Sunday, March 4, 2012

Malaysia Maju : Ekonomi

TRANSLATE

"Seluruh aset, bahan mentah, sumber dan tenaga yang digunakan dalam menjana ekonomi itu adalah milik Allah semata-mata.Hanya Tuhan telah memilih kita untuk mengendalikannya untuk kebaikan sesama manusia sesuai dengan peraturan dan syariat yang telah ditetapkan oleh Tuhan ."

Ekonomi adalah keperluan manusia. Bahkan ekonomi adalah nadi kehidupan lahiriah manusia, sesebuah masyarakat dan sesebuah negara. la memenuhi tuntutan lahiriah manusia. Oleh itu, ekonomi tidak dapat dipisahkan dari kehidupan. Bahkan ekonomi adalah sebahagian dari kehidupan.

Justeru itu, ia mesti di majukan iaitu ia mesti dikendalikan dengan cara yang patut, adil, saksama, penuh belas ihsan dan kasih sayang. Seperti mana juga dalam keperluan-keperluan hidup yang lain, Tuhan tidak boleh diketepikan dalam kita melaksanakan dan mengendalikan ekonomi. Kalau Tuhan diketepikan, maka natijah dan hasil dari ekonomi itu akan memakan diri manusia sendiri. la akan rosak dan merosakkan.

Disebabkan Tuhan telah diketepikan, sistem ekonomi yang diamalkan sekarang di negara kita telah diseleweng dan dirosakkan oleh berbagai-bagai fahaman ciptaan akal manusia terutama sistem kapitalis. Timbul riba, monopoli, oligopoli, kartel dan mencari untung yang berlebihan. Untung itu dijadikan matlamat. Justeru itu maka timbullah penekanan, penindasan dan ketidakadilan. Lahirlah krisis, perbalahan, kesusahan, kerosakan dan perpecahan.

Dalam Islam, berekonomi dan berniaga bukan semata-mata untuk mencari duit dan untung. Kalau duit dan untunglah matlamatnya, pasti akan ada rebutan. Krisis dan pergaduhan pasti tidak dapat dielakkan. Ekonomi dan perniagaan Islam adalah berteraskan kasih sayang. Dalam Islam, berekonomi dan berniaga adalah ibadah bahkan ia termasuk di dalam jihad fisabilillah. Firman Allah :

Maksudnya: "Akan ditimpa kehinaan di mana kamu berada kecuali kamu tegakkan dua hubungan iaitu hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia. " (Ali Imran: 112)


Hubungan dengan manusia di sini termasuklah berekonomi, berniaga dan memenuhi kehendak dan keperluan masyarakat dan rakyat. Ada Hadis yang mengatakan:
Maksudnya: "Orang yang berekonomi mengikut syariat itu jihad seperti jihad fisabilillah. "

Ekonomi yang hadhari adalah untuk mendapat taqwa. Modalnya adalah taqwa untuk menambah taqwa. Modal wang dan keuntungan itu perkara mendatang. Berbeza dengan sistem ekonomi kapitalis. Modalnya adalah wang dan matlamatnya adalah untuk mendapat lebih banyak wang.

Hasil dari ekonomi Hadhari yang berasaskan taqwa, akan lahirlah ukhuwah dan kasih sayang, kemesraan, bertolong bantu, bersopan santun, bertolak ansur, mendahulukan kepentingan orang lain dan berbagai-bagai lagi sifat-sifat yang luhur dan terpuji.

Dasar Ekonomi Negara

Ekonomi Maju mengharamkan riba,tipuan,rasuah dan penindasan.Hutang piutang juga tidak digalakkan.Ini supaya negara dan rakyat tidak mudah dicatur oleh orang atau pihak lain.Pembaziran dan membuang harta dengan sia-sia dan kurang berfaedah ditentang.

Hasil-hasil pengeluaran dari sumber-sumber yang haram seperti riba, pelacuran, judi dan dengan cara-cara lain yang tidak halal adalah tertolak. Bahkan dari sumber yang makruh pun seperti hasil tembakau disuruh hindarkan.

Ekonomi Maju adalah ekonomi yang berdikari. Maksud-nya, ia boleh berdiri sendiri tanpa meminta sedekah atau berhutang atau bergantung dengan pihak lain. Lebih-lebih lagi dengan musuh-musuh Islam. Bahkan sepatutnya, ekonomi yang Maju itu mempunyai lebihan harta dan wang yang melimpah-limpah yang boleh disalurkan ke negara umat Islam yang lain.

HAKIKAT EKONOMI MAJU

Hakikat ekonomi Maju perlu difahami sepenuhnya supaya kita tidak tertipu dengan dunia. Kita mesti faham bahawa seluruh aset, bahan mentah, sumber dan tenaga yang diguna-kan dalam menjana ekonomi itu adalah milik Allah semata-mata dan bukan milik kita. Hanya Tuhan telah memilih kita untuk mengendalikan dan mengelolakan aset-aset dan sumber-sumber tersebut untuk kebaikan sesama manusia dan untuk memenuhkan keperluan dan kemaslahatan manusia sesuai dengan peraturan dan syariat yang telah ditetapkan oleh Tuhan.

Dengan kata-kata yang lain, kita berekonomi adalah se-bagai pengabdian diri kepada Allah demi untuk mendapat redha dan kasih sayang-Nya. Melalui kegiatan ekonomi, se-seorang muslim itu akan mendapat pahala di dunia dan juga pahala di Akhirat.

Pahala di dunia adalah keuntungan yang halal dan berkat hasil dari berekonomi dan pahala di Akhirat adalah ganjaran yang Allah telah sediakan baginya di Syurga. Ini dapat dalam sepotong ayat Al Quran:

Maksudnya: "Sesiapa yang mahukan pahala (balasan) dunia sahaja, maka rugilah dia kerana di sisi Allah di-sediakan pahala (balasan) dunia dan Akhirat. Dan ingat-lah, Allah sentiasa mendengar lagi sentiasa melihat." (An Nisa`: 134)

ASAS PENGURUSAN EKONOMI MAJU

Pengurusan ekonomi dalam konteks Malaysia Maju bermakna roh atau spirit dari ajaran Islam itu sendiri yang mahu diterapkan di dalam sistem ekonomi.

Menurut Islam, asas bagi tegaknya sesuatu sistem ialah manusia itu sendiri. Justeru ekonomi, asasnya juga adalah manusia bukannya wang ringgit atau hal yang lain. Ekonomi dalam Islam, asasnya bukan aset, juga bukan barangan bahkan bukan modal tetapi manpower atau tenaga manusia.

Mengapa manpower itu dianggap asas ekonomi Islam? Sebab yang hendak menggerakkan ekonomi itu adalah manusia. Manusialah yang menjadi faktor utama dalam menjana ekonomi dengan berkesan. Secara logiknya, katalah sesebuah negara itu, asetnya banyak atau bahan-bahan mentahnya banyak tetapi tenaga manusia tidak ada, bagaimana hendak diuruskan dan diproses bahan-bahan itu? Bahan-bahan mentah yang begitu banyak belum menjadi aset ekonomi selagi ianya belum diproses oleh tenaga manusia. Kalau ada tenaga manusia pun, ia ada hubungan pula dengan kepakaran. Kalau ramai rakyat (manusia) di dalam sesebuah negara itu tetapi tidak ada kepakaran, bagaimanakah emas, bijih, perak, minyak dan lain-lain bahan galian hendak dijadikan aset yang bernilai? Tidak ada ertinya juga. Negara itu kaya dengan khazanah tetapi hanya benda terpendam yang belum menjadi aset ekonomi dan kekayaan negara.

Selanjutnya, kalau pun ada tenaga manusia, yang ada kepakaran sehingga mampu memproses bahan-bahan semula-jadi yang Tuhan beri kepada sesebuah negara, untuk bangsa negara itu, hingga hasil itu dapat dijadikan kekayaan, kalau-pun berhasil, ada masalah lain pula. Mungkin nanti cara rnengagihkannya tidak betul. Kalau pun bahan mentah itu mampu dijadikan kekayaan, masih akan jadi masalah kepada negara atau kepada rakyat sebab pengagihan tidak seimbang. Maka jadilah golongan yang kaya semakin kaya manakala yang miskin semakin menderita. Khazanah atau kekayaan negara hanya dibolot oleh beberapa orang sahaja. Tuhan tidak zalim. Bahan mentah yang ada dalam sesebuah negara itu sebenar-nya cukup untuk keperluan setiap rakyat sekiranya diagihkan dengan sistem yang tepat dan mengikut cara yang Tuhan mahu. Firman Allah SWT:

Maksudnya: "Tidak ada sesuatu yang melata di bumi melainkan ke atas Allahlah rezekinya dan Dia mengetahui tempat kediamannya dan tempat menyimpannya. Segala yang tersebut itu ada di dalam Kitab yang Nyata." (Surah Hud: 6)

Dengan kata lain, setelah menggali bahan-bahan mentah itu lalu menjadi kekayaan, ada sistemnya lagi yang perlu di-ambil kira iaitu sistem dalaman diri manusia. Mereka yang mengendalikan kekayaan itu, bolehkah mengagihkan kekayaan tersebut secara adil kepada rakyat? Kalau ketika itu di dalam dirinya datang rasa tamak, maka kekayaan hanya terkumpul pada beberapa individu sahaja, lalu rakyat dan masyarakat akan terbiar. Negara itu dilihat kaya tetapi hanya namanya sahaja yang masyhur sebagai negara yang kaya. Lantaran tiada pengagihan yang baik, maka rakyat tetap miskin.

Cara pengagihan yang tidak betul ini adalah kerana dua sebab iaitu:
1. Kerana sistemnya.
2. Sebab manusia itu sendiri.

Justeru itu dapatlah dirumuskan di sini bahawa ada empat faktor utama yang perlu diambilkira dalam asas pengurusan ekonomi sesebuah negara, iaitu:

1. Sumber manusia
2. Kepakaran dan kemahiran
3. Sistem yang diguna pakai
4. Pembinaan insan

Kejayaan mengurus ekonomi negara bergantung kepada sejauh mana sumber manusianya mampu mengendalikan sistem ekonomi negara tersebut dengan jujur, amanah dan bertanggungjawab. Dengan kata lain, bagaimana setiap individu sama ada pemimpin, pengendali ekonomi, pelabur dan pekerja dapat menjadikan Tuhan sebagai Pemantau bagi segala gerak-gerinya.

Di dalam menghayati konsep Malaysia Maju dari sudut pengurusan ekonomi ini, kita tidak dapat lari dari merujuk kepada sejarah Rasulullah SAW dan Khulafa` ur Rasyidin. Apa yang kita lihat, oleh kerana bijaksananya Baginda Rasulullah SAW dan Khulafa` ur Rasyidin, sebelum memikirkan kekayaan, mereka fokuskan insaniah masyarakatnya terlebih dahulu sebab kekayaan itu ditentukan oleh insaniah. Sejauh mana mereka cinta dan takutkan Tuhan , sejauh itulah mereka mampu mengagih-agihkan kekayaan. Bukan sahaja mengagihkan kerana kewajipan menunaikan zakat semata-mata bahkan kerana insaniah mereka begitu murni dan kerana cinta dan takut mereka kepada Tuhan maka mereka sentiasa mencari peluang untuk mengagihkan kekayaan kepada orang yang memerlukan. Mereka rajin dan ghairah menderma dan bersedekah. Sebarang keperluan masyarakat yang perlu dibantu,mereka akan bantu. Di mana ada keperluan fardhu kifayah yang hendak dibangunkan,mereka akan berlumba-lumba menjayakannya. Itu bagi orang yang mampu yakni orang yang mempunyai kekayaan.

Begitu juga di pihak kerajaan.Pada waktu kedudukan kerajaan teguh,mantap dan stabil,kerajaan bertanggungjawab terhadap sebarang keperluan rakyatnya.Tidak ada orang miskin yang terbiar tanpa pembelaan.Begitu juga sekiranya negara mengalami kegawatan ekonomi, di mana negara sudah tidak mampu menampung banyak keperluan rakyatnya,maka pada ketika itu, para jutawan dan golongan kaya yang telah terbina insaniahnya,mereka pula yang tampil menampung keperluan negara khususnya dalam membela golongan miskin.

Jadi apa yang kita faham, dizaman Rasulullah dan Khulafa ur Rasyidin, di antara kerajaan dengan masyarakat yang kaya, mereka tampung menampung tanpa diminta .Waktu kerajaan susah,masyarakat kaya menampung.Bila mereka tahu sahaja ada keperluan, mereka terus memberi.Itulah yang dinamakan Baitul Mal.

Fungsi Baitul Mal itu antaranya adalah tempat simpanan khazanah hasil pemberian orang tanpa diminta.Jadi kerajasama tanpa diminta antara kerajaan dan rakyat yang senang itu adalah hasil insaniahnya yang sudah dibangunkan. Waktu kerajaan susah, mereka inilah yang cepat-cepat membantu kerajaan.Jadi tabung kerajaan tidak sempat kosong.Kerajaan boleh terus mengagihkan kepada rakyat yang perlu.Di waktu kerajaan mampu,ketika masyarakat susah, maka kerajaan pula bertanggungjawab.

Hari ini, kita membangunkan material dahulu sedangkan insaniah masyarakat tidak diberi perhatian.Insaniah mereka terabai.Jadi bila material didahulukan,ada orang yang berjaya, akhirnya jadi tamak , hanya meyimpan kekayaan untuk diri sendiri atau diagihkan kepada kroni-kroninya sahaja maka rakyat terbiar.Kalaupun kerajaan meminta bantuan dan sokongan kewangan daripada golongan kaya di dalam negara, paling baik mereka hanya membayar zakat atau membayar cukai.Bila dimints Sumbangan aradhi (mendatang) untuk membantu kerajaan,macam -macam alasan diberi.Untuk memberi sumbangan sukarela,daripada ketulisan hati yang inginkan keredhaaan Tuhan amat sukar sekali.Amat ketara pada waktu ini, kebanyakan orang yang ada kekayaan sudah rosak insaniahnya.

Firman Allah SWT :

Maksudnya : "Jangan engkau jadikan tangan engkau terbelenggu ke leher engkau dan jangan pula engkau lepaskan selepas-lepasnya.(jangan bakhil dan jangan pemboros.Nanti kamu akan duduk tercela dan menyesal." (Al Isra` 29)

Jelas pada kita ,konsep Malaysia Maju adalah ulangan sistem hidup yang pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW dan generasi Sahabat serta tabi`in.Telah wujud di zaman baginda rasulullah sstem hidup bertolong bantu berteraskan kepada cinta dan takutkan Tuhan .Justeru sistem tolong bantu beginilah sepatutnya menjadi amalan di antara pihak kerajaan dan sektor korporat di negara kita.

Firman Allah SWT lagi :

Maksudnya : "Bertolongbantulah kamu dalam mengerjakan kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu bertolongbantu dalam membuat dosa dan kezaliman." (Al Maidah : 2)

Memang kita akui, perkongsian pintar yang diamalkan selama ini merupakan unsur asas yang telah berjaya membina persekitaran ekonomi negara yang berdaya saing, tetapi kita juga harus yakin dengan konsep Malaysia Maju iaitu roh atau spirit dari bertolong bantu iaitu demi mendapatkan kasih sayang Tuhan akan lebih memberi kepuasan jiwa serta me-nambah nilai keberkatan dari Tuhan untuk kita. Tentulah amat berbeza bertolong bantu serta bekerjasama atas nama Tuhan dibandingkan dengan kerjasama yang menginginkan pem-balasan dan pulangan material.

SUMBER-SUMBER KEWANGAN NEGARA

1. Sumber taqwa

Allah SWT berfirman:

Maksudnya: "Barang siapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya dia dilepaskan dari masalah hidup dan diberi rezeki dari sumber yang tidak diduga." (At Thalaq: 2-3)

Firman-Nya lagi:

Maksudnya: "Kalau penduduk satu kampung itu beriman dan bertaqwa, kami (Allah) akan bukakan barakah dari langit dan bumi." (Al A`raf: 96)

Dengan janji-janji Tuhan yang pasti ini, maka dalam negara yang orang-orangnya majoriti bertaqwa kepada Allah, nescaya terdapat rezeki-rezeki yang Allah datangkan dengan cara-cara yang tidak disangka-sangka. Di samping itu, segala usaha akan diberkati yakni usaha yang sedikit akan mendatangkan hasil yang banyak apalagi kalau usahanya itu besar. Misalnya, tanaman-tanaman subur dan memberi hasil yang lumayan. Binatang-binatang ternak gemuk dan membiak dan menghasilkan susu dan daging yang banyak. Nelayan pulang dari laut membawa bekas yang sarat berisi hasil tangkapan. Itulah negara yang diberkati.

Ekonomi di sudut ini sudah dilupakan orang sekalipun para ulama bahkan orang akan ketawakan pula kerana dikatakan tidak logik dan tidak masuk akal. Kita harus faham, kerja Tuhan tidak perlu pada logik dan bukan hasil dari buah fikiran akal.

Untuk itu, pemerintah dan pemimpin perlu mengambil berat soal taqwa mereka dan juga taqwa rakyat jelata. Kerana taqwa adalah rahsia utama dan perkara asas bagi kejayaan ekonomi Maju dan negara Islam. Pencapaian taqwa mesti dijadikan dasar dalam sistem pendidikan di sekolah dan untuk orang dewasa dan rakyat jelata.

2. Hidup secara sederhana

Pemerintah dan rakyat yang bertaqwa mesti mampu hidup secara sederhana dan merasa cukup dengan kesederhanaan itu. Taraf hidup pemerintah dan rakyat sama sahaja. Umpama anak dengan ayah yang tinggal dalam sebuah rumah, tentu tidak ada beza apa-apa. Kecuali mungkin keperluan ayah lebih sedikit dari keperluan anak-anaknya. Juga kemudahan hidup ayah lebih dari keperluan hidup anak-anaknya kerana ayah itu memerlukan kemudahan dalam mengurus dan mengendalikan tanggungjawabnya untuk kepentingan anak-anaknya. Itu sahaja bezanya.

Dalam ekonomi Maju, tidak ada pemerintah atau orang kaya yang hidup bermewah-mewah dan berfoya-foya. Mereka semua hidup sederhana. Lebihan harta mereka (kalau ada) adalah untuk mengisi tabung-tabung jihad dan kebajikan untuk kegunaan rakyat yang memerlukan. Kekayaan orang-orang kaya adalah untuk menampung keperluan negara dan rakyat yang susah. Bukan untuk menampuk-nampuk dan mengumpul harta untuk berfoya-foya dan membuang harta dengan sia-sia.

Had hidup sederhana yang dimaksudkan itu ialah hidup dalam keadaan cukup keperluan asas dan kemudahan-kemudahan hidup. Keperluan asas ialah tempat tinggal, makan minum yang asas, pakaian dan seumpamanya yang secara sederhana yakni tidak berlebihan dan tidak pula kurang. Kemudahan hidup pula ialah seperti kenderaan, eletrik, air paip, telefon, alat-alat dapur, perabot rumah dan lain-lain yang berguna untuk memudahkan melaksanakan tanggung-jawab dan memberi faedah kepada rakyat.

Dalam keadaan pemerintah dan rakyat hidup sederhana, maka kekayaan akan terkumpul untuk digunakan oleh negara dalam projek-projek pembangunan milik rakyat bersama. Negara dan rakyat akan jadi makmur dan maju tanpa perlu minta sedekah dan berhutang sana-sini. Hutang akan melenyapkan kemerdekaan serta menjatuhkan maruah agama, negara dan bangsa

3. Tiada pembaziran

Pembaziran sangat ditentang. Menghabiskan harta kekayaan dengan sia-sia juga sangat ditentang. Ertinya dalam negara Islam yang MAJU, tidak ada dari kalangan pemerintah atau orang kaya yang hidup bermewah-mewah, boros, berjudi, minum arak, berfoya-foya dan membazir. Mereka hidup secara sederhana.

Kelengkapan rumah atau hiasan yang haram, sia-sia, membazir dan tidak berfaedah juga tidak dibenarkan oleh Islam. Pembaziran seperti ini haram hukumnya seperti yang Allah Taala firmankan:
Maksudnya: " Sesungguhnya orang yang membazir, mereka itu adalah saudara syaitan. Dan syaitan itu kufur terhadap Tuhannya." (Al Isra`: 27 )
Harta kekayaan mereka yang lebih sebaiknya diinfakkan kepada negara dan agama, kepada kebaikan, kebajikan, fakir miskin dan untuk rakyat yang memerlukan.

4. Sumber zakat

Zakat, baik zakat fitrah, zakat harta, zakat perniagaan, ternakan dan tanaman adalah juga sumber kewangan negara. Perkara ini diwajibkan oleh Islam. Zakat membersihkan harta dan jiwa. Sistem zakat sangat berperanan dalam membantu lapan asnaf yang layak menerima zakat. Ini dapat meringankan beban negara di samping dapat memupuk kasih sayang dan keharmonian di kalangan masyarakat.

Zakat dikeluarkan apabila sampai haulnya setiap tahun sekali pada kadar dua setengah peratus. Apabila wang zakat ini dapat diagihkan kepada lapan asnafnya dengan betul, nescaya beban negara akan berkurangan. Kehidupan fakir miskin dapat dilegakan dan akan berlaku bermacam-macam kebaikan dalam masyarakat dan negara.

5. Sumbangan orang kaya

Dalam ajaran Islam, juga dalam konsep Malaysia Maju, sesiapa yang mempunyai kelebihan dari orang lain, mereka mem-punyai tanggung jawab dan kewajipan yang lebih pula kepada masyarakat dan negara. Orang kaya yang mempunyai banyak harta dan wang ringgit mempunyai lebih kewajipan dan tanggung jawab. Kewajipan itu dinamakan wajib aradhi atau wajib yang mendatang.

Wajib hukumnya bagi orang kaya menunaikan tanggung jawab dari kekayaan mereka untuk keperluan semasa yang mendatang atau yang mendesak seperti berikut:

  • Jika negara diserang musuh, wajib bagi mereka mengguna-kan wang dan harta mereka untuk membeli senjata lebih-lebih lagi jika diminta oleh pemerintah untuk berbuat demikian.
  • Jika negara berhadapan dengan zaman meleset, wajib mereka membantu negara.
  • Menggunakan harta dan wang mereka untuk keperluan pendidikan atau untuk perhubungan bagi kepentingan umum.
  • Perkara yang pemerintah tidak berkemampuan, mereka berkewajipan dan bertanggung jawab untuk melengkapkan atau mencukupkan keperluan tersebut. Mereka tidak boleh menganggap itu sebagai tanggung jawab pemerintah se-mata-mata
  • Jika pemerintah mengarahkan mereka membuat sesuatu atau membuat perkara-perkara tertentu demi untuk kepentingan umum kerana negara sudah tidak mampu lagi untuk membuatnya, maka wajib bagi mereka menunaikan-nya.
  • Mereka yang enggan mematuhi perintah untuk memberi hartanya demi kepentingan umum, maka pemerintahan boleh memaksa mereka berbuat demikian dan mereka wajib memberinya.

Selain itu, Islam sangat menganjurkan penganut-penganut-nya menjadi pemurah. Bukan sekadar sanggup mengorbankan harta dan wang ringgit untuk zakat dan perkara yang wajib sahaja sama ada wajib yang ditetapkan atau wajib aradhi tetapi digalakkan juga umat Islam bersedekah, menderma, menjamu, berkorban, membantu dalam kemalangan dan musibah, membantu membiayai perubatan, biasiswa dan me-modalkan perniagaan kecil-kecilan rakyat, membantu se-kolah-sekolah, masjid, memberi hadiah, mewakafkan harta seperti tanah, bangunan, kebun, bahan-bahan bacaan, ken-deraan dan lain-lain lagi.

Ini supaya masyarakat Islam dapat membangun dengan cepat. Yang sedang maju bertambah maju, yang kurang maju akan menjadi lebih maju, yang kurang dapat dicukupkan, yang koyak dapat ditampal, yang lemah dapat dikuatkan, yang tidak sempurna dapat disempurnakan, yang tidak sudah dapat disudahkan dan yang tidak mampu dapat hidup sama macam orang yang mampu. Dengan demikian, yang sedih akan ceria semula, yang terbiar dapat dibela, fakir miskin tidak lagi sengsara, anak-anak yatim dapat diselia dan janda-janda dapat dijaga.

Kekayaan yang ada pada orang-orang kaya, Tuhan yang punya. Jika kekayaan itu dipulangkan semula kepada hamba-hamba Tuhan, maka orang-orang kaya tidak akan dihina. Bah-kan mereka menjadi orang yang mulia di sisi Tuhan dan di sisi manusia. Tuhan jadikan sesetengah orang itu kaya dan sesetengahnya fakir dan miskin, ada sebab dan hikmahnya. Tuhan tidak bermaksud supaya orang kaya berbangga-bangga dan orang miskin sakit jiwa.

Sebab itu menurut Islam, dalam harta orang kaya itu ada hak orang fakir dan miskin yang mesti ditunaikan. Sekiranya hukum dan tanggung jawab ini diabaikan, akan turun bala bencana. Masalah dan kepincangan akan berlaku dalam masyarakat. Akan berlaku kes curi, rompak dan bunuh yang dilakukan oleh orang-orang miskin yang jahat dan dengki terhadap orang kaya yang sombong dan bakhil.

No comments: