————————————————————————————————————————–
Diadaptasi dari petikan buku BARAT DI AMBANG MAUT, tulisan Ustaz Hj Ashaari Muhammad
Kuasa besar SOVIET UNION sudah tidak wujud lagi. Perang dingin sudah lama berakhir. Tembok Berlin yang dulunya memisahkan Jerman Jimur dan Jerman Barat telah runtuh dan membawa kepada bersatunya kedua-dua negara Jerman itu. Manakala dalam dekad-dekad seterusnya selepas keruntuhan sistem komunis, negara-negara Barat lain pula menghadapi masalah keresahan sosial, kejatuhan ekonomi, krisis politik, kemiskinan, keruntuhan nilai-nilai kemanusiaan, dan keganasan golongan remaja termasuklah yang dewasa.
Malah Amerika sepanjang di bawah pentadbiran George W. Bush telah menghadapi kemelesetan ekonomi yang begitu teruk yang boleh menjatuhkan martabat negara dan menakutkan rakyatnya. Semua ini merupakan petanda-petanda bahawa ideologi politik Barat tidak mampu menyelesaikan berbagai masalah masyarakat di negara-negara mereka. Sesebuah ideologi hanya akan dianggap baik kalau ia berjaya mencapai sesuatu yang diharap-harapkan. Dan kejayaan itu banyak bergantung pada pemimpin serta juga pengikut yang memiliki sifa-sifat yang baik. Kalaupun ideologi itu baik dan boleh membawa manfaat tapi sekiranya pemimpin-pemimpinnya memiliki sifat-sifat jahat, maka akhirnya ia akan membawa akibat yang tidak dikehendaki. Begitu juga sekiranya ideologi itu sendiri tidak jelas atau samar-samar tentang cara perlaksanaannya ia akan gagal.
Kejatuhan Soviet Union setelah lebih 70 tahun berkuasa, jelas menunjukkan bahawa komunisme sebagai ideologi politik telah gagal di tangan pemimpin-pemimpin dan pendukung-pendukungnya sendiri. Komunisme gagal memberi jawapan kepada masalah-masalah rakyat dalam semua aspek. Nyata bahawa tidak semua aspek kehidupan diambil kira dan komunisme hanya laku untuk waktu yang terbatas. Kejatuhan komunis juga membuktikan ideologi ini tidak dapat diterima kerana peraturan dan prinsip-prinsip di dalamnya menidakkan fitrah semula jadi manusia. Namun yang paling jelas, kejatuhan komunis adalah disebabkan kejahatan para pemimpinnya. Tidak ada peraturan dalam sistem komunis yang mensyaratkan pemimpin-pemimpinnya mesti terdiri dari orang yang baik-baik. Sekarang komunis sudah mati.
Demokrasi yang menjadi pegangan orang- orang Barat juga sedang menuju nasib yang sama. Disebabkan gagal membuktikan kesesuaiannya untuk semua zaman, dan kemampuannya menyelesaikan berbagai masalah masyarakat, maka demokrasi juga akan ditolak dan bila-bila masa akan diisytiharkan hapus. Kerana ia hanya indah pada teori. Sedangkan dalam praktiknya, ia telah menjerumuskan Barat ke lembah kemusnahan. Sementelahan pula pemimpin’pemimpinnya adalah orang orang yang bernafsu buas dan berkepentingan, yang hanya fikirkan kuasa, nama dan kekayaan.
Demokrasi tidak menekankan soal pembangunan insan atau pembangunan jiwa. Apatah lagi menggariskan agar pendukung – pendukungnya memiliki sifat-sifat terpuji (mahmudah) dan membuang sifat-sifat keji (mazmumah), yang mana itu hanya mungkin dicapai melalui proses mujahadah melawan hawa nafsu. Maka jadilah kehidupan di bawah sistem demokrasi sebuah kehidupan yang berpandukan hawa nafsu semata-mata. Kehidupan yang menjadikan manusia-manusianya berperangai seperti haiwan.
