lain yang mendorong Qabil membunuh Habil. Tidak lain dan tidak bukan adalah digerakkan oleh hati Qabil sendiri.Hati yang sudah digoda nafsu hasad dengki, iri hati,sombong, tamak, bakhil, ego, pemarah dan lain-lain sifat mazmumah.

Mari kita imbas pula mengapa rasul-rasul diutus kepada manusia. Para rasul diutus oleh Tuhan kepada manusia adalah sebagai penyelamat. Keselamatan yang dimaksudkan ialah agar manusia sejahtera, aman damai dunia Akhirat. Selamat manusia dari sebarang kejahatan dan kemungkaran dan mengikut syariat Tuhan. Manusia tidak akan mengikut syariat Tuhan kecuali hati manusia merasa kehambaan dan merasai bertuhan.

Ertinya para rasul diutus dan mereka berjuang mengenalkan manusia kepada Tuhan sekaligus merasai bertuhan. Apabila ini semua dimiliki oleh manusia maka tunduklah nafsu dan musnah segala sifat-sifat mazmumah dari hati manusia. Biar apa pun jenis godaan yang mendatang, hati manusia yang takut kepada Tuhan itu sendiri secara automatik akan menolaknya. Bilamana rasa kehambaan dan rasa bertuhan tiada di hati manusia atau rasa takut kepada Tuhan sudah tiada, tanpa ada sebarang pengaruh, godaan, pujuk rayu, maka manusia itu sendiri akan berbuat kejahatan sebagaimana peristiwa Qabil membunuh Habil.

Biar apa pun kejahatan manusia, biar apa pun namanya kemungkaran manusia, biar apa pun jenisnya kerosakan manusia , kalau kita sanggup mengakui dan menerima kebenaran, sanggup mengakui dan menerima kesalahan, maka yang paling bersalah ialah kita sendirilah, yang selama ini sangat membelakangkan Tuhan, sangat mengabaikan Tuhan, sangat meminggirkan Tuhan, sangat tidak mempedulikan Tuhan. Tuhan yang setiap detik tidak pernah memutuskan rahmat dan nikmat-Nya, tetapi kita manusia sebaliknya setiap detik melupai Tuhan bahkan menderhakai-Nya. Maka setiap detik pula hati kita dikuasai oleh nafsu dan mazmumah.

Hati yang sudah tidak memiliki Tuhan inilah yang diistilahkan sebagai `mind-set`. Ertinya kalau hati itu sudah disetkan oleh nafsu, berbagai-bagai jenis kejahatandicetuskannya. Mind-set` ini tak perlu ada siapa yang mengajarnya. Ianya akan pandai sendiri atau berupaya mencetuskan berbagai jenis kejahatan baru yang belum wujud sebelum ini.

No comments: