Saya bersyukur kerana mendapat risalah tersebut, kerana dapatlah saya mengetahui dari tulisan-tulisan itu apa yang sedang berlaku di negeri yang dikatakan terlaksananya pemerintahan Islam itu dari kerajaan Kelantan sendiri. Dengan itu dapatlah saya mengukur ketepatan pandangan saya, betulkah bahawa politik Barat yang dipinjamkan untuk Islam tidak membawa kepada mengenali Islam’?
Saya bimbang juga kalau-kalau rakyat Kelantan akan marah kerana berkata yang demikian itu. Namun risalah yang membentangkan langkah-langkah kerajaan negeri untuk mengislamkan Kelantan, bolen menjadi penentu, pandangan siapa yang benar, sama ada pandangan saya yang mengatakan negara Islam tertegak melalui motivasi aan pendidikan atau pandangan orang politik yang mengatakan negara Islam dapat ditegakkan melalui pilihan raya secara politik Barat.
Berikut saya akan buat satu analisa terhadap risalah Kelantan Terus Membangun Bersama Islam, supaya kita sama-sama dapat melihat di manakah titik perbezaan antara kedua-dua pandangan, sekaligus untuk melihat di mana kebenarannya.
Mentadbir sebuah negeri ertinya mahu mencorak seluruh pentadbiran, para pentadbir, seluruh penduduk dan seluruh aspek kehidupannya dengan cara hidup Islam. Setiap aspek hidup seperti akidah, ibadah, muamalah, ekonomi, siasah, jenayah, munakahat, masyarakat dan lain-lain, hendaklah dilaksanakan secara Islam. Demikian juga soal budaya, tarbiah, kesihatan, pertanian, rumah tangga dan serba-serbi tentang kehidupan insan. Semuanya hendak dilakukan menurut Islam.
Itulah dia sifat negeri Islam. Tanpa pengamalan hidup cara Islam, negeri itu tidak boleh dikatakan negeri Islam. Sebuah rumah tangga yang tidak mengamalkan cara hidup Islam. tidak munasabah dinamakan rumah tangga Islam. Cuma boleh dikatakan rumah tangga orang Islam. Demikian juga sebuah kampung yang tidak menegakkan cara hidup Islam, tidak logik untuk dikatakan kampung Islam, walaupun ketua kampungnya ada cita-cita Islam. Hanya boleh dipanggil kampung orang Islam.
Majoriti rakyat Kelantan belum mengamalkan cara hidup Islam secara syumul, walaupun mereka minat dengan negeri Islam. Sebab itu mereka undi PAS. Namun realiti hidup mereka tidak memperlihatkan mereka ghairah dengan cara hidup Islam. Ya, kerana mereka belum dididik ke arah itu. Kerana keIslaman mereka bukan melalui didikan tetapi melalui politik. Mereka baru diberitahu tentang kehebatan negeri Islam. Sedangkan bentuk kehebatan dan cara-cara melaksanakannya belum diajarkan pada mereka.
Seperti orang beritahu tentang kehebatan memiliki hutan balak. Tentu ghairah ingin memiliki lesen balak. Tapi bila lesen di tangan, apa yang perlu dibuat? Kerja-kerja membalak rupa-rupanya bukan mudah. Persiapan kepakaran dan peralatan canggih yang diperlukan cukup mahal dan payah diperolehi. Akhirnya, hutan balak terbiar.
Jentera penting untuk memulakan kerja-kerja pengislaman sebuah negeri atau negara ialah jentera pendidikan insan. Set yang lengkap bagi jentera ini ialah:
1. Minda atau ilmu yang sudah terbukti dapat mengubah fikiran dan hati manusia kepada cara hidup Islam.
Saya katakan ilmu yang terbukti kemampuannya, sebab ada ilmu yang tidak mampu mengubah hati manusia. Ilmu itu walau bertahun disyarahkan, tetap tidak mampu mengubah manusia kepada cara hidup Islam.
Ilmu Islam yang ada di sekolah, maktab dan universiti di dunia hari ini, yang telah disahkan melalui sijil dan degri itu, nampaknya tidak begitu mampu mengajak manusia menegakkan cara hidup Islam, sekalipun di tempat pengajian itu sendiri. Tidak juga dapat mengislamkan orang yang bukan Islam. Dan juga, orang yang telah menerima pendidikan melalui sijil dan degri, iaitu siswazah keluaran universiti ini tidak mampu untuk membangun. Hal ini pernah disahkan oleh Anwar Ibrahim ketika menjadi Menteri Pendidikan.
Ilmu-ilmu Islam di pondok pun saya lihat tidak mampu menegakkan Islam secara syumul walaupun di pondoknya sendiri. Hasil mengaji muamalah di pondok-pondok pengajian, sebuah kedai runcit Islam pun tidak terbangun di kawasan pondok. Ertinya, ilmu Islam yang diadun oleh sistem pondok itu tidak ada power atau berkat, yang mampu menghidupkan ilmunya dalam realiti kehidupan insannya kecuali di dalam hafalannya sahaja.
Sebab itulah saya tegaskan bahawa minda atau ilmu yang mesti ada untuk menyegerakan kerja pendidikan insan bagi sesebuah negeri atau negara itu ialah ilmu yang terbukti kemampuannya membentuk manusia Islam yang sanggup mengamalkan cara hidup Islam di semua aspek.
2. Tenaga manusia yang terlatih dan terdidik dalam menyampaikan minda tersebut.
Tanpa tenaga yang terlatih dan terdidik, akan terjadilah proses trial and error yang akan melambatkan kejayaan program pembangunan insan itu. Kerja yang boleh dibuat selama enam bulan, terpaksa memakan masa lima tahun misalnya. Hal ini sungguh bahaya.
3. Media-media cetak dan elektronik digunakan untuk membantu mempercepatkan proses penyampaian mesej pendidikan insan itu ke seluruh negeri atau negara.
Maksudnya, minda itu disalurkan ke tengah masyarakat melalui buku, majalah, risalah, komik, gambar-gambar, kaset, video, radio, Tv, stiker, pamphlet dan lain-lain kaedah lagi. Kalau seluruh bentuk media dapat dikuasai oleh program pembangunan ini, insya-Allah, dalam masa yang singkat, separuh daripada masyarakat yang Islam dan yang bukan Islam akan faham dan sedar perihal keindahan dan kebaikan Islam. Lalu mereka akan melibatkan diri dalam projek membangunkan cara hidup Islam di dalam negeri atau negara.
4. Kemampuan kewangan.Kemampuan kewangan juga penting untuk menjayakan program pendidikan insan ini.
Tanpa wang yang cukup, banyak kerja tergendala. Sebab itu persiapan kewangan yang cukup mesti dibuat. Alasan tidak ada wang untuk membangunkan Islam, tidak akan menyelesaikan masalah bahkan akan menjatuhkan imej perjuangan Islam itu sendiri. Kerana salah satu sifat perjuangan itu ialah berkorban apa saja. Sepatutnya tidak timbul soal tidak ada wang.
5.Pemimpin mesti mampu menyelesaikan masalah serta menjadi role model kepada orang ramai.
Oleh kerana ramai orang yang belum faham Islam, maka macam-macamlah masalah dan persoalan yang akan dibangkitkan. Jentera pendidikan insan mesti mampu menjawab masalah dan persoalan serta mampu menjadi kaunselor kepada rakyat. Kalau begitu tentulah para-para pemimpin pejuang itu perlu terlebih dahulu menghayati dan mengamalkan Islam secara syumul sebagai role model kepada pengikut dan kepada orang ramai. Kalau dahulu Rasulullah dan para Sahabat hidup mereka seperti "ruhbanufillail waful’sanu binnahar" (bagai abid di malam hari dan singa pada siangnya).
6. Model atau contoh masyarakat yang mengamalkan cara hidup Islam yang syumul mestilah wujud.
Kalau kita bercerita tentang kebagusan sehelai baju, orang akan lebih yakin kalau dapat lihat contoh atau model yang memakainya. Kalau nampaknya betul-betul cantik dan kemas, mudahlah mereka menerima dan menirunya.
Tanpa model, macam-macam tandatanya akan timbul yang tidak selesai-selesai dan ini akan menyusahkan kita untuk membangunkan masyarakat Islam. Sebab itu Rasulullah menyiapkan masyarakat Islam contoh di Madinah. Walaupun kecil, kerana masih bertaraf toifah atau jemaah, tetapi menyakinkan. Dengan kuasa Negara ia akan mampu membesar. Orang tertarik dengan model yang baik dan menyakinkan itu. Persiapan model masyarakat Islam tulen juga memberi pengalaman yang penting kepada para pejuang untuk membangunkan Islam di peringkat Negara. Yakni dalam jemaah atau parti. Negeri akan rujuk kepada jemaah. Negara akan rujuk kepada negeri dan seterusnya.
Itulah persiapan yang perlu ada untuk memulakan kerja membangunkan masyarakat Islam di sesebuah negeri atau negara. Sedangkan saya melihat, perkara ini tidak ada dalam senarai langkah-langkah membangun bersama Islam di Kelantan. Terdapat dalam mukasurat 8 risalah berkenaan, rancangan kempen kesedaran tutup aurat dan di muka surat 11, arahan yang berbunyi:
“Bila masuk waktu sembahyang, maka semua kakitangan kerajaan mesti berhenti bekerja untuk menunaikan solat secara berjemaah.”
Minta maaflah kalau saya terpaksa berterus-terang. Kedua-dua tajuk ini (tutup aurat dan sembahyang jemaah ) ada berbau pendidikan insan, ke arah melaksanakan sembahyang dan menutup aurat di kalangan masyarakat. Bunyinya bagus sekali. Tapi soalnya, ia tidak semudah itu. Hukum sembahyang dan menutup aurat bukan seperti hukum pakai topi keledar dan tali pinggang keledar. Pakai topi dan tali pinggang keledar atas dasar kempen dan arahan, itu tidak salah. Tetapi tutup aurat dan sembahyang dibuat kerana arahan dan semangat tidak sah, tidak dapat pahala, dan di akhirat, Allah tidak terima sebagai ibadah. Ini disebabkan orang yang buat perkara itu kerana takutkan denda. Ibadah yang dikerjakan oleh seseorang bukan dengan tujuan ibadah, tidak akan diterima di sisi Allah.
Apa ertinya seseorang sembahyang tetapi tidak diterima oleh Allah sembahyangnya? Biasanya hukum yang dibuat kerana arahan, orang akan lakukan di depan umum saja. Tetapi tidak bila keseorangan. Seperti tali pinggang keledar, orang cuma pakai di hadapan polis trafik sahaja. Di belakang mereka, orang tidak pakai bahkan ada juga orang yang mengata.
Mendidik kesedaran ertinya menanam iman yang kuat ke dalam hati insan. Imu tentang iman yang kuat mesti disampaikan dalam bentuk pendidikan yang berkesan, bukan kempen atau arahan yang sambil lewa dan sekali-sekala. Pokok yang tuannya menabur baja, lalu meminta dia sendiri menyiram dan membaja dirinya, tentu tidak akan sampai matlamat. Jauh sekali untuk subur.
Begitulah tamsilan bagi membezakan konsep menegakkan hukum Allah melalui pendidikan dan melalui arahan. Walaupun nampak lahirnnya seakan -akan sama, tetapi kesannya amat berbeza. Yang satu menjadi ibadah di sisi Allah, yang satu lagi tertolak di sisi Allah. Kerana yang satu dari hati, satu lagi berpura-pura. Yang satu kerana Allah, yang satu lagi kerana kerajaan.
Jentera kedua yang mesti ada untuk mengislamkan negeri atau negara, yakni sesudah ada ramai insan yang mahu kepada cara hidup Islam, ialah jentera pembangunan material atau pembangunan tamadun fizikal. Di antara pembangunan yang penting ialah sistem muamalah (ekonomi), sistem pembelajaran atau pendidikan formal di sekolah, maktab dan universiti, sistem sosial, pentadbiran, kebudayaaan, kesihatan, perhubungan, pertanian dan lain-lain lagi.
Untuk menegakkan sistem ekonomi Islam, kerajaan mesti memulakan dengan memikirkan masalah ekonomi rakyat. Masalah orang kaya dengan orang miskin. Supaya orang kaya itu tidak tamak dan rakus dengan kekayaan serta orang miskin redha dengan kemiskinan dan berusaha untuk mendapatkan keperluan hidup. Huraian panjang lebar tentang persoalan ini ada dalam buku saya Falsafah Kemiskinan dan Jalan Penyelesaiannya Menurut Islam
No comments:
Post a Comment