Tidak ada langsung dalam sistem demokrasi saranan agar manusia takut kepada Allah SWT yang berkuasa atas segala sesuatu termasuk menentukan jaya atau gagalnya satu-satu ideologi itu. Kalau Tuhan menghendaki ia berjaya, berjayalah ia. Sebaliknya kalau Tuhan kata gagal, ianya pasti berlaku walaupun orang-orang yang mendukungnya bijak-bijak dan berkebolehan belaka. Dalam sistem demokrasi juga tidak ada menyelit tentang perbuatan baik akan dibalas dengan kebaikan, manakala kejahatan dibalas dengan hukuman yang setimpal.
Berdasarkan perkara-perkara inilah saya yakin bahawa masanya akan tiba bilamana Barat akan hancur disebabkan ideologi ciptaan mereka sendiri. Tidak mustahil sedikit masa lagi pemimpin-pemimpin mereka akan isytihar bahawa, demokrasi sudah berkubur di Barat. Ideologi ciptaan otak itu sedang mengheret mereka ke lembah kebinasaan. Para pemimpin mereka ibarat pemandu kereta yang memandu dalam keadaan mabuk, dia akan menjerit-jerit dan terpekik terlolong sepanjang-panjang jalan.
Kejahatan-kejahatan yang ada pada pemimpin-pemimpin itulah yang menjadi punca membiaknya sifat-sifat nafsu yang jahat dalam masyarakat Barat kini, seperti sifat sombong, riyak, tamak, hasad dengki, mementingkan diri dan keluarga.
Mereka mengambil kesempatan daripada kuasa dan kedudukan untuk mencapai kehendak nafsu, sekalipun untuk itu mereka terpaksa menekan, menipu, berlaku kejam, bahkan membunuh dan sebagainya. Dan orang-orang inilah yang diharapkan untuk membentuk sebuah kerajaan yang adil dan stabil di mana kepentingan rakyat dan negara terpelihara dengan baik? Apakah harapan ini akan terpenuhi? Tidak mungkin. Samalah seperti tidak mungkinnya kita mengharapkan seorang ayah yang memiliki perangai bengis dan kejam untuk berlaku adil dan baik terhadap anak-anaknya. Yang mungkin berlaku ialah, anak-anak akan berada dalam keadaan resah gelisah dan takut sepanjang masa.
Parlimen yang dianggap sebagai institusi tertinggi dalam sistem demokrasi itu pun telah disalahgunakan oleh pemimpin-pemimpin yang rosak dan jahat ini. Institusi yang dianggap mulia itu telah dijadikan gelanggang perdebatan, jerit pekik, hentam-hentam meja, mengaju penumbuk dan berbagai lagi perangai buruk yang tidak sepatutnya dilakukan oleh orang-orang bijak pandai dan bermaruah. Di parlimen juga berlaku kejadian bertumbuk sesama mereka, bahkan pernah terjadi perbalahan sengit dihentikan dengan cara dilepaskan tembakan di udara. Kenapa hal-hal memalukan seperti ini boleh berlaku di parlimen sedangkan mereka adalah orang-orang yang dipilih oleh rakyat untuk menjalankan tugas-tugas yang mulia?
Perbuatan menikam kawan dari belakang, jatuh-menjatuhkan dan bidas-membidas sudah jadi perkara lumrah bagi orang-orang politik dan pemimpin-pemimpin negara, sebagai satu cara untuk menaikkan diri sendiri. Skandal-skandal perniagaan dan seks juga biasa berlaku di kalangan mereka.
Kerapkali terdengar berita pemimpin-pemimpin parti dan menteri-menteri yang letak jawatan selepas dikaitkan dengan satu-satu skandal. Maka tidak salah kalau saya katakan, suasana di parlimen itu tidak ubah seperti yang berlaku dalam kelas murid-murid nakal, atau seperti dalam kem tahanan orang-orang jahat.
Apabila pemimpin inenyeleweng, gila kuasa dan kedudukan, maka rakyat akan berada dalam keadaan kucar-kacir dan tidak terkawal. Dalam menjalani kehidupan sehari-hari, mereka akan berbuat apa saja yang terlintas di hati dengan mendakwa itu adalah sebahagian daripada hak kebebasan individu. Maka negara seluruhnya akan ditimpa bermacam-macam masalah yang tidak kunjung selesai. Akhirnya, berlakulah kerosakan di daratan dan lautan yang diakibatkan oleh perbuatan manusia yang semata-mata mahu memuaskan kehendak nafsu buas mereka itu.
Firman ALLAH:
Berlakulah kerosakan di daratan dan di lautan disebabkan
oleh usaha tangan manusia, supaya ALLAH merasakan
sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka
kembali (ke jalan yang benar).
(Ar Rum: 41)
Di kebanyakan negara Barat misalnya, undang-undang memberi kebebasan kepada rakyat untuk berbuat apa saja yang mereka suka seperti mengamalkan free sex, homoseks, pelacuran dan sebagainya. Rakyat juga bebas untuk menyuarakan rasa tidak senang mereka atau bantahan terhadap pemerintah dengan mengadakan demonstrasi secara terbuka. Mereka nampaknya ,tidak menghormati dan tidak takut langsung pada pihak berkuasa. Pemerintah sendiri tidak mampu untuk mengawal atau mendidik rakyatnya. Apa yang terdaya mereka lakukan hanyalah membuat peraturan agar demonstrasi-demonstrasi dari kumpulan-kumpulan yang tidak puas hati itu, tidak berlaku serentak dengan cara itu dapatlah dielakkan dari berlakunya bantahan secara besar-besaran di peringkat nasional, yang akibatnya boleh melumpuhkan jentera pentadbiran dan ekonomi negara.
Bagaimanapun, masalah yang mencetuskan rasa tidak puas hati rakyat itu tidak juga selesai. Cerita itu akan hilang begitu saja. Nampaklah betapa lemahnya kerajaan. Mungkin di satu segi ia dapat menyejukkan hati rakyat apabila mereka itu dibenarkan meluahkan rasa tidak puas hati mereka. Tetapi di segi lain, kerajaan juga yang susah akhirnya kerana setiap hari terpaksa menghadapi kumpulan-kumpulan tunjuk perasaan yang berlainan, dengan masalah yang berlainan pula. Lalu berlakulah keresahan masyarakat di seluruh negara hingga menakutkan pelabur dan pelancong.
Kerajaan semacam itu adalah sebuah kerajaan yang tidak cekap dan tidak layak memerintah. Mereka tidak ada ilmu untuk mentadbir manusia lalu menggunakan pendekatan yang salah untuk memimpin dan mendidik rakyat.Oleh sebab itu pemimpin-pemimpinnya tidak mungkin berjaya mengadakan penyelesaian yang terbaik bagi sebarang masalah yang timbul dalam masyarakat. Bukan saja masalah tidak selesai, bahkan bertambah teruk lagi.
Ada negara yang telah membuat undang-undang.yang membenarkan perkahwinan antara sesama wanita. Tujuannya agar mana-mana wanita yang enggan berkahwin dengan lelaki kerana takut mengandung, akan terpenuhi tuntutan nalurinya dengan berkahwin sesama mereka. Hubungan homoseksual juga suatu yang dibela dan diberi simpati serta dibenarkan ‘berkahwin’. Akibat dari itu, berlakulah kejatuhan dalam angka per tumbuhan penduduk dan merebaklah wabak AIDS. Sebenarnya punca segalanya ini adalah dari sikap mereka yang enggan tunduk kepada kebenaran yang datang dari ALLAH SWT sebagaimana termaktub dalam Al Quran.
Formula kebahagiaan suami isteri ada di dalam Al Quran dan praktiknya telah dicontohkan oleh Rasulullah SAW yang telah berjaya melahirkan generasi salafussoleh yang merupakan masyarakat contoh sepanjang zaman. Kalau orang Barat mahu mengikuti petunjuk Al Quran sebagaimana yang dipraktikkan oleh Rasulullah, maka selesailah satu masalah besar yang dihadapi oleh kaum lelaki dan wanita mereka. Menyelesaikan masalah bukan boleh dengan hanya digubal undang-undang atau peraturan baru bagi menggantikan peraturan yang telah gagal sebelumnya.
Apa yang dapat kita lihat hari ini, pemimpin~pemimpin dunia telah mengabaikan peri pentingnya pembangunan insan. Bahkan mereka sendiri pun terdiri dari orang-orang yang sudah rosak insaniahnya. Sifat-sifat jahat yang mereka miliki menunjukkan mereka tidak berkemampuan melahirkan masyarakat bertamadun yang hidup dalam suasana aman dan damai. Apakah boleh wujud suasana aman dan damai kalau pemimpin-pemimpin sendiri bertelagah sesama mereka?
Sikap permusuhan antara sesama pemimpin ini boleh di samakan dengan pergelutan antara ahli-ahli gusti yang masing-masing cuba untuk saling menjatuhkan semata-mata untuk memenangi tali pinggang sebagai juara. Tidak hairanlah kalau pengikut~pengikut di bawahnya bertindak seperti penonton-penonton perlawanan gusti yang tidak betah duduk diam, melompat, menjerit dan memekik-mekik kepada ahli-ahli gusti yang sedang bertarung itu. Apa untung yang mereka dapat?
Pemimpin-pemimpin semacam ini hanya akan menjerumuskan negara ke kancah krisis politik yang serius, yang akan memberi kesan besar kepada kestabilan ekonomi negara. Suasana politik yang tidak aman itu menakutkan pelabur-pelabur dan ahli-ahli perniagaan. Yang mana jika dibiarkan berpanjangan, akan mencetuskan keresahan di tengah~tengah masyarakat negara dan rakyatnya akan tunggang terbalik, lalu akhirnya bangsa dan negara itu akan musnah. Barat ternyata sudah di ambang maut. Mereka sepatutnya sudah diisytiharkan berkubur. Mereka sudah terlalu lemah dan lelah untuk memimpin dunia, kerana untuk memimpin negara pun mereka tidak ada kemampuan lagi. Seperti singa tua yang telah kehilangan taring. Maka, siapakah yang akan mengambil alih kepimpinan di Barat selepas ini? Sebab kalau diperhatikan, nampaknya tidak ada satu bangsa atau kuasa lain yang dapat mengisi kekosongan (vacuum) kepimpinan itu.
Memang ada negara-negara yang ekonominya kuat, tetapi rakyat mereka sudah rosak moralnya, dirosakkan oleh pengaruh kebudayaan Barat yang memang sudah rosak itu. Bolehkah negara seperti ini mengambil ambil kepimpinan di Barat, sedangkan para pemimpinnya menerima telunjuk Barat? Sebenamya dunia tidak lagi memerlukan kepimpinan Barat, mahupun kepimpinan bangsa-bangsa naungan Barat.
Dunia perlukan satu bentuk kepimpinan baru yang boleh menyelamatkan seluruh umat manusia dan mendidik mereka ke jalan keselamatan tanpa merujuk kepada Barat. Kepimpinan seperti ini hanya akan ditemui dalam Islam. Walaupun buat masa ini kuasa sebenar Islam belum terserlah, namun kita yakin bahawa ALLAH tidak akan membenarkan Barat terus-terusan mencatur dunia dan membuat kerosakan di muka bumiNya. Dia pasti akan datangkan orang pilihanNya untuk mengambil alih teraju kepimpinan dunia yang akan dikosongkan oleh Barat.
No comments:
Post a Comment